Ahad, 27 September 2009

Malam Raya di Jalan TAR



Pertama kali dalam hidup Wak kena buat tugasan diMalam Hari raya. Misi utamanya ialah untuk membuat tinjauan suasana di Jalan Tuanku Abdul Rahman ( TAR ) pada malam raya. Menurut ceritanya, banyak lelongan barang dengan harga yang murah.

Perjalanan dari Klang ke KL berjalan lancar. Ramai pengguna dan warga kota yang telah kembali ke kampung halaman masing-masing. Wak sampai di Jalan TAR tepat pukul 10.00 malam. Nasib baik dapat parking dibelakang bangunan kedai berhampiran rumah TNB. Itu pun hasil kerjasama ‘sukarelawan’ yang menjaga parking.

Suasana malam begitu meriah dengan jurujual yang menjual barang dagangan. Mereka memujuk pengunjung dengan bermacam-macam gimik dan pujukan. Tapi Wak rasa yang ramai menjual bukannya warga tempatan. Berdasarkan dialek dan lenggok bahasa yang digunakan Wak pasti mereka semua adalah warga jiran tetangga kita.

Bermacam-macam barangan yang ditawarkan. Dari biskut raya, pakaian dan aksesori lelaki dan wanita, makanan steamboat ala jakarta, dan bunga api. Pendek kata semua barangan yang dilambakkan sangat signifikan dengan keperluan persiapan sambutan hari raya.

Wak dan isteri wak Cuma membuat tinjauan rambang disamping temubual ringkas dengan penjual. Sebenarnya tidak ada barang yang wak nak beli sebab semuanya telah dibeli awal lagi.

Bila malam semakin larut, orang semakin ramai dan kenderaan semakin sesak. Lorong-lorong sempit dijalan TAR penuh dengan manusia. Betul-betul macam musim haji. Orang ramai begitu ghairah tawar-menawar tanpa memikirkan risiko kesesakan yang berlaku. Hanya beberapa orang yang memakai topeng muka. Semua orang berhimpit dan berlaga ponggong di Malam Aidil fitri kerana mahukan barangan murah.

Wak rasa, barangan yang dikatakan murah itu tidaklah benar-benar murah. Bagi orang yang biasa membuat perbandingan harga tentunya tahu nilai sebenar harga barangan yang ditawarkan. Mungkin juga ada satu dua barang yang murah, tapi dengan keadaan tekanan emosi dan cahaya suram ketika membeli belah, macam-macam boleh jadi. Ada yang pandai bermain dengan harga sehingga pembeli yang terdesak atau hilang pertimbangan akan tersilau dengan gimik yang dibuat.Jadi berhati-hatilah.

Wak tak nampak ada pegawai penguatkuasa atau polis yang bertugas mengawal keadaan. Keadaan betul-betul atas kawalan diri sendiri. Sekiranya berlaku kejadian jenayah atau pergaduhan, sendiri mau ingatlah. Yang wak bimbang ada yang bawa anak kecil bahkan ada yang sorong baby dalam kereta sorong . Kenapalah menyusahkan diri untuk perkara yang tidak perlu.

Selepas pukul 12.00 malam wak rasa perlu keluar segera dari kawasan ini kerana manusia semakin ramai. Esok wak kena naik mimbar. Takut terlewat bangun pulak. Oleh kerana ramai yang meletakkan kereta sesuka hati, banyak kenderaan yang tersadai kerana tidak boleh bergerak. Denyut nadi Jalan TAR betul-betul terhenti. Nasib baik Wak membuat exit plan yang betul. Wak pilih jalan yang bukan laluan utama untuk keluar dari Kota metropolitan Kuala Lumpur. Selamat tinggal semua warga kota. Selamat Hari Raya.

1 ulasan: