Isnin, 22 Mac 2010

MEMBINA GENERASI PASCA GEMPA

Cerita 2



TAPUZ – Taman Asuhan Pesantren Ulama’ Zuama’. Destinasi kami yang pertama dalam eksplorasi ini ialah di pesantren ini. Pesantren ini terletak di tepi laut dan permandangannya sangat indah sekali. Walaupun cuacanya agak panas tetapi hembusan angin laut sesekali terasa diri dibuai sang bayu.

Pesantren ini telah ditutup sebelum gempa bumi kerana menghadapi masalah dalaman dan selepas bencana gempa ia dibuka semula. Ia ditubuhkan pada tahun 1991 dan pelajarnya pernah mencpai 500 orang. Pesantren ini dibiayai oleh para dermawan dan tenaga sukarelawan dari Indonesia dan Malaysia. Pesantren ini diuruskendali dan dipantau oleh MRA ( Malaysian Relief Agency).

Disini ada lebih kurang 50 orang santri dan santriwati yang berusia antara 13 -18 tahun.Mereka diambil dari kalangan orang-orang miskin, muallaf dan anak-anak yatim. Kedatangan kami ke sini adalah untuk menyuntik semangat kepada bakal-bakal pemimpin besar umat Islam agar tabah, sabar dan istiqamah dalam dakwah.

Program motivasi bersama santri lelaki dikendalikan oleh Saudara Shukor & The Team manakala santriwati diketuai oleh Ustazah Hazlina Abd Razak dan Team Fida’. Sebahagian peserta yang lain berhimpun di Surau untuk kerja gotong-royong. Kami mendapati keadaan surau ini perlu dibersihkan kerana penuh dengan sawang dan debu kerana lama tidak digunakan. Anak-anak santri disini tentunya tidak punya ruang waktu kerana jadual pembelajaran harian yang padat.

Walaupun kami tidak mempunyai penyapu dan peralatan untuk membersihkan kawasan tetapi dengan sedikit kreativiti kami dapat juga membersihkan bahagian dalam surau dengan menggunakan daun kelapa.

Semasa kami membersihkan kawasan surau, beberapa jiran tetangga turut datang membantu sambil bertanya khabar. Walapun kedatangan kami agak singkat dan mendadak namun hubungan ukhuwwah imaniyyah fillah yang terjalin jelas kelihatan tergambar diwajah masing-masing. Semasa kami ingin bergerak pergi mereka melambai-lambaikan tangan tanda perpisahan dan senyuman manis terus terukir dibibir. Kenangan dan pengalaman bersama mereka ini sangat membekas di jiwa semua peserta eksplorasi dakwah.



Selepas ini mungkin ada beberapa anak muda yang sudi mewakafkan masa cuti panjang mereka untuk membantu santri dan santriwati disini. Mereka mungkin boleh membimbing mereka dalam aspek kefahaman Islam dan dunia dakwah disamping kemahiran ICT dan Bahasa Inggeris. Ada yang sanggup menyahut cabaran ini?

DESA YANG HILANG DITELAN BUMI

cerita 1




Perjalanan kami ke desa malang itu memakan masa lebih kurang 60 minit. Kedudukannya agak jauh dipedalaman.Sepanjang jalan kami melihat banyak rumah-rumah yang rosak dan musnah digegar gempa. Walapun tidak semua rumah yang musnah namun kerosakan kecil dan retak jelas kelihatan disetiap rumah warga.

Rumah yang ‘rosak berat’ atau tidak selamat untuk dihuni akan diberi rumah sementara yang dibuat dari playwood atau tinggal dalam khemah-khemah darurat. Begitulah kekuasaan dan kehebatan Allah SWT. Apabila bumi ini digoncang nescaya akan musnahlah alam ini. Mereka yang mengalami bencana gempa ini menganggap peristiwa ini adalah kiamat kecil yang menakutkan. Tentunya ini adalah isyarat dari langit kepada hamba-hambanya yang beriman dan bertakwa agar cepat sedar dan bertaubat.

Kami tiba di Kampung Kapalu Koto Cumanak ketika matahari baru menampakkan diri dibalik gunung yang robek-robek digegar gempa. Beberapa orang penduduk kampung keluar menyambut kedatangan kami. Dengan begitu ramah sekali mereka menceritakan apa yang berlaku. Kami hanya mendengar dengan penuh minat dan turut merasa empati dengan musibah dan ujian dan dihadapi. Kami merasakan diri kami seolah-olah sedang ditarbiyyah dan ditazkirahkan oleh mereka walaupun mereka hanya sekadar berkongsi rasa pedih dan sedih atas kemusnahan dan kematian..




Tempat kami berdiri itu ialah ‘Kuburan Massal’ – kubur besar yang telah menimbus seluruh penduduk kampung yang sedang meraikan ‘Majlis Beralik’ – Majlis perkahwinan pada petang tersebut. Beberapa rumah guru dan sekolah juga menjadi mangsa runtuhan tanah dari bukit tersebut. Kami merasa begitu sedih dan hiba sekali dan bertafakur sambil menghadiahkan fatihah kepada semua korban gempa di sini.

Dianggarkan lebih 200 orang ‘tewas’ dan lebih 100 orang menjadi korban gempa. Banyak kemusnahan harta benda penduduk Lubuk Laweh yang berada dibawah bukit tersebut. Pekerjaan utama penduduk disini ialah bertani dan berternak. Hasil utamanya ialah padi, kelapa dan pinang. MRA turut membantu mendirikan rumah Syukur di sini. Menurut Pak Yusman, Pegawai Koordinator MRA “Di daerah ini kami telah membina sembilan buah rumah Syukur untuk penduduk yang mengalami kemusnahan berat”. Menurutnya lagi “ Dianggarkan 79,000 rumah yang musnah dan rosak teruk akibat dari kejadian gempa tersebut.”

Pihak pemerintah tanpa rasa jemu terus memberi semangat dan dorongan kepada semua warga agar terus tabah dan sabar menghadapi ujian Allah. Di mana-mana terpampang wajah pemimpin mereka di kain rentang yang mengandungi kata-kata motivasi dan perangsang. “ Badai telah berlalu, Kito Bangkik bersamo” !