Isnin, 30 November 2009

Ukhuwah Tanda Peduli Ummat

Ukhuwwah yang sebenar ialah seumpama jasad manusia.Bila ada anggota badan yang sakit makan anggota badan yang lain pun akan turut sama merasai kesakitannya.Kadang-kadang kerana jari tertusuk duri ikan sahaja menyebabkan kita sudah hilang tumpuan.Bagaimana kalau ada hati yang tertusuk sembilu kata.Pasti sakit pedihnya terasa hingga ke uluhati.

Apabila ada saudara kita atau sahabat kita yang berada dalam keadaan yang 'sakit' atau ditimpa musibah seperti bencana alam, penyakit, kemalangan dan sebagainya, kita akan cepat-cepat bertanyakan khabar dan menawarkan apa jua bantuan yang boleh diberikan. Inilah sikap dan amalan yang telah diajarkan oleh baginda Ar Rasul SAW kepada para sahabat dan umatnya.

Kita harus mencontohi sikap kaum Ansar dan Muhajirin yang bersaudara dan berukhuwwah kerana Allah dan Rasulnya. Segala tindakan dan tuturkata yang diungkapkan adalah kerana hendak mendapatkan redha Allah dan Rasulnya.

Mungkin kerana kesibukan kita mengurus diri dan keluarga menyebabkan kita tidak punya masa untuk bertanya khabar dan bertemu dengan sahabat dan rakan yang sebok dimedan dakwah.Mereka juga perlu mengurusi keperluan diri mereka dan keluarga mereka.
Apabila mereka keletihan dan kepenatan kerana berada dimedan barisan depan maka sahabat yang lain harus bersedia menjadi penampan dan bersedia mengambil tempat.

Ramai dikalangan sahabat-sahabat Wak sendiri yang menangguhkan kehendak peribadi untuk menyambung pelajaran kerana hendak memberi laluan kepada sahabat yang lain memburu impian.Biarlah mereka bertebaran dimuka bumi mencari ilmu kerana akan tiba dan masanya burung akan kembali kesarang.

Namun begitu ada juga segelintir yang menjadi asap lalu menjadi wap dan lenyap. Mereka lebih selesa mengambil jalan selamat dan jauh dari onak berduri perjuangan menegak kebenaran dan keadilan.

Wak sering berfikir sendirian selepas penat bekerja membanting tulang seharian.Siapa lagi yang harus peduli dengan nasib ummat ini? Wak teringat getaran suara Ar Rasul saat hampir diakhir perjalanan hayatnya..Ummati...ummati...ummati...Rasanya seperti masing terngiang-ngiang kedengaran dicuping telinga ini..

Saat Mendebarkan Si Penyembelih Lembu



Pengalaman pertama adalah saat yang sangat mengujakan. Sebelum melalui saat-saat yang dinantikan, perasaan pasti menjadi serba tidak kena. Bermacam-macam bayangan dan lintasan fantasi yang bersarang diminda.semua orang pasti melalui dan merasai situasi begini.Kalau orang lelaki mungkin ketika nak 'masuk jawi'aka sunat aka khatan manakala orang perempuan masa nak bersalin aka beranak.Mungkin ada yang melalui pengalaman yang lebih hebat dari peristiwa diatas..

Wak juga terpaksa melalui detik yang mendebarkan ini.Wak rasa memang dah bersedia disegi mental dan fizikal untuk menempuh saat yang dinantikan.Wak kena mulakan langkah pertama ini sebelum langkah yang beribu-ribu langkah.Wak dah nekad.Wak akan basahkan bumi ini dengan darah.Biar darah merah itu mengalir membasahi bumi sebagai tanda kejayaan dan kesyukuran.

Kali ini ada 5 ekor lembu yang akan dikorbankan.Semalam semasa Majlis anjuran Masjid An naim ada 6 ekor lembu, Wak tidak berkesempatan kerana sebok dengan tugas sebagai Ketua Agihan.Tugas Wak ialah mendaftarkan semua peserta dan petugas Majlis korban, seterusnya penerima-penerima yang terpilih dari kalangan fakir miskin, muallaf, ibu tunggal,rumah-rumah perlindungan dan kebajikan dan warga emas.



lembu pertama telah berjaya diselesaikan oleh Tuan Pengarah JBS Selangor, Tn Hj Makhruzi. Beliau memang dah biasa menyembelih.Mula-mula rasa cuak juga sebab teknik yang baru diperkenalkan oleh Us Sapuan agak ringkas dan mudah. Lembu yang dah dibaringkan cuma perlu diikat sebelah kaki dan ditarik kebelakang.Tiada kayu, tiada batang pisang, tiada kayu dicelah kelangkang dan tiada orang yang memegang.

Pisau yang wak beli tidak cukup asah dan tidak melepasi tahap yang memuaskan. Tapi disegi penampilan dan gaya nampak menyakinkan.Akhirnya ,wak pinjam pisau Us Sapuan yang berkilat buatan Jerman itu.Itu pun dia kata ketajamannya tinggal 60%.



Selepas wakalah dibacakan, takbir pun bergema.Wak letakkan pisau yang berkilat itu dileher dan dengan lafaz Bismillah Allah Akbar, Wak gerakkan mata pisau dari arah bawah dan keatas. Darah merah segar memancut keluar dengan begitu deras sekali.Apabila Us Sapuan memberikan arahan 'sudah',Wak pun angkat pisau.Nampaknya proses sembelihan Hanya beberapa saat sahaja dah selesai.Alhamdulillah.Akhirnya..


Penyembelih pelatih berikutnya ialah Us Muszaki dan diikuti dengan tn Hj Jamali.Tahun depan giliran anak-anak muda angkatan baru...Br.din dan Kam ..bersedia dengan pisau baru...Kalau beranilah...

Berkorban Tanda Syukur



Wak rasa belum terlambat untuk mengucapkan Salam Aidil Adha dan Selamat Menjalani Ibadah Korban kepada semua para muslimin dan muslimat semua. Teristimewa ucapan dan ingatan ini untuk para pengunjung setia walau dimana jua anda berada.

Tahun ini Wak diberikan amanah untuk mengelolakan program Ibadah Korban. Pada Hari pertama Wak berada dikampung isteri Wak di Kuala Terengganu.Wak sempat singgah diPasar Payang untuk mencari golok untuk menyembelih lembu korban.Mana tau nanti ada peluang untuk menyembelih.

Alhamdulillah sempat juga Wak beli sebilah golok yang Wak rasa cukup sesuai untuk menyembelih.Harganya pun berpatutan.Sarungnya dibuat dari kayu kemuning muda. warnanya putih dan dicampur dengan kayu getah.Silap haribulan, belum sempat kena dah putus! Wak berangan je.

Sebenarnya Wak tak mampu nak beli pisau penyembelih buatan Jerman yang dibuat dari karbon dan stailesstell.Menurut Us Sapuan Nayan, Pakar penyembelih dari JAIS, Hanya ada 3 negara yang keluarkan pisau jenis tu iaitu Jerman,Brazil dan China.Tetapi buatan China agak kurang menyerlah ketajamannya tetapi lebih murah harganya.

Pihak Veteriner kata pisau tu bagus tapi harganya sebilah Rm200.Menurut petua dari pakar penyembelih, untuk menguji ketajaman pisau, cuba letak dikuku.kalau ditarik melekat,memang cukup tajam untuk menyembelih.Kalau tidak,kenalah asah semula.

Wak sebenarnya belum pernah menyembelih lembu atau kambing.Dulu masa mula-mula menyembelih ayam, sekali tarik terus putus!Tapi sekarang semua ayam dah siap disembelih dan boleh siap potong 16 lagi.jadi tidak ramai orang yang tahu atau berani untuk menyembelih!

tapi wak dengar ada kemungkinan, penyembelihan terbuka akan tidak dibenarkan lagi pada masa akan datang kerana dikhuatiri jangkitan virus. Wak tak pasti dengan maklumat yang Wak dengar tu. harap pihak berkenaa dapat beri penjelasan dan alasan yang kukuh sebab Program Ibadah korban ini adalah amalan yang telah dilakukan sejak beratus tahun.

Semua umat Islam dimana-mana ceruk rantau dunia tetap mengadakan ibadah korban sebagai satu pernyataan rasa syukur kepada Allah dan keinsafan diri kepada fakir miskin dan insan yang lain.

Sekiranya setiap insan muslim yang mampu untuk menyumbangkan Rm350 untuk satu bahagian, bermakna akan lebih ramai lagi orang yang berpeluang untuk menerima dan merasai daging segar sekurang-kurangnya setahun sekali!

Jumaat, 20 November 2009

Debat Sarjana - Satu Aqidah




Malam tadi Wak dijemput menghadiri rancangan Al Kuliyyah Khas. Program yang sepatutnya disiarkan secara langsung dibatalkan disaat akhir dan hanya siaran rakaman sahaja.

Tajuknya mudah tetapi sangat memikat iaitu " SATU AQIDAH". Dewan Dewan Bahasa dan Pustaka penuh dengan pendengar. Wak kira majoritinya ialah peminat dan pengkagum kepada seorang sosok yang disebut-sebut oleh para penyokongnya sebagai Mujaddid@Tokoh Pembaharu.Wak faham kenapa ramai orang datang.Isu hangat dan panas di Selangor.

Panel yang beraksi didewan ialah tokoh ilmuan tersohor iaitu YBhg. Dr. Uthman El Muhammady, dari ISTAC, PM Dr Fauzi Deraman dari UM dan Dr Asri Zainal Abidin, mantan Mufti Perlis.Moderator Forum ialah Us Fauzi Mustafa.

Wak duduk dikerusi belakang kerana bahagian depan dah penuh.tetapi dibahagian belakang ramai muka-muka yang wak kenal.Wak sempat bersembang dengan ramai sahabat dan tetamu yang datang.Mantan Presiden ABIM, Sdr Yusri,Sdr Saiful Alwi dan ramai sahabat dari Yayasan Sofa juga turut kelihatan.Waratwan2 Karangkraf pun ramai.

Semasa sesi rakaman, semua panel melontarkan buah fikiran dan pendapat mereka dengan baik dan berhati-hati.Namun ada juga yang melontarkan pandangan yang panas dan sensitif namun nampaknya pengalaman moderator yang luas dan kecekapannya mengemudi perbincangan dapat meredakan suasana.

Selepas sesi rakaman selesai, pihak penganjur membuka sesi soal jawab.Beberapa peserta mengajukan soalan termasuklah Mantan MB Perlis, Dato' Shahidan dan Sdr Yusri.Dalam sesi jawapan balas nampaknya semua panel lebih bebas dan berani mengeluarkan warna sebenar diri mereka.

Melalui bilangan orang yang bertepuk tangan dan ketawa, wak rasa memang ramai peminat dan pengkagum Dr MAZA.Apa yang mengejutkan Wak ialah mereka ketawa beramai-ramai apabila ada sindiran dan lawak berkenaan amalan Mazhab Shafie yang disampaikan oleh panelis berkenaan.Bahkan ada seorang panel yang bila bersalam pun tak pandang muka dan sambil lewa sahaja! Ulama' kan model ikutan umat!

Bayangkan PM Dr Fauzi boleh menyindir orang Islam di Malaysia akan mengerjakan Haji lebih lama paling kurang 3 bulan kerana nak tunggu jemaah lain balik takut batal bila bersesak-sesak.!Gurauannya disambut dengan deraian ketawa dari para pengikutnya.Jelas dan terang.

Namun Us Usman dengan tenang dan hikmah sekali memberikan komentar yang tajam dan mengesankan." Malam ini saya merasa begitu sayu sekali. Sayu kerana apabila ulama' dan ilmuan besar ditertawakan. Siapa kita untuk mentertawakan mereka?Allah akbar.Kemudian dia dengan penuh tawadu' (membahasakan dirinya sebagai 'lebai tua') menceritakan tentang pengalamannya bersama dengan tokoh ilmuan dari serata dunia. Wak pun tak dapat nak merakam semua ceritanya.Menyesal wak tak rakam.

Khamis, 12 November 2009

Bila Amanah Menjadi Dagangan..

Wak dan kawan-kawan memang menyedari bahkan sangat menyedari tentang gejala sosial yang semakin gawat dan menggugat kedamaian umat. Saban hari Wak menerima banyak permohonan untuk menempatkan remaja perempuan yang mengandungkan anak hasil perzinaan.

Hari ini sahaja ada tiga permintaan untuk mendaftar masuk ke Rumah Perlindungan Wanita Darul Wardah. Tujuan asal rumah ini bukanlah untuk menampung Mak Buyong yang mengandung kerana berzina tetapi untuk membantu wanita yang menjadi mangsa dera, konflik agama dan keganasan rumah tangga. Tetapi nampaknya yang selalu datang menelefon adalah remaja-remaja dan belia-beliawanis sama ada yang masih belajar di IPT atau pun yang sudah bekerja.

Menyedari hal ini Wak cuba mengajukan kepada pihak Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu mengatasi masalah dan fenomena ini. Wak dan kawan-kawan menyediakan tiga proposal khas untuk remaja.
1. Program Bahagia Menjadi Gadis ( BMG )
2. Remaja Nafas Baru ( RnB )
3. Aku Teruna Terhebat ( ATT )

Wak ajukan kertas tersebut kepada Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial diperingkat Negeri yang diketuai oleh YB Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan. Wak juga pernah dua kali menghadiri mesyuarat besar bersama pelbagai pihak termasuk PBT. Wak tahu pihak kerajaan memang serius untuk menggerakkan program menangani gejala sosial ini.

Selepas beberapa minggu menanti, akhirnya wak diberitahu bahawa program untuk menangani gejala sosial ini telah diserahkan kepada pihak lain. Melalui maklumat yang wak terima ada 5 syarikat perunding yang telah dilantik untuk menggerakkan program tersebut.Tidak ada NGO yang terlibat.alasannya bajet terhad.

Wak tak kisahlah kalau pihak Kerajaan Negeri tidak berminat untuk menerima pelawaan dan tawaran kami ( NGO) . Kami tahu bahawa kami bukanlah pemain utama atau panglima ternama dalam kerajaan Pakatan Rakyat. Cuma sekadar rakyat marhaen yang ingin membantu. Tetapi wak mendapat maklumat bahawa pihak yang diberikan mandat untuk menggerakkan program tersebut adalah dari kalangan jawatankuasa atau suku sakat mereka sendiri. Wak harap maklumat ini tidak benar.

Wak tak kisahlah kalau orang lain yang melaksanakannya tapi bukan dari urusetia atau jawatankuasa yang merancang dan mereka juga yang melaksana. Lebih baik tak payah tubuh jawatankuasa dan tidak perlu mesyuarat yang meleret-leret. Kawan wak kata : “apa bezanya kerajaan dulu dengan sekarang? Nampak macam seghope aje…dengan nada sinis.

Kawan wak yang merasa tidak puas hati terus mengatakan bahawa, “perkara ini tidak adil! Demi kebenaran dan keadilan, kita mesti adu ke SPRM!” Wak sabarkan mereka kerana niat kita adalah untuk membantu mendidik dan memandu ummat dalam Bahtera Penyelamat. Kita bukan hendak berebut harta rampasan perang.Kita bukan kelompok pemanah yang lari dari posisi strategik semata-mata ingin mengaut harta ghanimah selepas tentera Islam mencapai kemenangan dalam Perang Uhud.

Wak serahkan kepada Allah kerana hanya Dialah yang Maha Mengetahui isi kebenarannya. Yang Benar tetap benar dan Yang batil tetap batil. Allah tetap bersama orang yang benar. Teruskan perjuangan …demi Allah, demi Islam.Sesungguhnya Amanah bukan barang dagangan...

Zina dan anak zina Bertaburan Tanda Kiamat Sudah Dekat

Wak banyak mengendalikan Program Pembangunan insan dan jati diri remaja khasnya di Negeri Selangor. Fokus sasaran kebanyakannya adalah kelompok awal remaja iaitu ber usia antara 12-15 tahun. Mereka datang dari kawasan bandar dan luar bandar .

Disamping mengendalikan program Wak cuba mendapatkan maklumat berkaitan gaya hidup diri remaja. Sambil berbual wak bertanya tentang beberapa perkara berkaitan dengan minat, hobi, dan bagaimana mereka menggunakan masa lapang. Soalan lain yang Wak tanyakan ialah sejauh mana pengetahuan mereka tentang cinta dan isu seksual.

Apa yang mengejutkan ialah terdapat remaja yang masih dibangku sekolah lagi ini mengaku bahawa telah beberapa kali mengadakan hubungan seks bebas ( baca : zina ) dengan teman wanita atau perempuan lain.

Berbagai istilah yang mereka gunakan untuk perempuan yang terlibat dengan amalan zina ini. Sekiranya mereka menjadi taruhan dalam aktiviti perlumbaan haram dipanggil CHIKARO. Kalau hanya sekadar suka-suka dipanggil PEREMPUAN BUNDLE, PEREMPUAN PAKAI BUANG dan sebagainya.

Wak agak terkedu bila membaca catatan pengakuan mereka. Gaya hidup mereka begitu jauh dengan gaya hidup sihat sebagai remaja muslim sejati. Kebanyakan terlibat dengan rokok dan arak. Ada juga yang menghidu gam dan dadah jenis ATS @ sintetik seperti ice, ectacy dll.

Aktiviti zina dikalangan remaja hari ini sebenarnya berada di dalam tahap yang berbahaya.remaja kita sudah masuk ke dalam perangkap yang berputar ganas. Kitaran inin bermula dengan gaya hidup bebas, rokok, arak, dadah , lumba haram, zina dan seterunya adalah kemusnahan diri mereka. Diri mereka akan merosak dan mereput dengan tingkahlaku dan tindakan mereka sendiri.

Setakat ini, Wak pernah mendenagr kes mengandung luar nikah semuda usia 9 tahun. Ia berlaku di Negeri Wak sendiri. Usia sembilan tahun ini adalah usia yang sangat muda dan masih dibangku darjah tiga! Apalah yang diketahui oleh budak sekolah semuda itu pada hari ini tentang alam rumahtangga!.

Apa yang lebih mengejutkan ialah si lelaki yang membuntingkannya itu bukanlah seorang lelaki dewasa! Ia hanyalah seorang budak lelaki berusia 12 tahun. Menurut sumber maklumat dari pihak sekolah tersebut, kejadian itu berlaku dibawah tangga sekolah! Wak yakin pihak sekolah tersebut telah mengambil tindakan yang sewajarnya.

Memanglah suatu yang memalukan dan boleh menjatuhkan maruah keluarga dan nama baik sekolah. Tetapi virus yang mudah berjangkit ini boleh menjadi satu bencana besar jika tidak dibenteras lebih awal. Remaja perlu disedarkan tentang akibat buruk dan bahaya yang akan berlaku hasil tingkahlaku dan perbuatan mereka.

Didalam hadis menyatakan bahawa antara tanda-tanda kiamat ialah apabila anak-anak zina bertaburan dimuka bumi ini! Jangan terkejut hari ini, kalau anda menemui sekolah yang 40% pelajarnya ialah anak zina! Wak dah jumpa.Maknanya memang Kiamat sudah dekat?.

Mengemudi Bahtera Penyelamat


Baru-baru ini Wak berkesempatan untuk mengikuti satu program Wacana Ilmu di Kajang. Panel forum yang menjadi pembicaranya ialah Prof Madya Dr Abd Halim el Muhammadi dan Dato’ Hashim Yahya.


Topik perbincangan ialah Memperkukuhkan Faham Ahli Sunnah wal Jamaah ; Isu dan Cabaran. Dr Abd Halim menceritakan kajian tentang sejarah kemunculan Fahaman yang menggelarkan diri mereka sebagai Pembaharuan, Gerakan pemodenan, Muslim progresif dan sebagainya.

Dato’ Hashim Yahya pula menjurus terus kepada isu Dr Asri dan fahaman yang dibawanya. Berbagai fahaman yang lebih bersifat khilafiah cuba ditimbulkan kembali dalam masyarakat hingga timbul kekeliruan. Banyak amalan baik yang telah sebati dalam amalan hidup masyarakat Islam seperti bertahlil dan berzikir lepas solat dianggap bidaah yang menyesatkan dan boleh membawa ke neraka.

Bahkan ada ungkapan-ungkapan yang berbau ektrim seperti “ orang yang berzikir kuat dimasjid selepas solat seperti anjing yang melolong dimasjid!” Dan banyak lagi ungkapan-ungkapan yang bersifat menghina dan mempersendakan amalan-amalan mulia orang Melayu Islam yang dilabel sebagai sesat dan menyesatkan.

Keributan dan kekeliruan yang sengaja dibuat ini menyebabkan masyarakat menjadi terlalu sebok dengan perkara-perkara furu’ dan khilaf yang akhirnya boleh membawa kepada perpecahan dan pergaduhan dikalangan masyarakat. Ada ahli keluarga yang berpecah-belah kerana isu talkin dan tahlil. Ada anak yang mahu bertahlil dan ada yang menentangnya. Akhirnya keluarga jadi berantakan dan berpuak-puak. Ini bukan ajaran Islam! Maqasid syariah bukan untuk mengajak umat berpecah belah.

Kesibukan umat dalam menangani isu ini menyebabkan golongan muda terabai dan banyak masa terpaksa digunakan untuk meredakan keadaan ini. Berbagai seminar dan wacana terpaksa diatur untuk memberikan penjelasan dan penerangan. Berbagai buku terpaksa ditulis dan diterbitkan untuk memberikan maklumat dan ilmu kepada umat. Akhirnya kelompok muda yang dahagakan perhatian dan bimbingan orang dewasa terabai dan mereka lebih selesa dengan dunia mereka sendiri.

Wak sendiri, rasanya tidak banyak program yang melibatkan golongan remaja dan belia yang sempat dibuat untuk tahun ini. Walaupun ada pihak lain yang menganjurkan program remaja dan belia tetapi masih tidak dapat menampung jumlah remaja dan belia yang begitu ramai jumlahnya. Kalau diselangor, lebih dua juta penduduknya adalah dari kalangan bawah usia 40 tahun! Lebih separuh darinya adalah belia Melayu yang beragama Islam! Jadi persatuan Belia Islamnya pasti kena lebih aktif bergerak. Bergerak dalam erti kata mengemudi bahtera penyelamat. Persatuan Belia Islam mesti memegang kompas haluan bahtera kearah cara hidup Islam. Mereka mesti menjadi juragan. Mereka perlu menjadi Bahtera Penyelamat. Wak yang dah tua ini Cuma memberi ingatan..Wallahu a’lam