Selasa, 21 Disember 2010

IBNU AFFAN- KOPERASI HALAL CONTOH


KOPERASI IBNU AFFAN


Apabila kami sampai di perkarangan syarikat ini, timbul perasaan kagum atas kejayaan mereka membangun gedung besar seperti ini. dalam hati aku merasa bangga kerana kejayaan umat Islam di sini membangunkan ekonomi mandiri yang berteraskan syariah. Syarikat Takaful Ibn Affan adalah sebuah syarikat koperasi yang menumpukan kepada aktiviti perkhidmatan kewangan dan perniagaan.

Mereka menerima dana pelaburan dari pelabur dan memberikan pinjaman kepada ahli-ahli yang memerlukan. Pelan perkhidmatan berteraskan syariah ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari seluruh masyarakat di sini. Buktinya ia telah pun mempunyai 50,000 ahli berdaftar dan 9 buah cawangan di Wilayah Selatan Thailand. Aku rasa koperasi belia Islam perlu banyak muhasabah dan mempelajari sesuatu dari kegigihan dan kesungguhan saudara mara kita di sini. Dulu mereka mempelajari semuanya dari ABIM dan Malaysia tetapi hari ini nampaknya mereka telah maju jauh dihadapan.

Dalam sesi dialog mereka mendedahkan bahawa rahsia kejayaan mereka ialah komitmen ahli lembaga pengarah yang ikhlas untuk menjadikan sistem ekonomi Islam menjadi satu realiti di Selatan Thai. Mereka begitu bersungguh-sungguh kerana sudah menjadi tanggungjawab dan fardhu kifayah kepada seluruh ummat di sini untuk membangunkan sistem ekonomi yang patuh syariah.

Begitulah azam dan semangat perjuangan yang dapat kami contohi dan pelajari dari mereka dalam pengembaraan ini.

KECEK TTANI

Kebanyakan penduduk Melayu Islam di Selatan Thai bertutur dalam Bahasa Melayu mengikut dialek Kelantan. Tetapi bunyi dan sebutannya agak lebih pekat dan kadang sukar untuk difahami. Seorang wakil YMAT yang memberikan penerangan tentang masalah dadah dan HIV dikalangan remaja dan belia Islam di Selatan. Mereka yang terjebak dengan dadah kerana kecewa dan ‘meraso patoh dado’. Apa yang dimaksudkan oleh beliau ialah remaja yang patah hati. Ramai dari kalangan peserta yang berkerut dahi untuk menangkap setiap butiran yang disampaikan kerana daya tangkap telinga mereka belum biasa dengan dengung dan tajwid yang beragam itu. ha..ha..ha..

CERITA DARI PATTANI

MUASSAH DARUL AITAM WAL MASAKIN

Destinasi kami berikutnya ialah Muassah Darul Aitam wal Masakin di Pattani. Perjalanan dari Takbai memakan masa lebih kurang 2 ½ jam. Aku dah dua kali mengunjungi tempat ini. Rumah ini sudah lama tidak menerima tetamu dari luar sejak lima tahun yang lalu kerana suasana gawat dan tidak aman yang berlaku. Gambaran tentang wilayah bergolak dan pertumpahan darah dimedia sedikit sebanyak menimbulkan rasa takut dan bimbang kepada masyarakat luar untuk datang ke Selatan Thai khususnya di tiga wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat.

Banyak perubahan yang berlaku. Ada beberapa bangunan tambahan dan rumah utama yang menjadi rumah asal penempatan anak-anak yatim juga sudah berwajah baru dan ceria. Menurut ustaz Ismail, salah seorang pendiri rumah anak yatim ini “ sekarang ini ada 1000 orang anak-anak penduduk tempatan yang bersekolah rendah yang belajar kelas fardhu ain di Muassah ini.

Pada peringkat awal penubuhannya kami pernah kekurangan makanan dan kehabisan duit. Al hamdulillah bantuan dari masyarakat dan pihak-pihak korporat banyak membantu kami membangunkan rumah anak yatim ini” Kata ustazah Maryam Samoh pengasas Rumah Darul Aitam.

MAKAN MALAM DI PATTANI

Selepas solat maghrib dan isya’ kami dibenarkan untuk makan di luar hotel. Banyak kedai dan gerai berhampiran. Aku dan keluarga, Geng Masjid An Naim dan 3 peserta lain memulakan langkah jalan-jalan cari makan. Agak jauh juga kami berjalan untuk mencari menu dan gerai yang sesuai dengan selera dan nafsu masing-masing. Setelah penat berjalan kami bertanyakan restoran muslim yang bagus. Seorang wanita bertudung yang Nampak baik hati menyarankan agar kami ke Restoran Arini dihujung jalan. Ternyata restoran itu agak besar dan selesa. Hujan mula turun dan kami mula menempah makanan.

Kami cuba memesan makanan Thai yang popular iaitu Tom Yam dan Siakap Tiga Rasa. Lagi pun makan malam ini adalah untuk meraikan Harijadi anak aku yang ke tiga – Abdullah Qardhawi yang sudah pun berusia 12 tahun pada 25.11.2010 yang lalu. Tarikhnya betul-betul ketika kami nak bertolak ke program explorasi ini. Jadi kami mencadangkan supaya majlis keraian dibuat di Pattani sahaja. Kalau nak dibandingkan dengan perkhidmatan dan kualiti rasa, nampaknya di Malaysia lebih baik lagi.

Walaupun ramai pelanggan yang datang tetapi pelayannya Cuma dua orang sahaja. Pesanan yang dibuat agak lama dan menimbulkan keresahan dikalangan pelanggan yang datang. Bermacam-macam cerita yang kami bualkan hingga dah kehabisan tajuk.
Akhirnya juadah yang dipesan pun tiba dan suasana menjadi senyap kerana masing-masing memberikan tumpuan dalam setiap suapan. Semuanya makan dengan penuh selera kerana kelaparan dan penatian yang berpanjangan.

JURUS MUAY THAI DAN URUTAN SIAM

Menurut En Wan Abd Rahman ada 3 orang rakannya yang turut bermalam dihotel tempat kami menginap – Hotel My Garden – baru tamat kelas mengurut dan mendapat sijil kelayakan. Dia menawarkan separuh harga untuk peserta explorasi lelaki sahaja. Aku rasa bagus juga kalau dapat mempelajari seni urutan Thai yang popular tu. “Sebelum kita bercerita dengan orang lain , elok kalau kita mencuba dan merasai pengalaman yang menarik itu dulu” kata seorang teman aku yang memang suka berurut.

Malam itu ada enam orang peserta lelaki menempah untuk sesi khas. Aku adalah peserta pertama bersama dengan Cikgu Syukri. Berbagai-bagai jurus dan teknik yang digunakan. Pendek kata semua sendi jari, lengan, siku,lutut dan kaki digunakan untuk memastikan perjalanan darah terus lancar. Sambil mengurut mereka berbual-bual dengan sesama mereka tentang isu semasa di Pattani dan umat Islam di rantau Melayu. Antara nama yang selalu disebut ialah nama Anwar Ibrahim ( sekarang Dato’ Seri ) sebagai seorang pemimpin pemersatu umat yang gigih dan aktif pada zaman mudanya bersama pemuda-pemuda membangunkan umat Islam di nusantara.

Nampaknya mereka ni pun bukan calang-calang orang. Mungkin aktivis gerakan Islam yang terlibat dalam mana-mana pertubuhan di sini. Aku tengok cara dia mengurut pun Nampak berhemah dan tertib sekali. Aku dengar kalau pergi rumah-rumah urut siam mereka akan buka baju dan kain semua sekali. Ada yang berani buat?

Sesekali terdengar suara Cikgu Syukri menahan sakit. Mungkin teknik Muay thai yang digunakan oleh tukang urut tersebut menyebabkan ada tulang sendi yang bersilang-silang. Nasib baik badan aku agak kurus dan mudah diuruskan. Kalau saiz xxxl mungkin lebih mencabar lagi. Sebenarnya aku bukan jenis orang yang suka berurut.Cuma aku suka member peluang kepada diri aku sendiri mempelajari ilmu-ilmu dan merasai pengalaman baru. Sekurang-kurangnya aku dapat mempelajari teknik-teknik baru .

MAKAN PAGI BERSAMA ARTIS


Semasa kami tiba di sebuah restoran berhampiran dengan pejabat Majlis Agama Islam Pattani, kami bertemu dengan van yang membawa artis In Team dan Unic. Khabarnya mereka ada konsert di sini. Aku pun ada melihat beberapa poster dan banner di sekitar Pattani tentang konsert tersebut. Beberapa orang peserta mengambil kesempatan untuk bergambar dan bersalam-salaman. Aku Cuma sempat melambai hai..hai..by..by… kerana ketika aku sampai mereka sudah berada dalam van dan bersiap untuk berangkat balik.

Aku rasa restoren ini agak popular kerana ramai orang yang datang membeli. Sepanjang pemerhatian aku orang sini memang suka makan nasi waktu pagi.macam orang disebelah Kelantan dan Terengganu juga. Macam-macam aneka lauk dan kuih muih telah terhidang. Ada juga yang memesan roti canai. Macam di Malaysia juga berbagai roti canai ada seperti roti telur dan roti pisang. Tapi roti bikinan mamak Malaysia jugak power.

MASJID KRU-SE PATTANI

Ketika kami tiba dimasjid ini tidak ada orang yang datang bertamu. Sekeliling masjid penuh dengan air kerana semalaman hujan turun berterusan. Masjid kru-se ( dipanggil Krisik ) yang berusia hampir 500 tahun itu kini berada di tepi lebuh raya Yala – Pattani . Jalan untuk masuk ke kawasan masjid dikawal oleh tentera.Tentera dalam bahasa Thai disebut Ta-han. Mereka mendirikan pos kawalan dan beberapa halangan dijalan masuk tetapi tidak ada pemeriksaan kenderaan dilakukan.
Kami terus mengambil wudhuk dan menunaikan solat sunat dhuha. Tidak lama kemudian empat orang askar Thailand yang bersenjatakan m16 datang ke pagar masjid. Mereka bercakap-cakap dengan pemandu van kami. Mungkin mereka bertanya tentang tujuan kedatangan kami.

Menurut En Wan Abdul Rahman, “masjid ini amat besar maknanya kepada ABIM dan perjuangan dakwah di rantau Melayu ini. kalau orang ABIM pergi Pattani tidak singgah ke Masjid Krisik ni kira tak sahlah.Macam pergi jedah Tak singgah Mekah. Disinilah bermulanya gerakan dakwah di selatan Thai yang dipelopori oleh ramai aktivis gerakan Islam”.

Satu ketika dahulu Krisek ialah ibu kota Kerajaan Pattani. Apabila berlaku perebutan kuasa antara pihak-pihak yang berkepentingan ,kerajaan thailand mengharamkan penggunaan masjid ini.

Apabila ABIM ditubuhkan, pimpinannya dengan kerjasama YMAT telah membersihkan dan menghidupkan semula masjid ini. Masjid ini dijadikan sebagai pusat perkembangan Islam dan semangat Islam disemarakkan.

Kewujudan masjid ini bersebelahan dengan kubur seorang Budha.Ia dipercayai adik beradik dengan abangnya yang Beragama Islam. Adiknya yang beragama Budha telah mengeluarkan sumpahan yang kononnya jika ia tidak mahu balik ke China masjid ini tidak akan siap. Lagenda ini dipercayai oleh masyarakat tempatan.

Ramai tokoh-tokoh penting gerakan Islam di sini yang mempunyai pertalian yang erat dengan mantan-mantan pimpinan ABIM terutamanya Anwar Ibrahim (Kini Dato’ Seri ) . Namanya masih disebut-sebut oleh mereka kerana legasi yang ditinggalkan sebagai tanda solidariti yang erat dalam gerakan dakwah. Kebanyakannya pernah mengikuti program-program latihan dan tarbiyyah semasa menuntut di luar Negara.

TRAGEDI PEMBUNUHAN DI MASJID KRU-SE


Pada tahun 2008 sekumpulan belia Islam mengadakan program tamrin di masjid ini. Mereka hanya melakukan aktiviti biasa untuk memantapkan fikrah perjuangan dan melatih kepimpinan anak-anak muda dalam bidang dakwah. Tetapi maklumat yang diterima oleh pihak tentara Thai mereka sedang berkomplot untuk pakatan pembebasan . Akhirnya satu serangan tentera besar-besaran telah dilancarkan. Mereka diserang bertubi-tubi dengan berbagai-bagai senjata ringan dan berat. Kesan-kesan tembakan peluru masih dapat dilihat didinding-dinding masjid walaupun ada yang telah ditampal dengan simen.
Akhirnya semua 60 orang mereka tewas dan terkorban. Mereka dikepung selama 7 jam.

Menurut ceritanya, kebanyakan dari jenazah mereka mati dibunuh didalam masjid.Anehnya kematian mereka kerana tembakan didahi! Kejadian ini menimbulkan banyak persoalan dan spekulasi mereka mengatakan mungkin komando jihad yang bersama mereka itu adalah talibarut yang bersekongkol dengan tentera Thai. Ini kerana tidak ada tentera yang berani masuk ke dalam masjid ketika serangan dilakukan. 40 orang dimakamkan di Songkla dalam satu kawasan yang dipanggil makam syuhada’.

BERSAMBUNG.....

EKSPLORASI FASA DUA BERMULA

Selepas kuliah subuh kami semua terus bersiap dan berkumpul. Komandan memberikan beberapa arahan dan peringatan sebelum kami berangkat. Doa Musafir dipimpin oleh Ustaz Zawawi selaku YDP ABIM Selangor. Dalam perjalanan menuju ke Pengkalan Kubor, Ketua unit Logistik, Sdr Zahrullail sekali lagi memberikan arahan melalui SMS “ This your captain speaking, we on 45 minute journey to pengkalan kubor. We gonna stop at Wakaf baru for breakfast. Should you require any assistant , pls do not hesitate to contact me. Have a nice & safe jurney..”

Kami singgah disatu warong yang agak popular dengan masakan gulai ayam kampung. Memang sedap dan semua makan dengan bersungguh-sungguh. Ada yang menambah sepinggan lagi kerana mungkin sebab sedap dan lapar.Maklumlah anak muda sedang membesar.

MENYEBERANG SUNGAI GOLOK

Kami meletakkan kereta kami di kawasan parkir LKIM( lembaga Kemajuan Ikan Malaysia ) . Sedikit bayaran dikenakan. Sehari Rm5. Lokasinya betul-betul ditebing muara sungai Golok. Aku bimbang juga kalau hujan berterusan dan air naik hingga ke tebing. Tetapi mengikut pengalaman yang sudah-sudah belum ada kejadian air naik ke tebing lagi. Kami semua hanya berserah tawakkal kepada Allah. Mudah-mudahan selamat. Hujan renyai-renyai masih berterusan. Selepas melepasi pemeriksaan imegresen kami menaiki bot penambang. Tiket untuk dewasa Rm1 dan kanak-kanak Rm0.50. Perjalanan hanya memakan masa 3-5 minit sahaja.

Berpuluh-puluh bot beroperasi membawa penumpang dari Malaysia ke Thailand setiap hari. Aktiviti yang telah perdagangan ini telah bermula lama apabila Sungai ini menjadi batas pemisah antara dua Negara. Ramai penduduk sempadan yang mempunyai saudara mara dan kerabat dipesisir sempadan dan mereka terus berhubung dengan bebas walaupun dibatas dengan sempadan politik dan geografi .

Menurut cerita orang lama di sini, apabila malam, banyak bot-bot yang membawa barangan berulang-alik antara dua Negara dan dengan jarak yang terlalu dekat agak sukar untuk menguatkuasakan undang-undang. Patutlah ada orang-orang penting dan popular bahkan penjenayah yang boleh bolos dan lepas..Ini satu pengalaman baru.



RUMAH SENTUHAN SANUBARI AYATA


Destinasi kami yang pertama ialah Rumah Sentuhan Sanubari AYATA – Rumah Anak Yatim Takbai adalah sebuah Pusat aktiviti pembelajaran dan perhubungan sosial untuk anak-anak yatim Takbai.Ia terletak di Kampung Tabal, Takbai, narathiwas. Lokasinya hanya beberapa meter dari jeti pendaratan dan pejabat imegresen Takbai. Oleh kerana gerimis kami diangkut dengan kereta dan kenderaan mereka ke rumah Sentuhan sanubari ayata. Begitulah nama yang mereka beri. Nama yang penuh dengan sentuhan emosi.

Ia ditubuhkan badan Kebajikan Anak Yatim Taba.Ia mula beroperasi pada 29 April 2003.Kini sudah ada 66 orang anak yatim lelaki dan 31 orang perempuan. Selain anak-anak yatim, anak-anak fakir miskin juga turut dibantu.

Disebelah masjid itu ada madrasah pendidikan Islam yang dipanggil Tadika ( Taman Didikan Kanak-kanak ) untuk anak-anak sekolah rendah. Ada lebih 1100 orang pelajar yang diasuh oleh 27 orang guru sukarela yang hanya mendapat sedikit elaun atau saguhati yang sangat minimum.

Anak-anak yatim disini tidak diletakkan dirumah perlindungan tetapi mereka kekal tinggal bersama keluarga Cuma bantuan dan sumbangan akan disalurkan kepada mereka. Di Pusat pendidikan ini mereka akan diberikan pengajian Al Quran dan Tahfiz Al Quran, Pengajian Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris. Selain dari itu mereka juga akan mengikuti program-program qiamullail, aktiviti-aktiviti kerohanian dan perayaan Islam yang lain.

Kami tiba sejam lebih awal sejam kerana waktu di Thailand diundurkan 60 minit. Hujan mula turun agak lebat dan kami semua terpaksa berteduh di dewan bersama dengan anak-anak yatim beraktiviti bersama pasukan motivasi yang diketuai oleh Sdr Azam. Pasukan yang membuat kajian lapangan bersama masyarakat tidak dapat bergerak kerana hujan terus turun dengan lebatnya.

Selepas aku menyampaikan sedikit ucapan penghargaan dan sambutan kami didendangkan lagu yang disampaikan oleh anak-anak AYATA. Suaranya mendayu-dayu mengharap bantuan dan menagih simpati dari pendengar hingga ada yang mengalirkan air mata. Lantas aku teringat cerita 3 Abdul..P Ramlee memberikan mereka inspirasi kerana lagu tolong kami bantu kami itu memang berkesan dan boleh menyentuh sanubari hati nurani insan .

PROGRAM BAHASA INGGERIS

Sebenarnya sebahagian dari mereka pernah dibawa ke ABIM Klang untuk program intensif Bahasa Inggeris. Mereka diajar siang dan malam oleh guru-guru sukarela yang bersedia membantu untuk meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris agar mereka dapat bersaing dan memajukan diri dan keluarga mereka.
Mereka juga turut menunjukkan bakat terpendam dengan menyampaikan sebuah lagu Inggeris yang bertajuk ‘Give thanks To Allah’.

Give Thanks to Allah
For the moon and the star
Praise him all day for
What is and what was
Take hold of your iman
Don’t give it to syaitan
Oh you belive please give thanks to Allah
Allah ghafur Allah rahim Allah Yuhibbul Muhsinin
Huwa Khaliquna Huwa razikuna Wa hua ala kulli syaiin qadir
Allah is Ghafar, Allah is rahim Allah is the one who loves the muhsinin
He is creator
He is sustainer and he is the one who has power over all


Rata-rata penduduk di sini berada dalam keadaan hidup yang miskin, Kebanyakannya bekerja sebagai nelayan atau penoreh getah. Ada yang berniaga dan membuat beberapa kerja dari rumah seperti jahitan dan makanan ringan.


MENYELAMI HATI NURANI UMAT


Kami berbual-bual dengan beberapa orang AJK masjid dan AJK AYATA . Banyak juga maklumat yang kami terima berkenaan dengan situasi sebenar di Takbai. Kami juga bertanya tentang beberapa isu panas yang beralaku di daerah ini seperti Tragedi Takbai iaitu kejadian demostrasi yang mengorbankan ramai orang lelaki pada tahun 2007. Menurut mereka kebanyakan yang terlibat kebanyakannya bukan dari Takbai. Mereka datang dari daerah dan kampung lain. Namun peristiwa itu menjadi sangat trajis dan membekas dalam ingatan dan sanubari umat Islam di Thailand. Ia sentiasa diingati sebagai salah satu tanda kekejaman dan kezaliman Kerajaan Thailand ke atas umat Islam di Selatan.

Kami diberitahu bahawa ada dikalangan penduduk di sini yang mengusahakan industri jahitan. Produk yang paling popular sekarang ini ialah tudung. Peserta wanita telah dipelawa oleh salah seorang AJK wanita ke rumah salah seorang penduduk yang mengusahakan jahitan tudung.Harga yang ditawarkan memang murah dan hampir semua peserta membelinya dan ada yang memborongnya.

Menurut ustazah Hazlina “ jenama Murni ini ada dijual diKuala Terengganu dengan tawaran ‘Harga Maut’ tetapi masih mahal jika dibandingkan dengan harga di sini”. sebagai tanda kenangan dan terima kasih mereka semua diberikan tudung percuma.Kalau ada sahabat HELWA yang berminat nak buat bisnes tudung bolehlah datang sini .

MADRASAH ISLAM PELANJUT GENERASI PEWARIS

Kami berkesempatan melawat madrasah yang dikelolakan oleh pihak masjid Jamik Takbai. Madrasahnya sangat sederhana dan masih banyak perlukan bantuan. Banyak bangunan usang dan amat dhaif sekali. Bangunan yang baru yang didirikan masih belum siap lagi dan Nampak lama telah terbengkalai. Pihak kerajaan Thailand memang tidak akan membantu madrasah seperti ini. Ia hanya bangun dan tegak dengan sumbangan dan semangat perjuangan umat muslim di sini.

Sementara menunggu waktu solat zohor, kami bertemu dengan seorang saudagar kopiah yang singgah solat dalam perjalanannya ke Pattani. Beliau memang selalu berulang-alik ke Selangor.lebih tepat lagi ke Subang jaya. Beliau mengekspot barang-barang tekstile terutama barangan keperluan ibadah dan busana muslim ke Malaysia.
Beliau sangat teruja dengan pertemuan ini dan menghadiahkan semua peserta lelaki dengan kopiah buatan Pattani yang popular sekarang ini. Ada seorang peserta yang marah-marah kerana telah membeli kopiah yang sama dengan harga Rm40 sedangkan disini harganya tak sampai separuh pun. Itu namanya bisnes. Kalau nak bisnes kopiah pattani jumpalah dengan saudagar ini. nak no contact boleh jumpa YDP.

KENDERAAN MEWAH ALA ALPHARD

Perjalanan kami di sini menggunakan kenderaan milik rakyat tempat. Ini juga sebagai salah satu usaha untuk membantu meiningkatkan ekonomi umat di sini. Kenderaan van jenis Toyota 2.5 ini mampu membawa 14 orang penumpang. Kami rasa beruntung kerana kenderaan yang disewa sangat selesa kerana masih baru. Ada yang baru dua minggu beli. Plet keretanya pun masih merah lagi. Disini plet merah maknanya percuma untuk tempoh tiga bulan.

bersambung...

EXPLORASI AMAL BELIA PERKUKUH UKHUWWAH PERTEGUH JIWA DAIE

25 – 29 November 2010 M ( khamis – Isnin )

Explorasi kali ini agak berbeza dengan misi yang pertama ( Sumatera Barat ). Perjalanan kali ini kami berkonvoi dengan kereta dari Selangor menuju ke Kelantan ,kemudian kami menyeberang ke Thailand dan menyewa kenderaan Thailand. Menurut En Wan Rahman, seorang aktivis global Peace Mission ( GPM ) - kaedah ini lebih mudah kerana terlalu banyak road block sepanjang jalan. Menggunakan kenderaan mereka lebih mudah dan tidak ada soal jawab lagi.


Dalam misi yang pertama kami menggunakan Kapal terbang dan Feri Ekspres untuk menyeberangi Selat Melaka dan menggunakan bas untuk mengembara ke destinasi yang telah ditentukan.

Misi kedua kali ini lebih ramai iaitu 31 orang berbanding misi yang pertama seramai 25 orang sahaja. Kami memilih Selatan Thai kerana inilah wilayah umat Islam yang terpinggir dan sentiasa bergolak dengan tragedy pembunuhan, pembantaian dan konflik berdarah yang berterusan. Misi kami kali ini ialah untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang hakikat sebenar keadaan umat Islam di sana dan mengikuti perkembangan dakwah Islamiyyah di sana.

Tema Program kali ini masih dikekalkan iaitu ABIM SELANGOR PRIHATIN.

SOLAT JUMAAT DI MASJID AGUNG GUA MUSANG

Kami tiba di Gua Musang pada pukul 12.30 petang. Kami ada masa 30 minit untuk makan tengahari. Istimewanya makan tengahari ini ialah masakannya disediakan oleh para penghuni darul Wardah. Lauk yang dimasak ialah daging korban yang memang telah diperuntukkan 10 kilo untuk sajian makan pagi dan tengahari. Daging lembu dimasak merah sungguh menyelerakan. Ditambah pula dengan nasi panas yang disimpan dalam bekas nasi khas dan sambal bilis yang boleh tahan sedapnya.

CERITA SEBUAH TANDAS

Semasa kami menggunakan tandas masjid untuk menyelesaikan urusan biologi diri ternyata keadaan tandasnya sangat mencabar. Ada pintu yang tidak berkunci hingga terpaksa dipegang ketika kita sedang sebok berurusan. Kadang-kadang ada pengunjung yang datang tergopoh-gapah dan terus menolak pintu, nasib baik aku dah sedia untuk menahan. Kalau tidak selamat jalan lah..Selain keadaannya yang kotor dan kurang diberi perhatian, kedudukannya juga agak jauh dan sekiranya ada jemaah yang bermasalah dalaman mungkin tak sempat sampai..Lokasi jemaah wanita juga kurang diberi perhatian kerana kedudukannya dilaluan lelaki hendak ke tandas.

Sebagai sebuah negeri yang mengangkat kedaulatan dan kesucian Islam, perkara-perkara kecil seperti ini seharusnya telah selesai. Jangan pula ia menjadi kudis yang sentiasa perlu digaru setiap kali terasa gatal. Mula-mula menggaru memang terasa sedap tapi kalau sudah menjadi kurang ia akan menimbulkan rasa tidak selesa dan memberikan rupa hodoh dan tidak cantik kepada gadis yang cantik rupawan. Kepada semua peserta eksplorasi dan pembaca semua marilah kita sama-sama membersihkan rumah Allah ini secara sukarela. Jika semua orang sukakan kebersihan saya yakin kita boleh menumpukan kepada kerja-kerja lain yang lebih utama.

Destinasi pertama – Islamic Outreach ABIM – IOA Cawangan Kelantan

Kami tiba di Kok Lanas mengikut jadual yang ditetapkan. Kami menukar rancangan kerana beberapa masalah teknikal yang tak dapat dielakkan. Pada mulanya kami akan ke Kota Bharu untuk sesi bersama pimpinan ABIM Kelantan tetapi diawalkan kerana kami akan menginap diKota Bharu. Keadaan Pusat latihan ini kurang sesuai kerana kerja-kerja ubahsuai dan naik taraf sedang dijalankan. Jadi kami terus singgah di IOA ABIM di Kok Lanas.

Tujuan utama penubuhan pusat latihan ini ialah untuk melatih dan mendidik orang-orang asli dengan ajaran Islam yang sebenar. Selain dari orang asli di sini juga diadakan program untuk anak-anak muallaf dan miskin dari keturunan Pattani, Rohingya dan lain-lain. Menurut Ustaz Hj Kamarudin, Timbalan Eksekutif Pusat ini “ Pusat ini asalnya adalah Pusat Penternakan Lembu milik KESEDAR tetapi tidak diteruskan dan terbengkalai. Pihak ABIM telah memohon tempat ini untuk dijadikan pusat latihan dakwah dan diluluskan”.

Ketika rombongan kami tiba, beberapa orang anak orang asli dan Rohingya sedang mengikuti program pengukuhan jatidiri Islam. Sempena musim cuti sekolah mereka akan mengikuti program tentang amalan ibadah seperti Solat, Zikir dan membaca Al Quran.kebanyakan anak-anak orang asli ini datang dari daerah Gua Musang.

Kunjungan singkat ini banyak memberikan informasi tentang kerja-kerja dakwah bil hal dan kerja-kerja lapangan. Kemudian kami bergerak ke Kota Bharu untuk singgah di Kompleks Al Hikmah milik ABIM Kelantan. Oleh kerana waktu itu adalah masa puncak sesak jadi kami memilih untuk mengikut jalan alternatif malangnya ada dua buah kereta telah terlepas arah dan kami terpaksa menunggu beberapa minit lagi.

Perjalanan agak perlahan kerana banyak lampu isyarat dan kami terpaksa berhati-hati setiap kali tiba dilampu isyarat agar tidak ada lagi kereta yang tertinggal.
Komander Logistik, sdr Zahrullail sentiasa memantau dan mengingatkan para pemandu semua supaya bergerak rapat dan berhati-hati memandu. Memang agak sukar bila berkonvoi kerana disiplin diri dan patuh pada arahan adalah pelajaran yang paling penting sekali. Kami tiba dilokasi sangat lewat. Kami tiba ketika azan Maghrib dikumandangkan dan kami disambut oleh beberapa orang pimpinan ABIM Kelantan yang menunggu sejak pukul 5.00 petang lagi!

DAYA KEPIMPINAN TERUJI

Ketika Muhammad Al fatih memimpin penaklukan Kota Kostantinole usianya baru mencecah 21 tahun. Ketika itu beliau memimpin ratusan ribu bala tentera dari berbagai peringkat untuk menggempur tentera musuh di Istanbul. Tiba-tiba lamunan aku tersentak apabila SMS henpon aku berbunyi “ ada dua buah kereta terlepas laluan. Mereka sedang berpatah balik” . Ini baru kafilah kecil..bagaimana agaknya kalau beratus ribu!..boleh semput dan sakit jantung dibuatnya.Namun dalam pengembaraan seperti ini hanya sabarlah kunci kepada kejayaan..kerana tidak sabarlah Nabi Musa hampir gagal dalam explorasinya bersama Nabi Khidir..


MALAM DI KOTA BHARU


Malam itu cuaca cerah walaupun sesekali hujan gerimis turun meraikan kehadiran kami di sini. “Sekarang dah masuk musim tengkujuh. Biasanya hujan turun siang dan malam. Kejadian banjir adalah perkara biasa . Kalau nasib kurang baik, banyak jalan ditutup kerana banjir” kata seorang rakan yang telah lama dibesarkan diKelantan.

Selepas maghrib, kami dijamu dengan ayam goreng berlauk nasi! Wah hebat bunyinya tu…Ayam goreng yang dibungkus bersama nasi memang bersaiz besar sampai terkeluar lutut ayam dari bungkusan. Semua orang makan dengan penuh selera kerana kelaparan. Selepas kekenyangan dan keletihan seorang peserta berseloroh : “ Barulah boleh nak senyum”.

Selepas selesai sesi pengisian jasmani, kami mengadakan sesi ramah mesra dengan beberapa orang pimpinan ABIM Kelantan. Kami mengadakan sedikit ta’aruf ringkas terutamanya tentang misi eksplorasi ini. Kami diberikan penerangan tentang Kompleks Al Hikmah ini oleh YDP ABIM Kelantan Ustaz Faisal Abdullah. Banyak idea dan pengalaman mereka dalam kerja-kerja dakwah, pembangunan ekonomi, perancangan dan pengukuhan Gerakan yang dapat dipelajari dari mereka.

Selain dari program pendidikan seperti TASKI ( Taman Asuhan Kanak-kanak Islam ) dan SRI ( Sekolah Rendah Islam ) , ABIM Kelantan juga mempunyai projek-projek ekonominya sendiri seperti program ICT dengan MOSTI – Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Program Pengurusan Tawhidic bersama YaPIEM dan yang terbaru ialah perkhidmatan Hostel dan Homestay.

Kami diberi peluang untuk tidur dan merasai keselesaan bilik hostel tersebut. Biliknya memang selesa kerana berhawa dingin. Cuma bilik air dan tandasnya perlu ditingkatkan kerana ada yang kurang berfungsi dengan baik. Oleh kerana semua orang telah keletihan kerana perjalanan yang jauh akhirnya semua terus terlena apabila kepala mencecah ke bantal.

Cuma ada sesuatu kenangan yang kurang manis apabila ada salah seorang peserta – Ustazah Hazlina - yang tidur dalam bilik yang berkunci telah kehilangan modem broadband. Beliau amat yakin barang itu diletak diatas meja selepas digunakan dan apabila pagi hanya tali penutup sahaja yang tinggal. Walaupun telah puas dicari oleh beberapa orang pasukan pencari tetapi tidak juga ditemui.

PAK IMAM YANG MINTA DIINGATKAN

Semua peserta bangun awal dan sempat untuk bertahajjud diMasjid Al Hikmah. Ketika solat subuh, Pak Imam bertugas membaca surah Al Ghasyiah. Ketika tiba pada ayat “ fazakkir” dia terlupa untuk ayat seterusnya. Ramai yang menegurnya “ Innama anta muzakkir” tetapi dia tetap tidak dapat meneruskannya sebelum dia beralih ke surah yang lain. Yang menimbulkan rasa ketidak khusyukan aku ialah dia terlupa pada perkataan yang terjemahannya harfiyahnya :” maka ingatkanlah” dan ramai jamaah yang menjawab: “ Sesungguhnya kamulah orang yang mengingatkan!”..malangnya dia tidak dapat juga mengingat ayat seterusnya…syaitan al Khannas tentu gembira..

Semasa kuliah subuh yang disampaikan oleh Ustaz Tajudin, aku tengok pak Imam tu tepuk dahi beberapa kali.Mungkin hatinya geram kerana kali ini dia tertewas dan yang paling dikesalkan ialah kerana dibelakangnya ramai ustaz dan aktivis dakwah. Selain dari rombongan kami, pagi itu ramai juga peserta Kursus Usahawan HPA yang berprogram disitu. Pengajaran dari peristiwa ini sangat bermakna kepada semua peserta eksplorasi khususnya pada diri aku sendiri.

Selasa, 23 November 2010

Pertumpahan Darah Di Pagi Raya



Kisah Bermula...

Alhamdulillah. Akhirnya Wak Berjaya juga mempraktikkan ilmu sembelihan yang Wak pelajari selama ini. Bertahun-tahun Wak menjadi pemerhati dan pembantu dalam acara sembelihan akhirnya Wak diberi ruang dan kesempatan untuk menjalani amali yang lebih bebas. Tahun lepas Wak diberi peluang untuk menyembelih lembu selepas ceramah teori yang disampaikan oleh Ustaz Safuan Nayan. Beliau merupakan master dalam bidang sembelihan. Banyak ilmu dan hikmat yang dikongsikan dalam sesi perkongsian ilmu bersama beliau.

LEHER SIAPA YANG BAKAL DISEMBELIH



Tahun ini Wak Berjaya melakukan enam sembelihan. Sehari sebelum hari raya Korban Wak cuba membayangkan secara NLP tatacara dan teknik menyembelih yang telah dilakukan pada tahun lepas. Wak cuba ingatkan petua dan teknik yang diajarkan Ustaz Safuan. “ Pastikan tempat kita meletakkan pisau ialah dihujung telinga lembu atau 2/3 jika telinganya panjang” pesannya lagi.

Beliau pernah ditanya oleh seorang peserta” Ustaz, bagaimana kita hendak melembutkan daging lembu?” dengan ilmu dan pengalaman yang ada beliau menjelaskan “ Sebelum Kita hendak menyembelih, pegang anak cuping telinga sambil berselawat 3 kali dan berdoa – Ya Allah, Lembutkan daging ini sebagaimana lembutnya anak cuping telinga ini”.Katanya lagi : “saya dapat ilmu ini dari seorang saudarnya yang berasal dari Thailand.

Namun begitu beliau pernah mendapat satu lagi ‘teknik’ lebih mudah dan senang. Katanya dia mendapat ilmu itu dari seorang rakan di Perlis. “Untuk melembutkan daging lembu hanya tambah hurf L dihujungnya” sambil berseloroh. Pada mulanya ada yang tak faham dan terpinga-pinga dengan ungkapan tersebut.Selepas beberapa saat barulah kedengaran bunyi ketawa dari para peserta semua. Lambat pick up!
Pada hari kejadian sembelihan Ibadah Korban, Wak diberi tugasan untuk menyembelih 2 ekor lembu dari 14 ekor yang ada.semua penyembelih diberikan nombor lembu masing-masing untuk memudahkan pengurusan.Beberapa kali Wak mengasah golok untuk memastikannya benar-benar tajam. Ustaz Safuan kata “ kalau nak pastikan mata pisau sembelihan itu tajam letak di atas kuku ibu jari tangan dan tarik.Jika terasa seperti ada hirisan, maknanya pisau itu cukup tajam”.

Satu perkara yang merisaukan Wak ialah pisau yang wak asah matanya tidak seperti mana yang disebutkan oleh Pak Ustaz. Wak gunakan minyak masak untuk mengasah untuk mengelakkan karat dan lebih mudah diasah. Tapi nampaknya masih tidak setajam yang diharapkan. Wak memang pernah guna pisau yang digunakan Pak Ustaz untuk menyembelih.Harganya sekitar Rm300. Fuh…hampir sama macam satu bahagian korban lembu. Katanya lagi, pisau yang bagus adalah buatan Jepun atau Jerman. Memang ada yang lebih murah dipasaran tapi buatan China dan kualitinya tentunya lebih rendah.

AKHIRNYA PERTUMPAHAN DARAH TAK DAPAT DIELAKKAN



Pada waktu pagi upacara sembelihan ibadah korban, ramai kanak-kanak dan warga penduduk yang datang ingin menolong…tolong tengok kerana agak upacara ini hanya setahun sekali.Lagi pun Masjid kami dan lama tak buat secara kelompok begini dengan jumlah yang agak banyak. Kehadiran yang ramai ini tentunya menambahkan rasa takut dan kecut dikalangan lembu-lembu yang Nampak macam panik dan tidak selesa. Tenungan matanya cukup tajam dan berwaspada. Menurut Pak Ustaz, Kalau mata kita bertenung dengan mata lembu, ertinya kita kena berjaga-jaga dan berwaspada kerana bila-bila masa sahaja lembu akan bertindak balas agresif.

TEKNIK MEREBAH LEMBU

Oleh kerana salah seekor lembu akan dijadikan hidangan para petugas dan ahli jamaah masjid maka sembelihan mesti disegerakan.Jam waktu itu menunjukkan pukul 10.30 pagi. Seorang lelaki setengah baya yang berpengalaman dan berani berjaya menumbangkan seekor lembu. Kaki depan dan kaki belakang nya diikat kemas.kemudian diletakkan sebatang kayu dicelah kelangkangnya. Tapi menurut Pak Ustaz dalam ceramah yang disampaikan, beliau telah banyak praktik kaedah yang lebih mudah dan tidak menyiksa binatang korban. “Kita hanya perlu ikat kaki kiri sebelah belakang dan tarik menyilang melalui bawah perut lembu. Lepas tu, tarik hingga lembu jatuh dan terus tarik kuat. Tanduknya dicacakkan ditanah dan hanya perlukan 2-3 orang pembantu untuk melakukan sembelihan”. Kaedah ini wak pun dah praktik dan tidak ada masalah lembu akan bangkit semula kerana salah satu kakinya terikat kecuali jika ikatan itu terlepas!

Namun begitu sebahagian besar petugas tidak menghadiri kursus singkat yang disampaikan oleh Pak Ustaz. Kalau hadir pun mereka masih tidak yakin kerana belum pernah melihat aksi baru yang diperkenalkan.akhirnya semua petugas menggunakan kaedah warisan nenek moyang yang dipelajari sejak turun temurun. Tapi untuk giliran sembelihan yang yang lakukan, wak minta mereka buangkan kayu galang dicelah kelangkang dan kaki depan dan kaki belakang tidak diikat bercantum. Dan Alhamdulillah, sembelihan Berjaya dilakukan.

Ada satu lagi teknik yang lebih hebat yang beliau kongsikan dengan kami semua. Hebatnya teknik ini kerana sembelihan itu hanya perlu dilakukan seorang diri sahaja. Katanya” Saya dapat ilmu menumbangkan lembu ni dari orang Thailand juga”.”letakkan batang daun pisang yang telah dibuang daunnya dicelah kelangkang lembu. Lepas tu boleh lah sembelih. “Masalahnya saya sendiri tak pernah tengok bagaimana dia melakukannya kerana penerangan hanya diberikan melalui telefon. Lebih malang lagi dia sendiri pun belum pernah melakukannya lagi!”
Pada perkiraan Wak jika tali yang mengikat kaki kiri belakang itu ditambat dipokok dan tali kepala ditambat pada kayu supaya tidak bergerak-gerak, wak rasa masuk akal juga. Mungkin tak perlukan pelepah pisang pun! wak sendiri rasanya yakin boleh…tapi bukan sekaranglah..

BILA ADA LEMBU TERLEPAS



Selepas selesai sembelihan pertama selesai seekor lembu yang terlalu takut telah bertindak agresif apabila beberapa orang pemuda cuba untuk menewaskannya. Oleh kerana tali ikatan hanya ditambat pada sepohon pokok Tenggek burung yang sederhana besarnya, sekali rentap sahaja si lembu itu Berjaya mencabut pokok tersebut. Semua orang lari bertempiaran. Ada yang terjatuh dan tersungkur kerana tersadung kayu atau tertolak rakan lain.

Beberapa orang warga emas terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri. Ibu-ibu yang membawa anak kecil juga kelihatan cemas dan cuba membawa anak masing-masih ketempat selemat. Petugas-petugas yang sedang duduk-duduk menanti tugas terus bingkas bangun dan bersedia untuk menyelamatkan diri.

Si lembu yang sedang naik minyak itu mula berlari tidak tentu arah dan beberapa orang lelaki yang berani cuba menarik tali lembu tesebut tetapi tidak cukup kuat untuk tenaga lembu yang andrenalinnya sedang memuncak. Tiba-tiba dalam kekalutan usaha menangkap lembu tersebut, si lembu terjatuh kerana tanah yang licin sebab basah dan lecah.Dengan sepantas kilat beberapa orang anak muda yang berhampiran terus menerkam lembu tersebut beramai-ramai. Lembu yang telah kepenatan dan ketakutan itu tidak berdaya lagi untuk melawan lagi.

Kali ini ia pasrah dan mengalah. Setiap kali ia berusaha untuk melepaskan diri pegangan dan cengkaman puluhan tenaga muda tidak mampu untuk ia melepaskan diri lagi. Matanya hanya terpejam celik memikirkan nasib diri yang bakal dilalui nanti. Sesekali lembu itu mendengus menarik nafas kuat kerana mungkin tindihan ramai anak muda menjadikan ia sesak dada..kasihan

Sabtu, 6 November 2010

Fenomena Emas Yang Mengejutkan 2

Pada 10.10.10 yang lalu Wak secara resmi telah menjadi Agen emas. Mudah cerita wak menjadi penjual dan pembeli emas.Syarikat yang Wak jadikan sandaran emas ialah Public Gold yang berpengkalan di Pulau Pinang.

Selepas Kerajaan Negeri Kelantan melancarkan Dinar Emas pada bulan Ramadan yang lalu, Wak cuba meng'google' di alam maya tentang dinar emas. Wak berjumpa dengan banyak blog yang bercerita tentang emas sebagai satu aset simpanan dan pelaburan masa depan yang menguntungkan.

antara blog yang banyak membuat analisis dan kajian lengkap tentang emas ialah blog jutawan emas milik Sdr Syukor Hashim. Banyak maklumat dan kisah pengalaman beliau sebagai peminat emas dicatatkan dan Wak sempat membeli ebook nya yang berharga Rm80 untuk mendapat lebih banyak maklumat tentang perniagaan emas.

Hari ini Sudah hampir satu purnama Wak bergelumang dengan dunia emas. Oleh kerana Public Gold(PG) menawarkan variasi baru dalam bisnes emas ini maka banyak calon-calon jutawan diluar sana yang begitu teruja untuk menjadi wakil jualan atau agen PG.

Kita boleh memantau harga emas setiap masa kerana PG akan membuat semakan setiap 20 minit. Kita juga boleh membuat tempahan 24 jam. Bayangkan ketika pukul 2-3 pagi harga emas menurun mengila-gila. Orang yang mabuk emas boleh tercium bau emas dan terjaga untuk menyemak perkembangan harga emas diinternet..

Tapi wak belumlah sampai ke tahap xtrem begitu.Kepada para pengunjung dan tetamu Wak Juragan, Wak ingin berkongsi beberapa kisah benar tentang emas ini tapi..tungguuuuu....

Rabu, 6 Oktober 2010

Mansuh Undang Syariah -SIS & JAG Cabar Mufti S'ngor?

Wak Harap Datuk Setia Mufti Selangor dapat bersuara dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan umat Islam. Orang kampung macam wak ni perlukan panduan. Banyak isu yang diketengahkan kurang mendapat reaksi segera dari pihak autiriti agama. Janganlah sampai pihak lain yang bersuara dan berpengaruh.

Petikan lama dari seorang blogger....
http://www.ibnuhasyim.com/2009/10/mansuh-undang-syariah-sis-jag-cabar.html

Saturday, October 10, 2009
Mansuh Undang Syariah -SIS & JAG Cabar Mufti Selangor?


SIS atau Sisters In Islam didakwa menghasut dan melakukan provokasi berhubung kontroversi hukuman sebat terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno. Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Selangor hari ini membuat sebelas laporan polis terhadap NGO hak wanita itu, menurut Malaysiakini hari ini.

Yang dipertuanya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, lapan aduan dibuat melalui cawangan pertubuhan itu di seluruh Selangor pagi tadi. Manakala tiga lagi dibuat petang ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam," katanya. "Esok kita jangka 20 laporan lagi akan menyusul."

Mohd Zawawi yang membuat aduan polis itu bagi pihak Abim Selangor berkata, pihaknya meminta polis menyiasat SIS dan NGO lain yang bergabung dalam Kumpulan Bertindak Menentang Keganasan Terhadap Wanita (JAG) - kerana didakwanya, mendesak kerajaan memansuhkan undang-undang Syariah.

"Tuntutan itu adalah bersifat hasutan dan menjejaskan kedaulatan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam, serta menghina martabat kedudukan mahkamah Syariah. Mereka yang terlibat perlu disiasat dan didakwa," katanya dalam aduan polis tersebut.

Dalam aduannya, Mohd Zawawi turut meminta pihak polis menyiasat kenyataan pengarah eksekutif Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO), Ivy Josiah yang mendesak kerajaan negeri dan persekutuan menjalankan semakan menyeluruh terhadap undang-undang jenayah, seperti dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 1 Oktober lalu.

Mohd Zawani turut menuntut NGO Islam lain supaya mengambil inisiatif yang sama dengan menyatakan pandangan mereka supaya "masyarakat tidak terkeliru atas perbalahan pendapat".

"Kami juga memohon Jabatan Mufti Selangor atau badan-badan rasmi yang berkaitan, supaya memberi pandangan dan panduan kepada masyarakat umum agar masyarakat tidak teraba-raba mencari jawapan yang sebenar," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Rumah Darul Wadah - sebuah agensi di bawah Abim Selangor - Hazlina Abdul Razak dan Setiausaha Agung Persatuan Pelajar Islam Selangor (Pepias) Zafarullah Ariff turut hadir dan membuat laporan yang sama di IPD tersebut. Dalam aduannya, Hazlina turut mendakwa tindakan pertubuhan-pertubuhan wanita tersebut menimbulkan kegelisahan di kalangan orang awam, khususnya penganut agama Islam.

Dewan Pemuda PAS Malaysia pula mensifatkan tindakan SIS dan JAG semakin berani mencabar keputusan mahkamah Syariah berhubung isu di atas, seperti yang dilaporkan Harakah hari ini, melalui kenyataan Ketua Pemudanya, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi.

"Biarpun hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah iaitu 6 sebatan dan denda sebanyak RM 5,000 tidaklah sepenuhnya menepati hukum syara' tetapi sekurang-kurangnya ia membawa semangat perlaksanaan undang-undang syariah dalam negara ini.. Jika 6 sebatan sahaja dibantah dan ditentang habis - habisan oleh SIS dan JAG , saya tidak dapat gambarkan bagaimana mereka mahu bertindak jika negara ini benar-benar melaksanakan hukum syara' iaitu antara 40 ke 80 kali sebat bagi mereka yang sabit bersalah meminum arak."Kata beliau.

Jelasnya SIS dan JAG menggunakan hujjah kononnya hukuman itu kejam , menjatuhkan maruah malah bercanggah dengan hak asasi manusia . (Jika 6 rotan sudah dianggap kejam ertinya mereka akan berkata 40 rotan sangat kejam).

Komen Blog Ibnu Hasyim: Tidak tercabar lagikah Jabatan Mufti Selangor atau badan-badan rasmi yang berkaitan? Mengapa masih takut-takut? Apakah kerana ia melibatkan kaum keluarga pemimpin-pemimpin negara?(2MA)

Selasa, 5 Oktober 2010

Berfikirlah dengan Kreatif

Satu Idea kreatif.

Biasanya objek-objek wisata di sini akan dikembangkan kepada beberapa nilai tambah untuk manfaat dan kepentingan beberapa pihak. Walaupun di Malaysia kita dah banyak melaksanakannya tapi mungkin kita boleh menokok tambah lagi supaya lebih ceria dan meriah.Contoh mudah yang Wak lihat ialah projek Kereta kuda, beca roda tiga dan gerai jualan.



untuk sampai ke lokasi makam biasanya mereka akan dibawa dengan kenderaan antik seperti beca atau kereta kuda. Bagi yang fobia atau tidak biasa dengan kenderaan itu mereka juga boleh naik motorsikal yang dipanggil ojek.

Tambang yang dikenakan untuk perjalanan sejauh 1 km ialah Rp5.000 seorang.Bagi orang luar atau pelancung seperti kami tentunya ia memberikan satu pengalaman baru yang menarik. Ada teman Wak yang nak termuntah apabila tercium bau hancing kencing kuda apabila sampai distesen kereta kuda..



Dalam perjalanan pengunjung ke makam wali biasanya mereka akan melalui gerai-gerai jualan yang menawarkan berbagai barangan cenderamata, makanan ringan tempatan, buah-buahan dan aneka barangan yang murah.(sesuai dengan kualitinya la )

Ada kawan Wak yang sejak dari awal memang tidak berminat untuk membeli belah akhirnya 'kalah' dan terpaksa mencari tempat menukar wang dan ada juga yang menggunakan Kad Debit dan Kad Kredit untuk menambah suntikan modal bagi 'dilaburkan' kepada rakyat tempatan..:)

Kalau di Selangor... kemanakah kita akan membawa teman-teman kita yang datang bertemu ke Selangor? Nak dapatkan baju T atau key chain pun susah!Kalau ada pun harganya mahal!

Jauh Berjalan Bertambah Pengalaman







Antara perkara yang paling Wak suka perhatikan apabila datang bertamu ke Indonesia ialah papan iklan dan kain rentang yang dipaparkan dipinggir jalan. Wak tertarik dengan gaya ungkapan dan kreativiti mereka dalam menampilkan gaya bahasa yang unik. Kadang-kadang ia memang tidak terfikir oleh minda kita yang beku dan sehala sahaja.Cuba perhatikan contoh di atas...

Sunan Fotojaga

Peminta Sedekah Di Makam Wali

Kebanyakan Makam-makam Walisongo yang Wak kunjungi penuh dengan pengunjung. Mereka datang dari berbagai lokasi yang jauh dan dekat. Mereka datang berbondong-bondong dengan iringan seorang ketua / guru agama yang akan membimbing bacaan tahlil dan zikir. Kebanyakannya mereka suka berdoa dan membacakan puisi burdah karangan Al busiri yang terkenal itu dihadapan makam.


Jarang kita dapat melihat fenomena ini di Malaysia bahkan di Mesir. walaupun orang mesir begitu menghormati para alim ulama' terutamanya dari aliran tasauf tapi Wak tak pernah nampak pengunjung yang bertali arus siang dan malam berziarah orang yang telah mati.

Tentunya ini adalah salah satu petunjuk Allah kepada hamba-hambanya yang telah banyak berkorban untuk berdakwah meningkatkan dan mengembangkan syariat Allah dimuka bumi ini khususnya di negeri yang agama asalnya adalah anemisme dan Hindu yang sangat kental .



Cuma apa yang Wak ingin kongsikan di sini ialah tentang panorama peminta sedekah yang begitu ramai dan seperti menjadikan meminta sedekah sebagai kerjaya mereka. Walaupun amalan bersedekah sangat digalakkan tetapi Wak rasa perbuatan mereka ini tentunya tidak disenangi oleh para penghuni makam itu sendiri.



Pada mulanya Wak nak beri juga tapi takut kena serbu oleh teman-teman mereka yang lain jadi wak lebih selesa memasukkan kedalam peti amal yang banyak tersedia dikawasan makam dan masjid.



Wak juga turut memuji para peniaga yang begitu rajin dan ramah mengajak kami berkunjung ke gerai mereka untuk melihat-lihat barang dangan mereka. Tanpa rasa bosan dan segan mereka terus menyapa setiap pengunjung yang datang.



Dalam hati Wak doakan semoga mereka terus sukses - Sunan MZ

Seminar Pemikiran Islam : Membedah Visi Dakwah Wali Songo



Pada 3 Julai 2010 ( Ahad ) yang lalu Wak bersama teman-teman dari NGO Islam Selangor telah berjaya menganjurkan satu Program Seminar Pemikiran Islam : Membedah Visi Dakwah Walisongo. Program ini dianjurkan bersama Dewan Dakwah Islamiyyah Indonesia
( DDII )Cabang Province Jawa timur.

Sebagai penganjur bersama Wak rasa agak sukar juga pada mulanya untuk menjayakan program yang bersifat antarabangsa. Inilah pengalaman pertama Wak mengkoordinasi program bersama pertubuhan diluar Malaysia. Nasib baik Wak ada pengalaman sikit berprogram bersama rakan-rakan dari negara jiran semasa belajar di Mesir dahulu.

Pada mulanya program ini hampir ditunda kerana kesukaran untuk mendapatkan peserta dan rakan penaja. Namun hasil usaha gigih YDP IMAN dan teman-teman seperjuangan yang terus memberikan sokongan akhirnya program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.



Program ini pada mulanya hanyalah satu program ringkas dan kecil sahaja namun rakan dakwah kami DDII yang memang mempunyai rangkaian dakwah yang cukup luas telah menggerakkan jentera mereka. Semua pimpinan dan sukarelawan daie mereka diseluruh pelusuk JATIM telah dijemput hadir.

Program yang sepatutnya diadakan di Kompleks Haji terpaksa dipindahkan ke Gedung Dakwah Al Hilal. Dewan ini baru sahaja siap dan prasarananya juga agak terbatas. Cuaca agak panas dan kipas hanya ada 2 ditengah syiling dewan. Kami difahamkan dewan ini baru pertama kali digunakan untuk program seminar ini.Nasib baik sistem pembesar
suaranya sangat baik dan dapat menyembunyikan kelemahan-kelemahan yang ada.

Semoga program yang amat baik ini dapat diteruskan dan dikongsikan bersama rakan-rakan dan semua masyarakat Islam di Malaysia.

Isnin, 27 September 2010

Dinar Emas Wak Punya

Baru-baru ini selepas kerajaan Kelantan melancarkan Dinar Kelantan, Wak cuba mengambil tahu tentang perkembangan Dinar Emas. Wak terkejut kerana rupa-rupanya dalam alam siber, ramai orang yang sudah mula berjinak-jinak dengan Dinar Emas.Banyak blog-blog persendirian dan syarikat yang menceritakan pengalaman dan usaha masing-masing sejak menjadi saudagar emas.

Harga emas hari ini dan akan datang dijangka terus stabil dan meningkat. Wak semakin ghairah untuk mencari lebih banyak maklumat tentang urus niaga emas. Semakin lama Wak merayau-rayau dan bertandang dari satu blog ke satu blog Wak semakin mendapat pencerahan. Hasrat Wak untuk mendapat Dinar semakin menjadi-jadi cuma masalahnya macam mana nak dapatkan duit untuk membeli Dinar?

Wak cuba kumpulkan duit-duit dibawah bantal dan dicelah-celah belebas untuk mencukupkan modal untuk menjadi saudagar emas. Alhamdulillah selepas Hariraya ini rezeki Wak makin dipermudahkan dan diperluaskan oleh Allah. Doa Wak semakin mendapat perhatian dan perkenan Allah SWT.

Baru-baru ini Wak ajak mertua Wak untuk membuat nilaian pusaka emas yang dia ada di Ar Rahnu Agro Bank. Selepas dinilai dan dijumlahkan nilainya begitu mengejutkan. Pada mulanya dia hanya menyangka akan mendapat sekitar Rm8k sahaja tetapi kerana nilai emas yang meningkat, dia mendapat Rm14k hasil gadaian barang kemasnya. Untuk makumat, Ar Rahnu memberikan 70% dari nilai Marhun!

Dengan duit tunai yang banyak itu dia mula memberi Dinar emas dan jongkong emas sebagai satu pelaburan memandangkan harganya yang stabil dan terus meningkat!

Kepada kawan-kawan yang nak membeli emas atau mendapatkan penjelasan tentang emas jangan bertangguh lagi.. telefon segera Wak 019 333 9871.

Sesi Pendengaran Awam rang Undang-undang Kebebasan Maklumat

Hari ini wak diundang oleh Jawatankuasa Rang Undang-undang enakmen Kebebasan Maklumat Negeri Selangor. Tujuan program tersebut ialah untuk mendengar maklum balas dari masyarakat awam tentang rang undang-undang yang dibentangkan.

Seramai 13 NGO telah diundang untuk menyatakan pandangan masing-masing terhadap enakmen tersebut. selain ABIM turut diundang ialah JIM, IKRAM, PUM, MAPPIM dan beberapa NGO bukan Islam. Terdapat 6 NGO tidak menghantar wakil termasuk PKPIM dan PPIM.

Pengerusi Jawatankuasa YB Shaari Shuib bersama AJKnya iaitu YB Hannah Yeoh, YB Nik Nazmi dan YB Amirudin Shaari hadir untuk mendengar pandangan dan komentar dari wakil-wakil NGO.

" Walaupun usaha ini akan berdepan dengan berbagai cabaran terutama dari pihak persekutuan namun satu usaha berani ini wajar diberikan sokongan"

" enakmen kebebasan maklumat bukan bermakna semua maklumat boleh diperolehi dengan mudah tetapi perlu ada beberapa batasan-batasan tertentu"

Majlis berakhir pada pukul 12.00 tengahari. Ramai wakil-wakil media yang hadir tapi Wak rasa kebanyakannya bukan dari media berbahasa Melayu.

Isnin, 30 Ogos 2010

BERSAMA BERKONGSI RASA BERKONGSI KASIH

SINAR SYAWAL @ SANDANG RAYA



Pada minggu lalu Wak diminta oleh seorang sahabat Wak yang bertugas di peringkat ABIM Pusat Sdr P. Aizan untuk mencari beberapa orang anak yatim, anak muallaf, anak fakir miskin untuk Program BERSAMA BERKONGSI RASA BERKONGSI KASIH . Mereka akan dibawa ke sebuah pasaraya mega untuk membeli kelengkapan persiapan baju raya. Mereka juga khabarnya akan dijamu dengan ‘nasi arab’ ketika waktu berbuka puasa.




Alhamdulillah pada 26 Ogos lalu, seramai 40 orang anak yatim dan anak fakir miskin muallaf telah Berjaya dibawa ke Mydin Mall di Subang Jaya. Mereka dibawa kesana dengan MPV Perodua ALZA. Keadaan mereka sungguh ceria sekali kerana dapat memilih sendiri baju baru untuk Aidilfitri nanti. Wak pun tolong sama carikan mereka pakaian yang sesuai. Kebetulan semua pakaian yang ada hanya pakaian Melayu. Kebanyakan anak muallaf yang wak bawa adalah dari keturunan Tamil. Jadilah mereka itu seperti anak-anak Melayu kerana mereka berpakaian lengkap dengan sampan dan songkok.



Hampir tiga jam kami ‘terperangkap’ dalam pasaraya tu kerana melayan ragam dan telatah anak-anak kecil memilih baju baru. Ada yang dah kepenatan terbaring atas lantai dan ada yang memanjat kaunter bayaran dan ada yang menangis. Lapar agaknya. Urusan bayaran juga agak memakan masa yang lama kerana banyak perkara yang nak dikira. Nasib baik orang tak ramai sangat. Kalau hari cuti mungkin lebih sesak dan gawat lagi.



Hampir pukul 3.30 petang kami tiba di PPW Ampang. Selepas solat zohor kami berehat dan mengambil sedikit masa untuk sesi motivasi ringan. Wak diminta oleh pihak penganjur untuk menyampaikan ‘ceramah motivasi’ untuk tempoh 15 minit kerana masa begitu dekat dengan waktu asar.

Kami bergerak ke destinasi berikutnya di wadi Hadra maut-sebuah restoran makanan arab. Ada kawan wak yang selalu tersasul menyebutnya ‘ sakratul maut’. Wak rasa makanan arab ni bukanlah hebat sangat nak dibandingkan dengan makanan Melayu. Cuma yang Wak tak boleh tahan ialah nasi mandy kambing. Memang orang kata ‘nalla reke’! Malangnya perjalanan waktu petang di Jalan Ampang memang menyeksakan! Sangat tidak mesra pengguna. Nasib baik wak tak memandu.



Malam itu kebetulan ramai sungguh yang berbuka di restoran tersebut. Tingkat bawah dan atas penuh sesak. Surau pulak kecik. Memang agak tak selesa bila bersesak ditempat sempit. Ada seorang tetamu yang sedang memegang pinggan yang penuh dengan nasi dan kuah terlanggar bahu wak.Nasib baik baju wak tak kena kuah kari. Wak cadang untuk program yang akan datang, elok panggil mereka datang ke tempat lain yang lebih selesa. Wak dapat maklumat risikan bahawa di Seksyen 7 Shah Alam pun dah ada Arab Café yang menawarkan nasi Mandy yang lebih power. Disana tiada jalan yang sesak dan ruang yang lebih luas dan selesa.

Selepas tersandar kekenyangan dan keletihan kami pun berangkat balik. Sepanjang hari wak bersama mereka banyak perkara baru yang Wak pelajari. Wak kesian juga dengan anak-anak kecil yang terpaksa menempuh perjalanan panjang dan meletihkan. Wak yakin perkara tersebut dapat difikirkan semula kelancarannya untuk masa akan datang. Wak hargai kesabaran semua sukarelawan yang bertugas terutama Daie Muda Umar yang mengemudikan Toyota Unser menempuh kesesakan kotaraya Kuala Lumpur.

Wak berterima kasih kepada semua pihak yang menaja dan menjayakan program ini. Terima kasih juga kepada pihak penganjur yang mempelawa Wak untuk join program ni. Kami sampai di Klang pukul 10.00 malam dan semua orang telah ketiduran di sofa MPV Citroen dengan nyenyak sekali.

Khamis, 29 Julai 2010



baru-baru ini wak dikejut dengan satu berita kematian. Sejak petang wak menerima banyak mesej sms dan panggilan telefon dari rakan-rakan untuk mengesahkan berita tersebut. Ramai yang bertanyakan perkembangan terkini.

ketika pertama kali wak terima berita sahabat wak sedang nazak di Hospital Serdang. Lepas Maghrib wak hantar sms kepada teman-teman lama untuk mendoakan keselamatan dan kesejateraannya. Selepas sejam wak terima sms bahawa dia dah meninggal.Innalillah ...

Begitu cepat masa berlalu. Tidak sempat untuk mengirim pesan dan segala urusan. Apabila sudah sampai ajal, malaikat memang tidak akan menunggu walaupun sesaat. Esoknya Wak pergi berziarah untuk takziah dengan seorang rakan seperguruan, Wak Rumijam.

menurut ceritanya dia terpaksa parkir kereta ditepi jalan kerana sakit kepala sekitar waktu lepas maghrib. Ketika polis peronda menemuinya pukul 1.00 pagi semua barangan peribadi dan dompet telah lesap dikebas orang. Keadaannya ketika itu sangat kritikal kerana dipercayai darah tingginya telah menerobos ke otak.

Sipencerita menambah, 'katanya dia ada makan durian??" Durian bahaya untuk pesakit darah tinggi ke?Wak pun tak pasti.

Wak turut tumpang bersedih.Wak telah kehilangan seorang sahabat yang telah menjadi teman seperguruan sejak tingkatan 4 hingga tamat universiti. Wak turut simpati dengan nasib 7 orang zuriat yang ditinggal itu masih kecil dan akan menghadapi kehidupan penuh cabaran.

Kejadian ini merupakan pelajaran penting untuk diri Wak sendiri dan semua yang masih hidup. Tiada yang kekal didunia ini kerana dunia hanyalah pinjaman.setiap yang dipinjam akan dipulangkan.

Selamat Jalan Sahabatku...Ustaz Amin Husin...Semoga roh dan jasadmu ditempatkan bersama para syuhada' dan salihin.Amin.




wak sempat merakamkan kenangan dengan sahabat lama yang datang berziarah

xpdc Ilmu ke Pulau Tali Kail, Tasik Temenggur, Perak

Catatan Pengembaraan






Destinasi : 20-23 Julai 2010. Tasik Temenggur, Pulau Talikail

Ketika teman perunding menelefon aku untuk membantunya mengendalikan program di Gerik aku terus bersetuju.Kebetulan aku pun ada kelapangan dan tidak ada program. Peserta kali ini adalah Kakitangan kewangan Negeri Perak dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak seramai 40 orang. Ketua rombongan ialah En Nordin Bin Mat, Penolong
Pegawai Kewangan Negeri Perak.

Aku dan Pakdin bertolak sehari awal untuk memudahkan persiapan. Kami bermalam diRumah Rehat Lenggung.Kami bertolak pukul 4.00 petang dan tiba di Rumah rehat sekitar pukul 8.30 malam. Sepanjang jalan hujan turun dengan lebat. Beberapa kejadian kemalangan berlaku disepanjang lebuhraya PLUS.Kebanyakannya kemalangan sendiri kerana kenderaan tidak dapat dikawal. Ada yang melanggar penghadang jalan dan ada yang melanggar kereta pemandu lain.

Aku pun memandu dengan berhati-hati sekali.Mulanya aku tak perasan kelajuan kereta yang aku pandu dah cecah 150Kmj kerana meternya tak berapa betul. Nasib baik masa melalui sekatan jalanraya tak kena tahan.Patutlah ramai pemandu yang menyala-nyalakan lampu menandakan ada ‘road block’.

Kebetulan tempat penginapan kami berhampiran restoran.Kami pun terus masuk dan memesan makanan. Malangnya makanan yang dipesan mengambil masa yang sangat lama untuk sampai. Nasib baik makanan yang dimasak sedap, kalau tidak tension kami naik berganda. Bersabarlah.

Menuju ke Tasik Temenggur

Orang selalu menyebutnya sebagai Tasik Banding. Sebenarnya ialah Tasik Temenggur dan Disitulah terletaknya Pulau Banding. Disini juga terletaknya empangan Temenggur. Menurut Pemandu feri, kedalaman air tasik ini lebih dari 200 kaki. Kawasan hutan simpan ini terletaknya Taman Negara Belum yang kaya dengan khazanah warisan berjuta tahun. Menurut ceritanya di Lembah Belum ini ada tersimpan kekayaan sumber alam seperti timah dan emas. Kalau betul cerita ini, beruntunglah negeri Perak. Nama negerinya saja sudah Perak.Hasil mahsulnya pulak bijih dan emas. Kaya kita chor!



Perjalanan dari Lenggung ke Gerik lebih kurang sejam dan dari Gerik ke Empangan Temenggur lebih kurang 50km.Perjalanan mengambil masa sejam juga kerana laluan yang agak berliku dan berbukit. Kami tiba dijeti pada pukul 11.30 pagi. Cuaca agak baik dan cerah tetapi berkabus.



Pukul 12.3o tengahari kami mula bertolak. Perjalanan kami ke Kem Pulau Talikail dengan menaiki feri milik Jabatan Hutan. Beberapa orang pegawai menaiki bot laju yang hanya mengambil masa 10 minit sahaja. Reka bentuk feri seperti rumah rakit dan muat untuk 40-50 orang. Perjalanan mengambil masa 60 minit. Suasana tenang dan nyaman. Udara bersih dan segar.Awan dan kabut menghiasi alam rimba diwaktu pagi. Angin lembut bertiup sepoi-sepoi bahasa.



Pohon-pohon seraya sedang berkembang. Kelihatan bunga putih seraya seperti kobis bunga dicelah-celah rimbunan pokok-pokok balak yang lain.Memang mendamaikan terutama kepada orang-orang yang datang dari Bandar seperti kami. Dalam kembara, kami diberitahu bahawa pokok seraya mempunyai nilai yang sangat tinggi dan mahal harganya.

Pemandu feri Jabatan Hutan juga pengurus kem latihan. Kami memanggilnya Cek Mat kerana dia suka membahasakan dirinya begitu.Nama sebenarnya ialah En Mohd Adham. Usianya sekitar 50an. Dia seorang lelaki yang ramah dan lembut tutur katanya. Beliau bila bergurau selalu buat muka selamba je.


Cerita Cicak Gerut


Anda pernah mendengar tentang cicak gerut? Aku pun tak pernah dengar.apa lagi melihat rupanya. Menurut cerita dari seorang pegawai Hutan, Beliau ada mendengar tentang cicak gerut ini boleh menjadi penawar kepada penyakit AIDS.Harganya dipasaran mencecah ribuan RM.Bahkan ada yang berani menawarkan hingga puluhan ribu.
Saiznya lebih besar dari cicak biasa tetapi cicak gerut boleh menggigit. Kalau tidak menggigit plastik pembalut wayar elektrik ia juga boleh mengigit jari manusia yang nakal. “Kalau nak tengok cicak gerut moh kita ke taman herba di Bidor” disitu ada dua ekor cicak gerut yang dipelihara”.

Seorang staf dijabatan hutan berkata, cicak gerut akan berbunyi apabila solat masuk waktu. Pengurus Kem pun mengesahkan cerita tersebut kerana apabila suasana sunyi dan
tidak ada kursus cicak gerut akan berbunyi di kawasan kem.

Cerita Gajah




Kawasan Gerik adalah kawasan yang banyak gajah. Disepanjang jalan terdapat tanda amaran kepada semua pemandu agar tidak membunyikan hon kenderaan atau menggunakan 'hi-beam' apabila ternampak gajah melintas jalan. Gajah sangat sensitif kepada bunyi hon dan lampu hi beam yang kadang dibuat oleh pemandu dengan tujuan untuk menghalau gajah yang melepak dijalan.

Kadang-kadang sekumpulan gajah melepak dijalan sampai 60 minit. Terpaksalah semua kenderaan menunggu walaupun terpaksa berbaris panjang. Tapi aku tak berkesempatan dapat peluang melihat kerana biasanya gajah akan melintasi jalan pada waktu pagi dan petang. Cuma yang aku Nampak hanyalah taik gajah yang bertabur dijalan.

Menurut cerita orang tempatan, gajah adalah binatang yang luarbiasa dan hebat deria rasanya. Nalurinya begitu kuat.Telinganya boleh mendengar dan memahami cercaan dan kejian manusia kepadanya. Pernah berlaku di Gerik, kebun tanaman seorang penduduk dimusnahkan oleh gajah kerana dia pernah menyalahkan gajah yang banyak membuat kemusnahan dan kerosakan. “Gajah memang tak guna. Suka merosakkan harta orang.” Kata si pemilik kebun sebelum kejadian itu berlaku.Yang peliknya hanya kebunnya sahaja yang dirosakkan dan kebun bersebelahan tidak diusik oleh gajah.

Seorang lagi rakannya menambah, dia juga pernah mendengar kisah gajah yang mengamuk dan merosakkan kereta seorang penduduk . Puncanya kerana komen dan kritikannya kepada perangai sigajah yang suka merosakkan harta benda dan tanaman. Kereta yang diletakkan dikawasan parker kenderaan rosak teruk sedangkan kereta orang lain tidak diusik. Ini yang peliknya gajah.
”Orang kata nasib baik telinga gajah besar.Dia tak Nampak badan dia yang besar.Kalau tidak mungkin dia akan jadi lebih ganas dan buas lagi” ujar Anuar sambir berseloroh.

Gajah Merosakkan Kem Pulau Talikail



Satu ketika dulu Kem Talikail tidak banyak program latihan kerana ia tidak dibuka kepada orang luar. Tanpa disangka sekumpulan gajah telah menyerang kem tersebut dan merosakkan beberapa peralatan dikem. Antara tanda yang masih ada hingga kini dan sekaligus mengesahkan kehadiran gajah tersebut ialah lubang-lubang tujahan gading gajah di dinding pentas dewan Raflesia. Bukti ini mengesahkan bahawa memang gajah boleh berenang!


Gajah Berenang


“Bukan sahaja gajah, kijang pun boleh berenang” Kata Cek Mat, Pengurus Kem Pulau Matakail. Bahkan menurut Cek Mat lagi,” semua binatang yang ada dihutan ini boleh berenang”. Beliau pernah melihat seekor kijang berenang menyeberang ke pulau. Seorang kakitangannya mengejar dengan bot dan ditebarkan jala lalu ditarik ke tebing.
Tidak hairanlah dikawasan pulau talikail banyak kesan tanah yang dibajak oleh Sibabi hutan. Mereka berenang menyeberang ke Pulau untuk mencari makanan. Tapi cerita babi berenang aku dah dengar masa aku bertugas diPulau Lumut lagi. Banyak babi hutan yang berenang dari tanah besar menyeberang ke pulau.

Inilah tanda kebesaran Allah. Kaki binatang dan lurus pun boleh digunakan untuk berenang. Badan gajah yang besar itu pun boleh terapung dan kakinya masih boleh mengayuh untuk ke seberang.bagaimana dengan manusia. Aku rasa tercabar dan terkesima seketika. Aku ada tubuh yang sihat dan akal yang lebih bijak dari binatang. Tapi masih tak dapat nak berenang.


Insiden Tragis Di Pulau


Sebelum kami masuk ke Kem, berlaku satu insiden yang menggemparkan. Seorang tentera tertembak mati diTasik Banding. Menurut cerita mereka seramai lima orang keluar berburu dihutan berhampiran.kejadian berlaku sekitar pukul empat pagi . Mangsa yang tertembak memakai lampu suluh dikepala. Rakannya yang sedang ghairah memburu mungkin menyangka lampu suluh tersebut adalah sasaran yang dinanti-nantikan kerana peluru tembakan tepat mengenai kepala mangsa. Begitulah berakhirnya satu tragedi yang menyayat hati.

Tetapi media memaparkan bahawa mangsa mati ketika sedang meronda!
Menurut situkang cerita itu, mereka seramai 14 orang sebenarnya diarahkan untuk membantu memasak dan menjadi fasilitator untuk program motivasi yang dianjurkan oleh seorang bekas tentera berpangkat kolonel. Dia telah meminta kerjasama rakan-rakan lama dalam tentera untuk menggunakan kemudahan tentera seperti bot dan peralatan memasak dan PA sistem. Selepas kejadian tersebut mereka telah diarahkan balik semula ke kem untuk siasatan! Senjata berburu yang digunakan terus dibuang ke dalam tasik. Nasib baik senapang patah buatan sendiri. Kalau tidak tentu kena hukuman yang lebih berat lagi. Menurut undang-undang tentera, “satu peluru boleh kena tahanan 90 hari!” Penyelam-penyelam yang cuba mencari gagal menemui senjata tersebut kerana selut yang tebal dan banyak kayu yang berselerak didasar tasik.

begitulah ceritanya.



Foto ini dirakamkan dari menara pandang dipuncak tertinggi di Pulau ini.



Permandangan di kawasan pulau ini memang cantik dan terserlah tanda kebesaran Allah. Tapi hanya orang yang tahu tentang fungsi setiap ciptaan Allah sahaja yang tahu mensyukuri nikmatNya. Banyak kawasan-kawasan hutan yang sudah ditebang untuk dimajukan. tetapi setelah semua kayu balak dipunggah keluar, projek yang diwar-war itu tidak juga mula. duit telah bertukar tangan dan hutan telah menjadi padang jarak. Tunggulah 100 tahun lagi untuk menunggu pokok yang baru mengganti hutan dara yang telah ternoda!



Lori-lori balak bertali arus dengan muatan kayu-kayu untuk kita!?

Jumaat, 2 Julai 2010

Promosi Istimewa


untuk mereka yang ingin mendapatkan khidmat beliau bolehlah datang ke premis yang dinyatakan. Kalau bukan kita yang membantu mereka siapa lagi? Kalau bukan sekarang kita bertindak, bila lagi???

Khamis, 1 Julai 2010

Sulitnya Mempertahankan Iman

Apa khabar semua? Syukur al hamdulillah…Wak sihat dan ceria. Cuma sejak kebelakangan ini banyak urusan dan tugasan. Tak sempat nak mencatat walaupun banyak perkara yang berlaku. Wak mula mencatat kerana nak berkongsi dengan orang lain. Wak juga rasa elok kalau semua orang dapat mencatat dan berkongsi cerita dan pengalaman. Ini kerana banyak perkara yang berlaku sebenarnya boleh dijadikan sumber pelajaran dan iktibar.

“Belajarlah dari pengalaman hidupmu tetapi lebih baik belajar dari pengalaman orang lain” kata seorang ahli hikmah. Disini Wak nak mencatat beberapa perkara berkaitan dengan pengalaman Wak dalam lapangan dakwah. “Menurut ilmu dakwah, yang dikatan dakwah itu ialah mengajak orang masuk Islam. Kalau mengajar dan mendidik orang yang sudah Islam itu namanya tarbiyyah” kata naqib yang mengajar wak dalam usrah. Kali ini wak nak kongsi kisah benar seorang saudara kita antara yang terbaik dikalangan kita.

Cerita 1
Saudara Y masuk Islam lima tahun yang lalu. Beliau berkahwin dengan seorang wanita India Hindu dan mempunyai 4 orang anak. Kemudian berpisah dan berkahwin pula dengan seorang wanita Muslim. Y telah mempelajari Islam dalam kursus-kursus anjuran MAIS dan pernah diangkat menjadi peserta terbaik.

Bapa Y adalah seorang Hindu dan menjadi AJK kuil Hindu yang terbesar di KL. Dia juga banyak mendapat asuhan dari keluarganya tentang selok belok agama Hindu dan mahir membaca kitab Veda. Beliau mahir berbahasa Inggeris dan mempunyai azam yang tinggi untuk mengubah hidup menjadi insan beriman dan Berjaya. Sejak memeluk Islam beliau telah ‘dibuang’ oleh ahli keluarganya.

Banyak masalah keluarga yang kecil menjadi isu besar yang menyebabkan berlaku pergaduhan dan perbalahan besar. Akhirnya isterinya melarikan diri dan dibawa oleh seorang rakannya ke Darul Wardah.

Sejak kebelakangan ini beliau sentiasa mendapat tekanan dari keluarganya terutama abang-abang kandungnya sendiri. Isu besar biasanya berkaitan kewangan tetapi berkaitan dengan hal agama pilihan. Memandangkan Y sendiri sedang bergelut untuk menyara keluarganya sendiri seramai 5 orang itu mereka sentiasa meminta yang bukan-bukan.

Y hampir bergaduh dengan abang-abangnya kerana mereka mula mengaitkan Islam dalam konflik mereka.” Inilah sikap orang Islam, tidak menepati janji” Kata abangnya ketika mereka meminta wang yang dijanjikan. Memandangkan Bisnes ‘Car wash & Polish’ yang diusahakannya kini sedang menghadapi masalah, dia memang dapat melunaskan hutang lamanya.

Projek Cuci dan Gilap

Semasa mula-mula berpindah ke tempat baru, wak usahakan mencari kerja untuk Y mencari nafkah. Kerja yang ada hanyalah sebagai sekuriti disebuah sekolah. Kerja 7 pagi – 7 malam. Y tiada pilihan dan menerima kerja tersebut. Pihak Darwa meminjamkan basikal yang disumbangkan oleh pihak Universiti Malaya kepadanya. Selepas beberapa bulan bekerja Y mengadu dia tidak dapat menunaikan solat jumaat kerana terikat dengan masa kerja. Wak rasa kerja sekuriti kurang sesuai dengan karektor Y yang suka bergerak dan bekerja dengan cabaran.

Y cuba mencari kerja lain tetapi kebanyakannya tidak kekal lama dan akhirnya beliau memilih untuk mengusahakan Pusat Cuci dan Gilap.
Projek tersebut diusahakan bersama dengan seorang rakan baru bernam R yang telah 7 tahun memeluk Islam. Mereka mengambil alih satu kedai cuci kereta yang telah terabai dan mereka berazam untuk memajukan semula. Y sangat meminati kerja tersebut dan ada pengalaman dalam kerja cuci kenderaan. Selepas beberapa bulan berjalan dengan lancer, timbul masalah dan fitnah yang akhirnya mereka terpaksa menutup bisnes yang sedang berkembang maju.

Wak cuba membantu untuk mencari tapak baru. Mereka dapat satu premis yang strategic namun disaat akhir tuan premis membatalkan persetujuan kerana sebab-sebab yang tak masuk akal. Wak cuba tanyakan beberapa pihak dan akhirnya dapat lokasi berhampiran tapak pasar milik masjid. Tuan Nazir telah bersetuju. Y menghadapi masalah modal dan Dia mengajukan permohonan ke MAIS. Sekarang 3 bulan telah berlalu. “Masih dalam proses” kata seorang pegawai zakat .

menurut cerita pengalaman pemohon lain, 3 bulan itu dikira cepat! Hairan juga. Dalam dunia moden ICT ni pun masih macam zaman Pak Kaduk lagi. Tak tahulah. Mungkin kerja terlalu banyak dan berlambak atau mungkin pegawai terlalu lembab! Kawan wak kata ;“ agaknya mereka banyak buat kerja lain.Maklumlah duduk atas duit”.
Wak cuba minta bantuan kawan-kawan. Wang yang terkumpul masih tidak mencukupi tapi boleh lah untuk mula beroperasi.

Oleh kerana modal yang sangat minima, mereka sentiasa berdepan dengan cabaran besar. Kebetulan pulak, banyak pusat mencuci tumbuh di setiap lorong jalan. Yang peliknya, sebelum ini tak ada pulak. Kadang-kadang tidak ada langsung kereta atau motorsikal yang nak dicuci. Y kadang mengadu kesukaran untuk membeli keperluan keluarga terutama susu untuk anak kecilnya. Kalau kehabisan beras mereka akan makan gandum. Kadang-kadang tiada gas untuk memasak, nasib baik ada rice cooker lama yang boleh digunakan untuk memasak bubur buat lima orang anak-anak kecil. Sumbangan bulanan Rm400 dari LZS memang tidak mencukupi kerana kadang tuntutan ‘kasih sayang ibu’ terpaksa diutamakan.

Pihak Darwa memang sentiasa menghulurkan bantuan tetapi siapalah yang sanggup sentiasa ‘ memalukan diri’ dengan meminta-minta kerana maruah diri perlu dijaga.
Baru-baru ini Kain rentang yang dipasang dipinggir jalan dikerat dua. Wak tak tau perbuatan siapa tapi jelas perbuatan khianat dan sabotaj. Wak sedih kerana perkara ini berlaku di kawasan majoriti masyarakat Melayu Islam.

Berkali-kali wak cuba sabarkan Y. Kadang-kadang Y jadi keliru dengan dirinya sebagai seorang muslim. Agama Islam yang dipelajarinya sangat indah dan menarik hatinya. Darjatnya telah diangkat menjadi insan pilihan Allah kerana Iman dan takwanya. Tetapi manusia yang berhati busuk bikinan iblis dan syaitan sentiasa memusuhi orang-orang mukmin yang bertakwa. Percayalah wahai sahabatku, setiap kesukaran ada kesenangan.Ini adalah janji Allah.


Tugas kita

Sebagai seorang muslim kita wajib membantu saudara kita yang lain. Pesan Ar Rasul, “ Kamu Tidak beriman jika kamu tidak mengasihi saudara Islam mu yang lain macam kamu kasihkan dirimu sendiri”.Justeru inilah masanya untuk kita berbakti. Inilah ruangnya untuk kita membuat amal dan kebaktian.

Keutamaan adalah untuk membantu menyelamatkan saudara kita ini yang sedang bergelut untuk mempertahankan Iman dan keutuhan keluarga. Mana saudara-saudaraku yang budiman dan dermawan! Mana sahabat-sahabatku yang menjadi daie dan aktivis unggulan! Inilah peluang kita untuk membina mahligai di Syurga. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Ayuhlah teman-teman semua, kita singsingkan lengan kita turun kelapangan. Kita turun dari bilik pertapaan kita dan lihatlah nasib umat. Ingatlah bahawa “Air yang dibawa oleh sang burung untuk memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan memadamkan api yang marak tetapi sekurang-kurangya siburung itu sudah ada jawapan dihadapan Allah nanti” Anda bagaimana?

Cerita 2 …bersambung

Sabtu, 22 Mei 2010

Feqh Daulah Dibicarakan

Diatas meja tulis ada sekeping kad jemputan. Wak tengok dari logo dikepala kad ada logo JAIS. Rupanya undangan menghadiri kelas pengajian berkitab di Rumah YAB Dato’ Menteri Besar. Kitab yang dibedah ialah Kitab Feqh Daulah karangan Prof. Dr Yusof Al Qaradawi.

Ulama’ yang diundang untuk mengupas kitab tersebut ialah YBhg. Dato’ Hashim Yahya, mantan Mufti Wilayah Persekutuan dan Pensyarah di Universiti Malaya. Wak rasa teringin nak ikut serta kelas tersebut. Sebabnya, Wak pun diminta oleh Nazir Masjid An Naim untuk mengupas kitab tersebut.

Setakat ni dah siri yang ke 4. Al hamdulillah ada yang mendengar. Tapi wak rasa penerangan yang wak beri tak cukup mantap. Wak perlukan idea baru untuk menerang dan menjelaskan idea gagasan negara yang diinginkan oleh umat dengan teknik dan bahasa yang lebih mudah.

Wak ajak dua orang pembantu wak untuk turut serta dalam majlis ilmu tersebut. Ketika kami sampai imam baru dirakaat pertama. Wak tengok ramai yang hadir berkopiah putih. Ada juga yang bersongkok hitam.Tapi tidak ada yang bersongkok tinggi. Orang-orang Besar Daerah dan pegawai kerajaan pun ramai yang hadir tapi tak ramai YB yang kelihatan. Mungkin sebok dengan urusan rakyat dikawasan.

Dato’ Hashim tidak hadir dan diganti dengan Ustaz Roslan Muhammad. Pengerusi memanggilnya dengan gelar Doktor. Mungkin dah selesai PHD agaknya. Setiap peserta dibekalkan dengan buku Feqh Daulah terjemahan Dr Juanda Jaya( sekarang menjadi Muti Negeri Perlis ). Wak pun ada bawa kitab tersebut tetapi terjemahan Ustaz Arsil Ibrahim. Menurut Dr Roslan, dia dah baca buku Feq Daulah terbitan ABIM sejak 1998. Dia kita penterjemahnya lebih fokus. Wak punya terbitan syarikat Blue T. Entahlah. Wak pun tak sempat nak buat perbandingan.

Dr Roslan mengupas kitab tersebut dengan kupasan yang lebih menyeluruh. Bagi pendengar yang dah biasa mengikuti seminar dan membaca buku berat seperti ini tidak ada masalah. Agak susah juga bagi murid yang tidak membaca kitab tersebut terlebih dahulu. Wak tengok ramai yang tak fokus pada kitab tetapi lebih selesa memasang telinga sahaja. Yang lebih fokus mungkin kena memejam-mejamkan mata sambil mengangguk-angguk tanda setuju.Tidak seperti Tok Guru Pondok yang mengupas sebaris demi sebaris.Selembar demi selembar. Kadang-kadang baris ayat Quran dan hadis yang kurang jelas pun dapat dibetulkan.

Sebelum jam 9.00 Tuanguru sudah mula mendarat. Ramai yang nampak segar dan menggerak-gerakkan badan. Penat belajar lah katakan. Yang hebatnya, tidak ramai ( baca : tiada ) dikalangan mereka yang membawa buku nota atau pen untuk mencatat. Ini membuktikan bahawa mereka memang mempunyai daya ingatan dan daya serapan yang baik dan hebat. Atau mungkin memang mereka jenis pelajar yang malas membawa buku ke kelas. Entahlah. Mereka hadir pun dah kira cukup baik sangat tu.Jauh lagilah nampaknya nak tegak daulah..