Selasa, 15 April 2014

BERTEMU ABI FARHAT MTS


Abi Farhat ( berbaju leher bulat putih ) merakamkan gambar kenangan sebelum kami berangkat balik.

Dalam grup kami ada seorang lelaki muda keturunan Turki. Kami berada di hotel yang sama. Beliau adalah Abi Farhat,  Ketua Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Turki bahagian Asia Tenggara. Maahad yang berpengkalan di Turki ini mempunyai Pejabat untuk Rantau Asia Tengara iaitu di Jakarta.Maahad  ini mempunyai 6000 cawangan di seluruh dunia. Di Malaysia sudah ada 5 cawangan yang berpusat di Kg Teras Jernang, Bangi. Kebetulan anak aku pun ada di MTS ni. jika ada yang berminat nak mengetahui lebih lanjut tentang MTS ni, bolehlah datang ke MTS Bangi...

Beliau datang ke Makassar dalam rangka menubuhkan cawangan MTS di sini. Kami dimaklumkan kemudiannya bahawa beliau telah berjaya menemui seorang jutawan yang sedia untuk mewakafkan bangunannya untuk dijadikan asrama tahfiz di sini. Orang kaya ini memang terkenal di sini kerana mempunyai banyak rangkaian niaga yang besar dan merata. Cumanya dia tidak masuk partai politik.

Alhamdulillah, kami doakan semoga misi saudara akan terus mara dan berjaya.



IKAN ASIN MAKASSAR


Kita sedia maklum, bahawa Sulawesi adalah sebuah pulau yang besar dan bentuknya melingkar seperti sesungut sotong. Kebanyakan penduduknya tinggal di tepi laut dan bekerja sebagai nelayan. Orang-orang Sulawesi, lebih tepat lagi orang-orang Makassar kebanyakannya adalah keturunan Kabilah Bugis. mereka ini terkenal dalam bidang pelayaran. Ramai yang belayar merantau jauh hingga ada yang menempati tanah baru di semenanjung Tanah Melayu. Mereka kebanyakannya juga adalah pendekar-pendekar hebat dan akhirnya ada yang menjadi raja dan pemimpin besar dis sesebuah negara yang diterokainya.

oh ya.. aku cuma nak cerita pasal ikan masin yang menjadi sebutan ahli rombongan sejak hari pertama lagi. Antara oleh-oleh yang popular juga ialah ikan asin. Oleh kerana kesuntukan masa, kami tidak sempat pergi ke pasar besar . Kami dibawa oleh pemandu kami ke satu gerai ditepi jalan yang menjual ikan asin. Cuma dia seorang aje yang jual.

Kalau di Malaysia terutamanya di kawasan pantai Marang, Terengganu, berpuluh-puluh kedai menjual produk hasil laut dipinggir-pinggir jalan. Mungkin di sini juga ada lokasi lain yang serupa  cuma kami hanya singgah gerai diperjalanan ke bandara. Ramai yang membeli kerana ikannya semua jenis besar-besar seperti kerapu, jenahak dan ikan merah. 

Ada yang membeli sampai 10 kg. “ Cenderamata untuk staf” katanya.Aku tak beli kerana ikan asin tahun lepas yang ada dirumah pun masih tak habis lagi.


Komen : Boleh beli kalau suka

Isnin, 14 April 2014

LADANG TEH, MALINO HIGLAND

  


                      Batu-batu ini dilombong untuk di jadikan sebagai binaan jalan, rumah dll

                      Ada sungai yang kering dan penuh batu-batu bulat diperjalanan menuju ke sana

yang berminat menunggang kuda, silakan ...



Kawasan ini bukanlah kawasan peranginan kerana tidak ada hotel dan chalet di sekitarnya. Ia bukan tumpuan utama pelancong. Namun begitu, kawasan ini dibuka kepada orang ramai untuk menikmati udara dingin dan segar sambil melihat permandangan indah dari tanah tinggi tanpa perlu berpenat lelah mendaki.

Sebelum kami masuk ke ladang Teh, kami perlu membeli tiket berharga Rp50k ( RM15 )seorang. Oleh kerana kami ingin tahu keistimewaan ladang teh ini, maka kami pun bersetuju untuk masuk , malangnya, kami hanya dapat menikmati udara dan permandangan ladang teh sahaja. Kebetulan atau memang disuruh oleh majikan, beberapa orang pekerja sedang membersihkan kebun the dikawasan tempat kunjungan pelancong. Ketika itu, hanya rombongan kami sahaja yang datang kesitu. Mungkin sebab hari itu bukan hari libur, jadi mereka berada disekolah atau ditempat kerja.

Sebelum balik kami dibawa ke Rumah rehat untuk menikmati minuman teh panas dari pucuk muda. Kami diberitahu bahawa, pengurus ladang itu adalah teman jurupandu kami jadi dia mengajak minum tehnya. Tempatnya sangat sederhana. Diruangan dewan itu disediakan meja dan kerusi untuk kami menikmati teh panas Malino yang katanya popular dan dieksport ke luar Negara terutama Negara Jepun.
Sementara kami menunggu teh disediakan, kami bersantai sambil mengambil gambar dan berbual-bual dengan anggota rombongan. Teh pucuk muda ni biasanya dihidangkan tanpa gula. Baunya juga tidak seperti teh yang kita nikmati dirumah yang sudah dicampur berbagai perasa dan aroma. Perlu dicatat disini bahawa , rasa dan aroma teh pucuk muda ini  tidaklah ‘mengghairahkan’ kecuali kepada peminat tegar teh.

Komen : kalau belum pernah kemari, elok juga luangkan masa ke sini.


Kami duduk bersantai sambil menikmati permandangan indah dikawasan pergunungan yang di selimuti kabus.

Kebetulan hujan gerimis menambahkan lagi kedinginan dan kabus tebal di kawasan ini.

Gambar : Sdr Onn Abu Bakar adalah seorang Perunding Latihan dalam bidang binaan dan infrastuktur sedang merenung ke satu arah yang nyaman nampaknya...


MENJADI TAMU WALIKOTA MAKASSAR

MENJADI TAMU PEMERINTAH WALIKOTA MAKASSAR

Kami hanya sempat meletakkan bag sahaja kerana kami ada temujanji dengan Walikota pada jam 7.30 malam. Kata Pak Yudi, ini acara rasmi. Harus tampil dengan pakaian asli budaya Bugis. Kami diberikan sehelai kain songket dan songkok tradisi Bugis. Agak lucu juga bila berpakaian begitu. Tak apalah, sesekali bagus juga dapat  menikmati budaya dan merasai pengalaman kehidupan adat resam orang lain. Kami bergambar dan beraksi bebas untuk menghiburkan hati dan tubuh yang keletihan. 


                             Ahli rombongan sedang masuk ke Balai Walikota Makassar






Ahli rombongan wanita turut dipakaikan kain bercorak kotak-kotak dan berwarna-warni
diserikan pula dengan tiara di kepala...macam pengantin lah pulak..

Sementara menunggu majlis bermula, masing-masing sebok membuat audit hp masing-masing

ANUGERAH DAENG NAKKU

Malam keraian dan sambutan untuk Delegasi Malaysia dimulakan dengan tarian sambut tetamu dan nyanyian dari empat etnik – Garang, Bulo, Ferry dan Curtis sambil menikmati juadah makan malam ala Bugis . Pada aku sedap lah walaupun ini kali pertama aku menikmatinya. Dengan perut lapar kami menikmatinya dengan tekun dan bersungguh-sungguh.

Tn Hj Shahar Mat Din, Timbalan Presiden DPIM sedang menyampaikan 
kata-kata sambutan mewakili rombongan DPIM 

Selepas makan dan kenyang, lebih tepat lagi , kekenyangan kami dimaklumkan bahawa sahabat kami Tuan Hj Hanafi Husin dianugerahkan pingat kebesaran Makassar yang membawa gelaran DAENG NAKKU yang bermaksud orang yang dirindukan. Kami difahamkan bahawa pingat ini jarang diberikan kepada individu dan kadang hanya seorang sahaja penerima pada tahun tertentu, bahkan kadang-kadang tidak ada langsung.

Anugerah ini diberikan atas sumbangannya dalam menjayakan program-program pendidikan untuk rakyat Makassar melalui pertubuhan NGO GMGM ( Gerakan Makasar Gemar Membaca ). Semoga pengiktirafan dan anugerah ini menjadi jambatan persahabatan yang lebih baik antara usahawan Malaysia dan Usahawan Makassar untuk masa depan. Sebagai kawan, aku turut merasa bangga dan tersanjung dengan pengiktirafan seumpama ini sebagai simbol ukhuwwah dan persahabatan.

XPDC MENINJAU LAPANGAN PENDIDIKAN

XPDC MENINJAU LAPANGAN PENDIDIKAN

Program kami dipenuhi dengan lawatan ke institusi pendidikan di sini. Antaranya ialah SMA dan SMKN5 kejuruan ( Sekolah Teknik ) yang menjadi sekolah terbaik di Makassar. Kami banyak mendengar taklimat berkenaan sekolah dan beberapa pertanyaan dan respon dari peserta rombongan. Oleh kerana aku ada tugas-tugas khas tambahan, jadi aku kurang fokus dengan apa yang disampaikan. Soalan-soalan yang dilontarkan oleh peserta agak kritis dan memerlukan penanggapan yang cermat terutamanya yang berkaitan dengan isu ekonomi dan pendidikan.




Bersama rombongan kami ada seorang pemuzik dan penyanyi GMGM yang katanya antara 50 pencipta lagu terbaik Indonesia. Mas Ferry namanya. Bersama gitarnya beliau mula mendendangkan lagu popularnya :
aga kareba..sebagai seorang trainer motivasi Mas Ferry memang pandai membawa penonton ikut sama menyanyi dan bergerak mengikut rentaknya. Gayanya yang bersahaja dan wajahnya yang tampan,sangat mudah untuknya menyedut sejumlah peminat.

" Aga kareba? bermakna apa khabar dalam bahasa Makassar@Bugis. Untuk menjawabnya ada dua versi, Versi Makassar : "Baji-baji" dan versi Bugis : "Madeceng" yang bermakna khabar baik.



.

guru-guru dan semua murid merasa segar dan kembali ceria dengan lagu dan refresh dari Mas Ferry..chub..chub..chub..chub..chub..chub.ooo yeahh!!

PAPPARAZI

PAPPARAZI

Jam 10 malam – majlis selesai dan kami keluar dari balai keraian pejabat walikota. Di tepi laluan kelihatan jurugambar yang mengambil gambar-gambar kami semasa di hotel telah siap memprosesnya dan mempamerkannya dengan tulisan tarikh dan program dibawahnya. Cepat betul mereka bekerja. Gambar-gambar yang dihasilkan juga sangat cantik dan professional.

Walaupun harga yang ditawarkan agak mahal, Rp50 ( Rm15 ) sekeping berukuran saiz 10”x5” namun ramai juga yang membelinya. “Untuk kenang-kenangan datang bertamu ke Makassar” – Kata Mak Jemah yang turut mengikuti rombongan kami. Pada mulanya aku agak keberatan juga kerana harganya tetapi akhirnya akur dengan kehendak hati aku. Ia sebagai tanda ingatan supaya aku lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Kerjaya jurugambar seperti ini atau  Papparazi memang popular di Indonesia dan Thailand.  Mereka memang menunggu di lokasi-lokasi tumpuan pelancong. Biasanya mereka akan menunggu di hotel-hotel tempat pelancong menginap. Di Malaysia aku belun pernah nampak lagi. Tak taulah kalau ada sebab aku pun jarang sangat merayau di lokasi pelancongan di Malaysia.

pada hari akhir, sebelum kami berangkat balik, harganya diturunkan kepada Rp30K ( RM9.00 ). Jadi kepada teman-teman yang inginkan harga yang lebih murah, belilah pada hari akhir. Pasti dapat harga runtuh. hihihi.


TUDANG PAMULUNG 1 : MAHASISWA BERTANYA PENGUSAHA MALAYSIA MENJAWAB

TUDANG SIPULUNG 1 :
MAHASISWA BERTANYA PENGUSAHA MALAYSIA MENJAWAB


                  Timbalan Presiden DPIM Tuan Hj shahar menyampaikan kata-kata sambutan

Sebelah petangnya kami mengunjungi Universiti Muslim Indonesia ( UMI ) . Ia adalah sebuah universiti swasta tetapi mempunyai kapasiti siswa yang ramai, kawasan yang besar dan luas. Jumlah siswanya menjangkau 22,000 orang dan banyak maklumat lain yang disampaikan oleh Rektor Universiti tetapi kebanyak info yang disampaikan aku tak dapat ingat semuanya kerana tidak mencatat .Selain dari cuaca yang panas dan dewan yang penuh dengan peserta ia menjadikan ramai yang mengantuk dan kurang fokus.


Program selama 2 jam itu dibahagikan kepada 2 sesi. Sesi pertama  diisi dengan nyanyian lagu kebangsaan Indonesia dan tarian sambut tetamu oleh siswa-siswi UMI. Kali ini siswinya lebih sopan dan menutup aurat. Kemudian diikuti dengan ucapan-ucapan dari wakil tuan rumah dan tetamu rombongan. Sesi ke dua diisi pula dengan forum SISWA BERTANYA DAN PENGUSAHA MALAYSIA MENJAWAB. Sesi ini diisi oleh 2  orang wakil Malaysia iaitu Tn Hj Shahar ( Timabalan Presiden DPIM ) dan Tn Hj Khanafi ( Ketua Biro Usahawan Muda DPIM ) dan seorang dari  Sdr . Moderator Forum ialah Dr Wachyudi Muchsin, Ketua GMGM.

Sesi forum selama 60 minit itu juga dibahagikan kepada 2 segmen. Segmen pertama Moderator forum yang bertanya kepada panelis dan segmen kedua giliran peserta melontar pertanyaan kepada anggota penel di  atas panggung. Seperti biasa, siswa dan siswi Indonesia sentiasa petah berbicara. Dimana sahaja ada ruang dan peluang , biasanya rakyat Indonesia akan bangkit dan bersuara, berbeza dengan rakyat Malaysia. Lebih suka mendengar dan memerhatikan berbanding bercakap dan bersuara.

               Kenangan bersama Tudang Sipulung di UMI - Universiti Muslim Makassar

                              Anak-anak murid perguruan Nasrul Haq pasti mengenali siapa orang ini ?

KANTOR HARIAN FAJAR

SINGGAH DI KANTOR AKHBAR HARIAN FAJAR

Program kunjungan kami ini banyak mendapat liputan dari surat khabar Harian Fajar. Sejak sebelum kami tiba lagi, berita tentang kedatangan kami sudah disiarkan diakhbar. Pegawai kastam di bandara juga sedia maklum tentang program kami. apabila dia bertanya kotak-kotak yang kami bawa, “ Untuk program bersama wali kota”. Oh ya…kelmarin saya ada baca di Koran”.

Dari jauh kelihatan perkataan FAJAR di atas sebuah bangunan tersergam tinggi milik harian fajar. Bangunan baru dan moden ini menempatkan akhbar dan majalah berpengaruh di sini dan dikatakan akhbar ke 5 terlaris di Indonesia.

Kami diberikan taklimat oleh ketua editor Harian Fajar berkenaan sejarah dan perjuangan mereka dalam dunia penulisan akhbar. Banyak soalan-soalan yang kritis dijawab dengan bebas dan terbuka oleh mereka. “Kami di sini bebas untuk menulis, tapi kalau kami menulis tentang Malaysia, kami harus hati-hati” ujarnya lagi.

Ketua editor itu yang khabarnya sedang menyiapkan PHD nya di UKM kerap berulang-alik ke Malaysia berharap dapat menyelesaikan studinya dan tidak ada kendala gara-gara tersilap lapor atau ada analisis yang menyninggung mana-mana pihak di Malaysia. 


Di dinding dewan ini terpampang lukisan besar PM Malayssia DS Najib Razak dan isteri. Nampaknya, orang Bugis berbangga dengan putera ini yang telah mengangkat nama Bugis di Tanah Seberang. Menurut ceritanya, dia berketurunan Bugis dari Kerajaan Gowa, Makassar. “Kira hebatlah juga. Merantau dari gua menuju ke Pekan ” seorang teman di sebelah berseloroh
.


              Beberapa teman merakamkan gambar kenangan bagi mengesahkan kehadiran mereka di sini

Liputan Media Akhbar harian Fajar berkenaan aktiviti kami selama di Makassar




MAKASSAR...KOTA MAKAN SEAFOOD

ANDA PENGGEMAR MAKANAN LAUT? 

Suasana Makassar di malam hari tetap meriah  terutama dikawasan tumpuan Rumah Makan yang banyak bertebaran di tepi laut. Makanan yang popular pastinya makanan laut kerana ia didatangkan segar dari laut yang melingkari kepulauan Sulawesi. Aku teringat kata-kata seorang dekan Fakulti perubatan UNHAS ( Universiti Sultan Hasanuddin ) ketika kami mengunjunginya :” Saya orang yang senang diajak jalan. Saya sudah menjelajah banyak kota diIndonesia. Makanan laut yang paling enak pastinya di Makassar”.










                               
                                           Ketam goreng di serasikan dengan kuning telur masin

               Sambal pedas yang sangat khas dan sentiasa merangsang kelazatan suapan anda

                           Minuman teh melati yang mempunyai aroma khas menjadi pilihan kami


Rumah makan pilihan untuk kami ialah : RUMAH MAKAN BAHARI. Didindingnya terpampang wajah Presiden SBY bergambar dengan pemiliknya di Rumah Makan itu sebagai tanda kehadirannya. “Biasanya, kalau presiden pun datang makan, pasti rasanya mantap!” kata orang disebelahku.
Diatas meja sudah tersedia berbagai juadah yang sungguh menyelerakan. Ada ikan bakar, udang, ketam dan berbagai jenis sambal dan sayur. Oleh kerana sudah lapar kami tidak bertangguh-tangguh lagi. 

Suasana menjadi senyap dan sepi kerana semua orang memberikan tumpuan kepada juadah yang disediakan. Sesekali kedengaran bunyi tulang ketam diratah dan bunyi suara desis kepedasan.
Malangnya aku tak boleh ingat semua nama-nama makanan yang dihidangkan kecuali goreng kangkung yang menjadi gandingan dalam set menu hidangan kami. Mungkin sebab harganya murah atau mungkin sebab memang sedap dimakan dengan makanan laut. Oleh kerana semua menu dan hidangan telah disediakan oleh pihak tuan rumah, jadi aku pun tak tau berapa harganya. Cuma, semasa bersembang dengan seorang usahawan yang kerap berulang alik ke sini, produk laut disini memang murah.



Komen : Sangat disyorkan untuk mencuba

Ahad, 13 April 2014

PESTA PEMILU INDONESIA

MUSIM PESTA PEMILU INDONESIA

Kunjungan kami ini berbetulan dengan musim pesta pemilu ( Pemilihan umum ) Indonesia. Kemeriahan sepandok dan kain rentang di sana sini dengan berbagai gaya, aksi dan slogan. Masing-masing menggunakan kreativiti dan kuasa tarikan yang tersendiri. Ada 12 partai yang bertanding untuk musim ini antaranya ialah GOLKAR, partai Demokratik, Partai NasDem, PKB,PAN, PKS, Partai Gerindra dll.


Ketua GMGM yang mengelola rombongan kami juga khabarnya adalah Calon Legislatif ( CALEG) untuk Partai NasDem. Anehnya, kami tidak jumpa pun walau satu poster dan kain rentang yang memaparkan wajahnya dan manifesto perjuangannya. “Beneran Pak Yudi ni jadi Caleg” bisik kawan yang duduk berhampiran aku. ‘Entahlah”..balasku...
                            Dr Wachyudi dan isterinya yang turut mengikuti rombongan kami

Menurut katanya, Beliau adalah seorang doktor perubatan di Hospital Ibnu Sina dan aktif dalam gerakan kemasyarakan . NGO yang di pimpinnya GMGM – Gerakan Makassar Gemar Membaca ini begitu aktif dan mempunyai lebih 200 kelab membaca di Makassar. Programnya ini merakyat disemua peringkat terutama di sekolah-sekolah, kolej dan universiti. Ternyata semua lokasi  yang kami kunjungi mengenali Pak Yudi dengan akrab sekali. Ternyata kempennya telah bermula lama dan bertahun-tahun ia menyerap dan merakyat.

Untuk nota , ahli GMGM ni dah dua kali datang ke Malaysia. Kebetulannya aku hadir dalam majlis makan malam meraikan mereka di Bangi, tapi aku tidak berkesempatan untuk bersilaturahim waktu itu.
Semasa catatan ini ditulis, Pak Yudi dilaporkan antara caleg  yang teratas dan proses kiraan undi masih berjalan.

Semoga sukses Pak Yudi! 


Antara Billboard, banner dan poster besar calon2 partai yang bertanding di PEMILU Indonesia