Selasa, 18 September 2012

Virus Wabak Rasuah Merebak

Dua hari yang lalu, jiran Wak baru selesai membina rumahnya yang cantik. Keliling rumah telah bersih dan hanya ada sedikit kayu dan papan sisa-sisa bahan binaan. Oleh kerana ia bukan sampah domestik yang boleh dimasukkan dalam plastik,Dua orang pekerja Dari seberang yang membantunya pun membakarnya. Fikirnya , sekarang bukan musim kemrau. Hujan mencurah-curah.

Sejurus beberapa minit dia membakar sampah tersebut, sebuah kereta penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan ( M***) datang dan menegur perbuatan tersebut. Salah! Salah! kata salah seorang dari mereka. Dua pekerja tersebut pun menghampiri penguatkuasa tersebut dan mereka bertanyakan permit dan dokumen lain. Kebetulan salah seorang tidak mempunyai permit kerja dan mereka pun mengugut untuk diambil tindakan.

Oleh kerana takut untuk menerima akibat yang lebih teruk, mereka pun berunding untuk jalan penyelesaian. Mereka meminta Rm100 sebagai syarat pelepasan kerana mereka bertiga. Oleh kerana mereka kesempitan wang, dan hanya ada Rm50 sahaja, maka duit pun berpindah tangan.

Inilah penyakit bahaya yang berjangkit. Wabak ini bermula dengan virus kecil dan akan merebak menjadi besar dan sukar untuk dipulihkan.Beringatlah wahai saudaraku seIslam, Anda sedang terancam dengan pesan Ar Rasul : "Semua darah yang tumbuh dari sumber yang haram, nerakalah layak baginya"!

Begitulah cerita yang disampaikan kepada Wak selepas kejadian itu berlaku. Kok masih sanggup makan duit haram ya.

Khamis, 6 September 2012

Bila Ular lidi Menjadi Naga


Minggu lalu ketika berziarah hari raya dirumah teman, Wak diberitahu bahawa kawan lama Wak yang sekarang ini bertugas sebagai pengetua sebuah sekolah menengah di Klang telah dipindahkan di Sabak Bernam. Setahu Wak, kawan Wak ni memang penyokong kuat UMNO.

Ketika bertugas disebuah sekolah menengah disebuah pulau satu ketika dulu, beliau telah membuatkan lagu untuk sekolah dengan mengikut lirik lagu UMNO. Bersemangat sungguh budak-budak menyanyi setiap pagi.Itu 20 tahun yang lalu.

Bila Wak bertanya lagi, apa sebabnya kena pindah mengejut ni? Setahu Wak dia adalah seorang pengetua yang bagus, prihatin dan berani membuat perubahan.Tak taulah sekarang ni. Khabarnya, ia pun sudah menambah isteri.Memang berani lah tu.

Menurut teman Wak, Pengetua itu dipindahkan segera kerana pihak sekolah telah menerima sumbangan yang disampaikan oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor , merangkap ADUN Selat Klang, YB Dr Halimah Ali. Kalau betul lah alasan perpindahan tersebut, Wak rasa ini satu kezaliman dan seperti satu hukuman. Tentunya peringatan ini, menjadi amaran kepada yang lain.

Sebagai sebuah institusi pendidikan yang sangat dihormati oleh masyarakat, pihak Pejabat Pendidikan Daerah yang bertanggungjawab dalam mengurus dan mentadbir negeri dengan gaji yang dibayar dari wang rakyat, sepatutnya memberikan contoh urus tadbir yang baik dan nilai-nilai murni dalam pengurusan awam.

Wak bersangka baik, mungkin ada sebab lain.Mana tau. Jika betul sangkaan seperti yang dihebahkan, pegawai-pegawai ini patut mempelajari sesuatu dari apa yang telah berlaku di negara-negara yang baru bertukar kerajaan. Janganlah kerana kita ada kuasa, kita bertindak sesuka hati dengan menzalimi orang lain. Ingatlah bahawa Allah Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Hari esok, belum tentu, hari untuk kita. Jadi, janganlah bersikap angkuh dan sombong.

Inilah jadinya bila, orang kecil ingin menjadi besar, lalu membesar-mesarkan dirinya. Jadilah seperti ular lidi menjadi naga!






Anak Oh Anak


Sejak semalam wak menerima banyak panggilan untuk mendapatkan anak angkat. Mereka tau Wak dan kawan-kawan ABIM ada mengendalikan Rumah Perlindungan Wanita Darul Wardah.Tujuan asal penubuhan rumah ini adalah untuk membantu wanita yang menghadapi keganasan Rumah tangga atau menghadapi masalah perlindungan sementara.

Namun begitu, kami banyak menerima panggilan dari ibubapa yang ingin mendapatkan perlindungan sementara untuk anak perempuannya yang termengandung. Apabila disebutkan syarat minimum tinggal untuk tempoh 8 bulan, ada yang keberatan dengan alasan anak masih dikuliah / sekolah. Wak rasa ramai ibubapa yang melihat isu ini hanya perkara kecil. Yang besar ialah untuk memastikan anaknya mendapat diploma atau ijazah. Soal emosi, rohani dan akhlak anak anak bukan perkara penting.

Wak ingin menyeru kepada ibubapa yang menghadapi masalah seperti ini supaya memandang masalah ini secara menyeluruh. Penyakit ini tidak boleh dirawat seperti orang sakit kepala yang boleh dihilangkan dengan ubat penahan sakit ( pain killer ).

Kembali kepada hajat suami isteri yang ingin mendapatkan anak angkat kerana sudah bertahun-tahun tidak dikurniakan anak. Kebanyakan mereka berkahwin dalam usia 20 an. Wak pun tak pasti masalah yang mereka hadapi.Kebanyakannya tidak menceritakan dengan jelas sebab musababnya. Wak tumpang simpati kepada mereka. Berbagai ikhtiar telah dibuat dan banyak belanja telah dikeluarkan. Cuma wak perasan, kebanyakan lelaki yang datang bertanyakan anak angkat ni, kebanyakannya adalah PEROKOK!

Wak tak nak kaitkan rokok dengan keupayaan untuk mendapat zuriat kerana ia perlukan kajian dan bukti yang ilmiah. Tapi sudah banyak kajian dibuat tentang kaitan rokok dan kesuburan lelaki. Mungkin ia hanya salah satu faktor sahaja. KAlau perlu berhenti, jangan bertangguh. Jangan putus asa berdoa dan mengharapkan kurnia Allah SWT. Lakukanlah apa yang diperintahkan dan tinggalkan apa yang dilarang.Inilah kunci kasih sayang Allah kepada hamba-hambanya. Cubalah amalkan.Mana tau berhasil.Amin

Selasa, 4 September 2012

Jaman Edan. Ora Edan Ora Kedhuman


Dimana kedudukan negara umat Islam???


"Jaman Edan. Ora edan ora kedhuman" ungkapan yang keluar dari lubuk hati Ronggo warsito, seorang pujangga 1802 M. Sebagai seorang pegawai tinggi di istana raja, beliau melihat banyak penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai-pegawai istana.

Keadaan negara waktu itu, sudah semakin merosot.keadaan urus tadbir negara telah rosak, kerana sudah tak ada yang dapat diikuti lagi. Sudah banyak yang meninggalkan petua-petua/aturan-aturan lama.

orang cerdik cendiakiawan terbawa-bawa dengan arus perdana kebejatan. Suasananya begitu mencengkam sanubari kerana dunia penuh dengan kekacauan dan kefasadan. Penyalahgunaan kuasa yang berleluasa dilakukan secara berjamaah dan telah menjadi amalan kebiasaan dikalangan penjawat awam. 'Kegilaan' dalam penyalahgunaan kuasa seperti rasuah ini menjadikan semua urusan boleh beres jika ada 'pelincirnya'.Orang baik-baik pun terikut sama dalam kitaran ini untuk kelangsungan budaya yang sudah mewabak.

Ronggo menyebut dengan penuh keikhlasan kepada orang baik dan yang cuba mempertahankan nilai baik "anda tidak akan mendapat habuan dan bagian".

Adakah hari ini kita di Malaysia, sedang melalui zaman edan seperti yang ditempuhi oleh insan seperti Ronggo ini? Agak sukar untuk kita menafikan atau menyembunyikan kefasadan dan kemungkaran yang berlaku dizaman langit terbuka hari ini.

Percayalah, bahawa Allah Maha besar dan Maha Mengetahui. Orang Melayu bermadah : Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Orang Arab berhikmah : " Sepandai-pandai Pandai Besi, kadang ia terketuk jarinya jua" .

Jadi, bertaubatlah kepada Allah swt kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang yang bertaubat. Bertaubatlah dengan Taubat Nasuha kerana perjalanan hidup manusia bukan setakat mati didunia tetapi semua makhluk yang bernama manusia akan dibangkitkan kelak untuk dihitung dan dihisab segala amalannya semasa hidup didunia.



Perkongsian Pintar atau Penyebar Fitnah

Berpeluk dikhalayak ramai tanpa rasa malu dan segan..

Sudah hampir setahun blog ini terbiar bersawang. Benar-benar lama terbiar. Alasan biasa.sebok.sebok.sebok. Komitmen baru sebagai orang politik dan 'orang masjid' memerlukan perhatian masa dan tenaga yang lebih.


agak susah sebenarnya untuk memulakan penulisan sekiranya otak kita terbiar lama tidak dipaksa untuk menulis.Ia umpama pisau sembelihan yang akan menjadi tumpul dan berkarat jika tidak diasah dan digunakan.


Topik menarik yang menjadi tumpuan wak sekarang ini berkisar isu politik. senario semasa diMalaysia hari ini terlalu banyak perkara yang menarik untuk dianalisis dan diperhatikan. Sikap dan pandangan orang-orang politik, pengalisis dan pengamat politik juga semakin kritis dan berani.Mereka bebas menyatakan pandangan dan fikiran mereka dalam media-media elektronik seperti blog dan fb.


Blogger-blogger politik ini ada yang menulis dengan santai dan ada yang serius.Pandangan yang dikemukakan dalam tulisan mereka ini diikuti secara dekat oleh berbagai lapisan masyarakat dan usia. Ada pembaca aktif dan ada pembaca pasif. Hakikatnya media alternatif ini memberikan banyak pencerahan dan pendedahan yang sebelum ini banyak disembunyikan oleh pihak yang memerintah.


Penulis-penulis dan pembaca-pembaca blog ini harus ingat dan sedar. sebenarnya segala bicara dan apa yang mereka tulis dan paparkan itu sedang dipantau oleh Allah Subhahanu wa taala. Sekiranya tulisan yang mereka dedahkan itu benar, maka mohonlah kepada Allah agar kebenaran yang sebenar-benarnya akan tersingkap.Sekiranya kebenaran yang cuba dibawa kepermukaan itu adalah fitnah dan ghibah, maka mohonlah kemaafan daripada mereka yang berkenaan dan yang lebih penting ialah keampunan dari Allah Swt.


Janganlah sampai apa yang kita tulis dan sebarkan itu menjadi khabar-khabar dusta dan fitnah yang menjadikan umat semakin rosak dan sakit. Allah swt telah memberikan panduan yang jelas kepada umat dalam mendepani perkara ini :


"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan".
Al Hujurat : 6


Jadi, jika ada sms, emel, artikel2 yang belum pasti kebenarannya, janganlah kita ghairah untuk menyebarkannya kepada orang lain.Ini lebih selamat dunia dan akhirat. Anda bagaimana?