Khamis, 6 Disember 2012

Sambungan...19 jam berkeretapi ke Bang Kok

KEDAI JUAL DADAH

Aku perasan di sini ada kedai yang menjual dadah secara terbuka. Jangan terkejut kerana kedai menjual dadah ini berlesen dan dibenarkan oleh kerajaan. Sebenarnya, peniaga ini bersikap jujur. Memang semua produk yang dijualnya berasaskan dadah. Didunia moden hari ini, untuk menampilkan imej bersih dan professional, maka diletakkan nama yang lebih lunak dan moden…farmasi. Orang Cina menamakannya Shing Shei. Orang Arab memanggilnya Shaidaliah. Tapi jangan pulak, mat-mat pit datang kedai ni cari bekalan..

MELEPAK MEMBASAH TEKAK

Setelah penat berjalan, kami mencari tempat lepak untuk merehatkan kaki sambil membasahkan tekak. Kami jumpa kedai ini… Kelantan Restaurant disatu simpang jalan. Cuaca agak gerimis dan masih pagi lagi. Jadi kami Cuma memesan air minuman kerana nasi sarapan pagi tadi masih terasa penuh diperut. Dekorasi kedai ini agak unik, ringkas tapi menarik. Dia mengekalkan sepohon kayu besar di tengah kedainya dan dihiasi dengan lampu berwarna. Suasananya pasti menarik dan hebat diwaktu malam.Hampir sejam juga kami melepak di sini menghabiskan masa sementara menunggu jadual perjalanan keretapi pada pukul 2.45 petang.

Makan tengahari : Kami mencari-cari kedai makan dilokasi baru. Kami bertanya kepada seorang wanita bersama seorang anak kecil arah kedai makanan halal. Kami memilih orang perempuan bertudung sebab itulah tanda pengenalan yang paling senang. Lebih kurang 10 minit berjalan, kami tiba disebuah kedai makan. Hanya ada seorang pelanggan. Aku perasan, kebanyakan kedai makan halal tidak ramai pelanggan. Mungkin, hanya pelanggan muslim saje yang datang.Di kedai makan halal pastinya tidak ada minuman keras dan tidak ada daging kegemaran orang di sini…daging babi. Harga makanan sepinggan nasi dengan sayur, lauk ikan dan segelas minuman lebih kurang BT100. Kira ok lah tapi jika dibandingkan dengan harga menu yang sama diMalaysia, aku rasa agak mahal.

SOLAT DIRUANGAN SOLAT PEREMPUAN

Selepas makan kami terus menuju ke stesen keretapi. Di sana ada disediakan surau. Bagus betul pengurusan sarikat Thai Railways ni. Prihatin dengan keperluan pelanggan. Kebetulan bateri telefon dan kamera aku Cuma tinggal dua bar je. Jadi sementara solat aku cas bateri. Kebetulan disurau tak ada orang jadi aku pun solat jamak takdim zohor dan asar. Selepas solat, baru aku perasan, rupanya aku solat ditempat solat orang perempuan. Ada beberapa orang perempuan memakai purdah hitam, pelajar sekolah agaknya, terjenguk-jenguk nak masuk dalam. Bila aku tengok papan tanda diluar pintu, memang ada tulisan, tapi aku tak faham sebab dalam Bahasa Thai. Disini ada dua ruang bilik solat yang agak selesa berukuran 10’ x 5’. Bolehlah untuk solat berjamaah.

PENGEMBARAAN FASA 2 : HATYAI – BANGKOK

PETA hatyai bangkok

Sejam sebelum jadual keretapi bergerak kami sudah berada distesen keretapi. Kami perlu mengenal pasti beberapa perkara sebelum bertolak. Bekalan makanan dan minuman, bateri kamera, dan dan lain-lain panggilan alam perlu dibereskan sebelum memulakan perjalanan jauh. Aku macam tak percaya, akan naik keretapi kelas 3 ini untuk menempuh perjalanan panjang tetapi inilah cabaran yang kami pilih. Silakan dan selamat datang ke dunia cabaran.

WAJAH RAKYAT MARHAEN

Kedudukan kerusi adalah saling berhadapan. Kedudukannya menegak dan tidak boleh dilaras. Tetapi kusyinnya agak empuk dan tidaklah keras kayu. Penumpang yang akan menemani kami dalam pengembaraan ini seorang wanita berusia 67 tahun. Aku cuba bertegur sapa tapi dia hanya boleh berbahasa Thai. Jadi aku hanya senyum, pandang dan senyum. Tiada perbualan dan kami hanya saling pandang memandang dan bertukar senyuman sahaja. “ sawadee kap” ,“Kap kun Kap” itu je yang aku tau.
Jam 3.15 – lewat 30 minit dari jadual yang tertera dalam tiket – keretapi pun memulakan perjalanannya. Ada beberapa kerusi kosong dan aku memilih duduk ditepi tingkap untuk memudahkan mengambil gambar. Kamera jenis Nikon aku yang terbatu ini mampu menangkap gambar dari kenderaan dengan lebih baik dan mempunyai zoom 40x lebih jauh dari biasa.

Keretapi kelas tiga ini hanya dibekalkan dengan kipas siling yang berputar untuk memberikan keselesaan kepada penumpang. Tetapi udara diluar lebih terasa nikmat dan menyegarkan. Bermacam-macam permandangan indah diluar tingkap. Kebanyakannnya adalah lading-ladang getah, sawah padi, kolam ikan, lembu ,kerbau meragut rumput dikebun. Gembala lembu duduk berehat dibawah pokok berlindung dari cuaca panas yang terik. Tiba distesen berikutnya, penumpang baru naik dan semua kerusi mula dipenuhi dan aku terpaksa balik ke tempat asal. Setiap kerusi sudah diberi nombor dan tidak perlu berebut. Pemeriksa tiket akan datang menebuk tiket setiap kali ada penumpang baru yang naik disetiap stesen. Kadang-kadang polis stesen pun naik membuat pemeriksaan keselamatan. Mereka melihat kada pengenalan atau passport.Mungkin mereka mencar I seseorang yang telah dikenal pasti. Jangan dia cari aku sudahlah.

BANYAK MAKANAN TAPI TAK BOLEH MAKAN

Setiap kali keretapi berhenti disetiap stesen pasti ramai penjaja makanan akan naik menawarkan barangan jualannya. Bermacam-macam makanan yang dijual, tapi aku tak yakin kebersihan dan kehalalannya. Walaupun kadang perut bergelora, aku tetap bertahan untuk beberapa ketika. Kepada pengembara-pengembara yang naik kelas 3, anda dinasihatkan untuk membawa bekalan makanan secukupnya. Makanan halal boleh dibeli diHatyai, tapi makanan kering elok seperti biskut, mee segera dalam cawan, dan makanan-makanan segera yang lain elok bawa dari Malaysia. Jika anda mudah pening kepala, pastinya ubat pening kepala kena sedia sentiasa. Jika kepala sudah pusing, fikiran jadi runsing, perjalanan anda akan menjadi lebih derita.

APA NAK BUAT DALAM KERETAPI?

Aku sebenarnya tidak merancang untuk aktiviti lain selain membaca buku dan menulis. Pada waktu siang, aku lebih banyak menghabiskan masa dengan melihat permandangan diluar.Sekali-sekali aku akan membidik lensa kamera ke sasaran yang menarik dan unik.
Waktu Magrib disini masuk pada pukul 6.00 petang. Awal sejam dari Malaysia. Sebenarnya , aku rasa masa di Malaysia boleh disamakan dengan masa Thailand dan Indonesia. Jika pukul 12.00 masuk waktu Zohor, 3.00 Asar dan 6.00 maghrib. Baru nampak kemas aturan masanya.

Semakin petang, cahaya semakin suram dan hujan gerimis mula turun. Aku tiada pilihan dan terpaksa menurunkan dan menaikkan cermin dan tingkap. Cuaca diluar semakin suram dan gelap sehingga tidak ada apa lagi yang dapat dilihat. Bila tutup rapat, keadaan dalam gerabak menjadi agak panas dan berbau hapak. Gerabak ini ada dua penutup tingkap. Yang satu tingkap kaca untuk memberi peluang kepada penumpanguntuk menikmati permandangan luar. Penutup satu lagi adalah besi yang berlubang-lubang. Ia digunakan bila keadaan hujan. Lubang-lubang kecil itu member sedikit kelegaan dan kenyamanan. Kalau tidak, boleh muntah dibuatnya.

Aku mula merancang aktivti untuk sepanjang malam. Lampu yang dipasang dalam gerabak ini agak malap dan agak sukar untuk membaca. Mula-mula masih nampak tulisan, tapi lama-lama jadi kabur dan pudar. Akhirnya aku masukkan semula buku tersebut ke dalam bag sandang.

BAGAIMANA SOLAT DALAM KERETAPI?

Aku mula memikirkan bagaimana untuk menunaikan solat dalam keadaan dan kedudukan yang kurang selesa. Kewajipan tetap kena tunaikan. Tidak ada ruang selesa untuk menunaikan solat walau pun dalam keadaan duduk. Oleh kerana kedudukan mengadap penumpang lain, tentunya terasa janggal kepada aku dan kepada dia. Akhirnya aku memilih untuk solt lewat malam. Aku niatkan jamak takhir.aku harap bila semua orang sudah tidur, senang sikit nak solat. Ketika malam semakin larut, masing-masing sudah mula menutup muka dengan baju dan kain. Bermacam-macam gaya mereka tidur. Ada yang tertunduk dilutut, ada yang berbantal lengan, ada yang bertopang tangan, ada yang ternganga dan macam-macam lagi.

Dalam keheningan malam, aku bangkit untuk menunaikan kewajipan. Aku pergi ke tandas dengan membawa gelas mee segera yang telah kosong. Dengan menggunakan segelas air aku berwuduk untuk bersuci. Aku teringat ketika aku mengajar anak-anak remaja dalam kem motivasi ibadah. Mereka aku bekalkan dengan sebotol air bersih untuk digunakan oleh 10 orang ahli kumpulan mereka. Ternyata ada yang lebih dan ada yang tak cukup.

Ketika waktu Subuh, keadaan lebih mencabar. Hujan turun diluar. Kadang lebat dan kadang gerimis. Malangnya air ditandas sudah habis. Air minuman aku pun dah habis. Aku terfikir juga ntuk berwuduk dengan air hujan. Caranya dengan berdiri ditangga. Tapi seluar dan baju aku akan habis basah. Idea tersebut aku batalkan. Akhirnya aku memilih untuk tayamum menggantikan wuduk. Caranya dengan melekapkan tapak tangan ke dinding keretapi, kemudian sapukan ke muka dan kedua tangan.

Bagi pengembara perempuan, mungkin keadaan lebih menduga dan mencabar. Namun tidak ada perkara mudah dalam perjalanan hidup ini. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kata-kata perangsang dari kawan : “Orang Berjaya mencari jalan, orang gagal mencari alasan”. Solat mesti ditunaikan. Akurrr.

MALAM YANG PANJANG

Perjalanan malam ini terasa panjang. Tidak ada hiburan radio atau TV, tidak ada tayangan video, tidak ada bunyi lagu menghiburkan. Yang kedengaran sepanjang malam ialah bunyi enjin bising keretapi dan desiran roda besi yang senada dan seirama. Pada mulanya aku dah merancang untuk membawa earphone tapi sayang ,tertinggal. Jika tidak, bacaan Al Quran dalam Nokia aku boleh juga dimanfaatkan.

Bagi mengisi masa lapang didalam kenderaan yang serba kekurangan ini, aku memilih untuk menulis beberapa idea dan catatan penting dalam buku nota. Aku cuba menulis puisi atau sajak tapi aku bukan seorang puitis atau penyajak tulin yang dapat mengungkap bahasa alam ke dunia kreatif. Aku terus menulis apa sahaja untuk mengisi masa lapang dan mengelakkan kebosanan. Penat menulis, aku membaca ayat-ayat Al Quran. Aku mulakan dengan membaca Al Ma;thurat diikuti dengan hafazan beberapa ayat yang aku hafaz,Malangnya banyak yang terlupa. Kemudian bila mata semakin penat dan mengantuk, aku terlelap dan terus terlena dibuai dengan desiran bunyi bingin roda keretapi.

LETUPAN MENGEJUTKAN

Tiba-tiba bunyi letupan yang sangat kuat. Aku terkejut dan terus bangun. Aku ingat keretapi ni kena serang sebab bunyi letupan itu macam bunyi senapang . Penumpang=penumpang lain hanya berpandangan tanpa berkata apa-apa. Ada yang terpinga-pinga tapi tidak bertanya apa-apa. Mungkin bunyi besi berlaga dilandasan, tapi bunyi tu macam dari arah bumbung. Nasib baik tidak ada penumpang yang menjerit-jerit ketakutan atau timbul suasana panic.Teka-teki bunyi letupan itu kekal menjadi tanda Tanya dan tidak berjawap. Penumpang lain meneruskan tidur mereka yang terganggu .Keadaan terus tenang dan hanya kedengaran bunyi enjin dan desiran roda besi keretapi. Sepanjang malam itu berlaku tiga kali bunyi letupan dan anehnya tidak ada pulak diwaktu siang.

6.00 pagi : Sang suria mula menampakkan dirinya. Kelihatan pohon dan bukit bukau berbalam-balam. Udara pagi yang dingin begitu menyegarkan. Selepas solat subuh dan memberus gigi aku mulai membaca ma’thurat. Doa pagi ini mengiringi ketibaan ku di kota Bangkok. Tapi kota Bangkok masih jauh dihadapan. Satu demi satu stesen disinggahi, namun tidak Nampak tanda-tanda Kota Gajah Putih ini tampak kelihatan.

KOTA BANGKOK

Kami tiba di stesen keretapi Bangkok pada pukul 10.30 pagi. Baru aku perasan bahawa keretapi yang aku naiki bukan setakat 6 gerabak tapi telah menjadi 10 gerabak. Aku tak perasan masa bila mereka bergabung. Mungkin semas mereka berhenti dipersimpangan atau junction. Ratusan manusia keluar dari perut keretapi. Mereka memikul bag-bag besar. Tentunya mereka dattang dari kampong atau Bandar lain untuk bekerja di kotaraya ini atau menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai di sini.

Tindakan pertama yang perlu dibuat ialah melihat jadual perjalanan ke Aranya prathet. Kota ini merupakan kota disempadan Thailand – Kemboja. Keretapi akan bertolak pukul 12.00 tengahari. Tetapi kami memutuskan untuk menaiki bas kerana keretapi ke sempadan hanya ada kelas 3 sahaja. Kami keluar dari stesen dan mencari Tuk-tuk untuk ke stesen bas. Kami pun bertanyakan harga tambang ke terminal Bas diMoicet. Nama Moicet ni pun aku dapat dari catatan pengembara yang pernah menggunakan bas.

Tambang yang diminta ialah BT200. Aku rasa agak mahal tapi mungkin tempatnya jauh. Aku cuba bertanya kepada tuk-tuk yang lain. Nampaknya harganya seragam. Cuma ada seorang pak cik berkaca mata hitam dan berseluar paras lutut menawarkan BT150.. Ketika menaiki tuk-tuk ni, aku teringat cerita Ong Bak. Dalam adegan kejar-mengejar armada tuk-tuk dengan sang hero. Banyak tuk-tuk yang musnah dan diletupkan untuk menimbulkan sensasi dalam filem tersebut.

Pak cik pemandu tuk-tuk itu boleh berbahasa Inggeris sepatah-sepatah. Dia mendakwa kehidupannya adalah bersama tuk-tuk. Dia mendakwa usianya sekarang mencecah 70 tahun. Belum berkahwin dan masih ingin terus bekerja membawa tuk-tuk. Hebat dia ni. Tengok cara di bawa mencilok-cilok ditengah kesesakan kotaraya Bangkok ini sangat mengkagumkan. Tuk-tuknya juga bersih dan selalu dilap. Apabila ada kesempatan dilampu isyarat yang agak lama, dia akan mengelap tuk-tuknya.

Pukul 11.25 kami tiba di terminal bas besar yang menghubungkan seluruh kota dan Bandar di Thailand. Selepas membayar tambang, aku terus menuju ke kaunter tiket. Dicermin kaunter tertera tulisan waktu perjalanan ke Aranya prathet 11.30 pagi. Maknanya bas hanya ada sekali sahaja. Nasib baik kami agak baik. Petugas dikaunter memberitahu bahawa bas sudah sedia untuk bergerak. Tanpa berlengah lagi dia terus membawa kami ke bas. Bila aku Tanya berapa harga tiket, dia kata bayar atas bas. Baru aku perasan, duit Bath aku hanya tinggal beberapa ratus sahaja. Kalau tak cukup duit, kena bayar pakai USD nampaknya. Itupun kalau dia nak. Sebaik kami naik ke dalam bas, pemandu pun mula masuk gear dan bas pun bergerak meninggalkan Kota Bangkok. Al hamdulillah, aku bersyukur kepada Allah kerana sampai dimasa yang tepat. Semoga perjalanan ini akan terus dipermudahkan.

Dalam bas semua kerusi penuh dengan penumpang. Hanya ada beberapa kerusi yang kosong. Di kerusi belakang, aku Nampak ada beberapa orang anak muda yang berkopiah. Pastinya dia Muslim. “ Can you speak English or Arabic?” aku bertanya untuk mendapatkan bantuan. “ Ada masalah mende bae?” dia bertanya balik dalam bahasa Melayu dalam dialek pattani. Aku Cuma nak Tanya harga tiket sebab takut tak cukup duit. Tambang dikenakan seorang BT223. Aku selok poket dan bag sandang untuk mengumpulkan duit Bath. Nasib baik cukup. Alhamdulillah.

Selepas membayar tiket kami diberikan sebotol air mineral 150ml dan sebungkus kek pandan. Cuaca sangat panas dan tekak memang terasa dahaga. Perut mula terasa lapar sebab tak sempat nak saparan sejak pagi tadi. Dalam catatan pengembara lain kata, bas pukul 2.00 petang. Jadi aku kira sempat untuk makan di sekitar Bangkok. Mungkin ada bas untuk waktu yang lain, Cuma aku tak sempat pergi ke kaunter lain.

Perjalanan kami dijangka memakan masa 5 jam. Terasa begitu selesa berada dalam bas yang berkusyen dan berhawa dingin. Terasa nikmat dapat duduk dalam kerusi empak dan udara nyaman dalam bas ni. Aku mengeluarkan bekalan biskut kering sebagai makan tengahari kami. Nasib baik bas tersebut singgah dipam petrol untuk mengisi minyak. Aku masuk ke kedai mart untuk mendapatkan air minuman. Aku jumpa air soya yang dicampur dengan kacang hitam bertanda halal. Aku pun beli 3 kotak untuk bekalan diperjalanan.

Bas ini nampaknya masih berhenti-henti di stesen tertentu untuk mengambil penumpang. Akhirnya semua kerusi dipenuhi penumpang. Sejam sebelum sampai disempadan kami berhenti dsatu pos kawalan keselamatan. Dua orang anggota polis masuk ke dalam bas kami. Mereka memeriksa kada pengenalan dan passport. Ada 4 orang diminta turun. Mungkin pendatang Kemboja yang tidak ada permit. Aku pun tak faham apa yang mereka perkatakan. Yang penting aku selamat.

Bas meneruskan perjalanannya dan beberapa orang penumpang mula turun di destinasi masing-masing. Yang tinggal dalam bas hanya orang-orang bukan warga Thai. Semuanya adalah pelancung yang ingin masuk ke Kemboja melalui Poipet. Jika anda naik bas, anda bernasib baik kerana bas berhenti disempadan berhampiran imegresen. Jika anda naik keretapi, anda kena naik tuk-tuk kerana stesen bas ke sempadan agak jauh juga. Aku tak tau berapa cas yang dikenakan.Tapi kalau naik keretapi tambangnya sangat murah .Aku tak pasti berapa tapi rasanya sekitar BT37 je.

Sambungan ...Merayau Di Hatyai


Di Hatyai, pengangkutan awam yang popular ialah Tuk-tuk. Ia asalnya sebuah lori pick up yang diubah suai menjadi kenderaan penumpang. Tugasnya lebih kurang macam bas mini di KL suatu masa dulu. Pergerakannya cepat dan pantas. Maksimum penumpangnya Cuma 10 orang. Dan dia boleh masuk celah-celah lorong sempit. Cuma penumpang agak kurang selesa lah. Kalau nak rasai pengalaman, apa salahnya. Tapi, kami memutuskan untuk memilih teknik merayau. Berjalan kaki di lorong-lorong yang dipenuhi gerai-gerai jualan lebih memberikan banyak pengalaman dan ruang untuk merakamkan peristiwa. Operasi jualangerai bermula 10.00 pagi ( waktu Thai ) tapi masah banyak gerai yang belum dibuka. Mungkin sebab mereka menutup aktiviti jualan hingga awal pagi.

HATYAI WALK

Disini pun ada lokasi seperti Petaling Street di Kuala Lumpur. Namanya Hatyai Walk. Banyak gerai-gerai yang menawarkan pelbagai barangan keperluan harian dan aksesori. Makanan-makanan yang berbagai bentuk pun ada dijual. Kebetulan kami sampai sekitar jam 11.00 mereka baru nak memulakan perniagaan. Masih banyak kedai yang belum dibuka. Penat juga kami keluar masuk lorong meneroka setiap ceruk untuk mencari sesuatu yang unik dan berbaloi. Tapi nampaknya semua biasa aje dan ada banyak di KL. Kebanyakannya pakaian, aksesori dan makanan.Bahkan dipasar malam kampung aku pun macam-macam ada. Aku sebenarnya tak tau apa yang aku cari. Saje je jalan-jalan.

PULUT MANGGA

Aku teringat cerita seorang pengembara yang menikmati Pulut Mangga di sini, Sedap katanya. Aku pun mencari lokasi gerai dicelah-celah bangunan. Ada dua orang perempuan muda bertudung sedang sibuk menyiapkan jualan dan melayan pelanggan. Kalau bertudung, pastinya ia seorang muslimah. Makanannya pasti halal. Aku membeli sebungkus sebagai permulaan. Rasa dulu baru tambah. Harga se pek BT50 bersamaan Rm5. Untuk memudahkan kiraan tukaran duit,kita hanya perlu buang satu angka kosong dibelakang angka Bath. Rasa pulut Mangga ni boleh tahan juga sedapnya. Ia dipadankan dengan kuah santan pekat dan manis. Macam kuah serawa. Buah mangganya juga manis. Kalau nak buat sendiri pun boleh. Sebab aku tengok macam senang je penyediaannya. DiMalaysia aku tak Nampak lagi ada yang menjualnya. Satu idea kreatif dan inovatif cara memakan mangga.

UDANG GORENG XXXXL

Nampak tak saiz udang ni dengan jari aku?Memang besar sangat.Aku sendiri rasa teringin nak mencicipnya. Macam sedap je.“Udang besar macam ni biasanya mahal” dalam hati aku. Bila aku tanyakan harganya, “ BT100-BT300 seekor” mak oiii....tiba-tiba jari aku jadi bengkok. Nafsu aku tiba-tiba termati. Keinginan aku jadi kabur dan pudar.Perkara2 yang bukan utama dan tak masuk bajet terpaksa aku kemudiankan. Sabar ye.. jalannya masih jauh lagi ni.Kalau diMalaysia pun harganya Rm50-Rm80 sekilo. Kalau udang jualannya ni boleh habis, maknanya ada peminat dan permintaan dari pelanggan. Tapi bukan pelanggan singkek macam aku..bye bye udang galah..
Selepas sejam berjalan aku Cuma membeli kacang gajus dan buah mata kucing kering .Biasanya kalau pergi ke Tahiland, makanan inilah yang aku beli untuk jajan anak-anak dirumah. Untuk Gajus yang gred A harganya BT350 dan mata kucing BT 370. Harga boleh ditawar dan anda boleh mendapatkan harga terbaik bergantung kepada teknik tawaran yang anda lakukan.Kebetulan makcik yang jual ni boleh cakap Melayu, jadi senanglah nak berjual beli.

JUALAN PORNO

Apa yang aku perasan disini, CD2 porno dijual secara terbuka. Tidak ada sembunyi-sembunyi bawah meja. Sesiapa sahaja yang lalu dapat melihat dan memilih. Aku rasa kalau orang Malaysia yang lemah iman datang sini, mungkin diborongnya benda-benda macam ni. Bayangkan kalau anak-anak muda kita bertamu kesini? Tanpa ada kawalan pihak berkuasa, tanpa kawalan ibubapa, tanpa kawalan iman di dada, pastinya mudah terjerumus kelembah dosa.

RUMAH URUT

Disini juga banyak rumah-rumah urut yang menjalankan operasi dimerata tempat.Aku bukan nak promosi free. Cuma nak gambarkan apa yang ada disini. Pada waktu siang mungkin tidak ramai yang berurut. Kebanyakannya masih lengang tanpa pengunjung. Aku tak pasti sama ada rumah-rumah urut ini ada menawarkan perkhidmatan tambahan selain dari mengurut. Kalau ada yang berhajat, aku rasa tak susah nak cari disini. Hanya orang yang beriman dan bertakwa yang dapat mengawal dan menjaga diri di sini. Patutlah ramai orang-orang bukan Melayu yang berduyun-duyun datang ke sini. Bukan ada tempat menarik pun.

Tahun lepas masa aku berziarah dengan kawan-kawan di Yala, aku diurut oleh seorang teman yang baru tamat latihan dalam bidang urutan. Boleh tahan juga kesannya. Badan rasa segar dan ‘ringan’.orang kata darah mengalir lancar. Segala urat darah dan nadi kita jika diurut, darah akan menjadi lancar. Yang jadi masalah, bila orang lelaki, menggatal nak diurut oleh orang perempuan. Aku teringat masa bertamu ke Padang, Indonesia. Kebetulan aku sebilik dengan seorang pengetua dan pemimpin belia yang dihormati. Semasa aku masuk kebilik, aku terkejut sebab beliau sedang diurut oleh seorang perempuan muda. Setakat itu yang aku nak cerita sebab dia pun dah tiada, bertemu Tuhan yang esa.

Isnin, 12 November 2012

Sambungan ..Ujian Kembara Bermula




Sambungan....

Bila aku tanyakan tiket Kelas satu / kelas dua ke Bangkok kepada pegawai yang bertugas. “ Finish! No more tickets” ..Alamak…Cuma kelas tiga yang ada. Tanpa berlengah aku pun terus beli dua tiket untuk kelas tiga dan aku mula terbayang pengalaman 25 tahun dulu ketika aku menaiki keretapi kelas tiga dari Wakaf baru, Kelantan ke Kuala Lumpur. Tapi aku dah tak ada pilihan. Janji dapat naik keretapi. Jangkaan masa perjalanan ialah 16 jam.



UJIAN PERTAMA BERMULA

Semasa aku menunjukkan tiket kepada teman aku, dia Nampak macam susah hati. “ Passport aku tak ada. Hilang” .Kami cuba mencari dalam bag dan di dalam poket tapi ternyata memang tidak ada. “Nampaknya ujian kembara ini sudah bermula”..kata aku dalam hati. “ Tenang ..tenang…tenang…cuba Tanya pemandu bas.Mungkin ada dalam bas” Aku memberi cadangan.

Tanpa berlengah Mus berlari menuju ke kaunter syarikat bas tersebut. Sementara menunggu, aku berbual-bual dengan seorang pengembara yang nak ke Bangkok juga. Seorang wanita muda, berpakaian agak seksi. Baju kemeja ketat dan seluar sendat. Rupa-rupa seorang Pengembara Indonesia. Asal dari Kalimantan. Dia sudah menempuh Jakarta – Singapura- Malaysia dan sekarang sedang menuju ke Bangkok. Ada seorang teman akan menunggunya di sana. Sebenarnya aku malas juga nak layan sebab aku rasa macam tak selesa. Tapi sebab tak ada apa nak buat, aku layan aje la dia sembang. Sekurang-kurangnya banyak juga maklumat yang aku dapat.


MENCARI PASSPORT YANG HILANG


Selepas 30 minit , Mus muncul dengan tersenyum lebar. Dalam hati aku kata “ Alhamdulillah Selamat”.
Ringkas ceritanya, Passportnya ada dipoket kerusi bas. Aku pun tak tau kenapa dia letak dipoket bas. Sepatutnya dokumen penting macam tu, kena lekat kat badan. Sebaiknya dalam poket seluar. Ketika sampai dikaunter tiket, pemandu bas dah beredar. Nasib baik, ada motosikal milik syarikat, pemandunya orang Thai . Dia memecut dan cilok mencilok di lorong-lorong Hatyai dan akhirnya sampai ke rumah penginapan untuk pemandu. Kebetulan dia sedang membasuh bas. “ Ada jumpa passport dalam bas tak?” ..“ ada atas meja tu! “. Langit menjadi cerah dan mendung pun berlalu. Syukur Alhamdulillah…Pengembaraan ini dapat diteruskan.

SIMPAN BAG

Oleh kerana muatan bag kami agak berat, jadi untuk melancarkan pergerakan kami mencari tempat penyimpanan bag. Didalam stesen ini memang ada disediakan perkhidmatan tersebut dengan bayaran BT30 / bag / hari . Aku mengeluarkan dokumen-dokumen penting dan barang berharga untuk dimasukkan ke dalam bag sandang yang lebih kecil. Bag sandang amat penting untuk diisi dengan passport, duit, telefon, buku nota , ubat-ubatan dan buku bacaan. Makanan ringan juga boleh dimasukkan untuk bekalan waktu kecemasan.




SARAPAN PAGI

Kami terus menuju ke sebuah kedai makan di hadapan stesen keretapi. Oleh kerana perjalanan kami masih jauh, aku memasan sepinggan nasi berlauk ayam. Ada lauk pauk lain tapi nampk macam tak menarik. Rasanya nasi yang aku makan macam nasi minyak, tapi tak lah terlalu hebat untuk dipuji. Janji kami dapat makan. “Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senang hati”..


Kemana pergerakan kami selepas sarapan pagi...bersambung

Khamis, 8 November 2012

Travelog Merentas Darat ke Bumi Kemboja

KEMBARA DARAT KE BUMI KEMBOJA


Aku mengatur perjalanan kembara ini lebih sebulan yang lalu. Aku cuba mendapatkan maklumat sebanyak mungkin dari teman-teman yang pernah ke sana dan pengembara-pengembara yang pernah menempuh jalan darat.

Aku membuat jadual perjalanan sendiri berdasarkan jadual waktu kenderaan yang akan digunakan iaitu bas dan keretapi. Sehari sebelum pengembaraan bermula aku pergi ke stesen keretapi untuk membeli tiket, tetapi hampa kerana hanya ada satu tiket sahaja. Aku perlukan dua tiket untuk teman kembaraku, Sdr Mus. Aku mula mula menyesal kerana tidak membuat tempahan awal. Pelan asal untuk menikmati perjalanan malam dengan senandung malam terpaksa dibatalkan.

Aku terpaksa memilih pelan B iaitu menggunakan bas ekspres. Aku terus menuju ke stesen bas ekspres`di seksyen 17 Shah Alam. Penjual tiket member aku pilihan sama ada untuk perjalanan malam atau perjalanan siang. Aku memilih perjalanan malam kerana lebih merehatkan. Lagi pun dapat jimat kos bermalam. Harga tiket bas sekarang ialah Rm50 untuk sehala.

PERJALANAN BERMULA

Seperti yang dirancang aku dan Mus menunggu di stesen bas lebih awal. Malam agak berangin dan hujan gerimis. “ Sedap tidur dalam bas ni” Kata jiran sebelah kerusi aku. Alhamdulillah bas yang aku naiki ini sangat selesa. Siap kedap bunyi lagi. Ada pintu penghalang antara penumpang dan pemandu. Tetapi bas ini tidak dilengkapi dengan peranti audio dan visual.

Ada sekumpulan penumpang anak-anak muda Tamil yang mungkin teruja dengan perjalanan ini atau mungkin bosan berbual-bual di bahagian kerusi belakang. Nampaknya perbualan mereka semakin rancak dan agak mengganggu penumpang lain. Seorang Pak Cik yang duduk didepan sekali menjerit dua kali “ Hoiiii! ..Hoiiii!...Keadaan menjadi senyap sedikit. Aku terus melelapkan mata dan terbuai dengan mimpi-mimpi indah.
Pukul 4.30 pagi bas telah pun tiba di kawasan rehat. Ada restoren, money changer, surau dan tandas. Ramai yang mengambil kesempatan untuk membersihkan diri, menukar duit dan solat subuh. Kebetulan waktu subuh agak awal, sekitar jam 5.40 pagi. Kami membuat keputusan untuk solat subuh di sini. Malangnya disini tidak ada kedai makanan halal. Lagi pun masih terlalu awal. Belum masa untuk makan.

Banyak juga bas yang berhenti di sini tetapi majoriti penumpangnya berbangsa tionghua. Dalam bas aku, nya kebanyakan penumpang yang Nampak macam muka Melayu pun rupanya orang Pattani. Kalau orang perempuan Muslimahnya senang nak kenal sebab mereka memakai tudung.

6.30 kami sampai disempadan Bukit Kayu Hitam. Semua penumpang dikehendaki membawa bag turun dari bas dan berbaris untuk stamping passport di imegresen Malaysia. Proses tidak lama, tetapi orang yang berbaris semakin ramai. Bagi passport Malaysia, anda boleh memilih untuk membuat pengesahan di laluan auto atau manual. Tetapi ada juga

DEBARAN BERMULA

beberapa orang yang tidak dapat disahkan oleh computer termasuk passport aku. Berdebar juga kalau ada masalah dengan imegresen. Aku tengok kawan aku dah lama siap. Barisan aku agak lambat siap sebab ada sorang mat saleh tu mengambil masa agak. Macam ada masalah agaknya. Nasib baik masa giliran aku, tidak ada apa-apa masalah. Alhamdulillah.

Kami bergerak lagi menuju ke Pejabat Imegresen thailand pula. Kena berbaris lagi dan suasana agak sesak dengan pelancung dan pengunjung Malaysia. Kawasan agak sempit, nasib baik kedua-dua sempadan berada dikawasan terbuka.

Selepas selesai , kami berjalan menuju ke kawasan parking bas dibelakang Pejabat imegresen. Semua Penumpang telah lama selesai dan aku adalah penumpang terakhir sampai. Dari sempadan kami meneruskan perjalanan menuju ke Bandar Hatyai. Perjalanan memakan masa kira-kira 60 minit . Aku tengok semua penumpang kembali menyambung tidur dan suasana senyap. Aku pun sempat juga terlelap dan buku ditangan yang aku baca pun tertutup terus.

SELAMAT DATANG KE HATYAI

7.30 pagi ( waktu Thai ) – kami tiba di stesen bas dan penumpang semua turun. Aku tak Nampak pun macam perhentian bas. Rupa-rupanya bas berhenti di hadapan pejabat bas masing-masing. Yang aku perasan bas aku berhenti didepan Plaza Lee Garden, sebuah Mall yang agak besar juga. Ketika penumpang turun dari bas, banyak pemandu tuktuk ( kenderaan motor yang diubah menjadi kenderaan angkutan penumpang ) dating berkerumun menawarkan perkehidmatan.

Aku Cuba bertanya arah Stesen bas. Seorang lelaki yang boleh berbahasa Melayu pattani menunjukkan arah ; “ jalan terus” sambil tangannya menunjukkan ke satu arah. Aku pun tak tanya berapa jauh, terus jalan. Rupa-rupanya stesen tu Cuma 150 meter je dari tempat bas aku berhenti tadi. Di hadapan stesen ada beberapa kedai makan yang tertera nama-nama yang berunsurkan Islam dan ada perkataan ‘Halal’.
“Kita nak makan dulu atau nak beli tiket keretapi dulu” Tanya teman dan aku memilih untuk mendapatkan tiket keretapi dulu. Takut tak dapat tiket ke Bangkok. Ketika di stesen aku tengok ada beberapa barisan orang sedang membeli tiket. Aku tak tau nak masuk ke barisan yang mana. Aku cuba bertanya kepada seorang pengawal di stesen. Aku cuba Tanya dalam bahasa inggeris tapi Bahasa Inggerisnya sangat lemah.Macam aku juga. Ha ha ha. Bagusnya dia berusaha membantu dengan bertanya kepada kawannya. Bila aku sebut “ Bangkok”, dia pun menunjukkan ke satu kaunter yang masih kosong, tidak ada orang berbaris.

adakah kami dapat meneruskan perjalanan Bangkok dengan keretapi ? Ikuti sambungan seterusnya...

Selasa, 9 Oktober 2012

Pesakit Mental Meningkat?

SUNGAI PETANI 3 Feb. - Tinjauan Kesihatan Mobiditi dan Kesihatan 2011 menunjukkan 12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental.

Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Abdul Kadir Abu Bakar (gambar) berkata, statistik itu satu angka yang tinggi kerana menunjukkan seorang daripada enam rakyat negara ini ada penyakit mental.

"Macam kemurungan ada dua peratus, sakit risau ada 1.8 peratus dan psikosis ada satu peratus. Penyakit mental yang serius adalah macam psikosis dan kemurungan...penyakit keresahan itu pun kronik juga dan kemudiannya penyakit ringan-ringan lain," katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, tinjauan Kajian Mobiditi dan Kesihatan itu juga mendapati wanita dua kali ganda lebih ramai mengalami sakit mental berbanding lelaki.

"Puncanya bagi wanita kerana masalah dengan pasangan dan masalah dengan anak-anak..kedua-dua ini punca yang penting. Bagi lelaki pula punca lebih kepada kemalangan jalan raya yang mana mengalami kecederaan otak dan penyalahgunaan dadah," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar golongan wanita mendapatkan rawatan doktor secepat mungkin jika mengalami kemurungan dan kerisauan berlanjutan dalam tempoh melebihi dua minggu bagi mengelakkan perkara yang lebih buruk.

"Kalau kita (wanita) risau baca (surah) Yassin banyak, bincang dengan mak dan ayah serta suami...dapat kurangkan tetapi jika kita tidak dapat berbincang dan kurangkan, itu akan bagi masalah," katanya.

Beliau berkata, terdapat 45 jabatan psikiatri di seluruh negara di samping empat buah hospital mental untuk pesakit mental menjalani rawatan pemulihan dengan sebaik mungkin. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm#ixzz28lZ1IOYB
© Utusan Melayu (M) Bhd



Apa yang anda fikirkan ketika membca berita ini?

Sebenarnya sakit mental bukanlah penyakit baru. Ia telah muncul lama dan pastinya Islam datang sebagai rawatan dan pemulihan hidup manusia yang selalu mengidap berbagai penyakit.


Kebanyakan penyakit manusia berpunca dari masalah jiwa ( spiritual ) dan perasaan
( emosional)yang tidak terkawal dan terkendali. Rawatan terbaik untuk pencegahan penyakit mental ialah dengan kembali kepada cara hidup Islam.Insya Allah hidup bahagia, sejahtera dunia akhirat. Ada yang mau protes??







Selasa, 18 September 2012

Virus Wabak Rasuah Merebak

Dua hari yang lalu, jiran Wak baru selesai membina rumahnya yang cantik. Keliling rumah telah bersih dan hanya ada sedikit kayu dan papan sisa-sisa bahan binaan. Oleh kerana ia bukan sampah domestik yang boleh dimasukkan dalam plastik,Dua orang pekerja Dari seberang yang membantunya pun membakarnya. Fikirnya , sekarang bukan musim kemrau. Hujan mencurah-curah.

Sejurus beberapa minit dia membakar sampah tersebut, sebuah kereta penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan ( M***) datang dan menegur perbuatan tersebut. Salah! Salah! kata salah seorang dari mereka. Dua pekerja tersebut pun menghampiri penguatkuasa tersebut dan mereka bertanyakan permit dan dokumen lain. Kebetulan salah seorang tidak mempunyai permit kerja dan mereka pun mengugut untuk diambil tindakan.

Oleh kerana takut untuk menerima akibat yang lebih teruk, mereka pun berunding untuk jalan penyelesaian. Mereka meminta Rm100 sebagai syarat pelepasan kerana mereka bertiga. Oleh kerana mereka kesempitan wang, dan hanya ada Rm50 sahaja, maka duit pun berpindah tangan.

Inilah penyakit bahaya yang berjangkit. Wabak ini bermula dengan virus kecil dan akan merebak menjadi besar dan sukar untuk dipulihkan.Beringatlah wahai saudaraku seIslam, Anda sedang terancam dengan pesan Ar Rasul : "Semua darah yang tumbuh dari sumber yang haram, nerakalah layak baginya"!

Begitulah cerita yang disampaikan kepada Wak selepas kejadian itu berlaku. Kok masih sanggup makan duit haram ya.

Khamis, 6 September 2012

Bila Ular lidi Menjadi Naga


Minggu lalu ketika berziarah hari raya dirumah teman, Wak diberitahu bahawa kawan lama Wak yang sekarang ini bertugas sebagai pengetua sebuah sekolah menengah di Klang telah dipindahkan di Sabak Bernam. Setahu Wak, kawan Wak ni memang penyokong kuat UMNO.

Ketika bertugas disebuah sekolah menengah disebuah pulau satu ketika dulu, beliau telah membuatkan lagu untuk sekolah dengan mengikut lirik lagu UMNO. Bersemangat sungguh budak-budak menyanyi setiap pagi.Itu 20 tahun yang lalu.

Bila Wak bertanya lagi, apa sebabnya kena pindah mengejut ni? Setahu Wak dia adalah seorang pengetua yang bagus, prihatin dan berani membuat perubahan.Tak taulah sekarang ni. Khabarnya, ia pun sudah menambah isteri.Memang berani lah tu.

Menurut teman Wak, Pengetua itu dipindahkan segera kerana pihak sekolah telah menerima sumbangan yang disampaikan oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor , merangkap ADUN Selat Klang, YB Dr Halimah Ali. Kalau betul lah alasan perpindahan tersebut, Wak rasa ini satu kezaliman dan seperti satu hukuman. Tentunya peringatan ini, menjadi amaran kepada yang lain.

Sebagai sebuah institusi pendidikan yang sangat dihormati oleh masyarakat, pihak Pejabat Pendidikan Daerah yang bertanggungjawab dalam mengurus dan mentadbir negeri dengan gaji yang dibayar dari wang rakyat, sepatutnya memberikan contoh urus tadbir yang baik dan nilai-nilai murni dalam pengurusan awam.

Wak bersangka baik, mungkin ada sebab lain.Mana tau. Jika betul sangkaan seperti yang dihebahkan, pegawai-pegawai ini patut mempelajari sesuatu dari apa yang telah berlaku di negara-negara yang baru bertukar kerajaan. Janganlah kerana kita ada kuasa, kita bertindak sesuka hati dengan menzalimi orang lain. Ingatlah bahawa Allah Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Hari esok, belum tentu, hari untuk kita. Jadi, janganlah bersikap angkuh dan sombong.

Inilah jadinya bila, orang kecil ingin menjadi besar, lalu membesar-mesarkan dirinya. Jadilah seperti ular lidi menjadi naga!






Anak Oh Anak


Sejak semalam wak menerima banyak panggilan untuk mendapatkan anak angkat. Mereka tau Wak dan kawan-kawan ABIM ada mengendalikan Rumah Perlindungan Wanita Darul Wardah.Tujuan asal penubuhan rumah ini adalah untuk membantu wanita yang menghadapi keganasan Rumah tangga atau menghadapi masalah perlindungan sementara.

Namun begitu, kami banyak menerima panggilan dari ibubapa yang ingin mendapatkan perlindungan sementara untuk anak perempuannya yang termengandung. Apabila disebutkan syarat minimum tinggal untuk tempoh 8 bulan, ada yang keberatan dengan alasan anak masih dikuliah / sekolah. Wak rasa ramai ibubapa yang melihat isu ini hanya perkara kecil. Yang besar ialah untuk memastikan anaknya mendapat diploma atau ijazah. Soal emosi, rohani dan akhlak anak anak bukan perkara penting.

Wak ingin menyeru kepada ibubapa yang menghadapi masalah seperti ini supaya memandang masalah ini secara menyeluruh. Penyakit ini tidak boleh dirawat seperti orang sakit kepala yang boleh dihilangkan dengan ubat penahan sakit ( pain killer ).

Kembali kepada hajat suami isteri yang ingin mendapatkan anak angkat kerana sudah bertahun-tahun tidak dikurniakan anak. Kebanyakan mereka berkahwin dalam usia 20 an. Wak pun tak pasti masalah yang mereka hadapi.Kebanyakannya tidak menceritakan dengan jelas sebab musababnya. Wak tumpang simpati kepada mereka. Berbagai ikhtiar telah dibuat dan banyak belanja telah dikeluarkan. Cuma wak perasan, kebanyakan lelaki yang datang bertanyakan anak angkat ni, kebanyakannya adalah PEROKOK!

Wak tak nak kaitkan rokok dengan keupayaan untuk mendapat zuriat kerana ia perlukan kajian dan bukti yang ilmiah. Tapi sudah banyak kajian dibuat tentang kaitan rokok dan kesuburan lelaki. Mungkin ia hanya salah satu faktor sahaja. KAlau perlu berhenti, jangan bertangguh. Jangan putus asa berdoa dan mengharapkan kurnia Allah SWT. Lakukanlah apa yang diperintahkan dan tinggalkan apa yang dilarang.Inilah kunci kasih sayang Allah kepada hamba-hambanya. Cubalah amalkan.Mana tau berhasil.Amin

Selasa, 4 September 2012

Jaman Edan. Ora Edan Ora Kedhuman


Dimana kedudukan negara umat Islam???


"Jaman Edan. Ora edan ora kedhuman" ungkapan yang keluar dari lubuk hati Ronggo warsito, seorang pujangga 1802 M. Sebagai seorang pegawai tinggi di istana raja, beliau melihat banyak penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai-pegawai istana.

Keadaan negara waktu itu, sudah semakin merosot.keadaan urus tadbir negara telah rosak, kerana sudah tak ada yang dapat diikuti lagi. Sudah banyak yang meninggalkan petua-petua/aturan-aturan lama.

orang cerdik cendiakiawan terbawa-bawa dengan arus perdana kebejatan. Suasananya begitu mencengkam sanubari kerana dunia penuh dengan kekacauan dan kefasadan. Penyalahgunaan kuasa yang berleluasa dilakukan secara berjamaah dan telah menjadi amalan kebiasaan dikalangan penjawat awam. 'Kegilaan' dalam penyalahgunaan kuasa seperti rasuah ini menjadikan semua urusan boleh beres jika ada 'pelincirnya'.Orang baik-baik pun terikut sama dalam kitaran ini untuk kelangsungan budaya yang sudah mewabak.

Ronggo menyebut dengan penuh keikhlasan kepada orang baik dan yang cuba mempertahankan nilai baik "anda tidak akan mendapat habuan dan bagian".

Adakah hari ini kita di Malaysia, sedang melalui zaman edan seperti yang ditempuhi oleh insan seperti Ronggo ini? Agak sukar untuk kita menafikan atau menyembunyikan kefasadan dan kemungkaran yang berlaku dizaman langit terbuka hari ini.

Percayalah, bahawa Allah Maha besar dan Maha Mengetahui. Orang Melayu bermadah : Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Orang Arab berhikmah : " Sepandai-pandai Pandai Besi, kadang ia terketuk jarinya jua" .

Jadi, bertaubatlah kepada Allah swt kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang yang bertaubat. Bertaubatlah dengan Taubat Nasuha kerana perjalanan hidup manusia bukan setakat mati didunia tetapi semua makhluk yang bernama manusia akan dibangkitkan kelak untuk dihitung dan dihisab segala amalannya semasa hidup didunia.



Perkongsian Pintar atau Penyebar Fitnah

Berpeluk dikhalayak ramai tanpa rasa malu dan segan..

Sudah hampir setahun blog ini terbiar bersawang. Benar-benar lama terbiar. Alasan biasa.sebok.sebok.sebok. Komitmen baru sebagai orang politik dan 'orang masjid' memerlukan perhatian masa dan tenaga yang lebih.


agak susah sebenarnya untuk memulakan penulisan sekiranya otak kita terbiar lama tidak dipaksa untuk menulis.Ia umpama pisau sembelihan yang akan menjadi tumpul dan berkarat jika tidak diasah dan digunakan.


Topik menarik yang menjadi tumpuan wak sekarang ini berkisar isu politik. senario semasa diMalaysia hari ini terlalu banyak perkara yang menarik untuk dianalisis dan diperhatikan. Sikap dan pandangan orang-orang politik, pengalisis dan pengamat politik juga semakin kritis dan berani.Mereka bebas menyatakan pandangan dan fikiran mereka dalam media-media elektronik seperti blog dan fb.


Blogger-blogger politik ini ada yang menulis dengan santai dan ada yang serius.Pandangan yang dikemukakan dalam tulisan mereka ini diikuti secara dekat oleh berbagai lapisan masyarakat dan usia. Ada pembaca aktif dan ada pembaca pasif. Hakikatnya media alternatif ini memberikan banyak pencerahan dan pendedahan yang sebelum ini banyak disembunyikan oleh pihak yang memerintah.


Penulis-penulis dan pembaca-pembaca blog ini harus ingat dan sedar. sebenarnya segala bicara dan apa yang mereka tulis dan paparkan itu sedang dipantau oleh Allah Subhahanu wa taala. Sekiranya tulisan yang mereka dedahkan itu benar, maka mohonlah kepada Allah agar kebenaran yang sebenar-benarnya akan tersingkap.Sekiranya kebenaran yang cuba dibawa kepermukaan itu adalah fitnah dan ghibah, maka mohonlah kemaafan daripada mereka yang berkenaan dan yang lebih penting ialah keampunan dari Allah Swt.


Janganlah sampai apa yang kita tulis dan sebarkan itu menjadi khabar-khabar dusta dan fitnah yang menjadikan umat semakin rosak dan sakit. Allah swt telah memberikan panduan yang jelas kepada umat dalam mendepani perkara ini :


"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan".
Al Hujurat : 6


Jadi, jika ada sms, emel, artikel2 yang belum pasti kebenarannya, janganlah kita ghairah untuk menyebarkannya kepada orang lain.Ini lebih selamat dunia dan akhirat. Anda bagaimana?