Khamis, 12 November 2009

Mengemudi Bahtera Penyelamat


Baru-baru ini Wak berkesempatan untuk mengikuti satu program Wacana Ilmu di Kajang. Panel forum yang menjadi pembicaranya ialah Prof Madya Dr Abd Halim el Muhammadi dan Dato’ Hashim Yahya.


Topik perbincangan ialah Memperkukuhkan Faham Ahli Sunnah wal Jamaah ; Isu dan Cabaran. Dr Abd Halim menceritakan kajian tentang sejarah kemunculan Fahaman yang menggelarkan diri mereka sebagai Pembaharuan, Gerakan pemodenan, Muslim progresif dan sebagainya.

Dato’ Hashim Yahya pula menjurus terus kepada isu Dr Asri dan fahaman yang dibawanya. Berbagai fahaman yang lebih bersifat khilafiah cuba ditimbulkan kembali dalam masyarakat hingga timbul kekeliruan. Banyak amalan baik yang telah sebati dalam amalan hidup masyarakat Islam seperti bertahlil dan berzikir lepas solat dianggap bidaah yang menyesatkan dan boleh membawa ke neraka.

Bahkan ada ungkapan-ungkapan yang berbau ektrim seperti “ orang yang berzikir kuat dimasjid selepas solat seperti anjing yang melolong dimasjid!” Dan banyak lagi ungkapan-ungkapan yang bersifat menghina dan mempersendakan amalan-amalan mulia orang Melayu Islam yang dilabel sebagai sesat dan menyesatkan.

Keributan dan kekeliruan yang sengaja dibuat ini menyebabkan masyarakat menjadi terlalu sebok dengan perkara-perkara furu’ dan khilaf yang akhirnya boleh membawa kepada perpecahan dan pergaduhan dikalangan masyarakat. Ada ahli keluarga yang berpecah-belah kerana isu talkin dan tahlil. Ada anak yang mahu bertahlil dan ada yang menentangnya. Akhirnya keluarga jadi berantakan dan berpuak-puak. Ini bukan ajaran Islam! Maqasid syariah bukan untuk mengajak umat berpecah belah.

Kesibukan umat dalam menangani isu ini menyebabkan golongan muda terabai dan banyak masa terpaksa digunakan untuk meredakan keadaan ini. Berbagai seminar dan wacana terpaksa diatur untuk memberikan penjelasan dan penerangan. Berbagai buku terpaksa ditulis dan diterbitkan untuk memberikan maklumat dan ilmu kepada umat. Akhirnya kelompok muda yang dahagakan perhatian dan bimbingan orang dewasa terabai dan mereka lebih selesa dengan dunia mereka sendiri.

Wak sendiri, rasanya tidak banyak program yang melibatkan golongan remaja dan belia yang sempat dibuat untuk tahun ini. Walaupun ada pihak lain yang menganjurkan program remaja dan belia tetapi masih tidak dapat menampung jumlah remaja dan belia yang begitu ramai jumlahnya. Kalau diselangor, lebih dua juta penduduknya adalah dari kalangan bawah usia 40 tahun! Lebih separuh darinya adalah belia Melayu yang beragama Islam! Jadi persatuan Belia Islamnya pasti kena lebih aktif bergerak. Bergerak dalam erti kata mengemudi bahtera penyelamat. Persatuan Belia Islam mesti memegang kompas haluan bahtera kearah cara hidup Islam. Mereka mesti menjadi juragan. Mereka perlu menjadi Bahtera Penyelamat. Wak yang dah tua ini Cuma memberi ingatan..Wallahu a’lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan