Khamis, 12 November 2009

Bila Amanah Menjadi Dagangan..

Wak dan kawan-kawan memang menyedari bahkan sangat menyedari tentang gejala sosial yang semakin gawat dan menggugat kedamaian umat. Saban hari Wak menerima banyak permohonan untuk menempatkan remaja perempuan yang mengandungkan anak hasil perzinaan.

Hari ini sahaja ada tiga permintaan untuk mendaftar masuk ke Rumah Perlindungan Wanita Darul Wardah. Tujuan asal rumah ini bukanlah untuk menampung Mak Buyong yang mengandung kerana berzina tetapi untuk membantu wanita yang menjadi mangsa dera, konflik agama dan keganasan rumah tangga. Tetapi nampaknya yang selalu datang menelefon adalah remaja-remaja dan belia-beliawanis sama ada yang masih belajar di IPT atau pun yang sudah bekerja.

Menyedari hal ini Wak cuba mengajukan kepada pihak Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu mengatasi masalah dan fenomena ini. Wak dan kawan-kawan menyediakan tiga proposal khas untuk remaja.
1. Program Bahagia Menjadi Gadis ( BMG )
2. Remaja Nafas Baru ( RnB )
3. Aku Teruna Terhebat ( ATT )

Wak ajukan kertas tersebut kepada Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial diperingkat Negeri yang diketuai oleh YB Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan. Wak juga pernah dua kali menghadiri mesyuarat besar bersama pelbagai pihak termasuk PBT. Wak tahu pihak kerajaan memang serius untuk menggerakkan program menangani gejala sosial ini.

Selepas beberapa minggu menanti, akhirnya wak diberitahu bahawa program untuk menangani gejala sosial ini telah diserahkan kepada pihak lain. Melalui maklumat yang wak terima ada 5 syarikat perunding yang telah dilantik untuk menggerakkan program tersebut.Tidak ada NGO yang terlibat.alasannya bajet terhad.

Wak tak kisahlah kalau pihak Kerajaan Negeri tidak berminat untuk menerima pelawaan dan tawaran kami ( NGO) . Kami tahu bahawa kami bukanlah pemain utama atau panglima ternama dalam kerajaan Pakatan Rakyat. Cuma sekadar rakyat marhaen yang ingin membantu. Tetapi wak mendapat maklumat bahawa pihak yang diberikan mandat untuk menggerakkan program tersebut adalah dari kalangan jawatankuasa atau suku sakat mereka sendiri. Wak harap maklumat ini tidak benar.

Wak tak kisahlah kalau orang lain yang melaksanakannya tapi bukan dari urusetia atau jawatankuasa yang merancang dan mereka juga yang melaksana. Lebih baik tak payah tubuh jawatankuasa dan tidak perlu mesyuarat yang meleret-leret. Kawan wak kata : “apa bezanya kerajaan dulu dengan sekarang? Nampak macam seghope aje…dengan nada sinis.

Kawan wak yang merasa tidak puas hati terus mengatakan bahawa, “perkara ini tidak adil! Demi kebenaran dan keadilan, kita mesti adu ke SPRM!” Wak sabarkan mereka kerana niat kita adalah untuk membantu mendidik dan memandu ummat dalam Bahtera Penyelamat. Kita bukan hendak berebut harta rampasan perang.Kita bukan kelompok pemanah yang lari dari posisi strategik semata-mata ingin mengaut harta ghanimah selepas tentera Islam mencapai kemenangan dalam Perang Uhud.

Wak serahkan kepada Allah kerana hanya Dialah yang Maha Mengetahui isi kebenarannya. Yang Benar tetap benar dan Yang batil tetap batil. Allah tetap bersama orang yang benar. Teruskan perjuangan …demi Allah, demi Islam.Sesungguhnya Amanah bukan barang dagangan...

1 ulasan:

  1. Salam wak Juragan,
    Tajuknya best.. Amanah jadi Dagangan. Beli je Unit Amanah@unit Trust dari saya.

    UTC PM.

    BalasPadam