Selasa, 11 Ogos 2009

Apanya Arak ?


Sejak kebelakangan ini surat khabar Malaysia dipenuhi dengan berita-berita sensasi yang menjurus kepada politik. Sebelah pihak akan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengganyang pihak yang satu lagi. khalayak Pembaca dan pendengar diajak untuk turut sama dalam polemik yang sebenarnya hanya banyak membuang masa. Sesuatu isu bukan dibincangkan atas dasar kebenaran dan yang hak tetapi lebih kepada memenangi dan menjuarai isu demi mendapatkan sokongan dan meraih simpati.

Wak rasa, sebagai insan yang dianugerahkan akal dan kebijaksanaan oleh Allah SWT, eloklah kita gunakan akal kita yang sudah mula berkarat itu kerana jarang digunakan untuk memikir dan menganalis berita dan maklumat yang diperolehi dari media dan sumber maya.

Kaedah berfikir pula mestilah dilandaskan kepada syariat dan hujah nas-nas Al Quran dan Al Hadis.Bukan akal logik semata-mata. Kebenaran mestilah diletakkan atas prinsip Ilahi bukan atas peraturan ciptaan manusia semata-mata.

Contohnya, isu arak. Kenapa baru sekarang ia dijadikan bahan perbualan hangat dimeja-meja warung kopi hingga ke mimbar masjid.Kenapa tidak ada langkah konkrit dan mapan untuk tempoh masa yang panjang tentang keburukan arak. Kita jarang mendengar kempen besar-besaran tentang bahaya arak sebagaimana yang dibuat ke atas dadah dan rokok.

Sepatutnya rakyat negara kita sudah mempunyai kesedaran tentang bahaya arak dan petaka besar yang bakal menimpa kesan dari arak terutamanya kepada semua penganut-penganut agama Islam. Kesedaran yang timbul menyebabkan mereka akan memandang jijik dan loya kepada arak bukan tidak merasa apa-apa atau lebih teruk lagi bila ia berbangga dengan jenis minuman keras yang ditonggangnya.

anak-anak muda muslim hari ini, sebahagiannya sudah tidak kisah dengan hukum agama kerana faktor kurangnya didikan agama dan latar belakang keluarga yang memang begitu. pelajar-pelajar sekolah pun sudah berani membeli minuman keras di kedai-kedai serbaneka yang banyak bertaburan dipekan-pekan dan bandar-bandar dinegara ini. Mereka akan menuangkan minuman keras tadi dalam plastik dan disedut dengan straw supaya tidak disedari oleh masyarakat dan orang ramai.

apakah yang dapat dilakukan oleh seorang anak muda yang sudah hilang kewarasan akal kerana asyik dengan dunia mabuk dan fantasi palsu yang direkanya sendiri?
agaknya apa yang mereka akan lakukan apabila minda sedar mereka sudah berada dilutut kaki?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan