Selasa, 21 Disember 2010

EXPLORASI AMAL BELIA PERKUKUH UKHUWWAH PERTEGUH JIWA DAIE

25 – 29 November 2010 M ( khamis – Isnin )

Explorasi kali ini agak berbeza dengan misi yang pertama ( Sumatera Barat ). Perjalanan kali ini kami berkonvoi dengan kereta dari Selangor menuju ke Kelantan ,kemudian kami menyeberang ke Thailand dan menyewa kenderaan Thailand. Menurut En Wan Rahman, seorang aktivis global Peace Mission ( GPM ) - kaedah ini lebih mudah kerana terlalu banyak road block sepanjang jalan. Menggunakan kenderaan mereka lebih mudah dan tidak ada soal jawab lagi.


Dalam misi yang pertama kami menggunakan Kapal terbang dan Feri Ekspres untuk menyeberangi Selat Melaka dan menggunakan bas untuk mengembara ke destinasi yang telah ditentukan.

Misi kedua kali ini lebih ramai iaitu 31 orang berbanding misi yang pertama seramai 25 orang sahaja. Kami memilih Selatan Thai kerana inilah wilayah umat Islam yang terpinggir dan sentiasa bergolak dengan tragedy pembunuhan, pembantaian dan konflik berdarah yang berterusan. Misi kami kali ini ialah untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang hakikat sebenar keadaan umat Islam di sana dan mengikuti perkembangan dakwah Islamiyyah di sana.

Tema Program kali ini masih dikekalkan iaitu ABIM SELANGOR PRIHATIN.

SOLAT JUMAAT DI MASJID AGUNG GUA MUSANG

Kami tiba di Gua Musang pada pukul 12.30 petang. Kami ada masa 30 minit untuk makan tengahari. Istimewanya makan tengahari ini ialah masakannya disediakan oleh para penghuni darul Wardah. Lauk yang dimasak ialah daging korban yang memang telah diperuntukkan 10 kilo untuk sajian makan pagi dan tengahari. Daging lembu dimasak merah sungguh menyelerakan. Ditambah pula dengan nasi panas yang disimpan dalam bekas nasi khas dan sambal bilis yang boleh tahan sedapnya.

CERITA SEBUAH TANDAS

Semasa kami menggunakan tandas masjid untuk menyelesaikan urusan biologi diri ternyata keadaan tandasnya sangat mencabar. Ada pintu yang tidak berkunci hingga terpaksa dipegang ketika kita sedang sebok berurusan. Kadang-kadang ada pengunjung yang datang tergopoh-gapah dan terus menolak pintu, nasib baik aku dah sedia untuk menahan. Kalau tidak selamat jalan lah..Selain keadaannya yang kotor dan kurang diberi perhatian, kedudukannya juga agak jauh dan sekiranya ada jemaah yang bermasalah dalaman mungkin tak sempat sampai..Lokasi jemaah wanita juga kurang diberi perhatian kerana kedudukannya dilaluan lelaki hendak ke tandas.

Sebagai sebuah negeri yang mengangkat kedaulatan dan kesucian Islam, perkara-perkara kecil seperti ini seharusnya telah selesai. Jangan pula ia menjadi kudis yang sentiasa perlu digaru setiap kali terasa gatal. Mula-mula menggaru memang terasa sedap tapi kalau sudah menjadi kurang ia akan menimbulkan rasa tidak selesa dan memberikan rupa hodoh dan tidak cantik kepada gadis yang cantik rupawan. Kepada semua peserta eksplorasi dan pembaca semua marilah kita sama-sama membersihkan rumah Allah ini secara sukarela. Jika semua orang sukakan kebersihan saya yakin kita boleh menumpukan kepada kerja-kerja lain yang lebih utama.

Destinasi pertama – Islamic Outreach ABIM – IOA Cawangan Kelantan

Kami tiba di Kok Lanas mengikut jadual yang ditetapkan. Kami menukar rancangan kerana beberapa masalah teknikal yang tak dapat dielakkan. Pada mulanya kami akan ke Kota Bharu untuk sesi bersama pimpinan ABIM Kelantan tetapi diawalkan kerana kami akan menginap diKota Bharu. Keadaan Pusat latihan ini kurang sesuai kerana kerja-kerja ubahsuai dan naik taraf sedang dijalankan. Jadi kami terus singgah di IOA ABIM di Kok Lanas.

Tujuan utama penubuhan pusat latihan ini ialah untuk melatih dan mendidik orang-orang asli dengan ajaran Islam yang sebenar. Selain dari orang asli di sini juga diadakan program untuk anak-anak muallaf dan miskin dari keturunan Pattani, Rohingya dan lain-lain. Menurut Ustaz Hj Kamarudin, Timbalan Eksekutif Pusat ini “ Pusat ini asalnya adalah Pusat Penternakan Lembu milik KESEDAR tetapi tidak diteruskan dan terbengkalai. Pihak ABIM telah memohon tempat ini untuk dijadikan pusat latihan dakwah dan diluluskan”.

Ketika rombongan kami tiba, beberapa orang anak orang asli dan Rohingya sedang mengikuti program pengukuhan jatidiri Islam. Sempena musim cuti sekolah mereka akan mengikuti program tentang amalan ibadah seperti Solat, Zikir dan membaca Al Quran.kebanyakan anak-anak orang asli ini datang dari daerah Gua Musang.

Kunjungan singkat ini banyak memberikan informasi tentang kerja-kerja dakwah bil hal dan kerja-kerja lapangan. Kemudian kami bergerak ke Kota Bharu untuk singgah di Kompleks Al Hikmah milik ABIM Kelantan. Oleh kerana waktu itu adalah masa puncak sesak jadi kami memilih untuk mengikut jalan alternatif malangnya ada dua buah kereta telah terlepas arah dan kami terpaksa menunggu beberapa minit lagi.

Perjalanan agak perlahan kerana banyak lampu isyarat dan kami terpaksa berhati-hati setiap kali tiba dilampu isyarat agar tidak ada lagi kereta yang tertinggal.
Komander Logistik, sdr Zahrullail sentiasa memantau dan mengingatkan para pemandu semua supaya bergerak rapat dan berhati-hati memandu. Memang agak sukar bila berkonvoi kerana disiplin diri dan patuh pada arahan adalah pelajaran yang paling penting sekali. Kami tiba dilokasi sangat lewat. Kami tiba ketika azan Maghrib dikumandangkan dan kami disambut oleh beberapa orang pimpinan ABIM Kelantan yang menunggu sejak pukul 5.00 petang lagi!

DAYA KEPIMPINAN TERUJI

Ketika Muhammad Al fatih memimpin penaklukan Kota Kostantinole usianya baru mencecah 21 tahun. Ketika itu beliau memimpin ratusan ribu bala tentera dari berbagai peringkat untuk menggempur tentera musuh di Istanbul. Tiba-tiba lamunan aku tersentak apabila SMS henpon aku berbunyi “ ada dua buah kereta terlepas laluan. Mereka sedang berpatah balik” . Ini baru kafilah kecil..bagaimana agaknya kalau beratus ribu!..boleh semput dan sakit jantung dibuatnya.Namun dalam pengembaraan seperti ini hanya sabarlah kunci kepada kejayaan..kerana tidak sabarlah Nabi Musa hampir gagal dalam explorasinya bersama Nabi Khidir..


MALAM DI KOTA BHARU


Malam itu cuaca cerah walaupun sesekali hujan gerimis turun meraikan kehadiran kami di sini. “Sekarang dah masuk musim tengkujuh. Biasanya hujan turun siang dan malam. Kejadian banjir adalah perkara biasa . Kalau nasib kurang baik, banyak jalan ditutup kerana banjir” kata seorang rakan yang telah lama dibesarkan diKelantan.

Selepas maghrib, kami dijamu dengan ayam goreng berlauk nasi! Wah hebat bunyinya tu…Ayam goreng yang dibungkus bersama nasi memang bersaiz besar sampai terkeluar lutut ayam dari bungkusan. Semua orang makan dengan penuh selera kerana kelaparan. Selepas kekenyangan dan keletihan seorang peserta berseloroh : “ Barulah boleh nak senyum”.

Selepas selesai sesi pengisian jasmani, kami mengadakan sesi ramah mesra dengan beberapa orang pimpinan ABIM Kelantan. Kami mengadakan sedikit ta’aruf ringkas terutamanya tentang misi eksplorasi ini. Kami diberikan penerangan tentang Kompleks Al Hikmah ini oleh YDP ABIM Kelantan Ustaz Faisal Abdullah. Banyak idea dan pengalaman mereka dalam kerja-kerja dakwah, pembangunan ekonomi, perancangan dan pengukuhan Gerakan yang dapat dipelajari dari mereka.

Selain dari program pendidikan seperti TASKI ( Taman Asuhan Kanak-kanak Islam ) dan SRI ( Sekolah Rendah Islam ) , ABIM Kelantan juga mempunyai projek-projek ekonominya sendiri seperti program ICT dengan MOSTI – Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Program Pengurusan Tawhidic bersama YaPIEM dan yang terbaru ialah perkhidmatan Hostel dan Homestay.

Kami diberi peluang untuk tidur dan merasai keselesaan bilik hostel tersebut. Biliknya memang selesa kerana berhawa dingin. Cuma bilik air dan tandasnya perlu ditingkatkan kerana ada yang kurang berfungsi dengan baik. Oleh kerana semua orang telah keletihan kerana perjalanan yang jauh akhirnya semua terus terlena apabila kepala mencecah ke bantal.

Cuma ada sesuatu kenangan yang kurang manis apabila ada salah seorang peserta – Ustazah Hazlina - yang tidur dalam bilik yang berkunci telah kehilangan modem broadband. Beliau amat yakin barang itu diletak diatas meja selepas digunakan dan apabila pagi hanya tali penutup sahaja yang tinggal. Walaupun telah puas dicari oleh beberapa orang pasukan pencari tetapi tidak juga ditemui.

PAK IMAM YANG MINTA DIINGATKAN

Semua peserta bangun awal dan sempat untuk bertahajjud diMasjid Al Hikmah. Ketika solat subuh, Pak Imam bertugas membaca surah Al Ghasyiah. Ketika tiba pada ayat “ fazakkir” dia terlupa untuk ayat seterusnya. Ramai yang menegurnya “ Innama anta muzakkir” tetapi dia tetap tidak dapat meneruskannya sebelum dia beralih ke surah yang lain. Yang menimbulkan rasa ketidak khusyukan aku ialah dia terlupa pada perkataan yang terjemahannya harfiyahnya :” maka ingatkanlah” dan ramai jamaah yang menjawab: “ Sesungguhnya kamulah orang yang mengingatkan!”..malangnya dia tidak dapat juga mengingat ayat seterusnya…syaitan al Khannas tentu gembira..

Semasa kuliah subuh yang disampaikan oleh Ustaz Tajudin, aku tengok pak Imam tu tepuk dahi beberapa kali.Mungkin hatinya geram kerana kali ini dia tertewas dan yang paling dikesalkan ialah kerana dibelakangnya ramai ustaz dan aktivis dakwah. Selain dari rombongan kami, pagi itu ramai juga peserta Kursus Usahawan HPA yang berprogram disitu. Pengajaran dari peristiwa ini sangat bermakna kepada semua peserta eksplorasi khususnya pada diri aku sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan