Selasa, 21 Disember 2010

EKSPLORASI FASA DUA BERMULA

Selepas kuliah subuh kami semua terus bersiap dan berkumpul. Komandan memberikan beberapa arahan dan peringatan sebelum kami berangkat. Doa Musafir dipimpin oleh Ustaz Zawawi selaku YDP ABIM Selangor. Dalam perjalanan menuju ke Pengkalan Kubor, Ketua unit Logistik, Sdr Zahrullail sekali lagi memberikan arahan melalui SMS “ This your captain speaking, we on 45 minute journey to pengkalan kubor. We gonna stop at Wakaf baru for breakfast. Should you require any assistant , pls do not hesitate to contact me. Have a nice & safe jurney..”

Kami singgah disatu warong yang agak popular dengan masakan gulai ayam kampung. Memang sedap dan semua makan dengan bersungguh-sungguh. Ada yang menambah sepinggan lagi kerana mungkin sebab sedap dan lapar.Maklumlah anak muda sedang membesar.

MENYEBERANG SUNGAI GOLOK

Kami meletakkan kereta kami di kawasan parkir LKIM( lembaga Kemajuan Ikan Malaysia ) . Sedikit bayaran dikenakan. Sehari Rm5. Lokasinya betul-betul ditebing muara sungai Golok. Aku bimbang juga kalau hujan berterusan dan air naik hingga ke tebing. Tetapi mengikut pengalaman yang sudah-sudah belum ada kejadian air naik ke tebing lagi. Kami semua hanya berserah tawakkal kepada Allah. Mudah-mudahan selamat. Hujan renyai-renyai masih berterusan. Selepas melepasi pemeriksaan imegresen kami menaiki bot penambang. Tiket untuk dewasa Rm1 dan kanak-kanak Rm0.50. Perjalanan hanya memakan masa 3-5 minit sahaja.

Berpuluh-puluh bot beroperasi membawa penumpang dari Malaysia ke Thailand setiap hari. Aktiviti yang telah perdagangan ini telah bermula lama apabila Sungai ini menjadi batas pemisah antara dua Negara. Ramai penduduk sempadan yang mempunyai saudara mara dan kerabat dipesisir sempadan dan mereka terus berhubung dengan bebas walaupun dibatas dengan sempadan politik dan geografi .

Menurut cerita orang lama di sini, apabila malam, banyak bot-bot yang membawa barangan berulang-alik antara dua Negara dan dengan jarak yang terlalu dekat agak sukar untuk menguatkuasakan undang-undang. Patutlah ada orang-orang penting dan popular bahkan penjenayah yang boleh bolos dan lepas..Ini satu pengalaman baru.



RUMAH SENTUHAN SANUBARI AYATA


Destinasi kami yang pertama ialah Rumah Sentuhan Sanubari AYATA – Rumah Anak Yatim Takbai adalah sebuah Pusat aktiviti pembelajaran dan perhubungan sosial untuk anak-anak yatim Takbai.Ia terletak di Kampung Tabal, Takbai, narathiwas. Lokasinya hanya beberapa meter dari jeti pendaratan dan pejabat imegresen Takbai. Oleh kerana gerimis kami diangkut dengan kereta dan kenderaan mereka ke rumah Sentuhan sanubari ayata. Begitulah nama yang mereka beri. Nama yang penuh dengan sentuhan emosi.

Ia ditubuhkan badan Kebajikan Anak Yatim Taba.Ia mula beroperasi pada 29 April 2003.Kini sudah ada 66 orang anak yatim lelaki dan 31 orang perempuan. Selain anak-anak yatim, anak-anak fakir miskin juga turut dibantu.

Disebelah masjid itu ada madrasah pendidikan Islam yang dipanggil Tadika ( Taman Didikan Kanak-kanak ) untuk anak-anak sekolah rendah. Ada lebih 1100 orang pelajar yang diasuh oleh 27 orang guru sukarela yang hanya mendapat sedikit elaun atau saguhati yang sangat minimum.

Anak-anak yatim disini tidak diletakkan dirumah perlindungan tetapi mereka kekal tinggal bersama keluarga Cuma bantuan dan sumbangan akan disalurkan kepada mereka. Di Pusat pendidikan ini mereka akan diberikan pengajian Al Quran dan Tahfiz Al Quran, Pengajian Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris. Selain dari itu mereka juga akan mengikuti program-program qiamullail, aktiviti-aktiviti kerohanian dan perayaan Islam yang lain.

Kami tiba sejam lebih awal sejam kerana waktu di Thailand diundurkan 60 minit. Hujan mula turun agak lebat dan kami semua terpaksa berteduh di dewan bersama dengan anak-anak yatim beraktiviti bersama pasukan motivasi yang diketuai oleh Sdr Azam. Pasukan yang membuat kajian lapangan bersama masyarakat tidak dapat bergerak kerana hujan terus turun dengan lebatnya.

Selepas aku menyampaikan sedikit ucapan penghargaan dan sambutan kami didendangkan lagu yang disampaikan oleh anak-anak AYATA. Suaranya mendayu-dayu mengharap bantuan dan menagih simpati dari pendengar hingga ada yang mengalirkan air mata. Lantas aku teringat cerita 3 Abdul..P Ramlee memberikan mereka inspirasi kerana lagu tolong kami bantu kami itu memang berkesan dan boleh menyentuh sanubari hati nurani insan .

PROGRAM BAHASA INGGERIS

Sebenarnya sebahagian dari mereka pernah dibawa ke ABIM Klang untuk program intensif Bahasa Inggeris. Mereka diajar siang dan malam oleh guru-guru sukarela yang bersedia membantu untuk meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris agar mereka dapat bersaing dan memajukan diri dan keluarga mereka.
Mereka juga turut menunjukkan bakat terpendam dengan menyampaikan sebuah lagu Inggeris yang bertajuk ‘Give thanks To Allah’.

Give Thanks to Allah
For the moon and the star
Praise him all day for
What is and what was
Take hold of your iman
Don’t give it to syaitan
Oh you belive please give thanks to Allah
Allah ghafur Allah rahim Allah Yuhibbul Muhsinin
Huwa Khaliquna Huwa razikuna Wa hua ala kulli syaiin qadir
Allah is Ghafar, Allah is rahim Allah is the one who loves the muhsinin
He is creator
He is sustainer and he is the one who has power over all


Rata-rata penduduk di sini berada dalam keadaan hidup yang miskin, Kebanyakannya bekerja sebagai nelayan atau penoreh getah. Ada yang berniaga dan membuat beberapa kerja dari rumah seperti jahitan dan makanan ringan.


MENYELAMI HATI NURANI UMAT


Kami berbual-bual dengan beberapa orang AJK masjid dan AJK AYATA . Banyak juga maklumat yang kami terima berkenaan dengan situasi sebenar di Takbai. Kami juga bertanya tentang beberapa isu panas yang beralaku di daerah ini seperti Tragedi Takbai iaitu kejadian demostrasi yang mengorbankan ramai orang lelaki pada tahun 2007. Menurut mereka kebanyakan yang terlibat kebanyakannya bukan dari Takbai. Mereka datang dari daerah dan kampung lain. Namun peristiwa itu menjadi sangat trajis dan membekas dalam ingatan dan sanubari umat Islam di Thailand. Ia sentiasa diingati sebagai salah satu tanda kekejaman dan kezaliman Kerajaan Thailand ke atas umat Islam di Selatan.

Kami diberitahu bahawa ada dikalangan penduduk di sini yang mengusahakan industri jahitan. Produk yang paling popular sekarang ini ialah tudung. Peserta wanita telah dipelawa oleh salah seorang AJK wanita ke rumah salah seorang penduduk yang mengusahakan jahitan tudung.Harga yang ditawarkan memang murah dan hampir semua peserta membelinya dan ada yang memborongnya.

Menurut ustazah Hazlina “ jenama Murni ini ada dijual diKuala Terengganu dengan tawaran ‘Harga Maut’ tetapi masih mahal jika dibandingkan dengan harga di sini”. sebagai tanda kenangan dan terima kasih mereka semua diberikan tudung percuma.Kalau ada sahabat HELWA yang berminat nak buat bisnes tudung bolehlah datang sini .

MADRASAH ISLAM PELANJUT GENERASI PEWARIS

Kami berkesempatan melawat madrasah yang dikelolakan oleh pihak masjid Jamik Takbai. Madrasahnya sangat sederhana dan masih banyak perlukan bantuan. Banyak bangunan usang dan amat dhaif sekali. Bangunan yang baru yang didirikan masih belum siap lagi dan Nampak lama telah terbengkalai. Pihak kerajaan Thailand memang tidak akan membantu madrasah seperti ini. Ia hanya bangun dan tegak dengan sumbangan dan semangat perjuangan umat muslim di sini.

Sementara menunggu waktu solat zohor, kami bertemu dengan seorang saudagar kopiah yang singgah solat dalam perjalanannya ke Pattani. Beliau memang selalu berulang-alik ke Selangor.lebih tepat lagi ke Subang jaya. Beliau mengekspot barang-barang tekstile terutama barangan keperluan ibadah dan busana muslim ke Malaysia.
Beliau sangat teruja dengan pertemuan ini dan menghadiahkan semua peserta lelaki dengan kopiah buatan Pattani yang popular sekarang ini. Ada seorang peserta yang marah-marah kerana telah membeli kopiah yang sama dengan harga Rm40 sedangkan disini harganya tak sampai separuh pun. Itu namanya bisnes. Kalau nak bisnes kopiah pattani jumpalah dengan saudagar ini. nak no contact boleh jumpa YDP.

KENDERAAN MEWAH ALA ALPHARD

Perjalanan kami di sini menggunakan kenderaan milik rakyat tempat. Ini juga sebagai salah satu usaha untuk membantu meiningkatkan ekonomi umat di sini. Kenderaan van jenis Toyota 2.5 ini mampu membawa 14 orang penumpang. Kami rasa beruntung kerana kenderaan yang disewa sangat selesa kerana masih baru. Ada yang baru dua minggu beli. Plet keretanya pun masih merah lagi. Disini plet merah maknanya percuma untuk tempoh tiga bulan.

bersambung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan