Khamis, 1 Julai 2010

Sulitnya Mempertahankan Iman

Apa khabar semua? Syukur al hamdulillah…Wak sihat dan ceria. Cuma sejak kebelakangan ini banyak urusan dan tugasan. Tak sempat nak mencatat walaupun banyak perkara yang berlaku. Wak mula mencatat kerana nak berkongsi dengan orang lain. Wak juga rasa elok kalau semua orang dapat mencatat dan berkongsi cerita dan pengalaman. Ini kerana banyak perkara yang berlaku sebenarnya boleh dijadikan sumber pelajaran dan iktibar.

“Belajarlah dari pengalaman hidupmu tetapi lebih baik belajar dari pengalaman orang lain” kata seorang ahli hikmah. Disini Wak nak mencatat beberapa perkara berkaitan dengan pengalaman Wak dalam lapangan dakwah. “Menurut ilmu dakwah, yang dikatan dakwah itu ialah mengajak orang masuk Islam. Kalau mengajar dan mendidik orang yang sudah Islam itu namanya tarbiyyah” kata naqib yang mengajar wak dalam usrah. Kali ini wak nak kongsi kisah benar seorang saudara kita antara yang terbaik dikalangan kita.

Cerita 1
Saudara Y masuk Islam lima tahun yang lalu. Beliau berkahwin dengan seorang wanita India Hindu dan mempunyai 4 orang anak. Kemudian berpisah dan berkahwin pula dengan seorang wanita Muslim. Y telah mempelajari Islam dalam kursus-kursus anjuran MAIS dan pernah diangkat menjadi peserta terbaik.

Bapa Y adalah seorang Hindu dan menjadi AJK kuil Hindu yang terbesar di KL. Dia juga banyak mendapat asuhan dari keluarganya tentang selok belok agama Hindu dan mahir membaca kitab Veda. Beliau mahir berbahasa Inggeris dan mempunyai azam yang tinggi untuk mengubah hidup menjadi insan beriman dan Berjaya. Sejak memeluk Islam beliau telah ‘dibuang’ oleh ahli keluarganya.

Banyak masalah keluarga yang kecil menjadi isu besar yang menyebabkan berlaku pergaduhan dan perbalahan besar. Akhirnya isterinya melarikan diri dan dibawa oleh seorang rakannya ke Darul Wardah.

Sejak kebelakangan ini beliau sentiasa mendapat tekanan dari keluarganya terutama abang-abang kandungnya sendiri. Isu besar biasanya berkaitan kewangan tetapi berkaitan dengan hal agama pilihan. Memandangkan Y sendiri sedang bergelut untuk menyara keluarganya sendiri seramai 5 orang itu mereka sentiasa meminta yang bukan-bukan.

Y hampir bergaduh dengan abang-abangnya kerana mereka mula mengaitkan Islam dalam konflik mereka.” Inilah sikap orang Islam, tidak menepati janji” Kata abangnya ketika mereka meminta wang yang dijanjikan. Memandangkan Bisnes ‘Car wash & Polish’ yang diusahakannya kini sedang menghadapi masalah, dia memang dapat melunaskan hutang lamanya.

Projek Cuci dan Gilap

Semasa mula-mula berpindah ke tempat baru, wak usahakan mencari kerja untuk Y mencari nafkah. Kerja yang ada hanyalah sebagai sekuriti disebuah sekolah. Kerja 7 pagi – 7 malam. Y tiada pilihan dan menerima kerja tersebut. Pihak Darwa meminjamkan basikal yang disumbangkan oleh pihak Universiti Malaya kepadanya. Selepas beberapa bulan bekerja Y mengadu dia tidak dapat menunaikan solat jumaat kerana terikat dengan masa kerja. Wak rasa kerja sekuriti kurang sesuai dengan karektor Y yang suka bergerak dan bekerja dengan cabaran.

Y cuba mencari kerja lain tetapi kebanyakannya tidak kekal lama dan akhirnya beliau memilih untuk mengusahakan Pusat Cuci dan Gilap.
Projek tersebut diusahakan bersama dengan seorang rakan baru bernam R yang telah 7 tahun memeluk Islam. Mereka mengambil alih satu kedai cuci kereta yang telah terabai dan mereka berazam untuk memajukan semula. Y sangat meminati kerja tersebut dan ada pengalaman dalam kerja cuci kenderaan. Selepas beberapa bulan berjalan dengan lancer, timbul masalah dan fitnah yang akhirnya mereka terpaksa menutup bisnes yang sedang berkembang maju.

Wak cuba membantu untuk mencari tapak baru. Mereka dapat satu premis yang strategic namun disaat akhir tuan premis membatalkan persetujuan kerana sebab-sebab yang tak masuk akal. Wak cuba tanyakan beberapa pihak dan akhirnya dapat lokasi berhampiran tapak pasar milik masjid. Tuan Nazir telah bersetuju. Y menghadapi masalah modal dan Dia mengajukan permohonan ke MAIS. Sekarang 3 bulan telah berlalu. “Masih dalam proses” kata seorang pegawai zakat .

menurut cerita pengalaman pemohon lain, 3 bulan itu dikira cepat! Hairan juga. Dalam dunia moden ICT ni pun masih macam zaman Pak Kaduk lagi. Tak tahulah. Mungkin kerja terlalu banyak dan berlambak atau mungkin pegawai terlalu lembab! Kawan wak kata ;“ agaknya mereka banyak buat kerja lain.Maklumlah duduk atas duit”.
Wak cuba minta bantuan kawan-kawan. Wang yang terkumpul masih tidak mencukupi tapi boleh lah untuk mula beroperasi.

Oleh kerana modal yang sangat minima, mereka sentiasa berdepan dengan cabaran besar. Kebetulan pulak, banyak pusat mencuci tumbuh di setiap lorong jalan. Yang peliknya, sebelum ini tak ada pulak. Kadang-kadang tidak ada langsung kereta atau motorsikal yang nak dicuci. Y kadang mengadu kesukaran untuk membeli keperluan keluarga terutama susu untuk anak kecilnya. Kalau kehabisan beras mereka akan makan gandum. Kadang-kadang tiada gas untuk memasak, nasib baik ada rice cooker lama yang boleh digunakan untuk memasak bubur buat lima orang anak-anak kecil. Sumbangan bulanan Rm400 dari LZS memang tidak mencukupi kerana kadang tuntutan ‘kasih sayang ibu’ terpaksa diutamakan.

Pihak Darwa memang sentiasa menghulurkan bantuan tetapi siapalah yang sanggup sentiasa ‘ memalukan diri’ dengan meminta-minta kerana maruah diri perlu dijaga.
Baru-baru ini Kain rentang yang dipasang dipinggir jalan dikerat dua. Wak tak tau perbuatan siapa tapi jelas perbuatan khianat dan sabotaj. Wak sedih kerana perkara ini berlaku di kawasan majoriti masyarakat Melayu Islam.

Berkali-kali wak cuba sabarkan Y. Kadang-kadang Y jadi keliru dengan dirinya sebagai seorang muslim. Agama Islam yang dipelajarinya sangat indah dan menarik hatinya. Darjatnya telah diangkat menjadi insan pilihan Allah kerana Iman dan takwanya. Tetapi manusia yang berhati busuk bikinan iblis dan syaitan sentiasa memusuhi orang-orang mukmin yang bertakwa. Percayalah wahai sahabatku, setiap kesukaran ada kesenangan.Ini adalah janji Allah.


Tugas kita

Sebagai seorang muslim kita wajib membantu saudara kita yang lain. Pesan Ar Rasul, “ Kamu Tidak beriman jika kamu tidak mengasihi saudara Islam mu yang lain macam kamu kasihkan dirimu sendiri”.Justeru inilah masanya untuk kita berbakti. Inilah ruangnya untuk kita membuat amal dan kebaktian.

Keutamaan adalah untuk membantu menyelamatkan saudara kita ini yang sedang bergelut untuk mempertahankan Iman dan keutuhan keluarga. Mana saudara-saudaraku yang budiman dan dermawan! Mana sahabat-sahabatku yang menjadi daie dan aktivis unggulan! Inilah peluang kita untuk membina mahligai di Syurga. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Ayuhlah teman-teman semua, kita singsingkan lengan kita turun kelapangan. Kita turun dari bilik pertapaan kita dan lihatlah nasib umat. Ingatlah bahawa “Air yang dibawa oleh sang burung untuk memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan memadamkan api yang marak tetapi sekurang-kurangya siburung itu sudah ada jawapan dihadapan Allah nanti” Anda bagaimana?

Cerita 2 …bersambung

Tiada ulasan:

Catat Ulasan