Jumaat, 27 Februari 2009

ISLAM DICEMBURUI SOKMO

Malam tadi wak menghadiri kelas pengajian di Masjid. Topik yang dibincangkan ialah Tafsir ayat Al Quran dari Surah Al Infitar. Temanya bercerita tentang kebenaran Hari Qiamat. Biasanya Surau Al Falah ni ramai juga pendengar setianya.kadang mencapai 70 orang. Kira ramai tu. Kebanyakan surau, pendengarnya cuma 10-15 orang sahaja.

Sebenarnya Wak yang sampaikan kuliah tu. Wak bukanlah orang yang alim sangat cuma nak kongsi dengan orang sedikit ilmu yang Wak ada. Wak tau yang datang mendengar kuliah pun ramai yang hebat dan alim. Tapi Wak rasa Wak nak belajar lagi tentang Al Quran. Lagi banyak Wak mengajar lagi banyak wak apat ilmu. Betullah kata Saidina Ali pesan, Ilmu bila disampaikan akan bertambah.

Wak rasa betul keagungan ALlah bila Wak baca kisah keengganan orang Yahudi dan Nasrani untuk mengakui kebenaran Al Quran. Padahal mereka tahu sangat tentang itu. Bahkan hari ini mereka sering cari pasal untuk memperolok-olokkan Islam. Tak cukup dengan kata-kata mereka tambah dengan lukisan, filem dan macam-macama lagi.

Padahal Orang Islam tidak pernah mengejek-ngejek agama mereka! Betultak?

Khamis, 26 Februari 2009

KERANA ESOK BERMULA HARI INI

Hari ini masuk hari kedua wak menjadi blogger. Wak masih bertatih dalam dunia blogging ni. Wak beli buku 'Panduan membina dan Mengurus Blog' tulisan Rosli Jamal. Banyak ilmu yang wak dapat. Sepanjang malam wak cuba baiki mana-mana yang tak sesuai.

wak rasa puas hati bila hasilnya menyentuh jiwa wak sendiri. Wak tau, wak cuma perasan dan syok sendiri. Tetapi wak rasa inilah emosi yang semua orang perlu rasai. Perasaan puas dan seronok dengan usaha sendiri. Biar nampak tidak terlalu menonjol dan menarik tetapi sekurang-kurangnya wak sudah mencapai satu peningkatan prestasi.

Apa yang penting untuk kita mencapai matlamat ialah keghairahan untuk mendapat.Ghairah yang tinggi akan merangsang dan melonjakkan diri anda untuk mencapainya dengan lebih bersungguh. Dalam kerja-kerja dakwah pun perlu ada rasa ghairah untuk melaksanakan tugas. Tugas menyeru kepada kebaikan adalah tugas semua orang.

Sebagai pegawai yang ditugaskan mentadbir alam ini tentunya kita perlu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh pemerintah( ALlah ) iaitu Al Quran. Garis panduan kita bukanlah semata-mata nilai budaya dan moral hasil falsafah manusia sahaja. Ini kena betul-betul difahami.

Emosi keghairahan untuk berdakwah ini sukar untuk diresap dan diserap oleh hati insan mukmin kecuali dengan mujahadah. Wak bukanlah orang yang sentiasa ghairah untuk melakukan kerja dakwah ni tetapi wak yakin dengan mujadah semua cabaran menjadi peluang.

Wak dah tak boleh tangguh-tangguh lagi untuk menjadi blogger kerana semua orang telah mara meneroka dunia maya. Wak tak mahu ketinggalan bas lagi. wak berazam untuk terus menulis. wak akan pertajamkan bakat yang wak ada. Keghairahan yang sedang melonjak ini menyebabkan wak rasa tak sabar nak sama-sama merayau dalam dunia maya. Kerana esok wak mulakannya hari ini.

..rehat..

Rabu, 25 Februari 2009

BERTANYALAH UNTUK PANDAI BUKAN MEMANDAI

Semasa wak sedang berusaha nak menyiapkan blog ini macam-macam benda baru yang wak kena belajar. Nasib baik ada sifu yang baik hati sanggup menurunkan ilmunya.... dengan percuma. Wak tak malu untuk bertanya kerana nak dapat ilmu.

Orang Melayu selalu berkata ; 'malu bertanya sesat jalan'. Saidina Ali pula berkata ; 'kunci ilmu ialah bertanya'. Wak sematkan betul-betul kata-kata ni dalam minda dan hati. wak cuba praktikkan dalam kehidupan. Alhamdulillah wak dapat jimatkan banyak masa kerana tak malu bertanya. Ada kawan-kawan wak yang malu nak bertanya akhirnya tak jumpa rumah kenduri. Jadi lebai malanglah jawabnya.

Rupanya kemahiran bertanya ini pun bukan semua orang boleh buat. Kalau dalam seminar atau ceramah biasanya ada sesi bertanya. orang yang suka bertanya, biasanya dia dah sedia soalan yang nak ditanyakan. Kadang ada yang bertanya bukan untuk mendapatkan ilmu atau maklumat tetapi sekadar nak menguji kehebatan si penceramah yang bercakap. Kadang ada juga yang bertanya sekadar nak menjolok sesuatu isu supaya dibahaskan dengan lebih mendalam oleh sipenceramah.

Tetapi ada orang yang tidak suka ditanya. Kita kena waspada. Kalau banyak sangat soalan, dia jadi rimas. Jadi kena berhati-hatilah kerana orang itu mungkin kita!
( ayah burung apa tu?...Burung gagak....burung apa?..burung gagak...burung apa? gagak nak...burung gagak....burung apa? gaaaaggggaaakk bodoh!)

MERANGKAK LEBIH BAIK DARI BERDIRI SAHAJA

Dengan lafaz bismillah, wak memulakan langkah untuk menjadi seorang blogger.Kali ini wak nekad. Mungkin agak terlambat ketika bas sudah bergerak jauh.Tapi wak rasa lebih baik wak bertatih, merangkak dan berjalan untuk menjadi seorang blogger dari duduk memandang sahaja. Walaupun bas sudah berjalan tetapi wak masih ada pilihan untuk sampai.Syukurlah wak masih boleh berjalan ketika orang lain langsung tidak boleh berbuat apa-apa.

Falsafah orang Cina ada betulnya, langkah seribu batu itu bermula dengan langkah yang pertama. Wak rasa wak buat keputusan dan tindakan yang betul ketika ada orang lain buat keputusan untuk tidak mahu menjadi blogger.

Wak pernah bercakap dengan kawan-kawan beberapa bulan yang lalu, sekarang semua orang dah ada email, bahkan budak tadika pun ada email. Rasa sangat 'ketinggalan' kalau tidak ada email.Tetapi beberapa tahun kedepan semua orang sudah ada blog sendiri. Mungkin kita akan merasa sangat 'ketinggalan' kalau tidak ada blog sendiri.

Wak dapat rasakan sendiri perubahan ini. sebab itu wak gagahkan diri pasang internet yang agak laju sikit. Senang sikit nak merayau dalam alam maya. Kalau tidak asyik terputus-putus aje. Badan yang penat dan kepala yang serabut jadi makin sakit bila talian putus-putus. Boleh putus urat saraf dibuatnya.

Sekarang dah ada streamyx broadband, barulah rasa macam memandu dilebuhraya!

SALAM PERKENALAN

assalamualaikum,

syukur alhamdulillah akhirnya wak dapat juga menulis dalam ruangan sendiri. sebenarnya wak dah lama nak menulis tetapi sering tertangguh kerana beberapa halangan dunia. wak gagahkan juga menaip dalam keadaan yang tidak berapa selesa kerana wak rasa ada banyak perkara yang wak nak kongsikan dengan pembaca didunia maya yang luas ini.

wak bukanlah seorang penulis yang berbakat tetapi teringin belajar untuk menjadi penulis seperti orang lain. Kadang wak rasa cemburu juga dengan kawan-kawan yang menulis dalam berbagai-bagai bentuk tulisan yang bagus dan bermutu dalam ruangan web atau blog. Padahal wak pun sebenarnya boleh menulis kalau mahu.Soalnya ialah nak ke tak nak?

wj ; kita jumpa lagi diperenggan yang berikutnya.......