Isnin, 22 Mac 2010

DESA YANG HILANG DITELAN BUMI

cerita 1




Perjalanan kami ke desa malang itu memakan masa lebih kurang 60 minit. Kedudukannya agak jauh dipedalaman.Sepanjang jalan kami melihat banyak rumah-rumah yang rosak dan musnah digegar gempa. Walapun tidak semua rumah yang musnah namun kerosakan kecil dan retak jelas kelihatan disetiap rumah warga.

Rumah yang ‘rosak berat’ atau tidak selamat untuk dihuni akan diberi rumah sementara yang dibuat dari playwood atau tinggal dalam khemah-khemah darurat. Begitulah kekuasaan dan kehebatan Allah SWT. Apabila bumi ini digoncang nescaya akan musnahlah alam ini. Mereka yang mengalami bencana gempa ini menganggap peristiwa ini adalah kiamat kecil yang menakutkan. Tentunya ini adalah isyarat dari langit kepada hamba-hambanya yang beriman dan bertakwa agar cepat sedar dan bertaubat.

Kami tiba di Kampung Kapalu Koto Cumanak ketika matahari baru menampakkan diri dibalik gunung yang robek-robek digegar gempa. Beberapa orang penduduk kampung keluar menyambut kedatangan kami. Dengan begitu ramah sekali mereka menceritakan apa yang berlaku. Kami hanya mendengar dengan penuh minat dan turut merasa empati dengan musibah dan ujian dan dihadapi. Kami merasakan diri kami seolah-olah sedang ditarbiyyah dan ditazkirahkan oleh mereka walaupun mereka hanya sekadar berkongsi rasa pedih dan sedih atas kemusnahan dan kematian..




Tempat kami berdiri itu ialah ‘Kuburan Massal’ – kubur besar yang telah menimbus seluruh penduduk kampung yang sedang meraikan ‘Majlis Beralik’ – Majlis perkahwinan pada petang tersebut. Beberapa rumah guru dan sekolah juga menjadi mangsa runtuhan tanah dari bukit tersebut. Kami merasa begitu sedih dan hiba sekali dan bertafakur sambil menghadiahkan fatihah kepada semua korban gempa di sini.

Dianggarkan lebih 200 orang ‘tewas’ dan lebih 100 orang menjadi korban gempa. Banyak kemusnahan harta benda penduduk Lubuk Laweh yang berada dibawah bukit tersebut. Pekerjaan utama penduduk disini ialah bertani dan berternak. Hasil utamanya ialah padi, kelapa dan pinang. MRA turut membantu mendirikan rumah Syukur di sini. Menurut Pak Yusman, Pegawai Koordinator MRA “Di daerah ini kami telah membina sembilan buah rumah Syukur untuk penduduk yang mengalami kemusnahan berat”. Menurutnya lagi “ Dianggarkan 79,000 rumah yang musnah dan rosak teruk akibat dari kejadian gempa tersebut.”

Pihak pemerintah tanpa rasa jemu terus memberi semangat dan dorongan kepada semua warga agar terus tabah dan sabar menghadapi ujian Allah. Di mana-mana terpampang wajah pemimpin mereka di kain rentang yang mengandungi kata-kata motivasi dan perangsang. “ Badai telah berlalu, Kito Bangkik bersamo” !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan