Khamis, 29 Julai 2010



baru-baru ini wak dikejut dengan satu berita kematian. Sejak petang wak menerima banyak mesej sms dan panggilan telefon dari rakan-rakan untuk mengesahkan berita tersebut. Ramai yang bertanyakan perkembangan terkini.

ketika pertama kali wak terima berita sahabat wak sedang nazak di Hospital Serdang. Lepas Maghrib wak hantar sms kepada teman-teman lama untuk mendoakan keselamatan dan kesejateraannya. Selepas sejam wak terima sms bahawa dia dah meninggal.Innalillah ...

Begitu cepat masa berlalu. Tidak sempat untuk mengirim pesan dan segala urusan. Apabila sudah sampai ajal, malaikat memang tidak akan menunggu walaupun sesaat. Esoknya Wak pergi berziarah untuk takziah dengan seorang rakan seperguruan, Wak Rumijam.

menurut ceritanya dia terpaksa parkir kereta ditepi jalan kerana sakit kepala sekitar waktu lepas maghrib. Ketika polis peronda menemuinya pukul 1.00 pagi semua barangan peribadi dan dompet telah lesap dikebas orang. Keadaannya ketika itu sangat kritikal kerana dipercayai darah tingginya telah menerobos ke otak.

Sipencerita menambah, 'katanya dia ada makan durian??" Durian bahaya untuk pesakit darah tinggi ke?Wak pun tak pasti.

Wak turut tumpang bersedih.Wak telah kehilangan seorang sahabat yang telah menjadi teman seperguruan sejak tingkatan 4 hingga tamat universiti. Wak turut simpati dengan nasib 7 orang zuriat yang ditinggal itu masih kecil dan akan menghadapi kehidupan penuh cabaran.

Kejadian ini merupakan pelajaran penting untuk diri Wak sendiri dan semua yang masih hidup. Tiada yang kekal didunia ini kerana dunia hanyalah pinjaman.setiap yang dipinjam akan dipulangkan.

Selamat Jalan Sahabatku...Ustaz Amin Husin...Semoga roh dan jasadmu ditempatkan bersama para syuhada' dan salihin.Amin.




wak sempat merakamkan kenangan dengan sahabat lama yang datang berziarah

xpdc Ilmu ke Pulau Tali Kail, Tasik Temenggur, Perak

Catatan Pengembaraan






Destinasi : 20-23 Julai 2010. Tasik Temenggur, Pulau Talikail

Ketika teman perunding menelefon aku untuk membantunya mengendalikan program di Gerik aku terus bersetuju.Kebetulan aku pun ada kelapangan dan tidak ada program. Peserta kali ini adalah Kakitangan kewangan Negeri Perak dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak seramai 40 orang. Ketua rombongan ialah En Nordin Bin Mat, Penolong
Pegawai Kewangan Negeri Perak.

Aku dan Pakdin bertolak sehari awal untuk memudahkan persiapan. Kami bermalam diRumah Rehat Lenggung.Kami bertolak pukul 4.00 petang dan tiba di Rumah rehat sekitar pukul 8.30 malam. Sepanjang jalan hujan turun dengan lebat. Beberapa kejadian kemalangan berlaku disepanjang lebuhraya PLUS.Kebanyakannya kemalangan sendiri kerana kenderaan tidak dapat dikawal. Ada yang melanggar penghadang jalan dan ada yang melanggar kereta pemandu lain.

Aku pun memandu dengan berhati-hati sekali.Mulanya aku tak perasan kelajuan kereta yang aku pandu dah cecah 150Kmj kerana meternya tak berapa betul. Nasib baik masa melalui sekatan jalanraya tak kena tahan.Patutlah ramai pemandu yang menyala-nyalakan lampu menandakan ada ‘road block’.

Kebetulan tempat penginapan kami berhampiran restoran.Kami pun terus masuk dan memesan makanan. Malangnya makanan yang dipesan mengambil masa yang sangat lama untuk sampai. Nasib baik makanan yang dimasak sedap, kalau tidak tension kami naik berganda. Bersabarlah.

Menuju ke Tasik Temenggur

Orang selalu menyebutnya sebagai Tasik Banding. Sebenarnya ialah Tasik Temenggur dan Disitulah terletaknya Pulau Banding. Disini juga terletaknya empangan Temenggur. Menurut Pemandu feri, kedalaman air tasik ini lebih dari 200 kaki. Kawasan hutan simpan ini terletaknya Taman Negara Belum yang kaya dengan khazanah warisan berjuta tahun. Menurut ceritanya di Lembah Belum ini ada tersimpan kekayaan sumber alam seperti timah dan emas. Kalau betul cerita ini, beruntunglah negeri Perak. Nama negerinya saja sudah Perak.Hasil mahsulnya pulak bijih dan emas. Kaya kita chor!



Perjalanan dari Lenggung ke Gerik lebih kurang sejam dan dari Gerik ke Empangan Temenggur lebih kurang 50km.Perjalanan mengambil masa sejam juga kerana laluan yang agak berliku dan berbukit. Kami tiba dijeti pada pukul 11.30 pagi. Cuaca agak baik dan cerah tetapi berkabus.



Pukul 12.3o tengahari kami mula bertolak. Perjalanan kami ke Kem Pulau Talikail dengan menaiki feri milik Jabatan Hutan. Beberapa orang pegawai menaiki bot laju yang hanya mengambil masa 10 minit sahaja. Reka bentuk feri seperti rumah rakit dan muat untuk 40-50 orang. Perjalanan mengambil masa 60 minit. Suasana tenang dan nyaman. Udara bersih dan segar.Awan dan kabut menghiasi alam rimba diwaktu pagi. Angin lembut bertiup sepoi-sepoi bahasa.



Pohon-pohon seraya sedang berkembang. Kelihatan bunga putih seraya seperti kobis bunga dicelah-celah rimbunan pokok-pokok balak yang lain.Memang mendamaikan terutama kepada orang-orang yang datang dari Bandar seperti kami. Dalam kembara, kami diberitahu bahawa pokok seraya mempunyai nilai yang sangat tinggi dan mahal harganya.

Pemandu feri Jabatan Hutan juga pengurus kem latihan. Kami memanggilnya Cek Mat kerana dia suka membahasakan dirinya begitu.Nama sebenarnya ialah En Mohd Adham. Usianya sekitar 50an. Dia seorang lelaki yang ramah dan lembut tutur katanya. Beliau bila bergurau selalu buat muka selamba je.


Cerita Cicak Gerut


Anda pernah mendengar tentang cicak gerut? Aku pun tak pernah dengar.apa lagi melihat rupanya. Menurut cerita dari seorang pegawai Hutan, Beliau ada mendengar tentang cicak gerut ini boleh menjadi penawar kepada penyakit AIDS.Harganya dipasaran mencecah ribuan RM.Bahkan ada yang berani menawarkan hingga puluhan ribu.
Saiznya lebih besar dari cicak biasa tetapi cicak gerut boleh menggigit. Kalau tidak menggigit plastik pembalut wayar elektrik ia juga boleh mengigit jari manusia yang nakal. “Kalau nak tengok cicak gerut moh kita ke taman herba di Bidor” disitu ada dua ekor cicak gerut yang dipelihara”.

Seorang staf dijabatan hutan berkata, cicak gerut akan berbunyi apabila solat masuk waktu. Pengurus Kem pun mengesahkan cerita tersebut kerana apabila suasana sunyi dan
tidak ada kursus cicak gerut akan berbunyi di kawasan kem.

Cerita Gajah




Kawasan Gerik adalah kawasan yang banyak gajah. Disepanjang jalan terdapat tanda amaran kepada semua pemandu agar tidak membunyikan hon kenderaan atau menggunakan 'hi-beam' apabila ternampak gajah melintas jalan. Gajah sangat sensitif kepada bunyi hon dan lampu hi beam yang kadang dibuat oleh pemandu dengan tujuan untuk menghalau gajah yang melepak dijalan.

Kadang-kadang sekumpulan gajah melepak dijalan sampai 60 minit. Terpaksalah semua kenderaan menunggu walaupun terpaksa berbaris panjang. Tapi aku tak berkesempatan dapat peluang melihat kerana biasanya gajah akan melintasi jalan pada waktu pagi dan petang. Cuma yang aku Nampak hanyalah taik gajah yang bertabur dijalan.

Menurut cerita orang tempatan, gajah adalah binatang yang luarbiasa dan hebat deria rasanya. Nalurinya begitu kuat.Telinganya boleh mendengar dan memahami cercaan dan kejian manusia kepadanya. Pernah berlaku di Gerik, kebun tanaman seorang penduduk dimusnahkan oleh gajah kerana dia pernah menyalahkan gajah yang banyak membuat kemusnahan dan kerosakan. “Gajah memang tak guna. Suka merosakkan harta orang.” Kata si pemilik kebun sebelum kejadian itu berlaku.Yang peliknya hanya kebunnya sahaja yang dirosakkan dan kebun bersebelahan tidak diusik oleh gajah.

Seorang lagi rakannya menambah, dia juga pernah mendengar kisah gajah yang mengamuk dan merosakkan kereta seorang penduduk . Puncanya kerana komen dan kritikannya kepada perangai sigajah yang suka merosakkan harta benda dan tanaman. Kereta yang diletakkan dikawasan parker kenderaan rosak teruk sedangkan kereta orang lain tidak diusik. Ini yang peliknya gajah.
”Orang kata nasib baik telinga gajah besar.Dia tak Nampak badan dia yang besar.Kalau tidak mungkin dia akan jadi lebih ganas dan buas lagi” ujar Anuar sambir berseloroh.

Gajah Merosakkan Kem Pulau Talikail



Satu ketika dulu Kem Talikail tidak banyak program latihan kerana ia tidak dibuka kepada orang luar. Tanpa disangka sekumpulan gajah telah menyerang kem tersebut dan merosakkan beberapa peralatan dikem. Antara tanda yang masih ada hingga kini dan sekaligus mengesahkan kehadiran gajah tersebut ialah lubang-lubang tujahan gading gajah di dinding pentas dewan Raflesia. Bukti ini mengesahkan bahawa memang gajah boleh berenang!


Gajah Berenang


“Bukan sahaja gajah, kijang pun boleh berenang” Kata Cek Mat, Pengurus Kem Pulau Matakail. Bahkan menurut Cek Mat lagi,” semua binatang yang ada dihutan ini boleh berenang”. Beliau pernah melihat seekor kijang berenang menyeberang ke pulau. Seorang kakitangannya mengejar dengan bot dan ditebarkan jala lalu ditarik ke tebing.
Tidak hairanlah dikawasan pulau talikail banyak kesan tanah yang dibajak oleh Sibabi hutan. Mereka berenang menyeberang ke Pulau untuk mencari makanan. Tapi cerita babi berenang aku dah dengar masa aku bertugas diPulau Lumut lagi. Banyak babi hutan yang berenang dari tanah besar menyeberang ke pulau.

Inilah tanda kebesaran Allah. Kaki binatang dan lurus pun boleh digunakan untuk berenang. Badan gajah yang besar itu pun boleh terapung dan kakinya masih boleh mengayuh untuk ke seberang.bagaimana dengan manusia. Aku rasa tercabar dan terkesima seketika. Aku ada tubuh yang sihat dan akal yang lebih bijak dari binatang. Tapi masih tak dapat nak berenang.


Insiden Tragis Di Pulau


Sebelum kami masuk ke Kem, berlaku satu insiden yang menggemparkan. Seorang tentera tertembak mati diTasik Banding. Menurut cerita mereka seramai lima orang keluar berburu dihutan berhampiran.kejadian berlaku sekitar pukul empat pagi . Mangsa yang tertembak memakai lampu suluh dikepala. Rakannya yang sedang ghairah memburu mungkin menyangka lampu suluh tersebut adalah sasaran yang dinanti-nantikan kerana peluru tembakan tepat mengenai kepala mangsa. Begitulah berakhirnya satu tragedi yang menyayat hati.

Tetapi media memaparkan bahawa mangsa mati ketika sedang meronda!
Menurut situkang cerita itu, mereka seramai 14 orang sebenarnya diarahkan untuk membantu memasak dan menjadi fasilitator untuk program motivasi yang dianjurkan oleh seorang bekas tentera berpangkat kolonel. Dia telah meminta kerjasama rakan-rakan lama dalam tentera untuk menggunakan kemudahan tentera seperti bot dan peralatan memasak dan PA sistem. Selepas kejadian tersebut mereka telah diarahkan balik semula ke kem untuk siasatan! Senjata berburu yang digunakan terus dibuang ke dalam tasik. Nasib baik senapang patah buatan sendiri. Kalau tidak tentu kena hukuman yang lebih berat lagi. Menurut undang-undang tentera, “satu peluru boleh kena tahanan 90 hari!” Penyelam-penyelam yang cuba mencari gagal menemui senjata tersebut kerana selut yang tebal dan banyak kayu yang berselerak didasar tasik.

begitulah ceritanya.



Foto ini dirakamkan dari menara pandang dipuncak tertinggi di Pulau ini.



Permandangan di kawasan pulau ini memang cantik dan terserlah tanda kebesaran Allah. Tapi hanya orang yang tahu tentang fungsi setiap ciptaan Allah sahaja yang tahu mensyukuri nikmatNya. Banyak kawasan-kawasan hutan yang sudah ditebang untuk dimajukan. tetapi setelah semua kayu balak dipunggah keluar, projek yang diwar-war itu tidak juga mula. duit telah bertukar tangan dan hutan telah menjadi padang jarak. Tunggulah 100 tahun lagi untuk menunggu pokok yang baru mengganti hutan dara yang telah ternoda!



Lori-lori balak bertali arus dengan muatan kayu-kayu untuk kita!?

Jumaat, 2 Julai 2010

Promosi Istimewa


untuk mereka yang ingin mendapatkan khidmat beliau bolehlah datang ke premis yang dinyatakan. Kalau bukan kita yang membantu mereka siapa lagi? Kalau bukan sekarang kita bertindak, bila lagi???

Khamis, 1 Julai 2010

Sulitnya Mempertahankan Iman

Apa khabar semua? Syukur al hamdulillah…Wak sihat dan ceria. Cuma sejak kebelakangan ini banyak urusan dan tugasan. Tak sempat nak mencatat walaupun banyak perkara yang berlaku. Wak mula mencatat kerana nak berkongsi dengan orang lain. Wak juga rasa elok kalau semua orang dapat mencatat dan berkongsi cerita dan pengalaman. Ini kerana banyak perkara yang berlaku sebenarnya boleh dijadikan sumber pelajaran dan iktibar.

“Belajarlah dari pengalaman hidupmu tetapi lebih baik belajar dari pengalaman orang lain” kata seorang ahli hikmah. Disini Wak nak mencatat beberapa perkara berkaitan dengan pengalaman Wak dalam lapangan dakwah. “Menurut ilmu dakwah, yang dikatan dakwah itu ialah mengajak orang masuk Islam. Kalau mengajar dan mendidik orang yang sudah Islam itu namanya tarbiyyah” kata naqib yang mengajar wak dalam usrah. Kali ini wak nak kongsi kisah benar seorang saudara kita antara yang terbaik dikalangan kita.

Cerita 1
Saudara Y masuk Islam lima tahun yang lalu. Beliau berkahwin dengan seorang wanita India Hindu dan mempunyai 4 orang anak. Kemudian berpisah dan berkahwin pula dengan seorang wanita Muslim. Y telah mempelajari Islam dalam kursus-kursus anjuran MAIS dan pernah diangkat menjadi peserta terbaik.

Bapa Y adalah seorang Hindu dan menjadi AJK kuil Hindu yang terbesar di KL. Dia juga banyak mendapat asuhan dari keluarganya tentang selok belok agama Hindu dan mahir membaca kitab Veda. Beliau mahir berbahasa Inggeris dan mempunyai azam yang tinggi untuk mengubah hidup menjadi insan beriman dan Berjaya. Sejak memeluk Islam beliau telah ‘dibuang’ oleh ahli keluarganya.

Banyak masalah keluarga yang kecil menjadi isu besar yang menyebabkan berlaku pergaduhan dan perbalahan besar. Akhirnya isterinya melarikan diri dan dibawa oleh seorang rakannya ke Darul Wardah.

Sejak kebelakangan ini beliau sentiasa mendapat tekanan dari keluarganya terutama abang-abang kandungnya sendiri. Isu besar biasanya berkaitan kewangan tetapi berkaitan dengan hal agama pilihan. Memandangkan Y sendiri sedang bergelut untuk menyara keluarganya sendiri seramai 5 orang itu mereka sentiasa meminta yang bukan-bukan.

Y hampir bergaduh dengan abang-abangnya kerana mereka mula mengaitkan Islam dalam konflik mereka.” Inilah sikap orang Islam, tidak menepati janji” Kata abangnya ketika mereka meminta wang yang dijanjikan. Memandangkan Bisnes ‘Car wash & Polish’ yang diusahakannya kini sedang menghadapi masalah, dia memang dapat melunaskan hutang lamanya.

Projek Cuci dan Gilap

Semasa mula-mula berpindah ke tempat baru, wak usahakan mencari kerja untuk Y mencari nafkah. Kerja yang ada hanyalah sebagai sekuriti disebuah sekolah. Kerja 7 pagi – 7 malam. Y tiada pilihan dan menerima kerja tersebut. Pihak Darwa meminjamkan basikal yang disumbangkan oleh pihak Universiti Malaya kepadanya. Selepas beberapa bulan bekerja Y mengadu dia tidak dapat menunaikan solat jumaat kerana terikat dengan masa kerja. Wak rasa kerja sekuriti kurang sesuai dengan karektor Y yang suka bergerak dan bekerja dengan cabaran.

Y cuba mencari kerja lain tetapi kebanyakannya tidak kekal lama dan akhirnya beliau memilih untuk mengusahakan Pusat Cuci dan Gilap.
Projek tersebut diusahakan bersama dengan seorang rakan baru bernam R yang telah 7 tahun memeluk Islam. Mereka mengambil alih satu kedai cuci kereta yang telah terabai dan mereka berazam untuk memajukan semula. Y sangat meminati kerja tersebut dan ada pengalaman dalam kerja cuci kenderaan. Selepas beberapa bulan berjalan dengan lancer, timbul masalah dan fitnah yang akhirnya mereka terpaksa menutup bisnes yang sedang berkembang maju.

Wak cuba membantu untuk mencari tapak baru. Mereka dapat satu premis yang strategic namun disaat akhir tuan premis membatalkan persetujuan kerana sebab-sebab yang tak masuk akal. Wak cuba tanyakan beberapa pihak dan akhirnya dapat lokasi berhampiran tapak pasar milik masjid. Tuan Nazir telah bersetuju. Y menghadapi masalah modal dan Dia mengajukan permohonan ke MAIS. Sekarang 3 bulan telah berlalu. “Masih dalam proses” kata seorang pegawai zakat .

menurut cerita pengalaman pemohon lain, 3 bulan itu dikira cepat! Hairan juga. Dalam dunia moden ICT ni pun masih macam zaman Pak Kaduk lagi. Tak tahulah. Mungkin kerja terlalu banyak dan berlambak atau mungkin pegawai terlalu lembab! Kawan wak kata ;“ agaknya mereka banyak buat kerja lain.Maklumlah duduk atas duit”.
Wak cuba minta bantuan kawan-kawan. Wang yang terkumpul masih tidak mencukupi tapi boleh lah untuk mula beroperasi.

Oleh kerana modal yang sangat minima, mereka sentiasa berdepan dengan cabaran besar. Kebetulan pulak, banyak pusat mencuci tumbuh di setiap lorong jalan. Yang peliknya, sebelum ini tak ada pulak. Kadang-kadang tidak ada langsung kereta atau motorsikal yang nak dicuci. Y kadang mengadu kesukaran untuk membeli keperluan keluarga terutama susu untuk anak kecilnya. Kalau kehabisan beras mereka akan makan gandum. Kadang-kadang tiada gas untuk memasak, nasib baik ada rice cooker lama yang boleh digunakan untuk memasak bubur buat lima orang anak-anak kecil. Sumbangan bulanan Rm400 dari LZS memang tidak mencukupi kerana kadang tuntutan ‘kasih sayang ibu’ terpaksa diutamakan.

Pihak Darwa memang sentiasa menghulurkan bantuan tetapi siapalah yang sanggup sentiasa ‘ memalukan diri’ dengan meminta-minta kerana maruah diri perlu dijaga.
Baru-baru ini Kain rentang yang dipasang dipinggir jalan dikerat dua. Wak tak tau perbuatan siapa tapi jelas perbuatan khianat dan sabotaj. Wak sedih kerana perkara ini berlaku di kawasan majoriti masyarakat Melayu Islam.

Berkali-kali wak cuba sabarkan Y. Kadang-kadang Y jadi keliru dengan dirinya sebagai seorang muslim. Agama Islam yang dipelajarinya sangat indah dan menarik hatinya. Darjatnya telah diangkat menjadi insan pilihan Allah kerana Iman dan takwanya. Tetapi manusia yang berhati busuk bikinan iblis dan syaitan sentiasa memusuhi orang-orang mukmin yang bertakwa. Percayalah wahai sahabatku, setiap kesukaran ada kesenangan.Ini adalah janji Allah.


Tugas kita

Sebagai seorang muslim kita wajib membantu saudara kita yang lain. Pesan Ar Rasul, “ Kamu Tidak beriman jika kamu tidak mengasihi saudara Islam mu yang lain macam kamu kasihkan dirimu sendiri”.Justeru inilah masanya untuk kita berbakti. Inilah ruangnya untuk kita membuat amal dan kebaktian.

Keutamaan adalah untuk membantu menyelamatkan saudara kita ini yang sedang bergelut untuk mempertahankan Iman dan keutuhan keluarga. Mana saudara-saudaraku yang budiman dan dermawan! Mana sahabat-sahabatku yang menjadi daie dan aktivis unggulan! Inilah peluang kita untuk membina mahligai di Syurga. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Ayuhlah teman-teman semua, kita singsingkan lengan kita turun kelapangan. Kita turun dari bilik pertapaan kita dan lihatlah nasib umat. Ingatlah bahawa “Air yang dibawa oleh sang burung untuk memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan memadamkan api yang marak tetapi sekurang-kurangya siburung itu sudah ada jawapan dihadapan Allah nanti” Anda bagaimana?

Cerita 2 …bersambung

Sabtu, 22 Mei 2010

Feqh Daulah Dibicarakan

Diatas meja tulis ada sekeping kad jemputan. Wak tengok dari logo dikepala kad ada logo JAIS. Rupanya undangan menghadiri kelas pengajian berkitab di Rumah YAB Dato’ Menteri Besar. Kitab yang dibedah ialah Kitab Feqh Daulah karangan Prof. Dr Yusof Al Qaradawi.

Ulama’ yang diundang untuk mengupas kitab tersebut ialah YBhg. Dato’ Hashim Yahya, mantan Mufti Wilayah Persekutuan dan Pensyarah di Universiti Malaya. Wak rasa teringin nak ikut serta kelas tersebut. Sebabnya, Wak pun diminta oleh Nazir Masjid An Naim untuk mengupas kitab tersebut.

Setakat ni dah siri yang ke 4. Al hamdulillah ada yang mendengar. Tapi wak rasa penerangan yang wak beri tak cukup mantap. Wak perlukan idea baru untuk menerang dan menjelaskan idea gagasan negara yang diinginkan oleh umat dengan teknik dan bahasa yang lebih mudah.

Wak ajak dua orang pembantu wak untuk turut serta dalam majlis ilmu tersebut. Ketika kami sampai imam baru dirakaat pertama. Wak tengok ramai yang hadir berkopiah putih. Ada juga yang bersongkok hitam.Tapi tidak ada yang bersongkok tinggi. Orang-orang Besar Daerah dan pegawai kerajaan pun ramai yang hadir tapi tak ramai YB yang kelihatan. Mungkin sebok dengan urusan rakyat dikawasan.

Dato’ Hashim tidak hadir dan diganti dengan Ustaz Roslan Muhammad. Pengerusi memanggilnya dengan gelar Doktor. Mungkin dah selesai PHD agaknya. Setiap peserta dibekalkan dengan buku Feqh Daulah terjemahan Dr Juanda Jaya( sekarang menjadi Muti Negeri Perlis ). Wak pun ada bawa kitab tersebut tetapi terjemahan Ustaz Arsil Ibrahim. Menurut Dr Roslan, dia dah baca buku Feq Daulah terbitan ABIM sejak 1998. Dia kita penterjemahnya lebih fokus. Wak punya terbitan syarikat Blue T. Entahlah. Wak pun tak sempat nak buat perbandingan.

Dr Roslan mengupas kitab tersebut dengan kupasan yang lebih menyeluruh. Bagi pendengar yang dah biasa mengikuti seminar dan membaca buku berat seperti ini tidak ada masalah. Agak susah juga bagi murid yang tidak membaca kitab tersebut terlebih dahulu. Wak tengok ramai yang tak fokus pada kitab tetapi lebih selesa memasang telinga sahaja. Yang lebih fokus mungkin kena memejam-mejamkan mata sambil mengangguk-angguk tanda setuju.Tidak seperti Tok Guru Pondok yang mengupas sebaris demi sebaris.Selembar demi selembar. Kadang-kadang baris ayat Quran dan hadis yang kurang jelas pun dapat dibetulkan.

Sebelum jam 9.00 Tuanguru sudah mula mendarat. Ramai yang nampak segar dan menggerak-gerakkan badan. Penat belajar lah katakan. Yang hebatnya, tidak ramai ( baca : tiada ) dikalangan mereka yang membawa buku nota atau pen untuk mencatat. Ini membuktikan bahawa mereka memang mempunyai daya ingatan dan daya serapan yang baik dan hebat. Atau mungkin memang mereka jenis pelajar yang malas membawa buku ke kelas. Entahlah. Mereka hadir pun dah kira cukup baik sangat tu.Jauh lagilah nampaknya nak tegak daulah..

Khamis, 13 Mei 2010

Sukan Mesti Bebas Judi

ABIM SELANGOR MEMBANTAH SEKERAS-KERASNYA PEMBERIAN LESEN JUDI BOLA SEPAK PIALA DUNIA 2010

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) membantah sekeras-kerasnya serta merasa amat kesal dengan keputusan kerajaan yang secara rasminya telah memberikan lesen pertaruhan sempena Piala Dunia 2010 kepada Kumpulan BERJAYA. ABIM menilai keputusan ini adalah tidak wajar kerana majoriti masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini menolak judi kerana banyak membawa kesan buruk dan penyakit sosial yang teruk.

ABIM menegaskan bahawa keputusan tersebut langsung tidak mempunyai sebarang justifikasi yang munasabah serta hanya bersifat untuk meraih keuntungan material jangka pendek yang boleh memberikan kesan yang negatif ke atas masyarakat dan negara. ABIM dengan ini menyeru kepada semua umat Islam untuk sama-sama membantah keputusan tersebut demi menjaga kesejahteraan setiap lapisan masyarakat di negara ini. Pihak ABIM juga akan menggerakkan bantahan ini di seluruh negara bagi memastikan keputusan ini tidak dilaksanakan demi kesejahteraan semua pihak.

Tiada ada agama di dalam dunia ini yang membenarkan serta menghalalkan perjudian kerana impak negatif sosialnya yang secara langsung akan menyebabkan kemusnahan moral individu, institusi keluarga dan masyarakat serta mencemar imej Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi persekutuan. ABIM dengan ini menggesa dan bertegas agar Kerajaan Malaysia menarik semula keputusan pemberian lesen pertaruhan ini demi menjaga kesejahteraan masyarakat dan negara.

Bagi ABIM Selangor , pengeluaran lesen atas alasan untuk mengawal dan mengetahui jumlah wang pertaruhan adalah tertolak di sisi Islam. Sesebuah kerajaan dan pemimpin mestilah lebih kreatif dan bertanggungjawab dalam mencari jalan mengawal perjudian gelap. Kawalannya bukanlah dengan memberi lesen kerana itu hanya akan lebih memakmurkan gejala tersebut. Tetapi KAWALAN adalah dengan memperkenalkan teknik banteras, hukuman lebih keras dan tahap efisyen yang lebih kemas bagi memerangkap mereka yang terlibat.

Perlu difahami, hujjah maslahat TIDAK BOLEH digunakan sama sekali dalam hal yang JELAS BERTENTANGAN dengan teks Al-Quran dan Hadis. Tiada maslahat dan tidak termasuk di dalam Maqasid al-Shariah dalam mengharuskan perjudian untuk masyarakat.

Oleh yang demikian ABIM Selangor mendesak :

1. Kerajaan Persekutuan menarik balik lesen yang telah dikeluarkan kepada BERJAYA GROUP serta merta.
2. Semua mufti-mufti dan para ulamak khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Negeri untuk mengeluarkan kenyataan atas kelulusan ini.
3. Semua institusi pendidikan, Masjid dan surau membuat bantahan dan kempen penerangan bagi menimbulkan kesedaran agar muslimin dan muslimat terutama golongan belia sedar keburukan judi dan kesannya kepada masyarakat.
4. Semua NGO Islam bersatu menyatakan pandangan dan bantahan mengenai pemberian lesen perjudian ini.
5. Semua pihak sentiasa peka dan sedar , bahawa ada agenda buruk yang mahu melihat umat Islam semakin sesat dan jauh dari agama melalui judi, arak , seks, dadah dan semua maksiat.


Wak Sokong!! Wak Sokong 1000 persen!!!

VIVA Palestine

Shah Alam, 8 Mei 2010 - MAPIM ( Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia ) telah menganjurkan KONVOI NASIONAL membantu rakyat Palestin dan Gaza. Program bermula pukul 5.00 petang iaitu selepas Solat asar di Masjid Negeri. Pada pukul 4.00 petang Wak menerima mesej dari Setiausaha Agung ABIM untuk menjadi wakil ABIM dalam majlis Pidato Palestin. Kebetulan Wak memang nak ke Shah Alam untuk menghadiri Program Palestin juga. Tapi program itu selepas Isya’ di Stadium Malawati, Shah Alam.

Ketika Wak sampai di masjid, jamaah telah selesai solat asar. Jadi wak solat bersama anak dan isteri di aras bawah. Ketika itu pameran berkenaan palestin diadakan diruang legar masjid. Kelihatan anak-anak muda berkerumun melihat-lihat foto dan berita yang dipaparkan. Kedengaran suara orang berpidato diberanda masjid berkenaan isu palestin. Suaranya seperti orang muda. Mahasiswa universiti agaknya.

Selepas Solat wak cuba meninjau-ninjau keadaan program yang sedang berjalan. Wak tengok tidak ada orang yang mendengar pidato itu. Pengunjung hanya leka memerhatikan barang pameran sambil berjalan berlegar-legar dikawasan masjid. Dalam hati wak tertanya-tanya juga..mencabar juga kalau aku nak kena bagi ceramah dalam keadaan pendengar yang sangat santai dan tidak diurus dengan baik. Setelah aku membuat risikan, Rupanya, lokasi ceramah bukan di situ tetapi di dalam dewan utama. Dan pidato itu pun tamat kerana diarah masuk ke dalam dewan utama.

Didalam dewan kelihatan tetamu telah memenuhi sebahagian dewan. Dibahagian hadapan, kelihatan video berkenaan perjuangan rakyat Palestin menentang kezaliman Israel sedang ditayangkan. Wak mengambil tempat dibahagiaan depan sebelah kanan. Wak sebenarnya tidak kenal semua yang hadir.Bahkan penganjurnya pun wak tak kenal. Wak sengaja memakai baju rasmi yang ada nama supaya mudah pihak penganjur mengesan. Memang betul, selepas beberapa minit, seorang lelaki mempersilakan wak untuk duduk di sofa pentas sebaris dengan wakil-wakil pertubuhan yang diundang khas.

Wak difahamkan bahawa rombongan konvoi ini datang dari wilayah timur, wilayah utara, wilayah tengah dan wilayah selatan. Mereka datang sejak awal pagi dengan menaiki bas dan kereta. Bakinya adalah masyarakat Islam yang tinggal dikawasan lembah Klang dan yang sama waktu dengannya.

Antara pemimpin pertubuhan yang diundang untuk berucap ialah Hj Nik Yusoff Nik Ismail ,Yang Dipertua IMAN ( Integrated Muslim Association Network ) Negeri Selangor, Sdr Mustafa Kamil Ayob ( Wak tak pasti NGO yang diwakilinya – NGO baru agaknya ), Cikgu Azmi Pengerusi TERAS PENGUPAYAAN MELAYU, Ustazah Datin Aminah Zakaria ( SALIMAH TERAS ). Mereka ini semua adalah mantan pimpinan ABIM. Yang lain Wak tak kenal. Ada juga pemidato dari selatan yang penampilannya seperti orang Ahli Bait. Wak Cuma ingat nama keluarganya Al Saggaf.Pidatonya hebat, berapi dan berkobar-kobar seperti berada di medan jihad.

Sementara itu, Pengarah Program Ustaz Mustafa Mansur menerangkan objektif program Konvoi ini dan Projek Kapal Frotilla yang akan dihantar ke Palestin. Frotilla dalam bahasa Itali bermakna kapal-kalal kecil. Penganjur projek ini mensasarkan 20 buah kapal muatan barangan seperti simen, ubat-ubatan dan makanan.Mereka juga telah membeli sebuah kapal penumpang untuk pertemuan pemimpin-pemimpin Islam bersidang sebelum dihantar ke Palestin. Kapal ini dibawa dari berbagai negara Eropah, Turki dan Asia.

Wak memang tidak membuat sebarang persiapan untuk pidato ini. Idea persiapannya, wak akan mendengar apa yang disampaikan oleh para pemidato yang terdahulu dan wak akan tambahkan apa yang belum disebutkan. Al Hamdulilah semua pemidato telah menyampaikan semua cerita sejarah dan teks Al Quran berkenaan dengan isu Al Quds dan Al Aqsa dengan baik sekali. Slogan Khaibar! Khaibar! Ya Yahud, Jaisyu Muhammad Saufa Ya’ud ( Ingatlah tragedi Khaibar wahai Orang Yahudi! Tentera Muhammad akan kembali lagi) diulang-ulang bersama para hadirin.

Tiba giliran wak untuk tampil ke rostrum dan masa yang diberikan hanya lima minit sahaja. Wak rasa idea lama BOKOT produk Israel dan Syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan Yahudi masih relevan dan perlu disemarakkan semula. Strategi boikot ini perlu dilaksanakan secara konsisten dan berpilih. Contohnya bulan Mei ini kita boikot Telefon Nokia. Maka semua orang yang menyokong kempen ini hendaklah menukar segera telefon bimbitnya segera kepada produk lain tanpa alasan.titik.