Sabtu, 26 Disember 2009

Pertemuan Al Qaradawi Sr. dengan Qaradawi Jr.

Baru-baru ini Pihak JAKIM telah memilih prof. Dr Yusof Al Qaradawi sebagai Tokoh Ma’al Hijrah 1431H. Beliau telah memenerima anugerah tersebut di Putrajaya dalam satu majlis yang dihadiri ramai tetamu jemputan.

Selepas selesai masjlis tersebut, belaiu telah dijemput oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk menyampaikan pidato khas di Masjid Negeri Selangor pada 19 Disember 2009.Wak hadir dalam majlis tersebut bersama anak dan isteri.Maklumlah nak meraikan dan mendengar tuturan kalam mutiara dari Pengerusi Persatuan Ulama Sedunia.



Dianggarkan kira-kira 4-5 ribu orang hadir memenuhi ruang dewan solat. Wak tak sempat nak berada disaf depan kerana agak lewat sampai.Orang ramai menunggu ketibaan Syeikh seawal jam 6.00 petang. Nasib baik ada 2 skrin yang disediakan oleh pihak penganjur.Jadi Wak duduk mengadap skrin.Lebih jelas dan lebih selesa.

Anak Wak yang bernama namanya Wak beri sempena nama belaiu begitu teruja sekali.Malangnya orang terlalu ramai dan tidak ada ruang untuk bertemu dengan Syeikh dengan lebih dekat.


Alhamdulillah, esok petangnya, Wak dapat jemputan untuk pertemuan khas dengan Syeikh dalam satu Majlis ringkas bersamanya. Wak ditugaskan sebagai penterjemah bicara Syiekh Yusof. Wak bawa sekali dia untuk diperkenalkan dengan Syiekh Yusof Al Qaradawi. Selepas selesai Majlis isteri Wak bawa dia bertemu dengan Syiekh untuk diperkenalkan dan didoakan.Semoga Qaradawi Jr. akan menjadi seorang insan terhebat, sehebat namanya dipersada dunia.

Rabu, 2 Disember 2009

Menangani HIV AIDS -lambakkan kondom?

Sempena Hari AIDS sedunia ini Wak nak mengajak kepada semua orang agar lebih prihatin dan serius dengan penyakit yang berbahaya ini.

Bencana atau penyakit adalah satu putaran sunnatullah yang berlaku dalam kejadian dan pergerakan alam. Penyakit ini agak berbeza dengan penyakit yang lain.Ia biasanya memberi gambaran buruk dan negatif kepada pembawa virus ini, tidak seperti kanser dan penyakit yang lain.Puncanya ialah kerana virus ini biasanya dibawa oleh orang yang mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat seperti berzina,melanggan pelacur,homoseks dan suntikan jarum penagih dadah.

Beberapa minggu yang lalu Wak berpeluang untuk mengikuti satu program Menangani gejala sosial anjuran AADK dan JAKIM.Kami dibawa melawat ke beberapa lokasi panas seperti pusat pelacuran di lorong Hj Taib, Kawasan Mat rempit di TAsik Permaisuri, Kelab MSM aka homoseksual di Sentul dan banyak lagi.

Wak diberi tugasan untuk menziarahi Kelab MSM.Apa itu MSM? MSM ialah Man Sex With Man.Kenapa panggilan Homoseks perlu diberi jenama baru.Adakah mereka cuba untuk memberi wajah baik dan bersih kepada amalan buruk dan merosakkan itu?

Bersama Wak ialah 8 orang lain dari pelbagai NGO's.Misi kami hanyalah untuk mencari maklumat dan cerita benar dari mulut sipelaku itu sendiri.

Pada mulanya mereka agak keberatan menerima kunjungan kami.Mereka agak takut-takut dan gementar kerana takut kami akan menangkap mereka.Selepas beberapa minit berbual, keadaan menjadi semakin tenang dan harmoni.

Mereka mula bercakap dan bercerita tentang kehidupan songsang mereka dengan lebih terbuka dan berani.

Kebanyakannya adalah anak-anak muda Melayu yang bertubuh sasa dan kita sendiri tidak akan menyangka mereka mengamalkan gaya hidup yang memualkan itu.

Mereka memang melakukan amalan homoseks sesama teman istimewa mereka tanpa rasa berdosa dan rasa bersalah. Amalan homoseks mungkin tidak menimbulkan masalah seperti zina kerana tidak ada hasil jelas selepas hubungan intim mereka.

dari pemerhatian Wak, mereka nampaknya memang tidak peduli dengan hukum hakam agama.Mungkin kerana kejahilan atau nafsu sudah beraja dimata.Wak tidak mengajukan soalan berkaitan hukum kerana tidak mahu mematikan mood mereka bercerita.

Cerita mereka semakin rancak dengan masing-masing menceritakan pengalaman peribadi mereka bersama dengan teman lelaki mereka.Hati Wak rasa geram dan panas sekali.Bukan kerana terangsang, tetapi sedih dengan nasib anak bangsa wak sendiri.

Apakah kisah benar dari sejarah kaum Nabi Lut masih tidak cukup kuat untuk menyedarkan dan menginsafkan mereka? Apakah ancaman dan khabar buruk yang dibawa dalam Al Quran dan kitab suci mereka terhadap perbuatan mereka tidak lagi menakutkan hati mereka?

Bagi mereka hubungan liwat adalah hak peribadi dan tidak melanggar mana-mana peraturan agama dan undang-undang dunia.Apabila mereka teringin, terus buat! Kadang-kadang kondom percuma yang diedarkan oleh pihak kerajaan melalui NGO tertentu langsung tidak digunakan.

Jadi ,pada pandangan anda, perlu ke dana awam @hasil dari pembayar cukai digunakan untuk membeli kondom dan diberikan percuma kepada mereka ini? Kemudian lebih bayak kos diperlukan untuk merawat dan mengurus kehidupan mereka.

wahai anak-anak dan adik-adik Wak semua....kembalilah kepada gaya hidup beragama...Kembalilah kepada Tuhan..,rasakan kebesaran dan keagungan Allah dalam diri dan kehidupan anda..AIDS - Angkara Iblis Dan Syaitan.

Isnin, 30 November 2009

Ukhuwah Tanda Peduli Ummat

Ukhuwwah yang sebenar ialah seumpama jasad manusia.Bila ada anggota badan yang sakit makan anggota badan yang lain pun akan turut sama merasai kesakitannya.Kadang-kadang kerana jari tertusuk duri ikan sahaja menyebabkan kita sudah hilang tumpuan.Bagaimana kalau ada hati yang tertusuk sembilu kata.Pasti sakit pedihnya terasa hingga ke uluhati.

Apabila ada saudara kita atau sahabat kita yang berada dalam keadaan yang 'sakit' atau ditimpa musibah seperti bencana alam, penyakit, kemalangan dan sebagainya, kita akan cepat-cepat bertanyakan khabar dan menawarkan apa jua bantuan yang boleh diberikan. Inilah sikap dan amalan yang telah diajarkan oleh baginda Ar Rasul SAW kepada para sahabat dan umatnya.

Kita harus mencontohi sikap kaum Ansar dan Muhajirin yang bersaudara dan berukhuwwah kerana Allah dan Rasulnya. Segala tindakan dan tuturkata yang diungkapkan adalah kerana hendak mendapatkan redha Allah dan Rasulnya.

Mungkin kerana kesibukan kita mengurus diri dan keluarga menyebabkan kita tidak punya masa untuk bertanya khabar dan bertemu dengan sahabat dan rakan yang sebok dimedan dakwah.Mereka juga perlu mengurusi keperluan diri mereka dan keluarga mereka.
Apabila mereka keletihan dan kepenatan kerana berada dimedan barisan depan maka sahabat yang lain harus bersedia menjadi penampan dan bersedia mengambil tempat.

Ramai dikalangan sahabat-sahabat Wak sendiri yang menangguhkan kehendak peribadi untuk menyambung pelajaran kerana hendak memberi laluan kepada sahabat yang lain memburu impian.Biarlah mereka bertebaran dimuka bumi mencari ilmu kerana akan tiba dan masanya burung akan kembali kesarang.

Namun begitu ada juga segelintir yang menjadi asap lalu menjadi wap dan lenyap. Mereka lebih selesa mengambil jalan selamat dan jauh dari onak berduri perjuangan menegak kebenaran dan keadilan.

Wak sering berfikir sendirian selepas penat bekerja membanting tulang seharian.Siapa lagi yang harus peduli dengan nasib ummat ini? Wak teringat getaran suara Ar Rasul saat hampir diakhir perjalanan hayatnya..Ummati...ummati...ummati...Rasanya seperti masing terngiang-ngiang kedengaran dicuping telinga ini..

Saat Mendebarkan Si Penyembelih Lembu



Pengalaman pertama adalah saat yang sangat mengujakan. Sebelum melalui saat-saat yang dinantikan, perasaan pasti menjadi serba tidak kena. Bermacam-macam bayangan dan lintasan fantasi yang bersarang diminda.semua orang pasti melalui dan merasai situasi begini.Kalau orang lelaki mungkin ketika nak 'masuk jawi'aka sunat aka khatan manakala orang perempuan masa nak bersalin aka beranak.Mungkin ada yang melalui pengalaman yang lebih hebat dari peristiwa diatas..

Wak juga terpaksa melalui detik yang mendebarkan ini.Wak rasa memang dah bersedia disegi mental dan fizikal untuk menempuh saat yang dinantikan.Wak kena mulakan langkah pertama ini sebelum langkah yang beribu-ribu langkah.Wak dah nekad.Wak akan basahkan bumi ini dengan darah.Biar darah merah itu mengalir membasahi bumi sebagai tanda kejayaan dan kesyukuran.

Kali ini ada 5 ekor lembu yang akan dikorbankan.Semalam semasa Majlis anjuran Masjid An naim ada 6 ekor lembu, Wak tidak berkesempatan kerana sebok dengan tugas sebagai Ketua Agihan.Tugas Wak ialah mendaftarkan semua peserta dan petugas Majlis korban, seterusnya penerima-penerima yang terpilih dari kalangan fakir miskin, muallaf, ibu tunggal,rumah-rumah perlindungan dan kebajikan dan warga emas.



lembu pertama telah berjaya diselesaikan oleh Tuan Pengarah JBS Selangor, Tn Hj Makhruzi. Beliau memang dah biasa menyembelih.Mula-mula rasa cuak juga sebab teknik yang baru diperkenalkan oleh Us Sapuan agak ringkas dan mudah. Lembu yang dah dibaringkan cuma perlu diikat sebelah kaki dan ditarik kebelakang.Tiada kayu, tiada batang pisang, tiada kayu dicelah kelangkang dan tiada orang yang memegang.

Pisau yang wak beli tidak cukup asah dan tidak melepasi tahap yang memuaskan. Tapi disegi penampilan dan gaya nampak menyakinkan.Akhirnya ,wak pinjam pisau Us Sapuan yang berkilat buatan Jerman itu.Itu pun dia kata ketajamannya tinggal 60%.



Selepas wakalah dibacakan, takbir pun bergema.Wak letakkan pisau yang berkilat itu dileher dan dengan lafaz Bismillah Allah Akbar, Wak gerakkan mata pisau dari arah bawah dan keatas. Darah merah segar memancut keluar dengan begitu deras sekali.Apabila Us Sapuan memberikan arahan 'sudah',Wak pun angkat pisau.Nampaknya proses sembelihan Hanya beberapa saat sahaja dah selesai.Alhamdulillah.Akhirnya..


Penyembelih pelatih berikutnya ialah Us Muszaki dan diikuti dengan tn Hj Jamali.Tahun depan giliran anak-anak muda angkatan baru...Br.din dan Kam ..bersedia dengan pisau baru...Kalau beranilah...

Berkorban Tanda Syukur



Wak rasa belum terlambat untuk mengucapkan Salam Aidil Adha dan Selamat Menjalani Ibadah Korban kepada semua para muslimin dan muslimat semua. Teristimewa ucapan dan ingatan ini untuk para pengunjung setia walau dimana jua anda berada.

Tahun ini Wak diberikan amanah untuk mengelolakan program Ibadah Korban. Pada Hari pertama Wak berada dikampung isteri Wak di Kuala Terengganu.Wak sempat singgah diPasar Payang untuk mencari golok untuk menyembelih lembu korban.Mana tau nanti ada peluang untuk menyembelih.

Alhamdulillah sempat juga Wak beli sebilah golok yang Wak rasa cukup sesuai untuk menyembelih.Harganya pun berpatutan.Sarungnya dibuat dari kayu kemuning muda. warnanya putih dan dicampur dengan kayu getah.Silap haribulan, belum sempat kena dah putus! Wak berangan je.

Sebenarnya Wak tak mampu nak beli pisau penyembelih buatan Jerman yang dibuat dari karbon dan stailesstell.Menurut Us Sapuan Nayan, Pakar penyembelih dari JAIS, Hanya ada 3 negara yang keluarkan pisau jenis tu iaitu Jerman,Brazil dan China.Tetapi buatan China agak kurang menyerlah ketajamannya tetapi lebih murah harganya.

Pihak Veteriner kata pisau tu bagus tapi harganya sebilah Rm200.Menurut petua dari pakar penyembelih, untuk menguji ketajaman pisau, cuba letak dikuku.kalau ditarik melekat,memang cukup tajam untuk menyembelih.Kalau tidak,kenalah asah semula.

Wak sebenarnya belum pernah menyembelih lembu atau kambing.Dulu masa mula-mula menyembelih ayam, sekali tarik terus putus!Tapi sekarang semua ayam dah siap disembelih dan boleh siap potong 16 lagi.jadi tidak ramai orang yang tahu atau berani untuk menyembelih!

tapi wak dengar ada kemungkinan, penyembelihan terbuka akan tidak dibenarkan lagi pada masa akan datang kerana dikhuatiri jangkitan virus. Wak tak pasti dengan maklumat yang Wak dengar tu. harap pihak berkenaa dapat beri penjelasan dan alasan yang kukuh sebab Program Ibadah korban ini adalah amalan yang telah dilakukan sejak beratus tahun.

Semua umat Islam dimana-mana ceruk rantau dunia tetap mengadakan ibadah korban sebagai satu pernyataan rasa syukur kepada Allah dan keinsafan diri kepada fakir miskin dan insan yang lain.

Sekiranya setiap insan muslim yang mampu untuk menyumbangkan Rm350 untuk satu bahagian, bermakna akan lebih ramai lagi orang yang berpeluang untuk menerima dan merasai daging segar sekurang-kurangnya setahun sekali!

Jumaat, 20 November 2009

Debat Sarjana - Satu Aqidah




Malam tadi Wak dijemput menghadiri rancangan Al Kuliyyah Khas. Program yang sepatutnya disiarkan secara langsung dibatalkan disaat akhir dan hanya siaran rakaman sahaja.

Tajuknya mudah tetapi sangat memikat iaitu " SATU AQIDAH". Dewan Dewan Bahasa dan Pustaka penuh dengan pendengar. Wak kira majoritinya ialah peminat dan pengkagum kepada seorang sosok yang disebut-sebut oleh para penyokongnya sebagai Mujaddid@Tokoh Pembaharu.Wak faham kenapa ramai orang datang.Isu hangat dan panas di Selangor.

Panel yang beraksi didewan ialah tokoh ilmuan tersohor iaitu YBhg. Dr. Uthman El Muhammady, dari ISTAC, PM Dr Fauzi Deraman dari UM dan Dr Asri Zainal Abidin, mantan Mufti Perlis.Moderator Forum ialah Us Fauzi Mustafa.

Wak duduk dikerusi belakang kerana bahagian depan dah penuh.tetapi dibahagian belakang ramai muka-muka yang wak kenal.Wak sempat bersembang dengan ramai sahabat dan tetamu yang datang.Mantan Presiden ABIM, Sdr Yusri,Sdr Saiful Alwi dan ramai sahabat dari Yayasan Sofa juga turut kelihatan.Waratwan2 Karangkraf pun ramai.

Semasa sesi rakaman, semua panel melontarkan buah fikiran dan pendapat mereka dengan baik dan berhati-hati.Namun ada juga yang melontarkan pandangan yang panas dan sensitif namun nampaknya pengalaman moderator yang luas dan kecekapannya mengemudi perbincangan dapat meredakan suasana.

Selepas sesi rakaman selesai, pihak penganjur membuka sesi soal jawab.Beberapa peserta mengajukan soalan termasuklah Mantan MB Perlis, Dato' Shahidan dan Sdr Yusri.Dalam sesi jawapan balas nampaknya semua panel lebih bebas dan berani mengeluarkan warna sebenar diri mereka.

Melalui bilangan orang yang bertepuk tangan dan ketawa, wak rasa memang ramai peminat dan pengkagum Dr MAZA.Apa yang mengejutkan Wak ialah mereka ketawa beramai-ramai apabila ada sindiran dan lawak berkenaan amalan Mazhab Shafie yang disampaikan oleh panelis berkenaan.Bahkan ada seorang panel yang bila bersalam pun tak pandang muka dan sambil lewa sahaja! Ulama' kan model ikutan umat!

Bayangkan PM Dr Fauzi boleh menyindir orang Islam di Malaysia akan mengerjakan Haji lebih lama paling kurang 3 bulan kerana nak tunggu jemaah lain balik takut batal bila bersesak-sesak.!Gurauannya disambut dengan deraian ketawa dari para pengikutnya.Jelas dan terang.

Namun Us Usman dengan tenang dan hikmah sekali memberikan komentar yang tajam dan mengesankan." Malam ini saya merasa begitu sayu sekali. Sayu kerana apabila ulama' dan ilmuan besar ditertawakan. Siapa kita untuk mentertawakan mereka?Allah akbar.Kemudian dia dengan penuh tawadu' (membahasakan dirinya sebagai 'lebai tua') menceritakan tentang pengalamannya bersama dengan tokoh ilmuan dari serata dunia. Wak pun tak dapat nak merakam semua ceritanya.Menyesal wak tak rakam.

Khamis, 12 November 2009

Bila Amanah Menjadi Dagangan..

Wak dan kawan-kawan memang menyedari bahkan sangat menyedari tentang gejala sosial yang semakin gawat dan menggugat kedamaian umat. Saban hari Wak menerima banyak permohonan untuk menempatkan remaja perempuan yang mengandungkan anak hasil perzinaan.

Hari ini sahaja ada tiga permintaan untuk mendaftar masuk ke Rumah Perlindungan Wanita Darul Wardah. Tujuan asal rumah ini bukanlah untuk menampung Mak Buyong yang mengandung kerana berzina tetapi untuk membantu wanita yang menjadi mangsa dera, konflik agama dan keganasan rumah tangga. Tetapi nampaknya yang selalu datang menelefon adalah remaja-remaja dan belia-beliawanis sama ada yang masih belajar di IPT atau pun yang sudah bekerja.

Menyedari hal ini Wak cuba mengajukan kepada pihak Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu mengatasi masalah dan fenomena ini. Wak dan kawan-kawan menyediakan tiga proposal khas untuk remaja.
1. Program Bahagia Menjadi Gadis ( BMG )
2. Remaja Nafas Baru ( RnB )
3. Aku Teruna Terhebat ( ATT )

Wak ajukan kertas tersebut kepada Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial diperingkat Negeri yang diketuai oleh YB Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan. Wak juga pernah dua kali menghadiri mesyuarat besar bersama pelbagai pihak termasuk PBT. Wak tahu pihak kerajaan memang serius untuk menggerakkan program menangani gejala sosial ini.

Selepas beberapa minggu menanti, akhirnya wak diberitahu bahawa program untuk menangani gejala sosial ini telah diserahkan kepada pihak lain. Melalui maklumat yang wak terima ada 5 syarikat perunding yang telah dilantik untuk menggerakkan program tersebut.Tidak ada NGO yang terlibat.alasannya bajet terhad.

Wak tak kisahlah kalau pihak Kerajaan Negeri tidak berminat untuk menerima pelawaan dan tawaran kami ( NGO) . Kami tahu bahawa kami bukanlah pemain utama atau panglima ternama dalam kerajaan Pakatan Rakyat. Cuma sekadar rakyat marhaen yang ingin membantu. Tetapi wak mendapat maklumat bahawa pihak yang diberikan mandat untuk menggerakkan program tersebut adalah dari kalangan jawatankuasa atau suku sakat mereka sendiri. Wak harap maklumat ini tidak benar.

Wak tak kisahlah kalau orang lain yang melaksanakannya tapi bukan dari urusetia atau jawatankuasa yang merancang dan mereka juga yang melaksana. Lebih baik tak payah tubuh jawatankuasa dan tidak perlu mesyuarat yang meleret-leret. Kawan wak kata : “apa bezanya kerajaan dulu dengan sekarang? Nampak macam seghope aje…dengan nada sinis.

Kawan wak yang merasa tidak puas hati terus mengatakan bahawa, “perkara ini tidak adil! Demi kebenaran dan keadilan, kita mesti adu ke SPRM!” Wak sabarkan mereka kerana niat kita adalah untuk membantu mendidik dan memandu ummat dalam Bahtera Penyelamat. Kita bukan hendak berebut harta rampasan perang.Kita bukan kelompok pemanah yang lari dari posisi strategik semata-mata ingin mengaut harta ghanimah selepas tentera Islam mencapai kemenangan dalam Perang Uhud.

Wak serahkan kepada Allah kerana hanya Dialah yang Maha Mengetahui isi kebenarannya. Yang Benar tetap benar dan Yang batil tetap batil. Allah tetap bersama orang yang benar. Teruskan perjuangan …demi Allah, demi Islam.Sesungguhnya Amanah bukan barang dagangan...