Isnin, 26 Mei 2014

SEGELAS KOPI PANAS BERNILAI RS10

Aku menjangkakan, kami akan dibekalkan dengan makan malam kerana kami belum makan apa-apa selain dari makanan dalam pesawat. Tetapi Ustaz yang membawa kami tidak membuka mulut untuk mengajak kami makan. Mungkin sebab dah lewat malam dan tak banyak kedai yang buka. Hanya ada kedai runcit dan kiosk kecil menjual makanan snek.

Sementara menunggu rakan-rakan selesai urusan masing-masing aku memesan segelas kopi panas dari kiosk berhampiran. Aku memesan 3 gelas kopi perasa latte untuk aku dan dua orang pak cik yang ingin menikmati kopi panas bagi menyegarkan badan. Duit RS 100 yang aku beri kepada cashier dia pulangkan RS70. Maknanya kopi itu berharga RS10. Agak terkejut juga aku kerana gelasnya kecil dan kedainya pun cuma kiosk kecik je. Boleh tahan juga harganya … macam harga dihotel je ” kata mereka. 

ketika ini, hp aku dah habis bateri jadi tak dapatlah nak tangkap gambar. Aku harap semua pembaca dapat membayangkan situasi perjalanan kami dengan jelas ye..

ISRA' "PERJALANAN MALAM" : DARI JEDAH KE MADINAH

Jam 12.30 pagi kami bergerak meninggalkan Terminal Haji yang telah menguji jiwa dan iman kami untuk banyak bersabar. Kami benar-benar mempelajari ilmu sabar dan Alhamdulillah, semuanya lulus dengan baik dan cemerlang. Tiada kata-kata kesat dan maki hamun yang keluar dari mulut sahabat-sahabat kami. Tiada juga tindak balas negatif  yang memburukkan keadaan. Kami sedar kami ini datang untuk menunaikan ibadah umrah dan sedang berusaha mendapatkan redha Allah SWT. Kami datang bukan untuk menjadi samseng atau mencari geruh dan bergaduh dengan saudara-saudara kami yang kami pun tidak kenal lagi.

Dalam keadaan keletihan kami meneruskan perjalanan kami ke Madinah untuk meneruskan misi kami menziarahi Baginda rasul SAW . Oleh kerana kepenatan, kebanyakan kami terus terlelap selepas  bas kami mula masuk ke lebih raya dan meredah kegelapan malam menuju ke Madinah. Cuma yang tak bes nya ialah kenderaan yang kami naiki ni jenis coster. Kerusinya hanya separas bahu dan tiada alas kepala. Aku kesian kepada pakcik-pakcik yang sudah lanjut usia dan uzur terpaksa menempuh perjalanan ini dengan keadaan begini. Semoga mereka dapat bersabar dan dapat menghadapi semua ini dengan ikhlas dan qanaah mengharapkan redha Allah swt. 

Perjalanan kami berjalan lancar dan pemandu  memberhentikan kenderaan di satu kawasan rehat dan rawat  untuk kami menunaikan solat dan merehatkan badan sekejap. tidak ramai manusia di sini. Mungkin sebab waktu menunjukkan jam 2.30 pagi. Hanya ada beberapa jemaah umrah  yang turut berhenti rehat di sini.

Jumaat, 23 Mei 2014

DI SINILAH PUSAT LATIHAN ILMU SABAR !


Ketika kami tiba di kawasan Terminal Haji, sudah ramai jamaah yang berihram. Dari rupa paras mereka aku rasa mereka dari Negara India. Ketika itu jam menunjukkan pukul 12.45 pagi. Kami begitu rasa teruja dan rasa gembira sekali kerana akhirnya impian untuk datang ke Tanah suci Mekah dan Madinah ini akhirnya tercapai jua.

Aku tertinjau-tinjau mencari  papan tanda untuk berbaris bagi urusan imegresen , tetapi kelompok rombongan dari India yang ramai berhimpun tadi sedang menunggu giliran untuk diperiksa passport mereka. Tetapi aku tengok macam tak ada barisan pun. Jadi kami pun berbaris mengikut orang depan.  Oleh kerana semua penumpang pesawat MAS adalah jamaah umrah, maka ramailah yang berada di kawasan terminal tersebut. Dalam pesawat kami, ramai juga jamaah dari Indonesia yang menggunakan penerbangan MAS.

Selama sejam aku berdiri keadaan baris tidak bergerak dan berganjak dan aku mula pelik. Aku cuba dapatkan maklumat dari pegawai bertugas. Aku diberitahu bahawa warga emas berusia 60 tahun keatas  dan kaum wanita diminta untuk berbaris dikaunter khas sebelah kiri pintu masuk terminal tersebut. Aku minta beberapa orang ahli rombongan  OMEGA warga emas untuk beralih ke barisan yang dimaksudkan. Aku juga minta salim membawa ibunya yang berkerusi roda untuk mengikut barisan tersebut. Al hamdulillah dalam masa dua jam urusan mereka semua selesai. Tetapi aku Nampak Salim bergerak menuju  ke barisan kami tanpa ibunya. “ Emak saya dah ok. Tapi saya kena baris ikut kelompok lelaki sebab nak scan jari”. Ibunya diletakkan ditepi dinding sementara menunggu proses kami  selesai.

Salim berbaris dibelakang kami selang 5 orang penumpang lain. Kemudian masuk  ramai penumpang dari pelbagai Negara . Melalui passport aku tengok, ramai orang-orang Libya, Qatar dan macam-macam negara lagi. Ada beberapa orang penumpang yang secara selamba memotong barisan. Walaupun sudah ditegur dan diberi peringatan oleh penumpang lain, tetapi mereka buat bodoh saje. Anehnya, ada yang berkopiah, berjanggut panjang dan yang lebih teruk lagi mereka yang berpakaian ihram.

Selama 4 jam kami berdiri, berlaku beberapa insiden perbalahan mulut Antara para penumpang. Oleh kerana badan sudah penat, perut sudah lapar, hati sudah panas, ramai yang hilang sabar dengan kelembapan sistem imegresen Saudi! Penumpang semakin berhimpit dan tolak menolak dan beberapa orang arab mula meninggikan suara. Tiada pegawai  imegresen yang mengawal keadaan dan membetulkan keadaan tersebut. Selang beberapa minit, pegawai bertugas meninggalkan kaunter dan pergi entah kemana. Selepas 10 minit barulah  datang pegawai lain meneruskan tugasan tersebut. Kami sudah semakin tertekan dengan keadaan tersebut dan kelompok jamaah India mula melaungkan talbiyyah untuk menenangkan keadaan. Kami diberitahu, mereka telah berbaris sejak pukul 3.00 petang lagi! Maknanya ketika kami sampai, mereka sudah 4 jam menunggu!

“ Bulan lepas kawan saya menunggu hampir 5 jam dan hampir berpatah nak  balik ke Malaysia” Ujar seorang teman yang berdiri disebelah aku. “ Masalahnya sistem perlu diperbaiki. Kalau musim Ramadan dan haji, tak taulah macam mana keadaannya ni” ujar nya lagi.

Tiba-tiba ada seorang lelaki arab berpakaian ihram datang dari arah belakang dan mencium pipi seorang lalaki Melayu yang ada di depan aku! Kemudian tanpa rasa malu dan rasa bersalah dia minta laluan mencelah untuk memintas barisan. Tetapi nampaknya usahanya itu kurang menjadi. Kami sepakat bertegas… No Way!   Q-up please!

Sedang kami bertafakkur dan diam memikirkan keadaan yang sedang berlaku, kedengaran suara orang bertengkar lagi. Kali ini seorang lelaki Melayu dengan lelaki Arab. Aku tengok lelaki Melayu itu sambil memeluk sekarton rokok Dunhill, bercakap dengan nada marah-marah dalam Bahasa Ingeris dan cuba disabarkan oleh seorang wanita yang aku kira ibunya..Kawan-kawan Arab yang lain pun turut membantu menenangkan keadaan.. “ Sabar! Sabar! Semua… berbarislah dengan betul…kata mereka..keadaan kembali reda dan senyap...

Akhirnya,  giliran aku pun tiba, tapi malannya, pegawai bertugas bangun dan terus keluar. Aku tak tau kemana dia pergi. Aku hanya mampu melihat dan kebingungan. Selepas beberapa minit dia kembali.Aku tak tanya kemana dia pergi. Mungkin pergi tandas atau pergi minum teh agaknya. Jam  di dinding sudah menunjukkan jam 11.00 malam. Maknanya sudah 3 jam setengah aku berdiri di sini.

Selepas aku selesai, ada seorang lagi ahli jemaah umrah aku yang perlu ditunggu. Sementara itu, aku menguruskan bagasi aku untuk dimasukkan dalam troli. Akhirnya hampir pukul 12.00 malam, barulah semua urusan selesai. Syukur alhamdulillah..

Diluar, Ustaz Ramli sudah sedia menunggu. Aku hanya mampu meminta maaf atas kelewatan ini dan hanya Allah yang tahu apa yang ada dibalik hati masing-masing semasa menempuh pengalaman ini. Rabbi yassir...Rabbi Yassir..Rabbi Yassir...




SELAMAT TINGGAL MALAYSIA..

Kerusi aku kali ini betul-betul di barisan depan sekali. Hanya beberapa langkah dari pintu masuk. Alhamdulillah. Kebetulan dalam grup aku ada yang berkerusi roda. Jadi, mudahlah sikit pergerakan. Pesawat kami penuh dan tidak banyak kerusi yang kosong. ramai juga jamaah umrah dari Indonesia yang menggunakan pesawat MAS. Aku pun tak sempat nak bersembang dengan mereka. Mungkin jaraknya lebih dekat dan lebih murah.

Disebelah aku ada seorang Arab warga Saudi yang baru selesai konferen di Kuala Lumpur. Beliau sedang menyiapkan PHDnya di Universiti di Mekah. Kami berbual panjang. ALhamdulillah, Bahasa Arab aku masih boleh tahan walaupun dah berkarat. Kadang aku terlupa beberapa istilah mudah yang biasa dipakai dalam bahasa perbualan basahan dan kadang terbabas juga dengan dialek Mesir. Aku bertukar no telefon dan berharap agar dapat bertemu bila kami sampai di Mekah nanti.
Semoga bertemu lagi Syeh Abdul Rahman..

Pesawat MAS yang kami tumpangi, mendarat dengan selamat. Syukur Al hamdulillah. Terima kasih juga kepada  Kapten yang membawa kami dengan aman dan selamat.

Kami selamat mendarat di Lapangan Terbang King Abd Aziz pada jam 7.32 Malam – Saudi ( 12.32 pagi – Malaysia ). Kami menempuh perjalanan selama 9 jam dari KLIA, Malaysia pada hari khamis jam 3.15 petang  dan sampai di Saudi pada 7.32 petang. Nampak macam dekat je..Kalau dikira Cuma 4 jam suku je tapi kerana kami bergerak menuju ke barat maka perjalanan kami kena tambah 5 jam menjadikan perjalanan kami 9 jam lebih.








WJ BERTAMU KE MEKAH

Alhamdulillah...

Hajat aku nak ke Mekah menunaikan umrah akhirnya tertunai. Syukur al hamdulillah.
Selepas hampir 20 tahun aku meninggalkan bumi Hijaz*, terasa rindu hati ingin bertamu dan beribadah di Masjidil haram dan Masjid Nabawi. Walaupun keadaan cuaca yang jauh lebih panas dan mencabar, namun jutaan umat Islam setiap hari berduyun-duyun datang siang dan malam. Aku diminta oleh pihak OMEGA travel & Tours  untuk menjadi pembimbing, sekaligus ketua rombongan untuk jamaah umrah ini.

Travelog ini aku tidak catatkan mengikut kronologi tetapi lebih kepada catatan pemerhatian dan pengalaman yang aku lalui di sana untuk dikongsikan dengan pembaca semua.

* Hijaz ialah nama lama Saudi Arabia sebelum pemerintahan Kabilah  Saud

BILA ORANG KAMPUNG MAKAN DI BANDARA

Semasa aku selesai solat zohor di surau balai berlepas KLIA, aku benarkan semua ahli rombongan untuk meninjau-ninjau lapangan dan mencuci mata di kedai-kedai barangan yang ada di kawasan bandara KLIA. Tepat jam 2.30 mereka semua diminta berkumpul dilokasi yang telah diputuskan iaitu di pintu 27.

Semasa kami berbaris untuk menaiki pesawat, aku mendengar mereka berbual tentang makanan yang mereka pesan tadi. Pak Man melahirkan rasa terkejutnya kerana nasi goreng yang dipesannya bernilai Rm30! Dan mee goreng bernilai Rm20! Ada juga yang makan bertiga hingga Rm90!

Aku tak tau harga di KLIA semahal itu sebab memang aku tak pernah pun makan di sini. Biasanya memang mahal. Maklumlah susah nak membawanya ke dalam KLIA ni dan sewanya pun memang selangit hargannya. Aku pun kesian juga sebab tidak sempat memberikan pesanan  berhati-hati sebelum membeli sesuatu barangan atau makanan.

Tapi, anggaplah itu sebagai yuran pembelajaran. Agak mahal juga yurannya untuk pelajaran seperti itu.