Selasa, 11 Jun 2013

Kembara Ilmu di Luar Kelas

TEMAN DARI SYURKATI

Di dalam kamar tidur aku ditempatkan bersama 2 orang guru dari  Maahada Tahfiz Syurkati. yang tawaduk. Dua orang guru muda yang juga hafiz Al Quran Pertama kali mendengar nama maahad terasa agak janggal kerana tidak seperti nama-nama yang biasa. Rupa-rupanya nama unik itu diambil dari nama salah seorang pendiri maahad  iaitu Syiekh Syurkati,seorang warga Sudan. Memang namanya sangat asing dan mudah diingat dan menarik perhatian orang. sama seperti nama Isy karima yang bermaksud hiduplah dengan kemuliaan. memang jarang dibuat orang meberi nama sekolah dengan panggilan yang anih seperti ini tetapi keanihannya itu menarik minat orang untuk ambil tahu dan menoleh pandang. keren lah.

Kami bertaaruf dan berbual-bual tentang diri masing-masing, berkongsi pengalaman dan pengetahuan terutama berkaitan ilmu, pendidikan dan perkembangan dakwah di rantau nusantara. Dengan bantuan teknologi moden - internet - segalanya berada dihujung jari. Masing-masing mempunyai banyak maklumat yang ingin dikongsikan dan perbincangan semakin menarik. Tanpa sedar jam sudah menunjukkan 1.00 pagi ( WIB ). Kalau di Malaysia dah jam 2.00 pagi. Kerana subuh di sini awal, sekitar jam 4.30 pagi kami semua pun tidur kerana esok pagi ada kuliah subuh

SOLAT SUBUH SALAFI

Oleh kerana dikalangan kami ramai guru tahfiz maka solat subuhnya agak panjang. Surah pilihannya adalah surah-surah yang jarang dibaca oleh jamaah biasa. aku mengkuti dan sempat menikmati bacaan imam yang sungguh merdu dan mengasyikkan. Ada beberapa perkara yang diamalkan dalam solat pengikut salafi. Pertama mereka memilih untuk tidak membaca basmalah. Maknanya  lafaz jaharnya bermula dengan al hamdulillah....Kedua mereka tidak membaca doa qunut. Ketiganya selepas solat masing-masing berzikir sendiri dan senyap. ada yang terus bangkit dan membuat urusan masing-masing.

Satu lagi perkara yang biasa diamalkan ialah kelaziman mereka memastikan saf betul-betul rapat. mereka akan memastikan kaki mereka bersentuhan antara satu sama lain. Kadang-kadang kedudukan kaki mereka seperti terkangkang kerana nak memastikan sentuhan tapak kaki dengan ahli jamaah yang lain. Bagi aku, perkara ini bukanlah asing kerana masa aku belajar di Mesir dulu, ramai juga pengikut-pengikut salafi melakukan perkara yang sama.Namun, apa yang mereka amalkan ini adalah lahir dari ilmu yang mereka pelajari dan keyakinan diri mereka pegang. ianya bukanlah perkara besar atau asas yang perlu dipertikai dan dijadikan pokok perbalahan dikalangan umat.



Kembara Ilmu Bermula

AWALNYA MALAM DISINI

Selepas asar peserta semakin ramai yang tiba dari berbagai penjuru kota dan pelusuk desa. Kebanyakan menunggang speda motor. Menjelang maghrib ada lebih kurang 70 orang peserta yang solat maghrib sama-sama di Masjid An Nur. Aku diberitahu bahawa kompleks dakwah ini adalah milik Yayasan Al Irsyad. Ia mengandungi asrama penginapan, ruang makan terbuka, masjid dan ruang parkir yang luas. Sekelilingnya adalah sawah padi. Kebetulan ketika ini adalah musim membajak tanah dan petak-petak sawah penuh dengan air yang akan memaparkan lukisan alam yang unik dan menarik.

waktu maghrib di sini terasa awal sebab perbezaan waktu dengan Malaysia diundur sejam. Waktu Maghrib di sini sekitar jam 5.30 petang. Menjelang jam 6.00 keadaan telah menjadi gelap. Diwaktu senja permandanganya sangat menarik. Di sebelah arah pergunungan kelihatan  Gunung Lawu yang diselimuti awan putih yang tebal. Kadang-kadang kelihatan kegagahan gunung terpaku kemas dimuka bumi dan kadang sirna dibalik awan dan kabus yang terus berarak silih berganti. Awal sungguh waktu malam di sini.

PEMBUKAAN DAOROH

Selepas Isya' sekitar jam 8.30 malam, majlis pembukaan dimulakan. Kelihatan di pentas beberapa orang Arab yang menjadi rakan kongsi penganjuran dauroh dan beberapa panitia tempatan. Hanya seorang yang aku kenal iaitu mudir Maahad Tahfiz Isy karima iaitu Us Shihab. Seorang hafiz Al Quran dan masih muda belia lagi. Aku kira usianya sekitar 40-an atau kurang lagi.

Seorang wakil Lembaga Dakwah Arab Saudi yang aku tak ingat namanya, berkerusi roda dan dibantu oleh seorang pembantu berkulit hitam. Dia memulakan bicara alu-aluan dalam bahasa Arab. Kelihatannya peserta yang hadir memahami isi ucapan yang disampaikan. Rupa-rupanya memang peserta yang hadir adalah dari kalangan guru-guru pondok atau kiyai-kiyai pesantren. Nasib baik teman yang bawa memang boleh berbahasa Arab. Kalau tidak alamat meloponglah jawabnya.

Untuk catatan, program Dauroh ini adalah anjuran Dewan Dakwah Islamiyyah Indonesia dengan  kerjasama Maahad Isy Karima dan Lembaga Dakwah Arab Saudi. Begitulah perjalanan dakwah di Dauroh ini bermula.

Isnin, 10 Jun 2013

Kisah Seorang Kiyai Muda

Selepas solat zohor dan asar secara jamak takdim, aku buang-buang cakap dengan beberapa orang yang juga peserta Daoroh. Aku berkenalan dengan seorang lelaki yang menamakan dirinya sebagai Imron. gayanya bersahaja. berjubah putih dan berkopiah putih.Watak gayanya dia seorang yang ramah dan mudah mesra. Dia memperkenalkan dirinya sebagai seorang guru Tahfiz Al Quran di Berunai. Berasal dari Lumajang, Jawa Timur. Tapi lenggok bahasanya tidak seperti orang Jawa. Rupanya keturunannya bercampur antara Jawa dan Madura.

Kami berbual berbagai-bagai topik dari keadaan cuaca yang dingin di Karangpandan hingga isu umat Islam di rantau Melayu. topik paling menarik minatnya ialah tentang pendidikan Al Quran. Beliau mengaku berasal dari aliran bukan agama tetapi sejak Sekolah Dasar ( SD ) ia memang berminat dengan pengajian Islam. Selepas SMA, beliau menghabiskan masa untuk mengaji Al Quran sekaligus menghafaz Al Quran. Kerana minat yang mendalam beliau dapat menempuh segala cabaran dan dugaan belajar yang sangat berat. Al hamdulillah kini beliau telah menjadi seorang hafiz dan mengabdi diri menjadi pendidik umat dalam bidang bacaan dan hafazan Al Quran.

Belliau kini sedang membangun maahad Tahfiz Al Quran di tanah kelahirannya, Lumajang. Azamnya untuk melahirkan setiap rumah ada ahli yang hafiz Al Quran hampir menjadi kenyataan. Ideanya sangat sederhana sekali. Tetapi hingga kini beliau telah berjaya membangun modul dan teknik hafazan yang mudah. Beliau mendakwa seluruh kakitangan ofisnya telah mula menghafaz Al Quran termasuk jaga pintu dan tukang kebun. Hebat sekali ini orang. Bahkan di desanya, beliau mendakwa, seorang nenek berusia 70 tahun juga telah berjaya menghafaz 2 juz A Quran.

Ceritanya yang penuh semangat benar-benar merangsang semangat kami. Sebagai pengenalan kami diminta membaca beberapa potong ayat Al Quran untuk tujuan semakan. Bacaan pertama, surah Al Fatehah. Boleh dikatakan semua yang mendengar ceritanya ada kesilapan dalam sebutan makhraj huruf. Sedangkan teman2 yang hadir semua adalah hafiz dan kiyai-kiyai pondok.

Beberapa kali aku mengulang bacaan yang masih tidak kena dengan kehendaknnya. Bahkan teman perjalananku Ustaz Abdullah pun terpaksa melihat cermin muka untuk mengenalpasti duduk kesilapan bacaanya. Tetapi semua itu tidak mengurangi semangat kami untuk terus mendalami bacaan Al Quran.

Sedang kami rancak berbual, hidangan pun sampai. Menu yang sederhana, ayam goreng dengan daun betik rebus. Sambal cili merah disediakan untuk mengurangi rasa pahit daun betik. selepas suapan pertama aku sudah dapat merasakan nikmat kelazatan menu yang dihidangkan. Bukan kerana aku lapar sangat tetapi memang adunan bumbunya cukup dan pas sekali...

Rabu, 5 Jun 2013

Travelog Kembara Ilmu

Persiapan Kembara

Pada 1 - 4 Jun 2013 yang lalu aku dan sahabatku Us Abdullah Din telah diundang ke Program Dauroh anjuran Dewan Dakwah Islamiyyah Indonesia dengan kerjasama Maahad Isy karima dan Lembaga Dakwah Islamiyyah Saudi. Daourah bermana seminar atau simposium yang membincangkan topik-topik tertentu.

Kami bertolak dari LCCT Sepang pada awal pagi sebelum menjelang terbit fajar. Ustaz Abdullah yang bertolak dari Alor Star hanya dapat tiket bas pada jam 7.00 malam dan tiba di Terminal Bas Shah Alam pada jam 2.00 pagi. Bas agak lambat kerana beberapa hambatan diperjalanan. Kami bertolak dari rumah aku pada jam 4.00 pagi kerana jadual penerbangan kami ialah pada jam 6.50 pagi.

Ustaz Abdulllah Din adalah seorang guru agama dan Bahasa Arab di sekolah menengah di Kedah. Beliau aktif dalam kerja-kerja dakwah dan boleh dianggap pakar dalam bidang kristian dan Shiah. Beliau sering dipanggil oleh institusi pendidikan dan dakwah terutama di bahagian utara Malaysia. Sebagai Timbalan Yang Dipertua ABIM Kedah, jaringan dakwahnya meluas dari peringkat masyarakat luar bandar di desa menjangkau ke pihak pentadbiran negeri dan Majlis Hal Ehwal Islam.

Panorama Solo Nan Indah

Kami mendarat di Lapangan terbang Solo ( baca : Bandara- Bandar Udara ) pada jam 8.30 pagi ( WIB - Waktu Indonesia Barat ). Keadaan cuaca baik dan cerah. Sinar suria telah berada tinggi menegak diangkasa menjalankan tugasnya. Kami terus menuju ke destinasi yang ingin dituju - Maahad Isy Karima. Kami memilih menaiki teksi Bandara kerana lebih mudah dan selesa. Tambang yang dikenakan ialah Rp160.000. dalam perjalanan pak supir bertanya kepada majikannya melalui radio teksi : " Kalau mau lanjut ke Isy Karima berapa tambahannya?" Kedengaran suara dicopong radio : " pake meter aja ". Dalam hati aku berdetak..alamak...berapa pulak aku kena caj tambahan nanti. Aku terus bertanya pak supir : " Berapa Jarak Karangpandan ke Isy karimah?".." Hanya 5-6 kilo-an ".

Dalam perjalanan keluar dari Kota Solo, kami melalui jalan-jalan yang agak sempit yang penuh dengan kenderaan kereta, lori dan motorsikal. Tetapi keadaan trafik tidaklah terlalu macet ( jem ). Pada aku orang Jawa Solo ini sangat bertolak ansur dan berhemah dijalanraya. Aku memerhatikan keadaan kota yang telah diatur rapi dan bersih oleh mantan walikota yang terkenal iaitu Joko widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi. Sekarang beliau menjawat kerjaya baru sebagai Gabenur Jakarta yang baru. Aku mengenali Pak Jokowi ini dari buku kisah perjalanan hidupnya : Kerikil Gado-gado Jokowi.

Semakin jauh kami meninggalkan Kota Solo, kami mula dihidangkan dengan permandangan indah sawah-sawah padi yang menghijau, berpetak dan berlengkuk-lengkuk di lereng-lereng bukit. Keadaan udara semakin lama semakin dingin dan nyaman sekali. Nasib baiknya jalur jalanya tidaklah terlalu berliku seperti yang pernah aku alami di Jalan Pachitan yang berlengkar-lengkar seperti roller coaster ketika dalam perjalanan ke Ponorogo.

Kami tiba di pintu pagar Maahad dan ada pengawal yang sedang bertugas. Dia memaklumkan bahawa Daoroh dipindahkan ke Masjid An Nur. Jadi kami kena berpatah balik kerana lokasi tersebut sudah kami lewati. Dalam meter teksi aku lihat jumlah sudah mencecah Rp16.000. Aku minta pak supir menghantarkan kami dilokasi yang dinyatakan dan dia maklum tentang lokasi masjid itu. Apabila kami sampai, azan zohor sedang keudara dan kami terus menurunkan bagasi dan membayar tambahan tambang yang dikenakan. Pak supir terus meminta rp30.000 seperti yang tertera di meter walaupun sebenarnya dia hanya perlu meminta caj hingga ke Maahad sahaja. Tapi aku niatkan sedekah sahaja. Semoga kemudahan yang diberikan, akan digantikan Allah dengan mempermudahkan semua urusan aku.

Dipagar masjid aku tengok ada kain rentang ucapan selamat datang kepada semua peserta daurah. Maknanya memang program tersebut akan di adakan disini.Selepas solat aku nampak ada seorang lelaki yang memakai baju yang ada logo Maahad Isy Karima. Aku bertanya :" Kapan daurahnya pak ustat?"..." Ooo..daourahnya mula malam...lepas Isya'." ... Alhamdulillah..ada masa untuk berehat dan tiduuurrr...