Selasa, 21 Disember 2010

IBNU AFFAN- KOPERASI HALAL CONTOH


KOPERASI IBNU AFFAN


Apabila kami sampai di perkarangan syarikat ini, timbul perasaan kagum atas kejayaan mereka membangun gedung besar seperti ini. dalam hati aku merasa bangga kerana kejayaan umat Islam di sini membangunkan ekonomi mandiri yang berteraskan syariah. Syarikat Takaful Ibn Affan adalah sebuah syarikat koperasi yang menumpukan kepada aktiviti perkhidmatan kewangan dan perniagaan.

Mereka menerima dana pelaburan dari pelabur dan memberikan pinjaman kepada ahli-ahli yang memerlukan. Pelan perkhidmatan berteraskan syariah ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari seluruh masyarakat di sini. Buktinya ia telah pun mempunyai 50,000 ahli berdaftar dan 9 buah cawangan di Wilayah Selatan Thailand. Aku rasa koperasi belia Islam perlu banyak muhasabah dan mempelajari sesuatu dari kegigihan dan kesungguhan saudara mara kita di sini. Dulu mereka mempelajari semuanya dari ABIM dan Malaysia tetapi hari ini nampaknya mereka telah maju jauh dihadapan.

Dalam sesi dialog mereka mendedahkan bahawa rahsia kejayaan mereka ialah komitmen ahli lembaga pengarah yang ikhlas untuk menjadikan sistem ekonomi Islam menjadi satu realiti di Selatan Thai. Mereka begitu bersungguh-sungguh kerana sudah menjadi tanggungjawab dan fardhu kifayah kepada seluruh ummat di sini untuk membangunkan sistem ekonomi yang patuh syariah.

Begitulah azam dan semangat perjuangan yang dapat kami contohi dan pelajari dari mereka dalam pengembaraan ini.

KECEK TTANI

Kebanyakan penduduk Melayu Islam di Selatan Thai bertutur dalam Bahasa Melayu mengikut dialek Kelantan. Tetapi bunyi dan sebutannya agak lebih pekat dan kadang sukar untuk difahami. Seorang wakil YMAT yang memberikan penerangan tentang masalah dadah dan HIV dikalangan remaja dan belia Islam di Selatan. Mereka yang terjebak dengan dadah kerana kecewa dan ‘meraso patoh dado’. Apa yang dimaksudkan oleh beliau ialah remaja yang patah hati. Ramai dari kalangan peserta yang berkerut dahi untuk menangkap setiap butiran yang disampaikan kerana daya tangkap telinga mereka belum biasa dengan dengung dan tajwid yang beragam itu. ha..ha..ha..

CERITA DARI PATTANI

MUASSAH DARUL AITAM WAL MASAKIN

Destinasi kami berikutnya ialah Muassah Darul Aitam wal Masakin di Pattani. Perjalanan dari Takbai memakan masa lebih kurang 2 ½ jam. Aku dah dua kali mengunjungi tempat ini. Rumah ini sudah lama tidak menerima tetamu dari luar sejak lima tahun yang lalu kerana suasana gawat dan tidak aman yang berlaku. Gambaran tentang wilayah bergolak dan pertumpahan darah dimedia sedikit sebanyak menimbulkan rasa takut dan bimbang kepada masyarakat luar untuk datang ke Selatan Thai khususnya di tiga wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat.

Banyak perubahan yang berlaku. Ada beberapa bangunan tambahan dan rumah utama yang menjadi rumah asal penempatan anak-anak yatim juga sudah berwajah baru dan ceria. Menurut ustaz Ismail, salah seorang pendiri rumah anak yatim ini “ sekarang ini ada 1000 orang anak-anak penduduk tempatan yang bersekolah rendah yang belajar kelas fardhu ain di Muassah ini.

Pada peringkat awal penubuhannya kami pernah kekurangan makanan dan kehabisan duit. Al hamdulillah bantuan dari masyarakat dan pihak-pihak korporat banyak membantu kami membangunkan rumah anak yatim ini” Kata ustazah Maryam Samoh pengasas Rumah Darul Aitam.

MAKAN MALAM DI PATTANI

Selepas solat maghrib dan isya’ kami dibenarkan untuk makan di luar hotel. Banyak kedai dan gerai berhampiran. Aku dan keluarga, Geng Masjid An Naim dan 3 peserta lain memulakan langkah jalan-jalan cari makan. Agak jauh juga kami berjalan untuk mencari menu dan gerai yang sesuai dengan selera dan nafsu masing-masing. Setelah penat berjalan kami bertanyakan restoran muslim yang bagus. Seorang wanita bertudung yang Nampak baik hati menyarankan agar kami ke Restoran Arini dihujung jalan. Ternyata restoran itu agak besar dan selesa. Hujan mula turun dan kami mula menempah makanan.

Kami cuba memesan makanan Thai yang popular iaitu Tom Yam dan Siakap Tiga Rasa. Lagi pun makan malam ini adalah untuk meraikan Harijadi anak aku yang ke tiga – Abdullah Qardhawi yang sudah pun berusia 12 tahun pada 25.11.2010 yang lalu. Tarikhnya betul-betul ketika kami nak bertolak ke program explorasi ini. Jadi kami mencadangkan supaya majlis keraian dibuat di Pattani sahaja. Kalau nak dibandingkan dengan perkhidmatan dan kualiti rasa, nampaknya di Malaysia lebih baik lagi.

Walaupun ramai pelanggan yang datang tetapi pelayannya Cuma dua orang sahaja. Pesanan yang dibuat agak lama dan menimbulkan keresahan dikalangan pelanggan yang datang. Bermacam-macam cerita yang kami bualkan hingga dah kehabisan tajuk.
Akhirnya juadah yang dipesan pun tiba dan suasana menjadi senyap kerana masing-masing memberikan tumpuan dalam setiap suapan. Semuanya makan dengan penuh selera kerana kelaparan dan penatian yang berpanjangan.

JURUS MUAY THAI DAN URUTAN SIAM

Menurut En Wan Abd Rahman ada 3 orang rakannya yang turut bermalam dihotel tempat kami menginap – Hotel My Garden – baru tamat kelas mengurut dan mendapat sijil kelayakan. Dia menawarkan separuh harga untuk peserta explorasi lelaki sahaja. Aku rasa bagus juga kalau dapat mempelajari seni urutan Thai yang popular tu. “Sebelum kita bercerita dengan orang lain , elok kalau kita mencuba dan merasai pengalaman yang menarik itu dulu” kata seorang teman aku yang memang suka berurut.

Malam itu ada enam orang peserta lelaki menempah untuk sesi khas. Aku adalah peserta pertama bersama dengan Cikgu Syukri. Berbagai-bagai jurus dan teknik yang digunakan. Pendek kata semua sendi jari, lengan, siku,lutut dan kaki digunakan untuk memastikan perjalanan darah terus lancar. Sambil mengurut mereka berbual-bual dengan sesama mereka tentang isu semasa di Pattani dan umat Islam di rantau Melayu. Antara nama yang selalu disebut ialah nama Anwar Ibrahim ( sekarang Dato’ Seri ) sebagai seorang pemimpin pemersatu umat yang gigih dan aktif pada zaman mudanya bersama pemuda-pemuda membangunkan umat Islam di nusantara.

Nampaknya mereka ni pun bukan calang-calang orang. Mungkin aktivis gerakan Islam yang terlibat dalam mana-mana pertubuhan di sini. Aku tengok cara dia mengurut pun Nampak berhemah dan tertib sekali. Aku dengar kalau pergi rumah-rumah urut siam mereka akan buka baju dan kain semua sekali. Ada yang berani buat?

Sesekali terdengar suara Cikgu Syukri menahan sakit. Mungkin teknik Muay thai yang digunakan oleh tukang urut tersebut menyebabkan ada tulang sendi yang bersilang-silang. Nasib baik badan aku agak kurus dan mudah diuruskan. Kalau saiz xxxl mungkin lebih mencabar lagi. Sebenarnya aku bukan jenis orang yang suka berurut.Cuma aku suka member peluang kepada diri aku sendiri mempelajari ilmu-ilmu dan merasai pengalaman baru. Sekurang-kurangnya aku dapat mempelajari teknik-teknik baru .

MAKAN PAGI BERSAMA ARTIS


Semasa kami tiba di sebuah restoran berhampiran dengan pejabat Majlis Agama Islam Pattani, kami bertemu dengan van yang membawa artis In Team dan Unic. Khabarnya mereka ada konsert di sini. Aku pun ada melihat beberapa poster dan banner di sekitar Pattani tentang konsert tersebut. Beberapa orang peserta mengambil kesempatan untuk bergambar dan bersalam-salaman. Aku Cuma sempat melambai hai..hai..by..by… kerana ketika aku sampai mereka sudah berada dalam van dan bersiap untuk berangkat balik.

Aku rasa restoren ini agak popular kerana ramai orang yang datang membeli. Sepanjang pemerhatian aku orang sini memang suka makan nasi waktu pagi.macam orang disebelah Kelantan dan Terengganu juga. Macam-macam aneka lauk dan kuih muih telah terhidang. Ada juga yang memesan roti canai. Macam di Malaysia juga berbagai roti canai ada seperti roti telur dan roti pisang. Tapi roti bikinan mamak Malaysia jugak power.

MASJID KRU-SE PATTANI

Ketika kami tiba dimasjid ini tidak ada orang yang datang bertamu. Sekeliling masjid penuh dengan air kerana semalaman hujan turun berterusan. Masjid kru-se ( dipanggil Krisik ) yang berusia hampir 500 tahun itu kini berada di tepi lebuh raya Yala – Pattani . Jalan untuk masuk ke kawasan masjid dikawal oleh tentera.Tentera dalam bahasa Thai disebut Ta-han. Mereka mendirikan pos kawalan dan beberapa halangan dijalan masuk tetapi tidak ada pemeriksaan kenderaan dilakukan.
Kami terus mengambil wudhuk dan menunaikan solat sunat dhuha. Tidak lama kemudian empat orang askar Thailand yang bersenjatakan m16 datang ke pagar masjid. Mereka bercakap-cakap dengan pemandu van kami. Mungkin mereka bertanya tentang tujuan kedatangan kami.

Menurut En Wan Abdul Rahman, “masjid ini amat besar maknanya kepada ABIM dan perjuangan dakwah di rantau Melayu ini. kalau orang ABIM pergi Pattani tidak singgah ke Masjid Krisik ni kira tak sahlah.Macam pergi jedah Tak singgah Mekah. Disinilah bermulanya gerakan dakwah di selatan Thai yang dipelopori oleh ramai aktivis gerakan Islam”.

Satu ketika dahulu Krisek ialah ibu kota Kerajaan Pattani. Apabila berlaku perebutan kuasa antara pihak-pihak yang berkepentingan ,kerajaan thailand mengharamkan penggunaan masjid ini.

Apabila ABIM ditubuhkan, pimpinannya dengan kerjasama YMAT telah membersihkan dan menghidupkan semula masjid ini. Masjid ini dijadikan sebagai pusat perkembangan Islam dan semangat Islam disemarakkan.

Kewujudan masjid ini bersebelahan dengan kubur seorang Budha.Ia dipercayai adik beradik dengan abangnya yang Beragama Islam. Adiknya yang beragama Budha telah mengeluarkan sumpahan yang kononnya jika ia tidak mahu balik ke China masjid ini tidak akan siap. Lagenda ini dipercayai oleh masyarakat tempatan.

Ramai tokoh-tokoh penting gerakan Islam di sini yang mempunyai pertalian yang erat dengan mantan-mantan pimpinan ABIM terutamanya Anwar Ibrahim (Kini Dato’ Seri ) . Namanya masih disebut-sebut oleh mereka kerana legasi yang ditinggalkan sebagai tanda solidariti yang erat dalam gerakan dakwah. Kebanyakannya pernah mengikuti program-program latihan dan tarbiyyah semasa menuntut di luar Negara.

TRAGEDI PEMBUNUHAN DI MASJID KRU-SE


Pada tahun 2008 sekumpulan belia Islam mengadakan program tamrin di masjid ini. Mereka hanya melakukan aktiviti biasa untuk memantapkan fikrah perjuangan dan melatih kepimpinan anak-anak muda dalam bidang dakwah. Tetapi maklumat yang diterima oleh pihak tentara Thai mereka sedang berkomplot untuk pakatan pembebasan . Akhirnya satu serangan tentera besar-besaran telah dilancarkan. Mereka diserang bertubi-tubi dengan berbagai-bagai senjata ringan dan berat. Kesan-kesan tembakan peluru masih dapat dilihat didinding-dinding masjid walaupun ada yang telah ditampal dengan simen.
Akhirnya semua 60 orang mereka tewas dan terkorban. Mereka dikepung selama 7 jam.

Menurut ceritanya, kebanyakan dari jenazah mereka mati dibunuh didalam masjid.Anehnya kematian mereka kerana tembakan didahi! Kejadian ini menimbulkan banyak persoalan dan spekulasi mereka mengatakan mungkin komando jihad yang bersama mereka itu adalah talibarut yang bersekongkol dengan tentera Thai. Ini kerana tidak ada tentera yang berani masuk ke dalam masjid ketika serangan dilakukan. 40 orang dimakamkan di Songkla dalam satu kawasan yang dipanggil makam syuhada’.

BERSAMBUNG.....

EKSPLORASI FASA DUA BERMULA

Selepas kuliah subuh kami semua terus bersiap dan berkumpul. Komandan memberikan beberapa arahan dan peringatan sebelum kami berangkat. Doa Musafir dipimpin oleh Ustaz Zawawi selaku YDP ABIM Selangor. Dalam perjalanan menuju ke Pengkalan Kubor, Ketua unit Logistik, Sdr Zahrullail sekali lagi memberikan arahan melalui SMS “ This your captain speaking, we on 45 minute journey to pengkalan kubor. We gonna stop at Wakaf baru for breakfast. Should you require any assistant , pls do not hesitate to contact me. Have a nice & safe jurney..”

Kami singgah disatu warong yang agak popular dengan masakan gulai ayam kampung. Memang sedap dan semua makan dengan bersungguh-sungguh. Ada yang menambah sepinggan lagi kerana mungkin sebab sedap dan lapar.Maklumlah anak muda sedang membesar.

MENYEBERANG SUNGAI GOLOK

Kami meletakkan kereta kami di kawasan parkir LKIM( lembaga Kemajuan Ikan Malaysia ) . Sedikit bayaran dikenakan. Sehari Rm5. Lokasinya betul-betul ditebing muara sungai Golok. Aku bimbang juga kalau hujan berterusan dan air naik hingga ke tebing. Tetapi mengikut pengalaman yang sudah-sudah belum ada kejadian air naik ke tebing lagi. Kami semua hanya berserah tawakkal kepada Allah. Mudah-mudahan selamat. Hujan renyai-renyai masih berterusan. Selepas melepasi pemeriksaan imegresen kami menaiki bot penambang. Tiket untuk dewasa Rm1 dan kanak-kanak Rm0.50. Perjalanan hanya memakan masa 3-5 minit sahaja.

Berpuluh-puluh bot beroperasi membawa penumpang dari Malaysia ke Thailand setiap hari. Aktiviti yang telah perdagangan ini telah bermula lama apabila Sungai ini menjadi batas pemisah antara dua Negara. Ramai penduduk sempadan yang mempunyai saudara mara dan kerabat dipesisir sempadan dan mereka terus berhubung dengan bebas walaupun dibatas dengan sempadan politik dan geografi .

Menurut cerita orang lama di sini, apabila malam, banyak bot-bot yang membawa barangan berulang-alik antara dua Negara dan dengan jarak yang terlalu dekat agak sukar untuk menguatkuasakan undang-undang. Patutlah ada orang-orang penting dan popular bahkan penjenayah yang boleh bolos dan lepas..Ini satu pengalaman baru.



RUMAH SENTUHAN SANUBARI AYATA


Destinasi kami yang pertama ialah Rumah Sentuhan Sanubari AYATA – Rumah Anak Yatim Takbai adalah sebuah Pusat aktiviti pembelajaran dan perhubungan sosial untuk anak-anak yatim Takbai.Ia terletak di Kampung Tabal, Takbai, narathiwas. Lokasinya hanya beberapa meter dari jeti pendaratan dan pejabat imegresen Takbai. Oleh kerana gerimis kami diangkut dengan kereta dan kenderaan mereka ke rumah Sentuhan sanubari ayata. Begitulah nama yang mereka beri. Nama yang penuh dengan sentuhan emosi.

Ia ditubuhkan badan Kebajikan Anak Yatim Taba.Ia mula beroperasi pada 29 April 2003.Kini sudah ada 66 orang anak yatim lelaki dan 31 orang perempuan. Selain anak-anak yatim, anak-anak fakir miskin juga turut dibantu.

Disebelah masjid itu ada madrasah pendidikan Islam yang dipanggil Tadika ( Taman Didikan Kanak-kanak ) untuk anak-anak sekolah rendah. Ada lebih 1100 orang pelajar yang diasuh oleh 27 orang guru sukarela yang hanya mendapat sedikit elaun atau saguhati yang sangat minimum.

Anak-anak yatim disini tidak diletakkan dirumah perlindungan tetapi mereka kekal tinggal bersama keluarga Cuma bantuan dan sumbangan akan disalurkan kepada mereka. Di Pusat pendidikan ini mereka akan diberikan pengajian Al Quran dan Tahfiz Al Quran, Pengajian Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris. Selain dari itu mereka juga akan mengikuti program-program qiamullail, aktiviti-aktiviti kerohanian dan perayaan Islam yang lain.

Kami tiba sejam lebih awal sejam kerana waktu di Thailand diundurkan 60 minit. Hujan mula turun agak lebat dan kami semua terpaksa berteduh di dewan bersama dengan anak-anak yatim beraktiviti bersama pasukan motivasi yang diketuai oleh Sdr Azam. Pasukan yang membuat kajian lapangan bersama masyarakat tidak dapat bergerak kerana hujan terus turun dengan lebatnya.

Selepas aku menyampaikan sedikit ucapan penghargaan dan sambutan kami didendangkan lagu yang disampaikan oleh anak-anak AYATA. Suaranya mendayu-dayu mengharap bantuan dan menagih simpati dari pendengar hingga ada yang mengalirkan air mata. Lantas aku teringat cerita 3 Abdul..P Ramlee memberikan mereka inspirasi kerana lagu tolong kami bantu kami itu memang berkesan dan boleh menyentuh sanubari hati nurani insan .

PROGRAM BAHASA INGGERIS

Sebenarnya sebahagian dari mereka pernah dibawa ke ABIM Klang untuk program intensif Bahasa Inggeris. Mereka diajar siang dan malam oleh guru-guru sukarela yang bersedia membantu untuk meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris agar mereka dapat bersaing dan memajukan diri dan keluarga mereka.
Mereka juga turut menunjukkan bakat terpendam dengan menyampaikan sebuah lagu Inggeris yang bertajuk ‘Give thanks To Allah’.

Give Thanks to Allah
For the moon and the star
Praise him all day for
What is and what was
Take hold of your iman
Don’t give it to syaitan
Oh you belive please give thanks to Allah
Allah ghafur Allah rahim Allah Yuhibbul Muhsinin
Huwa Khaliquna Huwa razikuna Wa hua ala kulli syaiin qadir
Allah is Ghafar, Allah is rahim Allah is the one who loves the muhsinin
He is creator
He is sustainer and he is the one who has power over all


Rata-rata penduduk di sini berada dalam keadaan hidup yang miskin, Kebanyakannya bekerja sebagai nelayan atau penoreh getah. Ada yang berniaga dan membuat beberapa kerja dari rumah seperti jahitan dan makanan ringan.


MENYELAMI HATI NURANI UMAT


Kami berbual-bual dengan beberapa orang AJK masjid dan AJK AYATA . Banyak juga maklumat yang kami terima berkenaan dengan situasi sebenar di Takbai. Kami juga bertanya tentang beberapa isu panas yang beralaku di daerah ini seperti Tragedi Takbai iaitu kejadian demostrasi yang mengorbankan ramai orang lelaki pada tahun 2007. Menurut mereka kebanyakan yang terlibat kebanyakannya bukan dari Takbai. Mereka datang dari daerah dan kampung lain. Namun peristiwa itu menjadi sangat trajis dan membekas dalam ingatan dan sanubari umat Islam di Thailand. Ia sentiasa diingati sebagai salah satu tanda kekejaman dan kezaliman Kerajaan Thailand ke atas umat Islam di Selatan.

Kami diberitahu bahawa ada dikalangan penduduk di sini yang mengusahakan industri jahitan. Produk yang paling popular sekarang ini ialah tudung. Peserta wanita telah dipelawa oleh salah seorang AJK wanita ke rumah salah seorang penduduk yang mengusahakan jahitan tudung.Harga yang ditawarkan memang murah dan hampir semua peserta membelinya dan ada yang memborongnya.

Menurut ustazah Hazlina “ jenama Murni ini ada dijual diKuala Terengganu dengan tawaran ‘Harga Maut’ tetapi masih mahal jika dibandingkan dengan harga di sini”. sebagai tanda kenangan dan terima kasih mereka semua diberikan tudung percuma.Kalau ada sahabat HELWA yang berminat nak buat bisnes tudung bolehlah datang sini .

MADRASAH ISLAM PELANJUT GENERASI PEWARIS

Kami berkesempatan melawat madrasah yang dikelolakan oleh pihak masjid Jamik Takbai. Madrasahnya sangat sederhana dan masih banyak perlukan bantuan. Banyak bangunan usang dan amat dhaif sekali. Bangunan yang baru yang didirikan masih belum siap lagi dan Nampak lama telah terbengkalai. Pihak kerajaan Thailand memang tidak akan membantu madrasah seperti ini. Ia hanya bangun dan tegak dengan sumbangan dan semangat perjuangan umat muslim di sini.

Sementara menunggu waktu solat zohor, kami bertemu dengan seorang saudagar kopiah yang singgah solat dalam perjalanannya ke Pattani. Beliau memang selalu berulang-alik ke Selangor.lebih tepat lagi ke Subang jaya. Beliau mengekspot barang-barang tekstile terutama barangan keperluan ibadah dan busana muslim ke Malaysia.
Beliau sangat teruja dengan pertemuan ini dan menghadiahkan semua peserta lelaki dengan kopiah buatan Pattani yang popular sekarang ini. Ada seorang peserta yang marah-marah kerana telah membeli kopiah yang sama dengan harga Rm40 sedangkan disini harganya tak sampai separuh pun. Itu namanya bisnes. Kalau nak bisnes kopiah pattani jumpalah dengan saudagar ini. nak no contact boleh jumpa YDP.

KENDERAAN MEWAH ALA ALPHARD

Perjalanan kami di sini menggunakan kenderaan milik rakyat tempat. Ini juga sebagai salah satu usaha untuk membantu meiningkatkan ekonomi umat di sini. Kenderaan van jenis Toyota 2.5 ini mampu membawa 14 orang penumpang. Kami rasa beruntung kerana kenderaan yang disewa sangat selesa kerana masih baru. Ada yang baru dua minggu beli. Plet keretanya pun masih merah lagi. Disini plet merah maknanya percuma untuk tempoh tiga bulan.

bersambung...

EXPLORASI AMAL BELIA PERKUKUH UKHUWWAH PERTEGUH JIWA DAIE

25 – 29 November 2010 M ( khamis – Isnin )

Explorasi kali ini agak berbeza dengan misi yang pertama ( Sumatera Barat ). Perjalanan kali ini kami berkonvoi dengan kereta dari Selangor menuju ke Kelantan ,kemudian kami menyeberang ke Thailand dan menyewa kenderaan Thailand. Menurut En Wan Rahman, seorang aktivis global Peace Mission ( GPM ) - kaedah ini lebih mudah kerana terlalu banyak road block sepanjang jalan. Menggunakan kenderaan mereka lebih mudah dan tidak ada soal jawab lagi.


Dalam misi yang pertama kami menggunakan Kapal terbang dan Feri Ekspres untuk menyeberangi Selat Melaka dan menggunakan bas untuk mengembara ke destinasi yang telah ditentukan.

Misi kedua kali ini lebih ramai iaitu 31 orang berbanding misi yang pertama seramai 25 orang sahaja. Kami memilih Selatan Thai kerana inilah wilayah umat Islam yang terpinggir dan sentiasa bergolak dengan tragedy pembunuhan, pembantaian dan konflik berdarah yang berterusan. Misi kami kali ini ialah untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang hakikat sebenar keadaan umat Islam di sana dan mengikuti perkembangan dakwah Islamiyyah di sana.

Tema Program kali ini masih dikekalkan iaitu ABIM SELANGOR PRIHATIN.

SOLAT JUMAAT DI MASJID AGUNG GUA MUSANG

Kami tiba di Gua Musang pada pukul 12.30 petang. Kami ada masa 30 minit untuk makan tengahari. Istimewanya makan tengahari ini ialah masakannya disediakan oleh para penghuni darul Wardah. Lauk yang dimasak ialah daging korban yang memang telah diperuntukkan 10 kilo untuk sajian makan pagi dan tengahari. Daging lembu dimasak merah sungguh menyelerakan. Ditambah pula dengan nasi panas yang disimpan dalam bekas nasi khas dan sambal bilis yang boleh tahan sedapnya.

CERITA SEBUAH TANDAS

Semasa kami menggunakan tandas masjid untuk menyelesaikan urusan biologi diri ternyata keadaan tandasnya sangat mencabar. Ada pintu yang tidak berkunci hingga terpaksa dipegang ketika kita sedang sebok berurusan. Kadang-kadang ada pengunjung yang datang tergopoh-gapah dan terus menolak pintu, nasib baik aku dah sedia untuk menahan. Kalau tidak selamat jalan lah..Selain keadaannya yang kotor dan kurang diberi perhatian, kedudukannya juga agak jauh dan sekiranya ada jemaah yang bermasalah dalaman mungkin tak sempat sampai..Lokasi jemaah wanita juga kurang diberi perhatian kerana kedudukannya dilaluan lelaki hendak ke tandas.

Sebagai sebuah negeri yang mengangkat kedaulatan dan kesucian Islam, perkara-perkara kecil seperti ini seharusnya telah selesai. Jangan pula ia menjadi kudis yang sentiasa perlu digaru setiap kali terasa gatal. Mula-mula menggaru memang terasa sedap tapi kalau sudah menjadi kurang ia akan menimbulkan rasa tidak selesa dan memberikan rupa hodoh dan tidak cantik kepada gadis yang cantik rupawan. Kepada semua peserta eksplorasi dan pembaca semua marilah kita sama-sama membersihkan rumah Allah ini secara sukarela. Jika semua orang sukakan kebersihan saya yakin kita boleh menumpukan kepada kerja-kerja lain yang lebih utama.

Destinasi pertama – Islamic Outreach ABIM – IOA Cawangan Kelantan

Kami tiba di Kok Lanas mengikut jadual yang ditetapkan. Kami menukar rancangan kerana beberapa masalah teknikal yang tak dapat dielakkan. Pada mulanya kami akan ke Kota Bharu untuk sesi bersama pimpinan ABIM Kelantan tetapi diawalkan kerana kami akan menginap diKota Bharu. Keadaan Pusat latihan ini kurang sesuai kerana kerja-kerja ubahsuai dan naik taraf sedang dijalankan. Jadi kami terus singgah di IOA ABIM di Kok Lanas.

Tujuan utama penubuhan pusat latihan ini ialah untuk melatih dan mendidik orang-orang asli dengan ajaran Islam yang sebenar. Selain dari orang asli di sini juga diadakan program untuk anak-anak muallaf dan miskin dari keturunan Pattani, Rohingya dan lain-lain. Menurut Ustaz Hj Kamarudin, Timbalan Eksekutif Pusat ini “ Pusat ini asalnya adalah Pusat Penternakan Lembu milik KESEDAR tetapi tidak diteruskan dan terbengkalai. Pihak ABIM telah memohon tempat ini untuk dijadikan pusat latihan dakwah dan diluluskan”.

Ketika rombongan kami tiba, beberapa orang anak orang asli dan Rohingya sedang mengikuti program pengukuhan jatidiri Islam. Sempena musim cuti sekolah mereka akan mengikuti program tentang amalan ibadah seperti Solat, Zikir dan membaca Al Quran.kebanyakan anak-anak orang asli ini datang dari daerah Gua Musang.

Kunjungan singkat ini banyak memberikan informasi tentang kerja-kerja dakwah bil hal dan kerja-kerja lapangan. Kemudian kami bergerak ke Kota Bharu untuk singgah di Kompleks Al Hikmah milik ABIM Kelantan. Oleh kerana waktu itu adalah masa puncak sesak jadi kami memilih untuk mengikut jalan alternatif malangnya ada dua buah kereta telah terlepas arah dan kami terpaksa menunggu beberapa minit lagi.

Perjalanan agak perlahan kerana banyak lampu isyarat dan kami terpaksa berhati-hati setiap kali tiba dilampu isyarat agar tidak ada lagi kereta yang tertinggal.
Komander Logistik, sdr Zahrullail sentiasa memantau dan mengingatkan para pemandu semua supaya bergerak rapat dan berhati-hati memandu. Memang agak sukar bila berkonvoi kerana disiplin diri dan patuh pada arahan adalah pelajaran yang paling penting sekali. Kami tiba dilokasi sangat lewat. Kami tiba ketika azan Maghrib dikumandangkan dan kami disambut oleh beberapa orang pimpinan ABIM Kelantan yang menunggu sejak pukul 5.00 petang lagi!

DAYA KEPIMPINAN TERUJI

Ketika Muhammad Al fatih memimpin penaklukan Kota Kostantinole usianya baru mencecah 21 tahun. Ketika itu beliau memimpin ratusan ribu bala tentera dari berbagai peringkat untuk menggempur tentera musuh di Istanbul. Tiba-tiba lamunan aku tersentak apabila SMS henpon aku berbunyi “ ada dua buah kereta terlepas laluan. Mereka sedang berpatah balik” . Ini baru kafilah kecil..bagaimana agaknya kalau beratus ribu!..boleh semput dan sakit jantung dibuatnya.Namun dalam pengembaraan seperti ini hanya sabarlah kunci kepada kejayaan..kerana tidak sabarlah Nabi Musa hampir gagal dalam explorasinya bersama Nabi Khidir..


MALAM DI KOTA BHARU


Malam itu cuaca cerah walaupun sesekali hujan gerimis turun meraikan kehadiran kami di sini. “Sekarang dah masuk musim tengkujuh. Biasanya hujan turun siang dan malam. Kejadian banjir adalah perkara biasa . Kalau nasib kurang baik, banyak jalan ditutup kerana banjir” kata seorang rakan yang telah lama dibesarkan diKelantan.

Selepas maghrib, kami dijamu dengan ayam goreng berlauk nasi! Wah hebat bunyinya tu…Ayam goreng yang dibungkus bersama nasi memang bersaiz besar sampai terkeluar lutut ayam dari bungkusan. Semua orang makan dengan penuh selera kerana kelaparan. Selepas kekenyangan dan keletihan seorang peserta berseloroh : “ Barulah boleh nak senyum”.

Selepas selesai sesi pengisian jasmani, kami mengadakan sesi ramah mesra dengan beberapa orang pimpinan ABIM Kelantan. Kami mengadakan sedikit ta’aruf ringkas terutamanya tentang misi eksplorasi ini. Kami diberikan penerangan tentang Kompleks Al Hikmah ini oleh YDP ABIM Kelantan Ustaz Faisal Abdullah. Banyak idea dan pengalaman mereka dalam kerja-kerja dakwah, pembangunan ekonomi, perancangan dan pengukuhan Gerakan yang dapat dipelajari dari mereka.

Selain dari program pendidikan seperti TASKI ( Taman Asuhan Kanak-kanak Islam ) dan SRI ( Sekolah Rendah Islam ) , ABIM Kelantan juga mempunyai projek-projek ekonominya sendiri seperti program ICT dengan MOSTI – Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Program Pengurusan Tawhidic bersama YaPIEM dan yang terbaru ialah perkhidmatan Hostel dan Homestay.

Kami diberi peluang untuk tidur dan merasai keselesaan bilik hostel tersebut. Biliknya memang selesa kerana berhawa dingin. Cuma bilik air dan tandasnya perlu ditingkatkan kerana ada yang kurang berfungsi dengan baik. Oleh kerana semua orang telah keletihan kerana perjalanan yang jauh akhirnya semua terus terlena apabila kepala mencecah ke bantal.

Cuma ada sesuatu kenangan yang kurang manis apabila ada salah seorang peserta – Ustazah Hazlina - yang tidur dalam bilik yang berkunci telah kehilangan modem broadband. Beliau amat yakin barang itu diletak diatas meja selepas digunakan dan apabila pagi hanya tali penutup sahaja yang tinggal. Walaupun telah puas dicari oleh beberapa orang pasukan pencari tetapi tidak juga ditemui.

PAK IMAM YANG MINTA DIINGATKAN

Semua peserta bangun awal dan sempat untuk bertahajjud diMasjid Al Hikmah. Ketika solat subuh, Pak Imam bertugas membaca surah Al Ghasyiah. Ketika tiba pada ayat “ fazakkir” dia terlupa untuk ayat seterusnya. Ramai yang menegurnya “ Innama anta muzakkir” tetapi dia tetap tidak dapat meneruskannya sebelum dia beralih ke surah yang lain. Yang menimbulkan rasa ketidak khusyukan aku ialah dia terlupa pada perkataan yang terjemahannya harfiyahnya :” maka ingatkanlah” dan ramai jamaah yang menjawab: “ Sesungguhnya kamulah orang yang mengingatkan!”..malangnya dia tidak dapat juga mengingat ayat seterusnya…syaitan al Khannas tentu gembira..

Semasa kuliah subuh yang disampaikan oleh Ustaz Tajudin, aku tengok pak Imam tu tepuk dahi beberapa kali.Mungkin hatinya geram kerana kali ini dia tertewas dan yang paling dikesalkan ialah kerana dibelakangnya ramai ustaz dan aktivis dakwah. Selain dari rombongan kami, pagi itu ramai juga peserta Kursus Usahawan HPA yang berprogram disitu. Pengajaran dari peristiwa ini sangat bermakna kepada semua peserta eksplorasi khususnya pada diri aku sendiri.