Isnin, 30 Ogos 2010

BERSAMA BERKONGSI RASA BERKONGSI KASIH

SINAR SYAWAL @ SANDANG RAYA



Pada minggu lalu Wak diminta oleh seorang sahabat Wak yang bertugas di peringkat ABIM Pusat Sdr P. Aizan untuk mencari beberapa orang anak yatim, anak muallaf, anak fakir miskin untuk Program BERSAMA BERKONGSI RASA BERKONGSI KASIH . Mereka akan dibawa ke sebuah pasaraya mega untuk membeli kelengkapan persiapan baju raya. Mereka juga khabarnya akan dijamu dengan ‘nasi arab’ ketika waktu berbuka puasa.




Alhamdulillah pada 26 Ogos lalu, seramai 40 orang anak yatim dan anak fakir miskin muallaf telah Berjaya dibawa ke Mydin Mall di Subang Jaya. Mereka dibawa kesana dengan MPV Perodua ALZA. Keadaan mereka sungguh ceria sekali kerana dapat memilih sendiri baju baru untuk Aidilfitri nanti. Wak pun tolong sama carikan mereka pakaian yang sesuai. Kebetulan semua pakaian yang ada hanya pakaian Melayu. Kebanyakan anak muallaf yang wak bawa adalah dari keturunan Tamil. Jadilah mereka itu seperti anak-anak Melayu kerana mereka berpakaian lengkap dengan sampan dan songkok.



Hampir tiga jam kami ‘terperangkap’ dalam pasaraya tu kerana melayan ragam dan telatah anak-anak kecil memilih baju baru. Ada yang dah kepenatan terbaring atas lantai dan ada yang memanjat kaunter bayaran dan ada yang menangis. Lapar agaknya. Urusan bayaran juga agak memakan masa yang lama kerana banyak perkara yang nak dikira. Nasib baik orang tak ramai sangat. Kalau hari cuti mungkin lebih sesak dan gawat lagi.



Hampir pukul 3.30 petang kami tiba di PPW Ampang. Selepas solat zohor kami berehat dan mengambil sedikit masa untuk sesi motivasi ringan. Wak diminta oleh pihak penganjur untuk menyampaikan ‘ceramah motivasi’ untuk tempoh 15 minit kerana masa begitu dekat dengan waktu asar.

Kami bergerak ke destinasi berikutnya di wadi Hadra maut-sebuah restoran makanan arab. Ada kawan wak yang selalu tersasul menyebutnya ‘ sakratul maut’. Wak rasa makanan arab ni bukanlah hebat sangat nak dibandingkan dengan makanan Melayu. Cuma yang Wak tak boleh tahan ialah nasi mandy kambing. Memang orang kata ‘nalla reke’! Malangnya perjalanan waktu petang di Jalan Ampang memang menyeksakan! Sangat tidak mesra pengguna. Nasib baik wak tak memandu.



Malam itu kebetulan ramai sungguh yang berbuka di restoran tersebut. Tingkat bawah dan atas penuh sesak. Surau pulak kecik. Memang agak tak selesa bila bersesak ditempat sempit. Ada seorang tetamu yang sedang memegang pinggan yang penuh dengan nasi dan kuah terlanggar bahu wak.Nasib baik baju wak tak kena kuah kari. Wak cadang untuk program yang akan datang, elok panggil mereka datang ke tempat lain yang lebih selesa. Wak dapat maklumat risikan bahawa di Seksyen 7 Shah Alam pun dah ada Arab Café yang menawarkan nasi Mandy yang lebih power. Disana tiada jalan yang sesak dan ruang yang lebih luas dan selesa.

Selepas tersandar kekenyangan dan keletihan kami pun berangkat balik. Sepanjang hari wak bersama mereka banyak perkara baru yang Wak pelajari. Wak kesian juga dengan anak-anak kecil yang terpaksa menempuh perjalanan panjang dan meletihkan. Wak yakin perkara tersebut dapat difikirkan semula kelancarannya untuk masa akan datang. Wak hargai kesabaran semua sukarelawan yang bertugas terutama Daie Muda Umar yang mengemudikan Toyota Unser menempuh kesesakan kotaraya Kuala Lumpur.

Wak berterima kasih kepada semua pihak yang menaja dan menjayakan program ini. Terima kasih juga kepada pihak penganjur yang mempelawa Wak untuk join program ni. Kami sampai di Klang pukul 10.00 malam dan semua orang telah ketiduran di sofa MPV Citroen dengan nyenyak sekali.