Sabtu, 22 Mei 2010

Feqh Daulah Dibicarakan

Diatas meja tulis ada sekeping kad jemputan. Wak tengok dari logo dikepala kad ada logo JAIS. Rupanya undangan menghadiri kelas pengajian berkitab di Rumah YAB Dato’ Menteri Besar. Kitab yang dibedah ialah Kitab Feqh Daulah karangan Prof. Dr Yusof Al Qaradawi.

Ulama’ yang diundang untuk mengupas kitab tersebut ialah YBhg. Dato’ Hashim Yahya, mantan Mufti Wilayah Persekutuan dan Pensyarah di Universiti Malaya. Wak rasa teringin nak ikut serta kelas tersebut. Sebabnya, Wak pun diminta oleh Nazir Masjid An Naim untuk mengupas kitab tersebut.

Setakat ni dah siri yang ke 4. Al hamdulillah ada yang mendengar. Tapi wak rasa penerangan yang wak beri tak cukup mantap. Wak perlukan idea baru untuk menerang dan menjelaskan idea gagasan negara yang diinginkan oleh umat dengan teknik dan bahasa yang lebih mudah.

Wak ajak dua orang pembantu wak untuk turut serta dalam majlis ilmu tersebut. Ketika kami sampai imam baru dirakaat pertama. Wak tengok ramai yang hadir berkopiah putih. Ada juga yang bersongkok hitam.Tapi tidak ada yang bersongkok tinggi. Orang-orang Besar Daerah dan pegawai kerajaan pun ramai yang hadir tapi tak ramai YB yang kelihatan. Mungkin sebok dengan urusan rakyat dikawasan.

Dato’ Hashim tidak hadir dan diganti dengan Ustaz Roslan Muhammad. Pengerusi memanggilnya dengan gelar Doktor. Mungkin dah selesai PHD agaknya. Setiap peserta dibekalkan dengan buku Feqh Daulah terjemahan Dr Juanda Jaya( sekarang menjadi Muti Negeri Perlis ). Wak pun ada bawa kitab tersebut tetapi terjemahan Ustaz Arsil Ibrahim. Menurut Dr Roslan, dia dah baca buku Feq Daulah terbitan ABIM sejak 1998. Dia kita penterjemahnya lebih fokus. Wak punya terbitan syarikat Blue T. Entahlah. Wak pun tak sempat nak buat perbandingan.

Dr Roslan mengupas kitab tersebut dengan kupasan yang lebih menyeluruh. Bagi pendengar yang dah biasa mengikuti seminar dan membaca buku berat seperti ini tidak ada masalah. Agak susah juga bagi murid yang tidak membaca kitab tersebut terlebih dahulu. Wak tengok ramai yang tak fokus pada kitab tetapi lebih selesa memasang telinga sahaja. Yang lebih fokus mungkin kena memejam-mejamkan mata sambil mengangguk-angguk tanda setuju.Tidak seperti Tok Guru Pondok yang mengupas sebaris demi sebaris.Selembar demi selembar. Kadang-kadang baris ayat Quran dan hadis yang kurang jelas pun dapat dibetulkan.

Sebelum jam 9.00 Tuanguru sudah mula mendarat. Ramai yang nampak segar dan menggerak-gerakkan badan. Penat belajar lah katakan. Yang hebatnya, tidak ramai ( baca : tiada ) dikalangan mereka yang membawa buku nota atau pen untuk mencatat. Ini membuktikan bahawa mereka memang mempunyai daya ingatan dan daya serapan yang baik dan hebat. Atau mungkin memang mereka jenis pelajar yang malas membawa buku ke kelas. Entahlah. Mereka hadir pun dah kira cukup baik sangat tu.Jauh lagilah nampaknya nak tegak daulah..

Khamis, 13 Mei 2010

Sukan Mesti Bebas Judi

ABIM SELANGOR MEMBANTAH SEKERAS-KERASNYA PEMBERIAN LESEN JUDI BOLA SEPAK PIALA DUNIA 2010

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) membantah sekeras-kerasnya serta merasa amat kesal dengan keputusan kerajaan yang secara rasminya telah memberikan lesen pertaruhan sempena Piala Dunia 2010 kepada Kumpulan BERJAYA. ABIM menilai keputusan ini adalah tidak wajar kerana majoriti masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini menolak judi kerana banyak membawa kesan buruk dan penyakit sosial yang teruk.

ABIM menegaskan bahawa keputusan tersebut langsung tidak mempunyai sebarang justifikasi yang munasabah serta hanya bersifat untuk meraih keuntungan material jangka pendek yang boleh memberikan kesan yang negatif ke atas masyarakat dan negara. ABIM dengan ini menyeru kepada semua umat Islam untuk sama-sama membantah keputusan tersebut demi menjaga kesejahteraan setiap lapisan masyarakat di negara ini. Pihak ABIM juga akan menggerakkan bantahan ini di seluruh negara bagi memastikan keputusan ini tidak dilaksanakan demi kesejahteraan semua pihak.

Tiada ada agama di dalam dunia ini yang membenarkan serta menghalalkan perjudian kerana impak negatif sosialnya yang secara langsung akan menyebabkan kemusnahan moral individu, institusi keluarga dan masyarakat serta mencemar imej Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi persekutuan. ABIM dengan ini menggesa dan bertegas agar Kerajaan Malaysia menarik semula keputusan pemberian lesen pertaruhan ini demi menjaga kesejahteraan masyarakat dan negara.

Bagi ABIM Selangor , pengeluaran lesen atas alasan untuk mengawal dan mengetahui jumlah wang pertaruhan adalah tertolak di sisi Islam. Sesebuah kerajaan dan pemimpin mestilah lebih kreatif dan bertanggungjawab dalam mencari jalan mengawal perjudian gelap. Kawalannya bukanlah dengan memberi lesen kerana itu hanya akan lebih memakmurkan gejala tersebut. Tetapi KAWALAN adalah dengan memperkenalkan teknik banteras, hukuman lebih keras dan tahap efisyen yang lebih kemas bagi memerangkap mereka yang terlibat.

Perlu difahami, hujjah maslahat TIDAK BOLEH digunakan sama sekali dalam hal yang JELAS BERTENTANGAN dengan teks Al-Quran dan Hadis. Tiada maslahat dan tidak termasuk di dalam Maqasid al-Shariah dalam mengharuskan perjudian untuk masyarakat.

Oleh yang demikian ABIM Selangor mendesak :

1. Kerajaan Persekutuan menarik balik lesen yang telah dikeluarkan kepada BERJAYA GROUP serta merta.
2. Semua mufti-mufti dan para ulamak khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Negeri untuk mengeluarkan kenyataan atas kelulusan ini.
3. Semua institusi pendidikan, Masjid dan surau membuat bantahan dan kempen penerangan bagi menimbulkan kesedaran agar muslimin dan muslimat terutama golongan belia sedar keburukan judi dan kesannya kepada masyarakat.
4. Semua NGO Islam bersatu menyatakan pandangan dan bantahan mengenai pemberian lesen perjudian ini.
5. Semua pihak sentiasa peka dan sedar , bahawa ada agenda buruk yang mahu melihat umat Islam semakin sesat dan jauh dari agama melalui judi, arak , seks, dadah dan semua maksiat.


Wak Sokong!! Wak Sokong 1000 persen!!!

VIVA Palestine

Shah Alam, 8 Mei 2010 - MAPIM ( Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia ) telah menganjurkan KONVOI NASIONAL membantu rakyat Palestin dan Gaza. Program bermula pukul 5.00 petang iaitu selepas Solat asar di Masjid Negeri. Pada pukul 4.00 petang Wak menerima mesej dari Setiausaha Agung ABIM untuk menjadi wakil ABIM dalam majlis Pidato Palestin. Kebetulan Wak memang nak ke Shah Alam untuk menghadiri Program Palestin juga. Tapi program itu selepas Isya’ di Stadium Malawati, Shah Alam.

Ketika Wak sampai di masjid, jamaah telah selesai solat asar. Jadi wak solat bersama anak dan isteri di aras bawah. Ketika itu pameran berkenaan palestin diadakan diruang legar masjid. Kelihatan anak-anak muda berkerumun melihat-lihat foto dan berita yang dipaparkan. Kedengaran suara orang berpidato diberanda masjid berkenaan isu palestin. Suaranya seperti orang muda. Mahasiswa universiti agaknya.

Selepas Solat wak cuba meninjau-ninjau keadaan program yang sedang berjalan. Wak tengok tidak ada orang yang mendengar pidato itu. Pengunjung hanya leka memerhatikan barang pameran sambil berjalan berlegar-legar dikawasan masjid. Dalam hati wak tertanya-tanya juga..mencabar juga kalau aku nak kena bagi ceramah dalam keadaan pendengar yang sangat santai dan tidak diurus dengan baik. Setelah aku membuat risikan, Rupanya, lokasi ceramah bukan di situ tetapi di dalam dewan utama. Dan pidato itu pun tamat kerana diarah masuk ke dalam dewan utama.

Didalam dewan kelihatan tetamu telah memenuhi sebahagian dewan. Dibahagian hadapan, kelihatan video berkenaan perjuangan rakyat Palestin menentang kezaliman Israel sedang ditayangkan. Wak mengambil tempat dibahagiaan depan sebelah kanan. Wak sebenarnya tidak kenal semua yang hadir.Bahkan penganjurnya pun wak tak kenal. Wak sengaja memakai baju rasmi yang ada nama supaya mudah pihak penganjur mengesan. Memang betul, selepas beberapa minit, seorang lelaki mempersilakan wak untuk duduk di sofa pentas sebaris dengan wakil-wakil pertubuhan yang diundang khas.

Wak difahamkan bahawa rombongan konvoi ini datang dari wilayah timur, wilayah utara, wilayah tengah dan wilayah selatan. Mereka datang sejak awal pagi dengan menaiki bas dan kereta. Bakinya adalah masyarakat Islam yang tinggal dikawasan lembah Klang dan yang sama waktu dengannya.

Antara pemimpin pertubuhan yang diundang untuk berucap ialah Hj Nik Yusoff Nik Ismail ,Yang Dipertua IMAN ( Integrated Muslim Association Network ) Negeri Selangor, Sdr Mustafa Kamil Ayob ( Wak tak pasti NGO yang diwakilinya – NGO baru agaknya ), Cikgu Azmi Pengerusi TERAS PENGUPAYAAN MELAYU, Ustazah Datin Aminah Zakaria ( SALIMAH TERAS ). Mereka ini semua adalah mantan pimpinan ABIM. Yang lain Wak tak kenal. Ada juga pemidato dari selatan yang penampilannya seperti orang Ahli Bait. Wak Cuma ingat nama keluarganya Al Saggaf.Pidatonya hebat, berapi dan berkobar-kobar seperti berada di medan jihad.

Sementara itu, Pengarah Program Ustaz Mustafa Mansur menerangkan objektif program Konvoi ini dan Projek Kapal Frotilla yang akan dihantar ke Palestin. Frotilla dalam bahasa Itali bermakna kapal-kalal kecil. Penganjur projek ini mensasarkan 20 buah kapal muatan barangan seperti simen, ubat-ubatan dan makanan.Mereka juga telah membeli sebuah kapal penumpang untuk pertemuan pemimpin-pemimpin Islam bersidang sebelum dihantar ke Palestin. Kapal ini dibawa dari berbagai negara Eropah, Turki dan Asia.

Wak memang tidak membuat sebarang persiapan untuk pidato ini. Idea persiapannya, wak akan mendengar apa yang disampaikan oleh para pemidato yang terdahulu dan wak akan tambahkan apa yang belum disebutkan. Al Hamdulilah semua pemidato telah menyampaikan semua cerita sejarah dan teks Al Quran berkenaan dengan isu Al Quds dan Al Aqsa dengan baik sekali. Slogan Khaibar! Khaibar! Ya Yahud, Jaisyu Muhammad Saufa Ya’ud ( Ingatlah tragedi Khaibar wahai Orang Yahudi! Tentera Muhammad akan kembali lagi) diulang-ulang bersama para hadirin.

Tiba giliran wak untuk tampil ke rostrum dan masa yang diberikan hanya lima minit sahaja. Wak rasa idea lama BOKOT produk Israel dan Syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan Yahudi masih relevan dan perlu disemarakkan semula. Strategi boikot ini perlu dilaksanakan secara konsisten dan berpilih. Contohnya bulan Mei ini kita boikot Telefon Nokia. Maka semua orang yang menyokong kempen ini hendaklah menukar segera telefon bimbitnya segera kepada produk lain tanpa alasan.titik.

Isnin, 10 Mei 2010

Ikon Hari Ibu.Kenapa Bukan Khadijah?

Semalam 9 Mei 2010 - Semua orang disarankan agar menghargai ibu yang masih ada. Sebagai tanda kasih sayang dan penghormatan, tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap pengorbanan dan perjuangan, membesarkan dan mendidik anak hingga menjadi insan beriman dan bertaqwa. Wak pun terikut sama untuk memberikan sesuatu untuk Ibu wak yang dengan sabar dan gigihnya mendidik dan mengajari wak untuk menjadi insan hingga ke tahap ini.

Selepas merasmikan Program kejohanan Olahraga Sekolah ( Selaku YDP wak diminta merasmikannya) wak minta diri awal.Ada banyak urusan lain.Ketika wak pergi ke sebuah kedai kek, ramai orang yang membeli kek untuk 'Happy Mother's Day'. Ketika dalam perjalanan balik Wak terfikir tentang tarikh hari ibu ini.siapa yang mencadangkannya dan sempena apa. Kenapa umat Islam tidak menjadikan tarikh kelahiran atau kewafatan Saidatina Khadijah sebagai lambang ibu sejati? Nampaknya cara berfikir dan tindakan kita masih dijajah dengan corak pemikiran Barat.( Baca : Yahudi ). Wak cadangkan agar selepas ini, semua umat Islam menggunakan tarikh Ibu Khadijah dijadikan sebagai ikon ibu muslimah sejati kita.

Wak tengok setiap kali ada Hari-hari memperingati sesuatu ini digerakkan dan dijana oleh ahli-ahli perniagaan yang berkepentingan. Memang hebat idea tersebut dan tidak salah pun tetapi yang salah dan silapnya ialah diri kita sendiri. Kita sentiasa menjadi pengguna bukan pencetus atau pengeluar idea atau produk sendiri. Kita seperti ikan yang selalu mengejar umpan pengail.Sudahnya, ikan menjadi juadah rebuta dimeja hidangan. Inilah akibat dari kebekuan dan kelesuan umat dari berfikir.Sedangkan seruan dan ingatan Allah dalam Al Quran jelas mengajak agar kita terus menggunakan akal untuk berfikir.

Rabu, 5 Mei 2010

Aku Redha Dengan TarbiyahNya

Minggu lalu aku diminta menghadiri satu Bengkel Kerja Jamaah diJitra. Aku bersama dengan Khairudin, Setiausaha Negeri dan dua orang sahabat pimpinan dari Sabah( zikri dan Jaafar)bertolak dari Shah Alam sekitar jam 11.00 malam. Aku menawarkan diri sebagai pemandu kerana agak biasa memandu malam bila aku balik ke Terengganu.

Cuma sebelum aku bertolak, bermacam-macam dugaan dan ujian datang silih berganti.

Cerita Satu

Selepas selesai kerja-kerja pejabat aku balik ke rumah. Singki dapur yang dah sumbat beberapa hari nampaknya semakin parah dan tidak boleh bertangguh untuk dibaiki. Aku terpaksa mencari jalan untuk menyelesaikan kerja-kerja menerobos paip yang sumbat. Berbagai ikhtiar yang aku gunakan untuk membuang saluran paip yang sumbat. Mula-mula aku gunakan dawai khas yang biasa digunakan untuk mencuci paip sumbat. tapi masih tak berjaya juga. kemudian aku gunakan salur getah yang lebih panjang.tapi tak boleh juga. Cuaca semakin gelap kerana hampir masuk waktu Maghrib.

Aku berdoa semoga aku diberikan ilham untuk menyelesaikan masalah ini.Aku cuba membuat siasatan di kawasan lain yang mungkin menjadi punca masalah. Rupa-rupanya ada bahagian saluran paip yang dah tertimbus tanah kerana pecah akibat terbakar.Agaknya ada yang bakar sampah diatas permukaan tanah dan merebak hingga ke bahagian bawah lalu membakar saluran tersebut.Selepas dibersihkan tanah yang menutupi saluran itu, air dapat berjalan lancar dan tiada lagi saluran paip tersumbat.Ketika itu azan dimasjid an Naim berkumandang dan aku baru selesai mengemaskan semua peralatan.


Cerita Dua

Semasa aku selesai solat isya', aku mengemaskan pakaian yang akan dibawa untuk ke bengkel Kerja diJitra. Tiba-tiba terdengar bunyi air memancut dari paip dibilik mandi. Rupanya sambungan saluran kepala paip tertanggal.Subhanallah. macam-macam ujian datang ketika aku sedang kesuntukan masa. cara untuk membaikinya mudah. Gamkan dengan gam PVC dan selesai. tetapi masalahnya gam lama yang ada sukar untuk dibuka.Akhirnya dengan susah payah aku pecahkan penutupnya.

Cerita Tiga

Tepat jam 11.00 Kami bertolak ke Utara. Dalam perjalanan kami berbual berbagai topik dan cerita. kami berbual berbagai-bagai topik, dari kisah masyarakat hinggalah ke topik politik negara. Kami berkonvoi dengan dua orang lagi sahabat dari Sarawak dan Wilayah yang menunggu kami di R n R Rawang.Jam 2.00 pagi kami berhenti rehat di RnR Sungai perak. Sepanjang perjalanan hujan turun agak lebat. walaupun aku dah pekena setin nescafe, namun rasa mengantuk seperti tak dapat ditahan-tahan. Mungkin kerana terlalu letih dengan kerja dan berbagai masalah seharian.

Tiba-tiba telefon bimbit Din berbunyi. Panggilan dari ibu katanya.terkejut juga kerana panggilan ditengah malam buta ni biasanya berkaitan hal-hal kecemasan aje. Memang betul telahan aku. Bapaknya sedang dalam keadaan nazak. Dadanya berombak dan nafasnya agak kencang seperti orang nazak. Aku mencadangkan supaya dia segera balik dan aku menawarkan diri untuk menemaninya hingga ke KL. Dua orang sahabat Sabah aku kirimkan dengan kereta satu lagi yang kebetulan ada dua kekosongan. Aku cuba menghubungi Perwakilan wilayah yang mungkin belum bertolak. Aku memohon maaf kerana terpaksa mengejutkannya dari tidur tetapi alhamdulillah dia belum bertolak dan akan mula bergerak pukul 4.00 pagi.Aku bercadang untuk menumpangnya dan bertemu di jejantas sungai Buloh.

Dalam keadaan kalut dan gelap, aku telah tersilap mengambil laluan u-turn. Sepatutnya aku masuk ke exit Kuala Kangsar tetapi aku telah termasuk ke laluan terus ke Utara.Jadi laluan exit seterusnya ialah diChangkat Jering.lebih kurang 25 kilo jauh ke utara. Subhanallah.Harga sebuah kesilapan diri. Perjalanan masih diselimuti dengan hujan yang agak lebat dan memaksa aku memandu dengan lebih berhati-hati. Banyak lori dan bas ekspres yang bertali arus dilebuhraya. Ada yang laju dan ada yang perlahan. Kecuaian dan kelalaian pemandu boleh membawa padah.

Selepas solat subuh aku meneruskan perjalanan ke Utara bersama dengan Zaihan. Kali ini aku cuma menjadi co-pilot. kami berbual-bual berbagai topik terutamanya tentang perkembangan jamaah dan permasalahan semasa.Kadang aku terlelap kerana terlalu mengantuk.Bila aku tersedar perbicaraan disambung semula.Pukul 11.00 pagi kami tiba di Taman Siswa UUM, Jitra dan majlis baru sahaja bermula.Begitulah perjalanan panjang selama 12 jam yang terpaksa aku tempuhi untuk sampai ke destinasi yang benar-benar menguji kesabaran dan ketabahan diri ini.

Cerita empat

Oleh kerana Zaihan ada misi yang belum selesai, dia terpaksa menangguhkan kepulangannya. Banyak destinasi baru yang terpaksa disinggahinya.Maklumlah tugas pegawai pemasaran. kebanyakan Para perwakilan telah balik awal kerana berbagai urusan. Ada yang naik pesawat dan ada yang berkereta. Aku meminta bantuan sahabat dari Kedah untuk mencari pemandu bas yang boleh membawa aku balik ke Selatan. Nampaknya hanya destinasi KL sahaja yang ada.

Pilihan yang ada untuk ke Shah Alam ialah di Ipoh. Aku memilih cadangan itu kerana
untuk memudahkan isteri aku menjemput di stesen bas seksyen 17, Shah Alam. sebelum majlis Kunjung Hormat diMadrasah Islah, Pendang selesai aku memohon izin balik dulu kerana bas akan bertolak pukul 3.30 petang.Ustaz Hafiz menghantar aku ke Stesen Bas Shahab di Alor Star.

Sebaik bas tiba aku terus naik dan mencari no kerusi.Cuaca agak panas dan berbahang. Tetapi diluar seorang lelaki memberitahu bahawa tayar bas meletup dan terpaksa mengambil sedikir masa untuk dibaiki.Sementara menunggu masalah selesai aku menunaikan solat diSurau.tepat pukul 4.00 bas bergerak meninggalkan stesen bas.Namun udara dalam bas itu terlalu panas.Pendingin hawa rosak.Semua penumpang merungut dan ada yang marah-marah. Baju aku pun basah kuyup kerana peluh yang mencurah-curah.Nampaknya inilah kemuncak latihan kesabaran yang terpaksa aku lalui. Sebelum bas keluar ke Lebuhraya, sebuah trak mekanik sedia menanti untuk menukar tayar yang meletup. Kami semua keluar kerana kepanasan. Betul-betul macam rombongan Che' Kiah dalam drama Melayu.

Selepas 30 minit kerja menukar tayar selesai. Kami pun meneruskan perjalanan ke Ipoh. Pak Cik yang memandu bas agak tertekan. Semua penumpang bising-bising kerana kepanasan. Dia mendakwa bahawa semalam pendingin hawa itu baru dibaiki.Dia menyalahkan mekanik yang tidak pandai membaikinya.Mulutnya sentiasa membebel dan memarahi taukeh dan pengurusan yang tidak peduli dengan keadaan bas. Dia juga merungut kerana bas menjadi berat kerana banyak barang yang dibawa oleh penumpang terutama penumpang dari Bangladesh.

Aku tengok semua penumpang mula menerima keadaan kerana apabila bas semakin laku, suhu kepanasan semakin menurun. Tingkap bumbung yang dibuka dan pintu juga dibuka.Selepas sejam keadaan menjadi senyap kerana masing-masing keletihan dan ketiduran. Perjalanan ini memang sangat menyiksakan kepada orang yang sudah biasa dengan keadaan senang dan selesa. Minda kita mesti berfikir untuk menukarkan 'penyiksaan' kepada keadaan positif manfaat dan faedah agar tubuh kita tidak menjadi terlalu penat.Pukul 8.15 bas mula memasuki bandar Ipoh dan ketika bas sampai di Perhentian, semua orang berpusu-pusu keluar dengan wajah masam dan kusam.


Cerita Lima

Ketika aku bertanya kekaunter, kerani yang bertugas mengatakan bahawa tiket ke Shah Alam dah habis.Aku cuba bertanya ke kaunter berikutnya dan jawaban yang sama aku terima. Akhirnya semua kaunter yang aku tanya memberikan jawaban yang sama , TIKET KE SHAH ALAM DAH HABIS. Rupa-rupanya cuti hari Buruh.Ramai orang bergerak menggunakan bas untuk balik kampung atau berlibur. Biasanya keadaan tidak macam ini. Kata Pak Cik Pemandu bas itu; " Semalam penumpang 5 orang aje. Ekon nya elok je. Hari ni bila pesenjer ramai, dia meragamlah pulak"!.

Pilihan yang aku ada ialah ke Kuala Lumpur. Aku tak da pilihan lain. Destinasi menunggu ialah di KL sentral dan Bukit Jalil kerana Hentian Pudu telah ditutup untuk kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan. Tepat jam 8.35 malam bas mula meninggalkan Kota Ipoh menuju ke KL.Aku dapat kerusi ditingkat atas berjiran dengan Orang Bangla dan Kaum lain.Al hamdulillah bas dalam keadaan baik dan dingin.Cuma ruang kaki agak sempit dan susah nak letak kaki aku yang panjang.

Semasa aku nak terlelap, telefon bimbit jiran Bangla berdering.Dia bercakap agak kuat. Mungkin tidak berapa jelas.Aku tidak faham langsung apa yang dibualkan tapi bunyi perbualan yang kuat betul-betul menguji kesabaran aku.Aku terpaksa menahan diri dengan berzikir dan menguatkan hikmat kawalan dalaman.Agak lama juga dia berbual. Aku tidak mahu menegur dalam keadaan aku marah. Takut tak boleh kawal diri dan ada yang kena kompang nanti.Selepas 20 minit dia selesai bercakap dan keadaan kembali tenang.

Tiba-tiba telefon bimbit seorang lelaki Cina disebelah kanan aku berbunyi.Kali ini dia bercakap dengan nada lebih kuat.Aku ingat sekejap aje, rupanya dia bersembang macam Bangla tadi juga.Panas betul hati aku.Aku tak faham apa yang dia sembangkan.Tapi yang pasti bukan bercakap dengan girlfriend sebab nadanya tinggi dan keras.Aku cuba menenangkan hati dan minda sendiri.Aku berusaha mengambil pengajaran dari sesi ujian yang sangat hebat ini. Sesungguhnya amali ilmu itu lebih berat dan lebih mencabar berbanding kita mempelajari imu Sabar. Perjalanan agak perlahan dikawasan Serendah kerana banyak kenderaan menuju ke Kuala Lumpur. Hampir pukul 12.00 malam aku tiba di KL Sentral. Aku menunaikan solat di Surau sementara menunggu isteri aku datang menjemput.

Cerita Enam

Dalam perjalanan balik ke rumah, kereta semakin lengang. Mungkin semua orang sudah beradu dan berehat dirumah masing-masing. Kereta aku dapat bergerak laju dan lancar.Tiba disusur ke Subang, kereta aku terlanggar lubang yang agak besar. Dari nada bunyi aku dapat mengagak sesuatu yang tidak baik telah berjadi.Tetapi kereta aku masih dapat berjalan dengan baik dan kami meneruskan perjalanan ke rumah. Apabila aku sampai dirumah, aku memeriksa keadaan tayar.Aku terkejut kerana tayar kereta aku bengkak besar.Benjolannnya sangat ketara dan agak berbahaya.Boleh meletup bila-bila masa. Semua ujian kesabaran berakhir di sini.

Apakah pengajaran yang kita boleh dapat dari cerita yang aku sampaikan tadi?

Bersambung