Jumaat, 27 Mac 2009

Dimana Geranganmu Anak Muda ?

1. Beberapa hari kebelakangan ini Wak ada berbincang dengan kawan-kawan tentang masalah orang muda. Fokus perbincangan ialah kenapa orang muda tidak berminat dengan kerja-kerja kesukarelaan terutamanya dalam bidang Dakwah Islamiyyah.

2. Kelompok sasaran generasi muda yang kami bincangkan ialah penglibatan kalangan guru-guru warga pendidik khususnya guru agama. Setiap tahun negara kita mengeluarkan ribuan pelajar dan ilmuan dalam bidang agama Islam dalam berbagai disiplin ilmu agama.Bahkan ada yang mengkhusus dalam bidang dakwah dan kepimpinan. Tentunya ilmu dan pengalaman yang diperolehi akan dapat merancakkan lagi usaha dakwah terumanya dalam kerja berpasukan. Maksud Wak bekerja dalam bentuk jamaah.Bukan berdakwah dengan berceramah sorang-sorang disurau dan masjid.

3.Walaupun ada kawan-kawan Wak yang terlibat secara iltizam dan istiqamah tapi masih ada ramai lagi yang belum terlibat. Wak memang puji dan kagum dengan kawan-kawan Wak yang terus konsisten.Walaupun ribut melanda, petir diangkasa dan lautan bergelora, namun kerja dakwah tetap diteruskan.

4. Masalah ini begitu merunsingkan Wak dan kawan-kawan.Mungkin Wak kurang mendekati dan mengajak mereka untuk terlibat dalam kerja-kerja dakwah ni.Wak menginsafi bahawa Wak belum cukup baik dan cukup bekerja keras untuk meyakinkan mereka.

5. Namun begitu ,Wak sentiasa berdoa dan terus berdoa.Semoga masanya akan tiba.Hati mereka akan terbuka.Mereka akan menyedari bahawa sebatang lidi tidak akan mampu menyapu lantai.

Sebarang pandangan dan komen sangat dialu-alukan.
Syukran.

Ahad, 22 Mac 2009

Bila Badan Tak Sihat..

Sabtu, 21 Mac 09 - Wak diminta oleh sekumpulan anak muda yang menamakan diri mereka sebagai PEPIAS. Kebanyakan penggerak dan aktivisnya adalah pelajar-pelajar universiti dan Kolej di Negeri selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Program tersebut diadakan di sebuah Madrasah dan surau di Shah Alam. Semasa pengisian kuliah Maghrib wak diminta membicarakan topik peranan dan tanggungjawab anggota jemaah dalam melaksanakan dakwah.

Ramai juga ahli jemaah surau yang join sama dalam majlis Tazkirah tersebut. Kebanyakannya adalah generasi pesara yang masih aktif dan tahu diri untuk meletakkan diri dalam masyarakat.

Agak sukar juga membicarakan topik yang mudah ini tapi untuk pendengar yang berbagai aras usia dan cita rasa. Wak dapat rasakan bahawa apa yang Wak sampaikan kurang membekas dalam diri dan hati pendengar.

Wak rasa masih kurang sihat dan tak dapat nak menghayati topik yang Wak sampaikan. Buku yang Wak bawa pun cuma mengisi ruang kosong di atas meja penceramah. Fikiran wak tak dapat nak fokus kepada topik yang sedang wak bicarakan. Kadang Wak mengulang isi yang sama dan kadang merayau jauh entah kemana.


Pengajarannya untuk diri Wak sendiri, Pendakwah mesti kena jaga kesihatan jasmani, kesihatan minda dan kesihatan emosi.

Wak Juragan - Sedang mencari ilmu ikhlas

Usrah 3G ABIM Selangor

assalamualaikum wrt wbt

Pagi semalam Wak menghadiri majlis ilmu di Shah Alam. Wak telah diberi kesempatan untuk menyampaikan sedikit pengisian untuk tetamu yang hadir. Majlis itu telah dihadiri oleh lima puluh orang qiadah dan aktivis dakwah ABIM Selangor.

Wak diminta oleh pihak penganjur untuk membicarakan tentang Ta'bir mimpi Raja dalam Surah Yusof. Wak pernah membaca novel ayat-ayat Cinta. memang penuh emosi dan mengasyikkan, tetapi membaca Kisah perjalanan hidup nabi Yusof lebih trajis dan penuh pengajaran.

sesungguhnya kejadian mimpi Raja Mesir ini adalah satu mesej penting dari Allah SWT tentang amalan pengurusan ekonomi yang baik kepada sebuah negara.

"Nabi Yusof mentafsirkan bahawa tujuk ekor lembu gemuk yang memakan lembu kurus sebagai tempoh ekonomi Mesir berada dalam pertumbuhan yang memberangsangkan selama tujuh tahun dan seterusnya ekonomi merudum dan meleset teruk selama tujuh tahun."

"Semasa Nabi Yusof dilantik menjadi menteri Kewangan, baginda telah menyimpan sebahagian harta dan makanan sebagai stok simpanan untuk menhadapi zaman kemelesetan ekonomi."

Perbincangan menjadi hangat dengan tambahan maklumat dan informasi terkini tentang ekonomi dunia dari sahabat-sahabat yang terlibat dalam dunia perniagaan. Wak yang kurang arif dengan dunia ekonomi juga merasa begitu gusar dengan keadaan yang berlaku.

Sekiranya dunia hari ini akan berdepan dengan bencana yang dahsyat Wak rasa umat Islam kena baca Doa Qunut Nazilah. Bencana besar mesti dielakkan. Usaha dan ikhtiar untuk mengatasi bencana ini mesti dilakukan dengan telus dan bersungguh.

Bagaimana dengan usaha Kerajaan Malaysia hari ini? adakah Pakej Rangsangan Rm60 Billion itu benar-benar usaha menyelamat ekonomi negara tau ia hanya sekadar gimik politik untuk kepentingan pihak tertentu?

wak - Masih kais Pagi makan petang

Selasa, 3 Mac 2009

ALANG-ALANG TULIS BIAR SAMPAI JADI KITAB

Alang-alang menenun, biarlah sampai menjadi kain;
Alang-alang menulis, biarlah sampai menjadi kitab.

Sejak Wak jadi usahawan ni wak dah rasa macam-macam ujian. Al hamdulillah semua ujian Allah Wak dapat tempuhi dengan sabar dan yakin kepada Allah.

Wak rasa memang betul 9/10 rezeki ada dalam perniagaan. Wak nak jadi seorang usahawan yang berjaya. Dalam masa yang sama Wak juga nak jadi macam Imam Abu Hanifah. Disamping menjadi seorang ilmuan, berusaha menjadi seorang ahli perniagaan. inilah yang namanya ilmuan yang praktis.

Wak teringin nak jadi daie yang mandiri. Maknanya Wak tidak terikat dengan mana-mana pihak yang berkepentingan. Wak boleh menyatakan apa sahaja kebenaran dari ajaran Islam. Dulu wak semasa Wak kerja dengan Kerajaan Wak pernah ditakut-takutkan oleh pihak tertentu.Nama Wak disenaraikan 'orang yang perlu diberi perhatian'. Tapi Wak yakin apa yang Wak buat tidak bertentangan dengan undang-undang Allah, apalagi dengan undang-undang manusia.

sekarang dah lima tahun Wak jadi wiraswasta. Wak nampak dan dapat rasa dah ada peningkatan dalam usaha dan kehidupan Wak. Cuma wak masih tak puashati dengan apa yang Wak dah buat untuk Islam. Wak nak ajak lebih ramai kawan-kawan Wak yang lain untuk masuk gelanggang dakwah. Banyak perkara tentang pembangunan ummah yang masih belum beres. Walaupun banyak halangan dan dugaan yang sedia merentang dijalan, wak tetap akan meneruskan perjuangan dan perjalanan ini.

wak renung dan menghayati kata pujangga ini dengan penuh perhatian :-
Alang-alang menenun, biarlah sampai menjadi kain;
Alang-alang menulis, biarlah sampai menjadi kitab.

Anda bagaimana?

PERTAMA KALI KENDALI MENSYUARAT AGUNG PIBG

Semalam ( 28 Feb 09 )Wak mengahadiri mesyuarat PIBG Sekolah anak Wak. Ramai juga yang datang , sekitar 300 orang. Tapi nak dikira dari jumlah keseluruhan pelajar seramai 1900 orang jumlahnya taklah besar sangat. Oleh kerana polisi Kementerian tidak membenarkan orang politik dari Kerajaan Selangor untuk menghadiri program disekolah maka YDP PIBG sahaja yang merasmikan mesyuarat agung tu.

Sebagai YDP Wak cadang nak panggil ADUN ( Ahli Dewan Undangan Negeri ) Kawasan untuk datang menjenguk keadaan sekolah. Paling kurang seringgit dua dihulur untuk membantu pembangunan sekolah. Nampaknya pentadbir disekolah tidak mahu menanggung risiko. Orang kata mencari nahas namanya.

Wak minta juga pegawai dari PPD ( Pejabat Pendidikan Daerah ) atau JPS ( Jabatan Pelajaran Selangor ) untuk turun padang. Bagus juga kalau ada orang atas turun ke bawah. Malangnya tidak ada pegawai yang berkelapangan. Wak fikir kalau ada pegawai yang datang mungkin boleh memahami keadaan masalah di sekolah.

Wak sungguh kecewa dengan keadaan yang berlaku. Orang yang nak buat baik dihalang tapi orang yang diajak buat baik macam-macam alasannya. Apa nak jadi wak pun tak tau. Wak rasa negara ni adalam keadaan yang dah tak menentu. Politik tak stabil.ekonomi pun sakit. Pendidikan pun tersepit.Yang jelas kehidupan semakin perit.

Wak tengok muka kawan-kawan wak yang datang. Semuanya bukanlah orang-orang yang hidup mewah. Semuanya sekadar cukup untuk sara diri dan keluarga. Di mata hitam mereka jelas tergambar keperitan hidup dan penanggungan beban hidup yang berat.

Bila wak cadangkan untuk kutipan sumbangan atau apa-apa bantuan untuk projek pembangunan akademik dan prasaran sekolah, mereka menjawab perlahan seperti tidak berupaya atau berat hati. Wak tau mereka serba salah. Kalau kata tak setuju nanti dikata tidak pentingkan pendidikan anak-anak. Sedangkan banyak keperluan lain juga yang perlu dibereskan.

Wak hanya mampu berdoa. Wak bermunajat semoga orang-orang yang diberi kuasa mentadbir negara ini dijauhi dari sifat yang buruk dan keji dan sentiasa dibawah petunjuk Ilahi. Wak dah bosan dengan kemelut yang berlaku. Wak rasa betul amaran nabi kita ” Kalau sesuatu urusan dilakukan oleh mereka yang TIDAK layak, tungguhlah saja kedatangan Qiamat”.